Friday, January 23, 2009

Sms kalang sama

Seorang kawan, saya kira orang politik, mengirim SMS kalang sama kepada saya pagi ini. Kalang yang berisi pengamatannya terhadap senario politik di Kota Belud atau mungkin luahan perasaannya terhadap apa kepimpinan politik di KB

kusut tali pengilah,
surud lugu ladu na
bong Salleh ara pedilah
poi tingka tawag na?

Anak sama ngedelah,
abis no sangul pedus
bong Salleh aras pedilah,
lantik no sob betius.

sangkan naku dundangan,
biduli kuli-kuli
nundak buah bambangan,
nia no engku tuli.

Cikgu S, Pulau Mantanani dan hempasan ombak

Cikgu S, Pulau Mantanani dan hempasan ombak


Sebenarnya saya tidak begitu mengenali Cikgu S. Saya hanya tahu beliau seorang pendidik yang pernah ditugaskan di Tungku, Lahad Datu dan pernah bertaruh nyawa apabila menjadi mangsa serangan mundu. Saya kenal beberapa ahli keluarga walaupun tidak begitu rapat. Seorang darinya,merupakan anak Taun Gusi yang paling awal menjejakkan kaki ke Universiti. Seorang lagi merupakan seorang pemuzik drum bersama-sama abang saya, Japdin, di awal tahun-tahun 80-an dulu.

Tetapi saya kenal cikgu S sebagai seorang pendidik yang sering ditugaskan di luar bandar, di daerah pedalaman, atau di kawasan terpencil. Sebelum bertugas di Pulau Mantanani, cikgu S pernah bertugas di SK Rampayan.

Saya tidaklah begitu mengikuti kariernya sebagai guru. Bagi saya, guru tetaplah seorang guru yang ditugaskan untuk mengajar muridnya sehingga menjadi manusia yang berguna. Mungkin cikgu S lebih dari itu, sekurang-kurangnya itulah pengakuan Pengerusi PIBG SK Pulau Mantanani, Alilullah Sabti.

Alilullah sanggup datang mengharung gelombang untuk menyatakan bahawa penduduk Pulau tidak mahu melepaskan Cikgu S berpindah ke daratan. Bahkan beliau sanggup membawa penduduk kampung untuk datang beramai-ramai semata-mata untuk diambil gambarnya bagi membuktikan bahawa penduduk enggan kehilangan cikgu S. Malah, Alilullah berkata, masyarakat Pulau itu mungkin tidak akan menghantar anak mereka ke sekolah, jika cikgu sabli digantikan.

Saya tidak tahu apa istimewanya orang ini. Tetapi menurut Alilullah dan beberapa penduduk pulau yang sempat saya hubungi, Cikgu S merupakan guru besar yang berjaya menaikkan imej sekolah itu.

"Sebelum ini, pencapaian UPSR di sekolah itu kosong peratus, tak ada yang lulus...semuanya gagal UPSR . Ia berlanjutan beberapa tahun...Sehinggalah cikgu S datang, angka kosong peratus itu berjaya dipecahkan," katanya.

"Kami rasa malu kerana sekolah di pulau ini hanya mendapat O peratus selama ini. Dengan kehadiran cikgu S, kami dapat mengubat rasa malu kami setelah dilabelkan sebagai sekolah yang tidak mempunyai prestasi baik. Kami bersyukur kerana akhirnya angka telur itu dapat dipecahkan.

Kami khuatir kalau cikgu S digantikan, guru besar baru itu tidak mempunyai komitmen seperti yang ditunjukkan cikgu S

Dua tahun lagi, cikgu S akan bersara. Sebenarnya beliau ditukarkan semula dari pulau itu kerana alasan kenaikan gred perkhidmatan. Lebih-lebih lagi, SK Pulau Mantanani dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM).

"Kami tidak mengerti mengapa cikgu S ditukarkan tiba-tiba," kata Alilullah. Bagi penduduk pulau, cikgu S bukan saja seorang guru kepada pelajar bahkan beliau juga pendamping dan pembimbing masyarakat. Walaupun hanya satu tahun lima bulan berkhidmat di pulau itu, beliau begitu disenangi.

Setiap petang beliau akan bersama masyarakat, berbual dengan mereka dan bersama-sama mereka menyelesaikan masalah.Malah sering pula menghulur bantuan tanpa diminta. Sekolah yang dulunya terkebelakang, berubah imejnya di tangan cikgu S. kalau dulu ada guru yang dikatakan tidak masuk kelas, tetapi ditangan cikgu S semuanya dapat diatasi.

Cikgu S tinggal di pulau itu bersama penduduk kampung. Beliau khabarnya pulang sebulan sekali atau sebulan dua kali. Malah jika ada orang mantanani, ada pelajar dari mantanani yang melanjutkan pelajaran menengah di Kota Belud, cikgu S akan menunggu dan menghantar mereka hingga ke sekolah. Tambahan melalui cikgu S lah, pelajar-pelajar sekolah itu banyak mendapat bantuan.

Saya tahu bahawa guru yang ditugaskan di luar bandar mendapat elaun kerja hidup susah. Tetapi apalah sangat jika dibandingkan dengan khidmat yang diberikan kepada masyarakat. Saya jarang mendengar ada guru seperti ini. Mungkin hanya ada dalam novel Lasykar Pelangi, novel tentang dunia pendidikan di sebuah pulau yang jauh, pulau Belitung, yang kini sedang popular di Indonesia.

saya kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Cikgu S untuk mengajar di pulau itu, ketika ramai pendidik yang lain enggan ditugaskan di luar bandar, apalagi di pulau meredah gelombang. Jika begini kesungguhan dan komitmen guru terhadap pelajar, mutu pendidikan kita akan bertambah cemerlang. Saya teringat tokoh-tokoh seperti Aminuddin Baki. Saya teringat guru-guru sewaktu di sekolah dahulu.

Pulau Mantanani boleh dihubungi sejauh perjalanan tiga jam menggunakan bot nelayan.Jika menggunakan bot laju, perjalanan biasanya mengambil satu jam. saya tidak tahu apa kesudahan episod ini. Penduduk kampung begitu beria-ia mempertahankan cikgu s. Kalau cikgu S masih di pulau, ertinya beliau mengingkari arahan, dan setiap arahan boleh dikenakan tindakan tatatertib.Padahal beliau naik gred.

Saya tidak dapat menghubungi cikgu S walaupun saya pernah meminta nombor telefonnya daripada seorang rakan karib. saya tidak tahu apa sikapnya, sama ada suka atau sebaliknya dengan pertukaran ini. Saya belum dapat bercakap dengannya. Apa yang saya tahu penduduk pulau begitu sayangkan beliau, sehingga enggan melepaskannya. Mereka tidak mengerti cikgu S dipindahkan kerana kenaikan gred dan beliau tidak layak lagi mengajar di sekolah itu. Khabarnya begitulah.

"Kalau orang suka kita, mereka akan memperkatakan yang baik-baik tentang kita," kata seorang guru saya, yang kebetulan pernah mengajar di pulau itu. "Kalau orang tidak suka kita, mereka akan asyik mencari kesalahan kita," katanya lagi.

Thursday, January 22, 2009

Masihkah kau ingat, kalang sama

Masihkah kah kau ingat, serangkap kalang sama. Kalang sama, iaitu puisi suku kaum Bajau yang tinggi nilainya.

"Teintum ka ni kasi
zaman tiung pasi"

Masihkah kau ingat, sewaktu dahulu berjalan menyusur pantai.

teintum ka ni dudun
zaman ngelingka tanjung?


Masihkah kau ingat sewaktu berada di negeri orang?

zaman ngelingka selang
iko sedi nilawang

zaman kita merantau
banyak tepian yang kita lalui

Ini sebuah pantun untuk pemimpin sejati.

manuk-manuk embukun
ta jata kayu laga
mentedu iyu nugun
gempita alam dunia

Sekadar catatan, masihkah kau ingat kalang sama?

Catatan mengenai Pinjaman Hassin


Pinjaman Haji Hassin merupakan salah seorang pemimpin dan tokoh Iranun yang paling dihormati. Beliau merupakan antara pelopor kebangkitan politik Iranun sejak 60-an. Tokoh ini pernah berjuang dalam Parti PEKEMAS pimpinan Tan Sri Dr.Tan Chee Koon. Beliau pernah bergiat dalam Parti United Sabah Action Party (USAP). Pinjaman pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah.
Beliau kini merupakan Ahli UMNO di Kota Belud. Bersama MA Rahman yang bertindak sebagai pengarang, Pinjaman pernah menerbitkan suratkhabar Warta Sabah pada tahun 1971 di Pulau Pinang.
Tokoh ini amat berjasa kepada masyarakat Iranun dan Kota Belud. Tanpa peranan yang dimainkan oleh Pinjaman, masyarakat Iranun mungkin tidak mengalami sejarah kebangkitan.

Siager dan piaren dan masakan ampap

Selepas mengunjungi Sushi King kelmarin, saya terfikir banyak perkara. Alangkah baiknya jika orang-orang kita juga mempopularkan makanan tradisinya. Orang Iranun boleh berbangga dengan siager dan piaren, atau kalau bagi orang Bajau di KB disebut pancak yu dan ampap itu. Banyak yang boleh diperkenalkankepada dunia luar. Kalau tak percaya, carilah buku Iranun Traditional Cooking karangan Hadijah Teng Abdullah (Puan Sri Hadijah Teng-isteri Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia) yang diterbitkan di Singapura sekitar tahun 80-an dan kini boleh didapati di Perpustakaan.


Saya sendiri, kalau rindukan kampung, sering mencari restoran yang menjual makanan tradisi.
Alangkah baiknya kalau lebih banyak gaya masakan Iranun dan Bajau yang diperkenalkan di hotel-hotel supaya ia turut dicicipi oleh pelancong.

Saya sendiri sudah lama tidak memasak. Sekarang mungkin tidak pandai lagi walaupun saya sering memberitahu isteri bahawa saya akan memasak untuknya. Isteri saya tak percaya walaupun saya katakan bahawa saya paling pandai buat telur mata sapi untuknya.

Wednesday, January 21, 2009

Sushi king dan kenalan bloggers

Sushi King, sebuah restoran makanan Jepun yang terkenal membuka cawangannya di 1 Borneo kelmarin. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Texchem, Tan Sri Dato' Seri Fumihiko Konishi hadir sebagai tetamu kehormat dalam majlis itu.

Sejak beroperasi di negara ini pada 1995, Sushi King mempunyai 54 premis perniagaan termasuk tiga yang baru dibuka di sabah iaitu di 1Borneo Hypermall, City Mall dan Warisan Square.

Fumihiko berkata, lebih banyak cawangan akan dibuka dalam tempoh dua tahun akan datang. Beliau juga memberi jaminan harga makanan sama dengan harga yang ditawarkan di Semenanjung.

Walau bagaimanapun kelmarin, saya tak dapat menikmati makanan Jepun dengan berselera kerana sebenarnya saya terjanji dengan pakcik Iddrisa Marintan yang telah menunggu di KK sejak jam 12.00 tengahari padahal program di One Borneo hanya berakhir kira-kira pukul empat petang. Saya berasa bersalah dengan pakcik itu kerana saya tak menyangka akan membuatnya menunggu begitu lama.

Namun sempat juga saya mencicipi sedikit Tori karaage (deep fried chicken nugget), Okonomiyaki (japanese seafood pancake)m Edamame (green soyabeans) Ebi Tempora (deep fried prawn) Takoyaki (deep fried octopus ball), yakitori Tare (grilled chicken). Cuma saya tak larat makan, salmon sahshimi (raw salmon slices).

Apa yang agak menarik ialah untuk pertama kalinya, saya kira, para bloggers dijemput oleh sebuah syarikat besar seperti Sushi King untuk menjayakan majlis pembukaan restoran. Ini merupakan strategi yang amat tepat, oleh penganjur yang dapat memanfaatkan kehadiran bloggers untuk mempromosi makanan dan restoran mereka.

Saya fikir , jika ada acara serupa ini, para bloggers juga perlu dilibatkan untuk menentukan sesuatu maklumat atau promosi mampu diakses dimana saja kita berada. Peranan bloggers dalam dunia maya kini semakin diperlukan.

Alhamdulillah dalam kesempatan itu, saya dapat berkenalan dengan para bloggers seperti pengendali laman http://www.beautifulkk.com/,
dan Alice yang katanya menulis everything melalui http://www.alicetineann.com/ dan faisal yang mengendali blog http://www.pairacy.com/. Seorang lagi rakan bloggers ialah ali goldie yang juga mengelola blog www.aligoldie.com

Sunday, January 18, 2009

Rakan bloggers berpuisi untuk Gaza



Rakan-rakan bloggers juga turut menjayakan program Baca Puisi Amal Gaza. Yang berkopiah itu ialah saudara Yusuf Nur (Ucukpkun) http://yusufnur.blogspot.com yang juga menulis di kemsas@yahoogroups.com manakala seorang lagi bernama syafie atau pie http://a10-02.blogspot.com.
Seorang lagi rakan penulis, menulis dari Tashkent, sebuah kota di Asia Tengah, dengan menggunakan nama pena Aranam tersiar dalam antologi Luka Gaza.
Seorang lagi rakan Jalimik Sawatan menulis dari Kuala Lumpur, menggunakan nama Sukma Jasa. http://puisijalimiksawatan.blogspot.com.
Terima kasih atas sumbangan saudara-saudara.Terus menulis



Persembahan menarik dari BAHASA Sandakan




Persembahan dari Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Cawangan Sandakan. Seseorang sedang mengibar bendera palestin, seorang sedang memangku anak Gaza yang baru meninggal terkena bom manakala yang lain larut dalam duka nestapa melihat peristiwa itu.

Antologi Luka Gaza


Antologi Luka Gaza, terbit dalam jumlah yang agak terhad. Antologi puisi yang diterbitkan sempena Program Baca Puisi Amal Gaza di Jalan Pantai itu berjaya disiapkan dalam tempoh empat hari dan mengandungi puisi-puisi sebanyak 162 puisi dari rakan-rakan penulis dan penyair dari seluruh Sabah, Kuala Lumpur malah terdapat seorang rakan penulis dari Tashkent, turut menghantar puisinya sebagai tanda sokongan terhadap program itu. Terima kasih. Kelihatan Jair Sulai (tengah) Nandra (kanan) sedang menatap puisi Luka Gaza itu.

Rakaman peristiwa Majlis Baca Puisi Amal Gaza









Awang Karim Kadir, penyair, cerpenis dan tokoh teater yang tidak asing lagi di Sabah tampil ke pentas Baca Puisi Amal Gaza dengan bertenaga. Penyampaiannya menarik perhatian hadirin, satu waktu Karim membawa hadirin untuk marah, kemudian untuk berasa sedih, beras pilu dan kemudian menanyakan peranan pbb,oic, negara arab dalam menangani isu palestin. Puisinya yang lantang dan bersemangat berjaya menghidupkan program baca puisi itu.
Mujurlah, penyanyi lagu puisi Nurizs dapat meredakan suasana dengan lagu puisinya karya Zubir Ali. Lagu-lagunya memikat penonton untuk tidsak berganjak dari tempat masing-masing.
Nandra, seniman dari Kota Belud juga tampil membaca puisi dengan gayanya yang tersendiri. Begitu juga kak Ony, (Ony Latifah Osman) yang muncul di pentas dengan memakai pakaian wanita Kimaragang, dan melantunkan puisi menarik.
Ini antara rakaman peristiwa ketika Program Baca Puisi Amal Gaza.

Penyair Sabah berkongsi duka di Gaza










PENYAIR SABAH BERKONGSI DUKA DI GAZA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


MESKIPUN Gaza terletak ribuan kilometer jauhnya dari Sabah tetapi suara tembakan, raungan kepedihan,ratapan kesedihan, jeritan kemarahan di wilayah itu terdengar hingga ke Kota Kinabalu dan penyair dari seluruh pelusuk negeri berhimpun untuk menyatakan respon mereka terhadap kekejaman dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel terhadap warga Palestin.

Penyair dan penulis dari seluruh Sabah yang menyertai Majlis Baca Puisi Amal Gaza di Jalan Pantai bermula jam 10.00 pagi hingga jam 1.00 petang, 18 Januari, tidak melepaskan peluang untuk melontarkan perasaan mereka dalam bentuk puisi-puisi yang tajam, yang mengharukan, yang berisi kritikan dan luahan rasa marah terhadap tragedi yang menimpa Palestin, yang kini memasuki hari ke 23 kelmarin.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 1,203 warga Palestin mati termasuk 410 kanak-kanak manakala 5,300 orang yang lain tercedera dalam tragedi kemanusiaan itu.

Ahli Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang berhak mencabul nilai-nilai kemanusiaan yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia.

Katanya, program itu sangat bermanfaat kerana ia membuktikan keprihatinan dan rasa luka yang dirasai penyair melihat apa yang berlaku di Palestin itu.

"Tragedi yang berlaku di Palestin pasti melukakan insan tanpa mengira anutan, kaum dan keturunan. Rasa kemanusiaan kita sama. Semua insan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan.

"Tetapi apabila manusia hilang kewarasan, hilang persepakatan, hilang perpaduan, hilang rasa permuafakatan,maka terjadilah apa yang berlaku di Gaza.

"Dan tidak mustahil jika kita sentiasa berpecah belah, bercakaran, bertelingkah dan bersengketa, apa yang terjadi di Gaza boleh berlaku dimana-mana," katanya ketika merasmikan program itu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Jasni Matlani, Timbalan Pengarah DBP Sabah, Hajah Asmiah Haji Ajamain, penulis-penulis dan penyair serta peminat sastera dari seluruh Sabah.

Majlis itu dianjurkan oleh BAHASA, Ikatan Penulis Sabah (IPS),Kelab Rekreasi Penerangan Sabah (KERPEN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

"Golongan penulis boleh menjadi pejuang dengan tinta kata untuk menentang ketidakadilan dan kezaliman. Apa yang dilakukan oleh kalangan penulis dan sasteawan di negeri ini dalam membantu rakyat Palestin yang jauh.

" Tetapi walaupun jauh, sesungguhnya, bagi saya ia bukan penghalang untuk mereka membantu dan menyatakan simpati terhadap segala penderitaan yang dialami, kerana tiada batas untuk nilai kemanusiaan sejagat yang mulia dan murni," katanya.
Beliau juga memuji usaha BAHASA dan IPS menerbitkan Antologi Puisi Luka Gaza yang berjaya disiapkan dalam tempoh empat hari, yang bukan sahaja menunjukkan simpati dan keprihatinan penulis dan sasterawan di negeri ini, terhadap penderitaan rakyat palestin tetapi juga menunjukkan bahawa sasterawan dan penulis juga peka terhadap persekitaran terutama yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar hukuman yang setimpal terhadap segala kekejaman yang dilakukan rezim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Jika kita tidak dapat mengubah kekejaman dan kezaliman mereka dengan senjata, dan tenaga kudrat empat kerat, tidak mampu meghantar senjata dan bala tentera untuk membebaskan mereka, maka doa dan apa juga yang dilakukan akan dapat membantu meringankan beban dan penderitaan mereka.

Penyair Jasni Matlani, yang juga Yang Di Pertua BAHASA menyebut peristiwa Gaza uitu sebagai malapetaka kemanusiaan dan kehadiran penulis dari seluruh Sabah, antaranya dari Sandakan, Kudat, Kota Belud, Pitas, Beaufort dan sebagainya membuktikan keprihatian penulis. "Kalau dulu saya mentgatakan penulis tak perlu jadi pejuang tetapi sekarang, saya menyatakan penulis adalah pejuang kemanusiaan".

Antara penyair yang sempat melantunkan suara dalam majlis itu ialah Awang Karim Kadir, Brahim Abdul Samad, Nandra Hitong, Mohd.Nor Makbul, Hajah Asmiah Haji Ajamain, Mohd.Almiey Md.Ali, Alfazli HMS, Yusuf Nur, Syafie Muhamad,Mohd.Daud Insun, Mohd.Fuad Bebit,Ony Latifah Osman, Jair Sulai dan lain-lain lagi. Selain itu, Mabulmaddin Haji Shaiddin menyanyikan lagu puisi, Gadis Kecil itu dan penyanyi Norizs dan persembahan menarik dari BAHASA Cawangan Sandakan.

Paling menarik ialah persembahan baca puisi Luka Gaza Dua oleh Datuk Haji Mohd.Arifin Arif berduet dengan isterinya, Datin Hajah Lenny Natasha.

Sambil menonton persembahan puisi dan lagu-lagu puisi, program yang dihoskan oleh penyair Jasni Yakub, Karim Gullam dan Ony Latifah Osman berjaya menarik perhatian orang ramai yang turut mengambil bahagian dengan menderma untuk Tabung Kemanusiaan untuk Gaza.






Saturday, January 17, 2009

Saya suka gambar ini.

Saya suka gambar ini.Ketika kami duduk di tengah taman.Ia memberi inspirasi.Dan Kami akan menaiki tangga-tangga kejayaan selepas ini.

Gambar ini diambil beberapa tahun lalu, di taman berdekatan Lapangan Terbang Tawau Lama.
Tak ada tempat lain dapat dituju untuk merehatkan fikiran. Lalu kami memilih untuk menyusur jalan pertemuan sebelum menaiki tangga-tangga.
Kelihatan Sitti Mehran dan Ahmad Fawzan. Seorang lagi berada di rumah, Ahmad Aliff farhan.


Sedikit catatan mengenai BKI













Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) ditubuhkan pada tahun 2000. BKI ditubuhkan ditengah-tengah kebimbangan masyarakat Iranun di sabah yang khuatir akan kehilangan bahasa dan budaya mereka.


Kerana itu, BKI ditubuhkan dengan dukungan yang kuat daripada Tan Sri Datuk Pandikar Amin Haji Mulia, OKK Haji Masrin Haji Hassin , Haji Asmad Ruddin, Haji Tambaku, cikgu Ismail Sidik dan Mabulmaddin Haji Shaiddin di peringkat awal. Masih ramai lagi tokoh Iranun terlibat dalam proses penubuhan persatuan ini, yang tidak sempat dicatatkan di sini.


Tetapi saya fikir, orang yang paling instrumental dalam program-program yang dijalankan BKI ialah Cikgu Ismail Sidik. Bahkan saya berani menyatakan bahawa tanpaperanan cikgu Ismail, BKI mungkin tidak begitu diingati sejarah.


BKI juga terhutang budi kepada Jim dan Karla Smith, yang bertungkus lumus membantu BKI dalam bidang penyelidikan, perkamusan dan penerbitan. Jim dan Karla banyak berjasa, juga tidak dilupakan sumbangan yang diberikan oleh Lukus a Mama, Prof.Howard Mc Kaughan.


Masih sangat banyak yang perlu dikaji, diteliti, diselamatkan, dijaga, dipelihara dan dipulihara. Saya sengaja menampilkan beberapa gambar di pejabat BKI di Kampung payas-payas, iaitu di halaman kediaman cikgu Ismail.

Sa kadaremetan a kulintangan a tring (seperangkat kulintangan dari bambu) mungkin kini sudah lenyap dalam budaya Iranun kini. Begitu juga lesung kini telah dilindas oleh zaman.
Apabila perlengkapan dan peralatan ini ditelan oleh kemodenan, ia juga turut menelan istilah-istilah bahasa dan budaya Iranun.


Pantun Muddin mengenai Perang Pandasan


Menarik juga dicatat mengenai pengamatan saudara Muddin mengenai sejarah. Berikut ini, pantun beliau mengenai episod perang Pandasan.

Sharif sagap Ilanun tagap,
pandai begandang tigad-tigad,
putus niat ngogo jihad,
kaley Nabi merintah pungkad.

Sharifah Sebi dundangan kasih,
yangtoo denakanti Datu Rosmadi,
semangat embo' dokon api,
kaet sampai kedemburian ari.

Lagi pantun Saudara Muddin

Terima kasih sekali lagi kepada Saudara Muddin kerana bermurah hati mengirimkan semula pantun-pantun yang pernah dikirimkannya dahulu.

Zaman alastu kiti dembua'
bia' nampung momon meterua'
endiam betong temboro' embua',
ngakun nanggup baruno pelua'.

Mitu mejunya melua' kelelagan,
belo'belo makhluk bantugan,
nikmat kurnia buat ni lembugan
lupo amanat Khalifah Tuhan.

Manusia lupo perjanjian asalai,
teko mejunya gangaubebeli,
lupo ngabdi Tuhan `Aali,
hutang betumpuk nia' tepali.

Dongsab kam kaang bedawa,
nuut tomod masa benyawa,
walhal kitab taan nyerua'
metarang kisah masa arwah.

Kata saudara Muddin, pantunnya belum memuaskan. Tetapi bagi saya, pantun-pantun ini sukar dicipta, sekiranya kita tidak punya perbendaharaan bahasa bajau yang kaya selain pemahaman agama yang mendalam.

Mungkin ada yang bertanya siapa saudara Muddin. Beliau merupakan mantan Yang Di Pertua ABIM Sabah. Seorang aktivis dan ilmuan yang kini sedang menyiapkan disertasi kedoktorannya di UMS.

Menjenguk seni kalang sama


Di tengah kesibukan atau paling tepat di tengah penantian menunggu keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu, yang menurut banyak sumber, kemungkinan besar akan dimenangi oleh PAS kecuali sesuatu yang ajaib berlaku di saat-saat akhir, saya mencari sesuatu di luar persoalan politik. Ini kerana setiap kali sms dan deringan telefon berbunyi, hampir kesemuanya menanyakan perihak keputusan pilihanraya kecil nun jauh di seberang laut cina selatan itu, padahal saya tidak berada di sana.

Kami bercerita mengenai lagu mesang-mesang kadi, yang menurut denakan Sabli Nasi dinyanyikan oleh S Yamin.Saya pernah bertemu dengan S Yamin itu sewaktu centre point mula-mula dibuka dahulu. Kini beliau entah dimana.

Lagu Beriu niup ku pasan itu, katanya berasal dari Lagu Melayu dan diterjemahkan Isma Alip ke dalam Bahasa Bajau. saya kurang tahu.

Percakapan kami meloncat kepada persoalan kalang sama. Mengenai seni kalang sama, yang mana hanya mereka yang menguasai bahasa bajau klasik boleh memahaminya dengan baik. Ini kerana dalam kalang sama itu terdapat falsafah hidup orang bajau, world view dan sebagainya.

"Oya ba doom na, kemut tigom-togom na". Sepotong kalang sama yang bertanyakan mengenai khabar. Doom ertinya perasaan. kemut tigom-tigom na membawa tersenyum seperti mulut tiram? . Tigom bermakna tiram. Jadi bayangkan bagaimana tiram tersenyum. Ini membuktikan kehidupan orang Bajau dekat dengan dunia maritim.

Saya teringat serangkap kalang sama`Dela si tutum puti', magligutum pandai bi'. Yang ertinya lebih kurang lidah tidak bertulang boleh menuturkan apa saja.

Kata denakan sabli, banyak lagi bahasa bajau yang diserap ke dalam bahasa Melayu. Antaranya tunu' ertinya bakar.Istilah ini dipinjam untuk penunu, istilah sains. neba atau Teba-teba yang ertinya berjalan mencari sesuatu di pinggir pantai. Boleh dibahaskan kemudian mengenai perkataan ini. satu lagi perkataan ialah sabau, istilah yang bermaksud menumpahkan kuah ke nasi. Istilah ini, kata denakan Sabli, tiada dalam bahasa Melayu.

Kalang sama memang menarik. Menurut Ayah saya, kalang sama menggunakan bahasa klasik sama dari sumber asalnya. paling menarik ialah penemuan bahawa 70 peratus bahasa kalang sama itu adalah bahasa yang dituturkan orang kegayan, (jama mapun) yang menunjukkan bahawa mungkin dahulu, orang bajau yang kini banyak sukunya itu menggunakan satu bahasa. Boleh dibincangkan kemudian.

Saudara Lamsari, orang Kota Belud itu, juga mempunyai kalang sama dan mengirimkannya kepada saya.

Biduk kupang kalam na,
nungiling dudun kasi,
minsan lungai salam na,
lindu tintom masi.

biduk ertinya perahu. Kalam ertinya tenggelam. lungai ertinya hilang. tintom ertinya masih diingati.

Saya masih gagal menterjemah kalang sama ini. Ada sesiapa yang ingin mencuba.

Friday, January 16, 2009

Saudara Muddin dan pantunnya

Saya fikir saudara saya, Muddin Beting mempunyai bakat besar untuk menjadi seniman. Beberapa ketika yang lalu, beliau mengsmskan saya beberapa pantun dalam Bahasa Bajau dalam genre kepahlawanan. Patriotisme cintakan tanahair. Beliau juga pernah mengirimkan saya pantun Bajau ketika Aidil Fitri bertema agama. Pantun-pantunnya menarik dan istimewa terutama bagi mereka yang mengerti bahasa Bajau. Saya dapat merasai keindahan bahasa Bajau ketika menerima pantun-pantunnya itu.

Ini salah satu pantunnya, yang dikirimkannya kepada saya dalam bahasa Bajausama.

`daau manusia boi bejanji,
embunda' Tuhan ngakun naksi,
mitu mejunya antap ngelanji,
dokon selegundi bekat tangsi'.

Pantun yang luar biasa. Saya mencari kata-kata yang tepat untuk menterjemahnya mengikut bunyi rimanya tetapi saya masih belum padanan dan susunan bahasa yang tepat.
Pantun yang pendek ini berkisah mengenai manusia yang berjanji di hadapan Tuhan untuk menuruti perintahNya. Kita boleh menafsir bahawa manusia sering lupa janjinya, walaupun pernah bersaksi di hadapan Tuhan.
Manusia yang hanya menghabiskan masanya di dunia dengan `ngelanji', adalah seperti layang-layang yang putus talinya.

Kalau direnung-renung, pantun ini banyak maknanya.

Perihal buku Pelayaran dan Perniagaan Nusantara

Saya baru selesai membaca buku tulisan seorang sejarawan yang tidak asing lagi di Indonesia, Adrian B.Lapian bertajuk Pelayaran dan Perniagaan Nusantara Abad Ke-16 dan Ke 17. Adrian B.Lapian , sebagaimana tertulis di kulit buku ini, merupakan seorang sejarawan yang banyak memberikan sumbangan penting dalam sejarah Indonesia dan Asia Tenggara. Lahir pada 1 September 1929 di Tegal, Jawa Tengah , beliau menulis dalam pelbagai tema kajian sejarah tetapi beliau terkenal sebagai ahli sejarah maritim yang tersohor. Antara bukunya ialah Orang Laut-Bajak Laut-Raja Laut: Sejarah Kawasan Laut Sulawesi Abad XIX yang dianggap telah membuka lembaran baru dalam penulisan sejarah maritim di Nusantara.

Antara bukunya yang merik juga ialah `Pertempuran Laut, Perbudakan dan Kolonialisme', `Dari Sriwijaya,Majapahit sampai Orang Bajau Sejarah dan Laut Indonesia', Tambora dan Krakatau sejarah Bencana Alam.

Buku karangan Adrian B Lapian ini sangat menarik terutamanya kepada peminat dan pengkaji sejarah.Melalui buku ini, kita dapat tahu betapa nenek moyang kita dahulu amat pintar dan pandai membuat pelbagai jenis kapal, dari yang 10 tan kepada kapal 100 tan. Melalui buku ini juga kita mengetahui bagaimana ehwal pelayaran dan perniagaan dan mengenali kota-kota pelabuhan di rantau ini pada abad ke 16 dan ke-17. Dan yang penting sekali ialah kita dapat mengetahui mengenai tipu helah Portugis dan Belanda sehingga mereka menjajah Nusantara demi rempah, cengkih dan lada.

Bahawa nenek moyang kita dahulu memiliki ilmu pelayaran, teknologi membuat kapal yang besar memang tidak dapat diragukan lagi.Bahkan Portugis dan Belanda pada mulanya menggunakan juru pandu dari kalangan pelayar peribumi untuk berlayar di kota-kota Pelabuhan di Nusantara.Kita mengenal kota Melaka, Aceh, Jambi,Bangka, Jepara, Banten, Sunda Kelapa, Surabaya, Maluku, Ternate, sebagainya.

Entah bagaimana rasanya jika kita hidup pada abad-abad yang lalu.Mampukah kita menjadi Raja Ali Haji, Tun Seri Lanang dan sebagainya untuk menceritakan kegemilangan yang lama?

Kepada DBP Sabah, kami berterima kasih


Sejak DBP Sabah memberikan ruang untuk dijadikan pejabat kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan Ikatan Penulis Sabah (IPS) maka seringlah kami menjadikannya sebagai tempat pertemuan penulis. Kami bersyukur dan berterima kasih diatas kesudian dan keizinan pihak DBP Sabah terutamanya pengarahnya, Zubaidi Abas yang sudi memberikan ruang kepada persatuan penulis di Ibu Negeri. Ruang pejabat itu terletak di pejabat Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga ADUN Membakut.
Kelihatan Jasni Matlani (kiri) Yang Di Pertua Bahasa bersama Jasni Yakub (tengah) Setiausaha Satu IPS dan Sahirul Amirul (staff IRIS Publishing) berbincang mengenai persediaan baca Puisi Luka Gaza yang akan diadakan 18 Januari ini di Pentas SugarBun di Gaya KK.
Gambar ini dirakamkan selepas kami mengadakan perbincangan mengenai antologi Luka Gaza yang akan diterbitkan kelak.

Tuesday, January 13, 2009

Syatila

Lagu ini saya dengar ketika berada di sekolah menengah dulu. Ketika itu dunia baru dikejutkan dengan peristiwa sabra dan syatila. Lagu ini begitu syahdu. Tetapi hanya selepas membaca tulisan seorang doktor wanita, Dr. Ang, barulah saya dapat memahami peristiwa yang dilukiskan Zubir Ali dalam lagu puisinya ini.

`Gadis kecil itu telah bertahun

Dicengkam derita

Di khemah pelarian

Yang menjanjikan duka cita



Munir tak mengenal erti cinta

Telah kering airmata

Menangisi kematian

Ayahbonda dan saudara



Pada suatu senja

Langit Syatila

Menyaksikan pembunuhan

Anak kecil dan wanita



Munir ditembak

Penuh luka

Tapi ajalnya
belum tiba

Kerna Tuhan mengasihi dia



Peristiwa hitam 17 September

Telah menjadi bukti

Sempurnalah kekejaman

Suatu bangsa yang sombong dan hina


Karya Zubir Ali.


Lagu ini ditujukan kepada mereka yang pernah mendengar lagu ini. Saya mengutipnya dari laman blog http://kickdefella.wordpress.com/.

Ayah dan ibu

`Ayah dan ibu
ayah dan ibu
itulah permulaan kami
dapat melihat bulan dan matahari.'

Saya teringat betapa syahdunya lagu Sudirman ini, ketika anak saya, Sitti Mehran menyanyikannya.

Saya terkenang ayah dan ibu di kampung.

Monday, January 12, 2009

Catatan di tengah keharuan dan kecelaruan

i. Percakapan kami petang itu berkisar tentang pencerobohan Israel di Gaza. Mengenai sms-sms yang dikirimkan meminta supaya burung ababil diturunkan dan supaya sms itu dikirimkan kepada tujuh orang kali tujuh x tujuhx7 , dimana jumlahnya yang berdoa mencapai 5.8 juta orang. Bayangkan di tengah kesengsaraan palestin pun, masih ada yang tergamak mengambil kesempatan dan peluang keuntungan sms atas dalih agama. Dan betapa lemahnya pemikiran umat, sekiranya sms-sms sebegitu dikirimkan dari orang ke orang, seolah-olah jika lebih banyak sms yang dikirimkan, barulah doa mereka didengar oleh Tuhan.Mereka seolah terlupa bahawa antara sifat Tuhan alah Maha Mendengar, dan meskipun keluhan seekor semut, atau sekecil-kecil hama pun, dapat didengari oleh Allah.S.W.T.

ii. Sikap Hugo Chavez sepatutnya dipuji dan dicontohi kerana menghalau diplomat Isreal keluar dari negaranya. Sepatutnya tindakan sebegini dicontohi banyak negara. Cadangan Dr.Mahathir dan Dr Chandra, JUST, agar Israel dibawa ke Mahkamah Antarabangsa ada asasnya. Sepatutnya, Ehud Olmert diheret ke mahkamah di The Hague, supaya jenayah kemanusiaan yang dilakukannya dapat diadili.

iii. Saya teringat bagaimana Mahatma Ghandi mengalahkan kolonialisme di India. Oleh sebab itu, saya bersetuju dengan pandangan Ramos Horta agar tindakan kekerasan itu dilawan dengan cara Mahatma Ghandi. Janganlah keganasan dilawan dengan keganasan kerana ia boleh melahirkan keganasan yang lain. Sayang sekali kerana tidak ada tokoh seperti Nelson Mandela lahir di Palestin.

iv. Mari kita sama-sama memboikot barangan Amerika. Kita berharap ia dapat menukar dasar luar negara itu dan menghentikan sokonganmereka terhadap Israel.

v. Seorang sahabat saya di Batam, penyair Hasan Aspahani, yang juga wartawan terkenal di Batam menulis beberapa buah puisi yang menarik mengenai Palestin di blognya http://sejuta-puisi.blogspot.com.
Saya perturunkan beberapa puisinya yang menarik mengenai senario di Gaza.


PALESTINA, 4
:untuk seorang petani di Gaza

DI utara Gaza, kami hanya petani biasa
menanam stroberi untuk Eropa, tomat ceri
bagi Turki, kembang krisan untuk Yordan.

Kami tak betah pada Fatah, kami cemas Hamas.

Kami para petani biasa, di Utara Tanah Gaza.
Stroberi kami paling manis se-Palestina!

Dulu, kebun jeruk kami punya. Manis sarinya,
kuning emas kulitnya. Dulu, sebelum datang
buldozer Israel menumbangkan segalanya.

Lalu, kami hanya boleh menanam apa saja
asal jangan menyaingi petani-petani Yahudi.

Maka kami tanam stoberi termanis se-Palestina,
tapi tak kan pernah kami rasakan lagi manisnya.

Dua helikopter Apache Israel melanggar batas
yang mereka gariskan sendiri, menghancurkan
ladang kami, mereka bilang di sana disembunyikan
peluncur roket Qassam, padahal kami hanya
menanam stoberi, tomat ceri dan kembang krisan,

Padahal kami bukan Fatah, bukan Hamas, karena
kami cuma petani, di Utara Gaza, Palestina kami.

Lihat, potret anak kami, teramat muda ketika
ia mati. Dan, dua belas adiknya, tak lagi mau
mendengarkan kami, tak mau lagi belajar mengaru
dan menyiang gulma di ladang stroberi kami.

Kalau kami dengar suara roket diluncurkan,
kami kira seorang anak kami telah merakit
dan meluncurkannya. Kami berharap roket itu
tidak menghantam ladang-ladang jeruk di tanah
subur di seberang batas sana, tanah kami juga.

Hasan Aspahani

Palestina, 3
.: untuk PM Israel Ehud Olmert

APA yang Tuan bayangkan sebagai neraka?

Jalan-jalan di Kota Gaza terbelah jejak tank
tebal bermantel baja, sehabis menembak mati dua
lelaki Palestina di truk syarikat bangsa-bangsa

Gandum di truk itu sampai juga ke sisa kota,
sudut yang belum kau kirimkan api ke sana.
Mereka tak tahu darah siapa yang menembus
lalu beku menggumpal di serbuk sereal putih itu.

Tuan, apa yang Tuan bayangkan sebagai neraka?
HASAN ASPAHANI

Palestina, 2

APA yang diajarkan pada mereka
anak-anak murid di sekolah Jabalia,
ketika pasukan tempur Israel
menggerimiskan bom di sana?

Mungkin mereka sedang menghafal doa
agar terbentang payung di langit Gaza.

HASAN ASPAHANI

Saya minta maaf kepada bung HAH kerana mengutip puisi palestin ini tanpa keizinannya. Saya terharu membaca puisi-puisi mengenai palestin ini.

vi. Di tengah-tengah keharuan, kecelaruan, kesedihan, kepedihan, kengerian dan kemarahan ini, hati saya terhibur sedikit apabila bercakap dengan isteri yang dikasihi dan anak-anak.

Dan apabila Sitti Mehran, 8, mengucapkan terima kasih kerana membelikannya buku, saya cepat rasa terharu. Juga apabila Ahmad Fawzan, 3, bercakap dalam bahasanya yang tak mudah difahami, juga mengucapkan `terima kasih abah kerana membelikan kereta dan kapal terbang.

Hati saya gembira dan terhibur, meskipun saya hanya membelikannya kereta dan kapal terbang mainan.

Saturday, January 10, 2009

KaryawanWs kumpul tandatangan untuk siaran TV guna bahasa tempatan


KOTA KINABALU: Persatuan Karyawan Waris Sabah (KaryawanWS) kini sedang mengumpul tandatangan daripada rakyat di negeri ini untuk menyokong siaran Tv dalam bahasa Kadazan,Dusun, Murut dan Bajau di RTM.

Tony Francis Gitom berkata pihaknya telah memulakan kempen tandatangan di seluruh Sabah untuk mendapatkan sokongan penuh rakyat dalam rancangan siaran TV untuk Bahasa Kadazan, Dusun, Murut Dan Bajau di Radio Televisyen Malaysia.

Setakat ini kami telah berjaya mengumpul lebih 20,000 tandatangan dan kempen itu akan diteruskan hingga Februari nanti.

Rombongan AJK Persatuan KaryawanWS merancang untuk berjumpa dengan Menteri Penerangan bagi menyerahkan senarai penuh kempen tandatangan dan kertas cadangan mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, satu majlis makan malam akan diadakan pada 23 Januari ini di Dewan KDCA Penampang bertujuan untuk majlis pelancaran kempen itu dan mengumpul dana untuk menghantar rombongan ke Kuala Lumpur.

Untuk keterangan lebih lanjut, boleh menghubungi Jimmy Medimbun Etim di talian 019-8410017

Kamim meminta supaya orang ramai memberikan sokongan dalam usaha murni demi memperjuangkan hak-hak istimewa Kadazandusun Murut dan Bajau dan mengangkat martabat bahasa itu.


Menurutnya, pada November 1967 Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah mengumumkan kesudian Kerajaan Negeri sabah untuk membaiyai penubuhan TV Sabah sepenuhnya. Perdana Menteri keyika itu telah bersetuju dengan rancangan tersebut.

Ekoran itu, Projek Pembinaan Pusat Pemancar TV di Lawa Mandau telah dimulakan pada hujung 1969.

Siara percubaan pertama di pantai barat Sabah dimulakan pada 21 Disermber 1970 dan disiarkan setiap Isnin jam 2.00 petang hingga 4.00 petang menerusi Pemancar Lawa Mandau.

Seterusnya Isnin Rabu dan Jumaat dipancarkan pada jam 7.00 hingga 9.00 malam. Selepas itu, pusat pemancar giat dibina di Lawa mandau, Layang-Layang, sandakan, Kudat, Tawau dan Lahad Datu,

Pada 28 Disember 1971, Tun Datu Mustapha telah merasmikan TV Malaysia Sabah.Siaran bermula pukul 6.00 pertang hingga 11.00 malam dengan jumlah masa siaran 35 jam seminggu atau lima jam setiap hari

Ketika itu, terdapat tiga sumber utama rancangan yang disiarkan di TV malaysia Sabah iaitu rancangan dari Kuala Lumpur, Rancangan Terbitan Tempatan dan Filem Luar Negara

Penerbitan Rancangan Tempatan Sabah dalam siaran ini ialah Rancangan Harian, Kuntum Harapan, Bingkisan Irama, Sumbangsih, Sabahria dan lain-lain. Rancangan Pembangunan Dari Puncak Kinabalu, Gerak Maju dll.

Rancangan Hal Ehwal Semasa, Intisari Sukan, Kebudayaan, Ceramah Agama dll
dan Rancangan Siaran Langsung seperi Belia Tempatan, Bintang-bintang RTM, Harijadi TYT, Membaca Al-Quran dll

Pada 30 Ogos 1975, Siaran Rangkaian Pertama dari KL menyambungkan siaran pada jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi iaitu Sabah dan Sarawak

pada 31 Ogos 1975., TV Malaysia Sabah dengan rasminya menjadi Rangkaian 3 dan memulakan siaran jam 6.00 petang hingga 9.00 malam selama tiga jam

pada 31 Ogos 1983, Siaran Rangkaian Kedua TV Malaysia mula diterima di Sabah dan Sarawak.Siaran Rangkaian 3 telah dipendekkan dari jam 7.00 malam hingga 8.00 malam

Pada 1985, rangkaian 3 telah dihentikan perkhidmatan siarannya dan Stesen TV Sabah hanya menjadi pusat pemberita menghantar ke KL untuk Siaran TV Satu

Pada 2008 Berita Wilayah hanya bersiaran selama 15 mint dan pada 2009, konsep Breakaway News hanya siaran selama 30 minit saja

Baca Puisi GAZA 18 Januari di KK








BACA PUISI GAZA 18 JANUARI INI

KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Kelab Rekreasi Jabatan Penerangan Sabah (KERPEN) akan bergabung tenaga untuk menjayakan Baca Puisi Gaza yang akan diadakan di Taman Datuk Chong Tian Vun, berdekatan Bangunan Mahkamah Tinggi, bermula pukul 10 pagi hingga jam 1.00 tengahari.

Program baca puisi itu, diadakan sebagai respon penulis dan penyair di negeri ini terhadap kekejaman dan pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza yang bukan saja membunuh ribuan anak-anak Palestin malah turut memusnahkan nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri, kata Yang Di Pertua BAHASA, Jasni Matlani.

Katanya, program itu dijangka diserikan dengan pembacaan puisi anti perang dan anti keganasan, lagu-lagu puisi dan persembahan monodrama oleh penyair-penyair dan artis terkemuka di negeri ini.

Menurutnya, orang ramai juga dipelawa untuk turut serta menjayakan majlis yang dianggap penting itu kerana ia bukan saja memaparkan keprihatinan golongan penulis dan penyair malah keprihatinan rakyat Sabah keseluruhannya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Program Baca Puisi Gaza di Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, di sini tengahari kelmarin.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin, Pengerusi KERPEN, Warman Wagiman, Timbalan Yang Di Pertua Bahasa, Ramli Jusoh.

Jasni berkata, mereka yang berminat untuk membaca dan mendeklamasi puisi dalam majlis itu juga boleh menghubungi urusetia pada majlis itu.

Beliau juga berkata, orang ramai juga boleh menderma dalam Tabung Amal Palestin untuk meringankan beban derita yang ditanggung rakyat Palestin.

Sementara itu, penulis dan penyair di seluruh negeri masih berpeluang untuk menghantar puisi mereka selewar-lewatnya Isnin 12 Januari untuk diantologikan dan akan dilancarkan pada 18 Januari nanti.

Puisi-puisi yang yang bertemakan tragedi yang menimpa rakyat Palestin hendaklah dihantar kepada penyelanggara melalui emel bahasa_sabah@hotmail.com atau kelab maya Sastera Sabah melalui alamat kemsas@yahoogroups.com, atau mengirimkan puisi mereka melalui abdnaddin@yahoo.com.

Penulis, penyair dan peminat sastera yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ailin Nor melalui talian 0148559095, Jasni Matlani (0168115593), Sukor Haji Usin (o128330664), Jasni Yakub (0198094249) dan Abd.Naddin Hj.Shaiddin (0168351013).



Thursday, January 8, 2009

Gambar ketika PPJ melawat Sabah


Gambar ketika Persatuan Penulis Johor (PPJ) melawat Sabah dua tahun lalu.Gambar dirakamkan di kaki gunung Kinabalu

Kenangan di Malubang2











Rombongan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan Ikatan Penulis Sabah (IPS) melawat Kampung Malubang Pitas, kampung yang melahirkan penyair Sabah yang terkenal, Jair Sulai




Kenangan di Malubang











Saik DS, AilinNor, Ramlie Ar, penyair yang pintar memancing ikan ketika dalam perjalanan ke Malubang, Pitas. Kami berlabuh di tengah laut..Kelihatan juga Oka De, Anin dan Amir dan Awie bergambar di Pantai Malubang




Di mana anda berada di tengah rimba kotaraya ini?









Siapakah yang sanggup menterjemah mimpi penghuninya?

berlabuhdi tepi kuala


Sebuah kontras
kehidupan kita

perahu di tengah sungai


di tengah sungai
kesepian mengalir
masuk ke dalam perahu

Ahmad Fawzan, hari lahirnya dan kek spiderman













Anak saya, Ahmad Fawzan menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ketiga pada 6 Januari. Tetapi majlis kesyukuran hari lahirnya itu, kami buat lebih awal pada 2 Januari kerana kebetulan waktu itu, saya masih bercuti di Tawau.






Majlis itu sendiri agak meriah, dengan kehadiran sanak saudara dan handai taulan dan jiran-jiran di sebelah rumah. Fawzan gembira sekali melihat kek spidermannya. Anak saya begitu meminati spiderman sehingga minta dibelikan baju spiderman, kasut spiderman, beg spiderman dan bantal spiderman dan sebagainya, asal ada gambar spidermannya.


Spiderman adalah tokoh superhero baginya. Cerita spiderman yang pada mulanya bermula daripada cerita komik di Amerika pada tahun 1930, dari genre kepahlawanan ini, telah diangkat menjadi filem dan diminati kanak-kanak di seluruh dunia. Spiderman, superman, batman dan kini cicakman.


Kanak-kanak menyukai spiderman kerana mereka menganggap spiderman adalah pahlawan atau tokoh yang boleh memecahkan masalah di dunia ini. Spiderman hidup dalam alam imaginasi mereka untuk menyelamatkan dunia. Superhero yang boleh meloncat dan melompat dari bangunan ke bangunan atau langit yang tinggi untuk melawan segala tindak kekejaman di bumi khayalan mereka.


Barangkali kanak-kanak sukakan spiderman kerana spiderman boleh terbang, kuat, perkasa dan boleh melawan apa saja tindakan musuh mereka.


Sementara kita-kita ini, mungkin sudah kehilangan kekuatan dan semangat untuk melawan segala bentuk kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang anti kemanusiaan.


Saya fikir kanak-kanak dimanapun mereka berada perlu dilindungi dan disayangi dan dikasihi, bukan oleh spiderman, tetapi oleh kita sendiri.