Jumaat, 1 Januari 2010

Catatan tahun berganti tahun di Likas

Tags


Lembar tahun 2009 telahpun tertanggal.Kini gerimis membasahi halaman awal tahun baru 2010.Tetapi semakin dewasakah kita dalam menafsir usia yang semakin meningkat tetapi berkurang.Meningkat angkanya tetapi makin berkurang jumlahnya.
Rasanya masih banyak yang tertangguh dan tertunda.Tapi jikalau saya dapat menyempurnakan "sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah,Tuhan sekalian Alam" seperti yang diikrarkan lima kali sehari itu, itu akan memadai dalam menggapai harapan tahun ini.
Pada penghujung tahun,diambang 2010, kami membuat sedikit kelainan dalam menyambut pergantian tahun yang biasanya disambut dengan gegap gempita.Tiada bunga api, yang nyalanya meskipun cantik tetapi sifatnya sementara,dan tidak mampu menerangi jiwa kami.Kali ini, kami mengajak orang untuk merenung ke dalam diri masing-masing.Tetapi bukan dengan khutbah melainkan mengajak mereka berpuisi.
Puisi pastilah boleh mengubat jiwa kita.Kerana itu,majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Likas itu amat bermakna. Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang merayakan ulangtahunnya yang ke20 tahun ini telah membina kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkasa budaya, bahasa dan sastera dalam usaha pembinaan negara bangsa.
Kali ini, UMNO Sepanggar yang dipimpin saudara Jumat Haji Idris telah menjayakan majlis pengucapan puisi cinta negara diambang 2010.Majlis yang dianjurkan oleh Biro Kebudayaan,Kesenian dan Warisan UMNO Sepanggar yang diketuai saudara Jamrin Haji Wahid dan Biro Politik Wanita UMNO dengan kerjasama IPS dianggap berjaya memulakan sesuatu yang baru bagi kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid turut menyampaikan puisi yang menarik.Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin juga tampil membacakan puisi.Antara pembaca puisi yang sudah lama tidak muncul di pentas tapi kali ini membaca puisi ialah Jati Ejan,Datu Masdan Nurasin, Sharif Asmawan Sharif Doki, Laliman Haji Ahmad.Suara muda diwakili oleh Zhamriee Gulam Rasul, Ampuan Awang. Namun puisi yang dibaca oleh Mohammad DSP Ahmad Ayid mengenang jasa Tun Mustapha amat menyentuh.
Bagaimanapun, puisi yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Jumat Idris bertajuk Aku Bimbang Aku Khuatir karya Prof.Dr.Wan Moh Nor Wan Daud meninggalkan kesan kepada para hadirin kerana ia mampu mengajak hadirin untuk merenung nasib bangsa. Jumat memang sangat sesuai untuk membawakan puisi itu.
Lagu puisi Kumpulan Heritage yang membawakan dua lagu puisi dan sajak juga turut memeriahkan acara. Acara tarian Pakiring dari Rukun Tetangga Kampung Tebobon dibawah pimpinan Ideris Majani, Kumpulan IgalIgal dari Kampung Cenderamata Dua di bawah pimpinan Haji Hashim dan Kumpulan Penari Manuk-manuk Limbukun dari Kampung Gusung dibawah pimpinan puan Normah memberikan persembahan terbaik mereka.Tidak kurang menariknya ialah Persembahan Koir Satu Malaysia Biro Kebudayaan UMNO Sepanggar, dan nyanyian lagu patriotik oleh Palimbang Brunei, Awang khamis dan ramai lagi. kehadiran Timbalan Ketua Bahagian, Yakub Khan, Setiuasaha Bahagian, Razali Haji Razi, Mentog Aru, Ustaz Ramli Ungking,Saidon Haji Kadis,Ketua Kampung Likas, Abd Mumin Rasam, Awang Lamin, Awang Bebing dan kenamaan lain amatlah bererti. Kehadiran penulis seperti Mat Congo, Jasni Yakub,
Majlis pengucapan puisi itu cinta negara itu,yang diadakan bagi menyambut 2010,mudah-mudahan mampu menumbuhkan minat generasi baru, mengukuhkan jati diri mereka dan mengisi n nilai nilaikesedaran akan kebenaran,keindahan, keharmonian,persaudaraan,kekitaan dalam jiwa mereka.

2 comments

Tahniah! Nampaknya perubahan sambutan tahun baru dengan sulaman seni sastera sungguh menarik sekali...

salam tahun baru abg naddin teww bah..