Sunday, November 22, 2009

SUKA-DUKA PERJUANGAN USIA


SUKA-DUKA PERJUANGAN USIA
DALAM SPU

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Bagi masyarakat Islam di Sabah, 16 Ogos 1969 dianggap tarikh keramat kerana pada hari itulah azan berkumandang di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu bagi menandakan kelahiran sebuah pertubuhan Islam yang dikenali Pertubuhan Islam Seluruh Sabah atau USIA.
Pada hari yang bersejarah itu, lebih 300 orang Islam yang datang dari seluruh Negeri Sabah berhimpun di dewan tersebut untuk satu tujuan semata-mata, iaitu untuk menyempurnakan penubuhan USIA.
Tetapi sebelum itu, perlu juga disebut peranan belakang tabir tiga persatuan Islam di Sabah – Persatuan Islam Putatan (PPP), Persatuan Islam Tawau (PIT) dan Persatuan Islam Sabah (PIS) – kerana permuafakatan dan kesepakatan pemimpin ketiga-tiga persatuan itulah yang telah merintis jalan kearah penubuhan USIA.
Bertindak atas kesedaran hendak menyatupadukan masyarakat Islam di Sabah, pemimpin ketiga-tiga persatuan itu kemudian menemui Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, yang ketika itu menjadi Ketua Menteri Sabah, untuk memberi mandat kepada beliau bagi mencari jalan bagaimana hendak menubuhkan sebuah persatuan Islam yang lebih jitu dan mampu menyatupadukan masyarakat Islam di seluruh Sabah.
Menurut buku itu, Pendaftar Pertubuhan meluluskan pendaftaran USIA pada 10 Oktober 1969.
Demikianlah antara catatan yang dipaparkan dalam Sinar Perjuangan USIA, sebuah buku terkini terbitan USIA, mengenai sejarah penubuhan dan perjuangan USIA.
Buku setebal 180 muka surat itu ditulis oleh Emin Madi, seorang wartawan veteran yang telah berkecimpung dalam dunia kewartawan sejak 70-an lagi..
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bin Mohamad, telah merasmikan pelancaran buku itu bersama dengan sebuah lagi buku ‘Back To The Al-Quran’ tulisan Ustaz Abuhuraira Abdurrahman, sempena Perhimpunan Agung Tahunan USIA di 1Borneo 14 November lepas.
Selain itu, ‘Sinar Perjuangan USIA’ juga memaparkan memaparkan tentang kejayaan gerakan dakwah besar-besaran USIA di awal tujuhpuluhan, dimana lebih 50,000 saudara baru telah memeluk agama Islam.
Antara pemimpin Sabah yang terawal memeluk agama Islam ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Tan Sri Donald Stephens, yang memilih nama Muhammad Fuad Stephens dan Menteri Pengangkutan Persekutuan Dato Ghani Gilong.
Ekoran kejayaan gerakan dakwah USIA itu telah membawa kepada penubuhan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 21 Julai 1971.
Menurut buku itu, kemuncak perjuangan USIA ialah dengan kelulusan Sidang Dewan Undangan Negeri pada 23 September 1973 yang meluluskan peruntukan baru dalam Perlembagaan Negeri, iaitu menjadikan Islam agama rasmi Negeri tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni di mana-mana tempat dalam negeri.

Buku tersebut turut memaparkan ‘suka duka’ perjuangan USIA, terutama sekali selepas Kerajaan USNO tumpas pada pilihanraya umum negeri 14 April 1976.
Paling menyedihkan ialah apabila Yang DiPertua USIA, Tun Datu Haji Mustapha bin Harun terpaksa melepaskan jawatan itu pada 13 Mei 1994 atas sebab kesihatan.
Dalam surat peletakan jawatan itu, Tun Datu Mustapha sempat memberi nasihat dengan berkata: ‘insan yang hidup haruslah membuat kebajikan kepada agama dan masyarakat Islam.’
Timbalan Yang Dipertua USIA, Haji Sakaran Dandai (kini Tun) kemudian mengambil alih jawatan Yang Dipertua USIA beberapa hari kemudian.
Ketika ditemui baru-baru ini, Tun Sakaran bersyukur kerana hasrat USIA menerbitkan buku mengenai sejarah penubuhan dan perjuangan badan Islam itu akhirnya tercapai.

“Buku (Sinar Perjuangan USIA) ini sangat penting sebagai satu dokumentasi sejarah penubuhan dan perjuangan USIA untuk menegakkan syiar Islam serta mengangkat maruah dan martabat masyarakat Islam.
“Kebimbangan saya ialah masyarakat Islam, terutama sekali generasi muda dan akan datang, mungkin lupa tentang sejarah tanah air, terutama sekali mengenai nasib dan keadaan masyarakat Islam di Sabah semasa zaman pemerintahan penjajah.
“Buku (Sinar Perjuangan USIA) ini patut dimiliki dan disimpan oleh orang-orang Islam supaya ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” kata Tun Sakaran.
Sinar Perjuangan USIA, yang kini dalam pasaran, turut memuatkan gambar-gambar para pemimpin pengasas USIA, termasuklah Dato Haji Mohd. Kassim bin Haji Hashim, Tun Mohd. Said Keruak, Dato Habib Ab Rahman, Dato Haji Mohd Yassin Hj Hashim, Datuk Salleh Sulong, Dato Harris Mohd. Salleh, Dato Lokman Haji Musa dan Dato Dzulkifli Abdul Hamid.
Turut dimuatkan ialah gambar-gambar Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (Pengasas) USIA dan mantan-mantan Setiausaha Agung USIA.

No comments: