Tuesday, December 15, 2009

Lima Rukun jadi panduan transformasi Kimaragang

LIMA RUKUN JADI PANDUAN TRANSFORMASI KIMARAGANG
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Pertubuhan Kimaragang Malaysia (Kimaragang) dilancarkan dengan rasminya Ahad lepas di Dewan Kampung Mosolog Tandek. Majlis pelancaran yang diadakan dengan meriah itu disempurnakan oleh Mejar Kehormat Abdul Latiff Kandok dan turut dihadiri tokoh-tokoh pemimpin Kimaragang antaranya mantan Ahli parlimen, Datuk George Sangkin, Mantan Ahli Parlimen Haji Madina Unggut, mantan ADUN, Haji Omar Majun, Haji Zulkifli Majun dan pemimpin-pemimpin lain.
Masyarakat Kimaragang di sekitar Tandek memenuhi Dewan Kg Mosolog untuk menghadiri majlis pelancaran pertubuhan itu yang disifatkan sebagai fasa baru dalam sejarah bangsa Kimaragang untuk melangkah ke hadapan menuju visi bangsa Kimragang yang bersatu padu, maju dan menarik.
Mejar Kehormat Abdul Latiff Kandok yang juga penasihat Pertubuhan Kimaragang Malaysia yang berucap sebelum memalu gong pelnacaran menyatakan rasa gembira kerana penubuhan pertubuhan itu oleh agen-agen perubahan iaitu individu-individu yang telah timbul kesedarannya bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk bangsanya supaya setanding dengan bangsa lain
"Saya percaya ramai agen perubahan di kalangan bangsa Kimaragang namun, tatkala ramai dari mereka yang terus bergiat dalam kegiatan-kegiatan sukarela, namun tidak kurang yang terpaksa mengundur diri kerana kritikan-kritikan yang tidak berasas yang berpunca dari hasad dengki dan sangkaan yang bukan-bukan yang kononnya menggugat kepentingannya sama ada dalam politik atau kepimpinan kepimpinan lain," katanya.
Pertubuhan Kimaragang Malaysia membuat keputusan yang bijak untuk melakukan sembangan atas pendirian bahawa sebagai pegawai kerajaan atau ahli perniagaan mereka mempunyai sedikit idea atau pendapat untuk disumbangkan kepada bangsa Kimaragang.
Beliau menggesa supaya bangsa Kimaragang menyokong sepenuhnya Deklarasi Trong Soko yang dihasilkan agen perubahan dan memandangkan deklarasi yang memuatkan 22 perkara itu, maka Pertubuhan Kimaragang Malaysia telah mengangkatnya sebagai perjuangannya.
Deklarasi ini berfokus kepada tujuh perkara iaitu kepimpinan, perpaduan, pendidikan,bakat, warisan, sosioekonomi dan jalinan bestari menampakkan apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan
Katanya, Bangsa Kimaragang yang bersatupadu membawa makna bahawa semua lapisan masyarakat terutamanya golongan terpelajar, bijak pandai dan pegawai kerajaan bersatupadu berfikir dan bertindak bagi kemajuan bangsa ini.
Beliau berkata, bangsa Kimaragang yang maju membawa makna bangsa Kimaragang menikmati kemajuan dari semua aspek seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan, politik, pertanian, kebudayaan, kesenian dan pelancongan,
Selain itu, bangsa Kimaragang yang menarik pula membawa maksud dunia mengiktiraf keunikan-keunikan bangsa Kimaragang.
Bagaimanapun beliau menyifatkan Pertubuhan Kimaragang Malaysia adalah masih bayi, cantik pada pandangan mata kita, dengan visinya yang jelas serta fokus perjuangan yang bertepatan dengan keperluan bangsa Kimarangan yang kita sayangi.
Abdul Latiff berkata, visi pertubuhan ini adalah bernilai tinggi kerana mampu membawa kebaikan kepada bangsa Kimaragang.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia, Haji Janathan Kandok memperincikan lima rukun Kimaragang yang sepatutnya menjadi panduan kepada masyarakat Kimaragang untuk mentransformasi menjadi sebuah bangsa yang besar.
Bangsa Kimaragang yang mendiami Tandek hingga Pitas berjumlah sekitar 100,000 orang itu, katanya, mestilah punya kehendak mahu bersatu.
"Memang kita akui, bangsa Kimaragang sudah hebat, tapi apa yang kita mahu ialah kehebatan bangsa Kimaragang yang terbangun oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dipertingkatkan lagi supaya bangsa Kimaragang muncul sebagai bangsa yang besar di dunia.
"Mungkin ada yang bilang, pada masa ini bangsa Kimaragang belum bersedia sebab masih ada kelemahan dan kekurangan, masih ada kimaragang yang miskin, buta huruf, memiliki tanah yang terbiar.Namun apakah kita menunggu sehingga semua Kimaragang menjadi hebat barulah kita bersedia menjadi bangsa yang besar," katanya.
Beliau bertanya, apakah masyarakat Kimaragang berani menamakan daerah Tandek sebagai Daerah Kimaragang atau N5 Tandek sebagai N5 Kimaragang?
"Jika kita teragak-agak menjawabnya, itu mungkin petanda bahawa minda kita masih belum merdeka sepenuhnya atau masih takut-takut bersuara," katanya.
Tiga syarat untuk menjadi minda yang merdeka ialah pertama bahawa kita memnag ada bumi sendiri tempat berpijak, kita mesti sedar bangsa kimaragang ingin bersatu dan mesti ada mekanisme yang kuat untuk gerakkan perjuangan bangsa Kimaragang, katanya.
Rukun Kimaragang adalah panduan untuk memimpin Wilayah Kimaragang.Jika kita pimpin bangsa ini dengan rukun yang tidak tepat maka bangsa ini tidak dapat dibangunkan mengikut keperluan sebenar bangsa ini dan negara Malaysia.Rukun ini adalah sumber menetapkan perjuangan yang tepat bagi bangsa Kimaragang.
Untuk menjadi pejuang bangsa Kimaragang yang berkesan, perjuangan di peringkat wilayah Kimaragang hendaklah ditetapkan oleh bangsa sendiri berpandukan kepada rukun yang ditetapkan sendiri oleh bangsa Kimaragang.
Hal ini perlu dilakukan supaya perjuangan tetap selari dengan kehendak bangsa Kimarang dan perjuangan negara.
"Kesinilah kita semua harus menuju Mendirikan satu Wilayah Kimaragang di atas kesatuan bumi Kimaragang dari Pitas hingga ke Tandek.
"Saya yakin, apabila kita sudah tetapkan Wilayah Kimaragang maka mulalah kita bercakap: Rupanya Sungai Pukaan adalah sungai Kimaragang.
Rupanya tangon Odu Om Kokian adalah sastera rakyat Kimaragang.Rupanya, bunga Saradan adalah bunga rasmi Wilayah Kimaragang. Rupanya, burung turipos adalah burung rasmi Kimaragang
Selepas ini, jika gunung-gunung, banjaran-banjaran, tasik-tasuk besar dan jalan-jalan utama di Wilayah Kimaragang belum ada namanya maka marilah kita namakan dengan nama yang hebat, katanya sambil menambah, ia perlu dilakukan sebagai simbol kewujudan bangsa Kimaragang di bumi sendiri.
Nama-nama yang hebat itu yang diangkat dari nam pemimpin-pemimpin lalu akan menghubungkan Kimaragang sekarang dengan Kimaragang zaman lampau.
"Dengan cara ini, bangsa Kimaragang tidak akan hilang di dunia.Dengan cara ini, ketuanan bangsa Kimaragang di bumi sendiri lebih nampak dan berwibawa," katanya.
Kehendak mahu bersatu atas nama bangsa Kimaragang dan Wilayah Kimaragang adalah rukun pertama untuk memimpin wilayah Kimaragang.Marilah kita namakan rukun pertama ini sebagai nasionalisme Kimaragang
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya Kimaragang tidak mengecilkan skopnya kepada Chauvinisme, sehingga percaya bangsa Kimaragang adalah bangsa yang paling pintar jika dibandingkan dengan bangsa lain.
"Ingatlah bahawa Wilayah Kimaragang hanyalah satu bahagian kecil saja dari Bumi Malaysia! Jangan kita berdiri di atas Kepercayaan bahawa bangsa-bangsa lain dalam Wilayah Kimaragang tidak sama taraf dengan kita. Jangan berkata, bahawa bangsa Kimaragang yang terbagus dan termulia, serta meremehkan bangsa lain.
"Kita harus menuju perpaduan Malaysia dan persaudaraan dunia.Kita bukan saja mesti mendirikan Wilayah Kimaragang yang merdeka mindanya, tetapi kita mesti menuju pula kepada kekeluargaan bangsa-bangsa lain di Malaysia dan di dunia.
"Ini membawa kita kepada rukun kedua iaitu Internasionalisme Kimaragang.Internasionalisme Kimaragang tidak dapat hidup subur kalau tidak tumbuh di dalam nasionalisme Kimaragang.
Demikian juga internasionlisme Kimaragang tidak dapat hidup subur kalau tidak hidup dalam internasionlisme Kimaragang kerana keduanya tidak dapat dipisahkan.
Rukun Internasionlismne Kimaragang akan membawa bangsa Kimaragang, bangkit menjadi bangsa yang besar, merentasi sempadan, wilayah dan negara. Maknanya, pada mulanya pentas kita ialah Wilayah Kimaragang. Kita menjadi hebat diatas semangat kebangsaan Kimaragang.
Apabila tiba saatnya kehebatan kita melimpah dan perlu pentas baru dan besar maka bangsa ini bergerak kepada internasionalisme Kimaragang yang berpentaskan antarabangsa
"Maknanya, jika sangop dan batad kita menggunung seperti Nabalu maka Sangop dan batad Kimaragang akan dieksport ke Amerika Syarikat, biar orang putih rasa kita punya sangop dan batad.Baru dia orang tahu betapa sedapnya sangop dan batad kita, mungkin lebih sedap dari apple," katanya.
Jika kepimpinan Kimaragang diperlukan di luar negara, apa salahnya jika salah seorang dari kita menjadi Duta Besar atau Menteri Luar.Semuanya ini menjadi kenyataan jika nasionalisme KImaragang terbangun terlebih dahulu
Katanya, Rukun Ketiga Kimaragang ialah Perwakilan Kimaragang
"Wilayah Kimaragang bukan satu wilayah untuk satu orang, bukan satu wilayah untuk satu golongan tetapi kita tetapkan wilayah semua buat semua.
Katanya, definiasi pemimpin bangsa Kimaragang hendaklah diletakkan semula kepada makna sebenar
Maksud sebenar pemimpin Kimaragang ialah memenuhi keperluan bangsa Kimaragang di bawah pimpinannya
"Ertinya sesiapa juga memainkan peranan pemimpin dalam Wilayah adalah umpama Jambatan yang menghubung dan menyampaikan kepada pihak berkuasa keperluan sebenar semasa dan masa depan bangsa Kimaragang," katanya.
"Maknanya disamping memenuhi keperluan semasa, pemimpin mesti rasa, nampak, dengar, hidu keperluan bangsa Kimaragang di masa depan.
Apabila saya bercakap tentang masa depan, saya tidak merujuk kepada satu atau dua tahun akan datang.Sebenarnya saya merujuk kepada masa depan generasi muda Kimaragang.
"Di bawah rukun ini, pemimpin tidak menunggu rakyat datang kepadanya, mengadu, merayu, minta kasihan tentang keperluannya sebaliknya pemimpin berganding bahu dengan pegawai Daerah membangunkan Wilayah Kimaragang. Rukun perwakilan utamakan semangat gotong-royong iaitu mitatabang. Dengan mitatabang, apa yang patut dibangunkan pasti membangun," katanya.
Apa yang diimpikan tetap menjadi kenyataan kerana dalam mitatabang tersembunyi kuasa kebaikan yang boleh menghancurkan kegagalan yang merugikan bangsa kimaragang yang kita sayangi, katanya sambil menjelaskan dengan mitatabang, pemimpin bangsa Kimaragang merancang untuk berjaya.
Ingatlah bahawa, jangan kerana sesuatu itu nampak mudah berjaya kita biarkannya begitu saja kerana kita percaya sesuatu yang nampak berjaya itu akan berjaya akhirnya.
Ini adalah anggapan yang salah kerana jika niat sesuatu bangsa untuk berjaya tidak mendapat pimpinan yang terancang atau lambat dicapai.

Oleh itu kita mestilah Mitatabang dalam melakukan kebaikan untuk bangsa Kimaragang
Tegasnya, rukun perwakilan ini menjamin bangsa Kimaragang mencapai impiannya menjadi bangsa yang merdeka minda, untuk menjadi bangsa yang besar di dunia.
"Apalah gunanya jika bangsa ini mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi, jika golongan miskin terbiar begitu saja.
Apalah gunanya bangsa Kimaragang ini menjadi begitu hebat sehingga pemikirannya merentasi sempadan antarabangsa, jika golongan miskin tidak mendapat pembelaan.
Apalah gunanya jika bangsa Kimaragang punya pemimpin yang hebat dengan agenda yang besar jika golongan miskin masih terabai.Impian kita ialah Wilayah Kimaragang yang menggembirakan semua golongan," katanya.
Oleh itu, Wilayah Kimaragang memerlukan rukun yang keempat iaitu Kesejahteraan Sosial Kimaragang.Kesejahteraan sosial Kimaragang maknya tidak akan ada kemiskinan di dalam Wilayah Kimaragang.
Inilah impian kita. Mungkin impian ini adalah impian semata-mata.mana mungkin keinginan ini tercapai? Sebenarnya, kita bukan bercakap tentang kekayaan Kimaragang.
Pada tahap ini, kita cuma bilang, tidak akan ada kemiskinan dalam wilayah Kimaragang.Kita tidak bilang, semua Kimaragang mesti jadi jutawan.Jika sekadar tidak miskin sahaja, maka itu bukan perkara mustahil dengan syarat kita ada rukun yang mentadbir isu ini, katanya.
Kita perlu rukun yang menjaga kepentingan golongan miskin Kimaragang supaya setiap kali pemimpin-pemimpin kita menetapkan agenda perjuangan, aspek kemiskinan bangsa Kimaragang tidak dilupakan.
Beliau juga berkata, bangsa Kimaragang hendaklah berpegang kepada rukun yang kelima iaitu percaya adanya Tuhan.Rukun kelima ini bukan saja menjadikan bangsa Kimaragang bertuhan tetapi masing-masing orang Kimaragang hendaklnya bertuhan kepada Tuhannya sendiri, mengikut kepercayaannya.
Marilah kita amalkan agama masing-masing, baik Islam mahupun Kristian dengan cara yang beradab iaitu hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira anutan agama.
Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti tarian pinakang, lagu-lagu tradisi dan moden, manakala pertandingan bolasepak dan tarik tali diadakan pada sebelah paginya.

No comments: