Tuesday, March 31, 2009

Tiup api tak menyala, makan sirih tak merah

Orang-orang tua kita dahulu kaya dengan ungkapan yang indah dalam menyatakan sesuatu perkara. Umpamanya jika seorang lelaki berkenan dengan seorang wanita, maka dia akan bertanya apakah bunga di jambangan sudah ada yang punya. Wanita diibaratkan bunga, suatu yang indah.. Ini sekadar satu contoh kerana banyak lagi contoh yang lain, yang boleh kita berikan.
Jadi, apabila rombongan pihak lelaki berkunjung ke rumah pihak perempuan, untuk merisik, maka banyaklah cara yang digunakan untuk menyatakan tujuan kedatangan mereka.
Biasanya setelah mendengar tujuan kedatangan pihak lelaki maka pihak perempuan akan berkata,
"patutlah, tiup api tak menyala, makan sirih tak merah, sebab ada orang yang datang membawa hajat".

Ungkapan tiup api tak menyala mungkin tidak lagi dapat dibayangkan oleh generasi kita sekarang yang hanya mengenali dapur gas. Orang dulu-dulu menggunakan kayu api sebagai bahan bakar untuk memasak. Ada istilah unggun, api pendiangan, tungku dan sebagainya.
Apabila orang diserbu oleh kemodenan, maka ungkapan bahasa ibunda yang indah pupus lenyap bersama datangnya peradaban baru.
Oleh sebab itu, ungkapan tiup api tak menyala, mungkin agak sukar untuk dibayangkan oleh generasi sekarang. Apatah lagi makan sirih tak merah, kerana orang sekarang tidak lagi makan siri kecuali ibu-ibu kita di kampung. Ungkapan yang tidak digunakan lagi ini perlahan-lahan akan hilang dalam kamus hidup kita. Budaya hilang, bahasa kita pun hilang. Dan kini berapa banyak sudah bahasa yang hilang di dunia. Bahasa segalang di Sarawak, tinggal berapa orang lagi penuturnya? Ada beberapa bangsa di dunia, kini tidak lagi mempunyai bahasa mereka. Bahasa menunjukkan bangsa. Apalah makna bangsa kalau tidak ada bahasanya?
Berbalik kepada persoalan tadi, betapakah indahnya ungkapan tiup api tak menyala, makan sirih tak merah bagi menunjukkan bahawa itulah tandanya ada orang yang datang membawa hajat untuk meminang.
Sekarang ungkapan tiup api tak menyala itu, masih relevankah lagi di tengah-tengah masyarakat kita yang menggunakan dapur gas? Jika jawabannya tidak, maka perumpamaan itu akan hilang dan lenyap kerana tidak digunakan lagi. Tetapi jika jawapannya masih relevan, maknanya kita menggunakan ungkapan yang tidak lagi menjadi sebahagian daripada budaya kita kerana tidak ada (kalaupun ada tidak ramai lagi) yang menggunakan kayu api untuk menyalakan dapur mereka.
Sekarang kita meniup api tak menyala, kerana memang tidak ada kayu apinya.

Saturday, March 28, 2009

Dont worry, be happy, kata Anthony.

"Don't worry, be happy" Anthony Joon mengingatkan saya sekali lagi dalam pertemuan kami yang kedua. Itulah petua Anthony untuk rahsia panjang umur. Anthony,84, merupakan pesara Jabatan Keretapi yang saya temui secara kebetulan ketika diperkenalkan oleh Robert Foo, awal Februari lalu.
"Dont think too much," katanya lagi. Paling penting jaga kesihatan kerana `health is wealth'. Saya tak dapat menyangkalnya, apatah lagi melihat orang tua ini masih kelihatan cergas dan suka bersenam atau bersiar-siar di ibu kota. Lebih baik berjalan-jalan menghabiskan hari tua, jangan duduk saja di rumah, menghadapi wajah isteri yang marung.Marung-saya hampir lupa istilah bahasa Melayu sabah yang bermakna bermuka masam.Jangan suka bermuka masam.Tersenyumlah, hari depan sentiasa terbuka untuk kita.
Saya kagum dengan beliau, bila menggoreskan beberapa pengalaman dulu, sewaktu baru enam bulan kerja dengan gaji 20 ringgit sebulan, Jepun datang menduduki Sabah. Belanja sebulan tiga ringgit, katanya kerana kopi harganya dua sen. Dobi, cuci kain dan seterika upahnya 50 sen.
Kami mengajaknya duduk minum, tapi beliau enggan kerana katanya sudah minum.

Ketika itu saya sedang menanyakan pengalaman pakcik Laham Kahar, 71, mengenai pengalamannya berunding dengan Abu Sayyaf (bersama Haji Abd.Muar Haji Mulia) di Jolo ketika menyertai rombongan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia dan Datuk Mohd.Shafie Afdal merundingkan pembebasan tebusan warga Malaysia yang ditawan di Pulau Sipadan satu waktu dahulu. Pakcik Laham seorang yang sangat berpengalaman. Beliau pernah bekerja sebagai anggota polis dan pernah menjadi kakitangan penguatkuasa di Majlis Perbandaran Sandakan.

"Dont worry, be happy" Dont think too much, health is wealth," kata Anthony meninggalkan kami.

Friday, March 27, 2009

Perlukah lagi etika kewartawanan? tanya mereka

Hari ini saya datang agak awal ke pejabat. Adik-adik pelajar komunikasi UMS telah menunggu di tangga Wisma KTS ketika saya sampai jam 9.35 pagi. Mereka mahasiswa yang bersemangat. Av-Christya Joacim @ Duakin,23 dari Kampung Lapai Keningau. Norafidah Mohamad Omar,23 dari Sepang Selangor. Shazareen Shafie, 21 dari Padang Besar Perlis, Nur Badriah Abd.Malik, 21 dari Bogaya Semporna dan Siti Nurainee Tahir Ahmad, 20 dari Tanjung Aru Baru.
Kalau hari biasa saya yang mewawancara, kali ini saya yang menjadi `mangsa' wawancara. Entah kenapa Sdr John Tambanan mencadangkan nama saya, sehingga bila Azmi (pelajar UMS juga) saya tidak dapat menolak.

Mereka ingin untuk mengetahui pendapat saya mengenai kod etika kewartawanan. Masih perlukah kod etika kewartawanan diamalkan oleh media di negara ini? saya menjawab perlu. Kalau kita mematuhi kod etika kewartawanan sudah tentu tidak ada masalah. Dalam pengertian yang paling mudah,etika bermaksud jika anda memandu ikutlah peraturan jalanraya.Atau jika anda meletak kereta, letakkan di tempat letak kereta yang betul. Jika anda mematuhi peraturan, kereta anda tidak akan terbabas. Begitulah juga, jika anda seorang wartawan yang mengamalkan etika kewartawanan dengan betul, anda tidak perlu risau dengan cabaran.
Lapan kod etika yang digariskan untuk diikuti wartawan di malaysia wajar diikuti.

Tapi saya mengulangi bahawa kebebasan media tidak perlu dikekang dengan bermacam akta, yang dapat menghalang orang ramai daripada mendapat maklumat yang sebenar.

saya menyatakan betapa seorang wartawan perlu menyampaikan perkara yang `sadid' yang benar kerana di hari akhir kelak mereka akan dipertenggaungjawabkan terhadap apa yang mereka tulis.Mereka akan dihisab dan menerima hukuman jika kelak mereka didapati menyampaikan perkara yang tidak benar, dan tidak berasas kepada fakta.

"Paling penting, seorang wartawan hendaklah tunduk kepada kebenaran". Seorang wartawan perlu adil, berkecuali, tidak memihak, perlu menyampaikan perkara yang benar dan berasas fakta.
"Sampaikan perkara yang baik dan benar, sebab baik belum tentu benar,"saya katakan kepada mereka..
Banyak soalan berkisar dunia kewartawanan dan persuratkhabaran. Dan saya menjawab berdasarkan apa yang saya ketahui.
Dari soal kod etika, soal amalan media, soal media perdana, soal media tempatan, soal berita yang berbeza, soal paparazi, soal bagaimana wartawan bekerja, soal apa cabaran menjadi wartawan dan sebagainya.
Saya kira masih ramai yang lebih layak untuk memperkatakan mengenai dunia kewartawanan di negeri ini, tetapi hari ini entah kenapa mereka memilih untuk mewawancara saya.Sehingga kemudian saya terlupa mengajak mereka minum kopi.Tak apalah, lain kali.

Thursday, March 26, 2009

Azrone dan istilah baru

Sahabat saya,Mohd.Azrone Sarabatin menghubungi saya kelmarin untuk bertanya khabar.Lama tak berjumpa. Saya tertarik dengan kegigihannya menggali istilah-istilah baru untuk memperkaya khazanah bahasa Melayu. Satu ketika, ketika membincangkan pengaruh bahasa sukuan ke dalam bahasa Melayu, satu projek kajian yang dijalankan DBP KL, salah satu cerpennya Nembiluk menjadi salah satu sumber kajian kami.
Kelmarin Azrone menyatakan bahawa istilah sindrom stockholm mempunyai padanan dalam bahasa Bajau.Katanya sindrom stockholm boleh diterjemahkan menjadi pelemai galap?
Saya fikir ini boleh dibincangkan kerana setahu saya belum ada perkataan yang boleh menterjemahkan perkataan stockholm sindrom salam bahasa Melayu?

Sabah miliki ramai penulis?

Sambil minum dan makan goreng pisang di restoran Kak Tini, kami berbincang-bincang mengenai sastera. JM atau Jasni Matlani menyatakan bahawa Sabah memang mempunyai ramai penulis yang boleh bersaing dalam arus perdana. Ann Aishah, Noraini Osman, Ramlee Awang Mursid, Emin Madi, Nuraini Abdullah, Ruhaini Matdarin, Jessy Mojuru, dan ramai lagi penulis novel popular.
Sabah memang memiliki ramai penulis tetapi jarang diperkatakan di peringkat nasional. Jarang diperkatakan mungkin kerana kurang dikenali.Tapi bagaimana ia dikenali kalau tidak diperkatakan?

Catatan pendek mengenai Pena Alam

Saya terkejut bercampur gembira apabila seorang mantan penyelam skuba menghubungi saya untuk menghantar sajak yang dihasilkan di bawah lautan.Sajak dari bawah lautan? menarik.
Amat menarik. Kerana setakat ini belum ada orang menghasilkan puisi di bawah lautan.
Atau mungkin beliau bercanda kerana kini beliau hanya mantan penyelam skuba.
Namanya Pa al singkatan untuk Pena Alam, yang menurutnya nama pena yang digunakan sejak tingkatan enam. Kami pernah bertemu dalam program Pertemuan Penulis Sabah yang diadakan di Bingkor lebih sepuluh tahun yang lalu.Seingat saya tahun 1995?
Pa al kini bertugas sebagai pegawai kebajikan di Kudat. Kalau tidak silap saya dia bukan orang Kudat, bagaimana Pa al terlontar ke situ, mungkin punya cerita tersendiri. Atau mungkin dia memang berasal dari Utara tetapi saya yang tidak tahu. Jujur saya tidak ingat lagi wajahnya.Tetapi saya fikir beliau seorang penulis yang berbakat dan berpotensi untuk maju.
Apapun, kini beliau kembali menulis semula. Dan telahpun menghantar sajaknya yang pertama untuk disiarkan di Utusan Borneo. Saya begitu menghargainya dan berharap Pena Alam terus menulis.

Satu ketika bersama Datuk Hishammuddin

Ketika gambar ini diambil, Datuk Hishammuddin belum lagi menyatakan hasratnya bertanding Naib Presiden UMNO secara rasmi. Kami dipelawa untuk menginterviewnya selepas beliau melawat sebuah sekolah pedalaman yang terletak berhampiran sempadan Tuaran dan Penampang.
Dari kiri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, John Tambanan, saya, Datuk Hisham, Datuk Japlin, Kamarudin Liusin, Chris Maskilone dan rakan dari akhbar Cina.
Saya yakin Datuk Hisham begitu mengambil berat dan prihatin masalah pelajaran di Sabah (ini bukan kempen kerana perwakilan telahpun selesai mengundi jam 3.00 petang tadi di PWTC). Beliau banyak memberi peruntukan kepada Sabah.
Satu saja yang betul-betul tidak bersetuju dan terkilan ialah dasar PPSMI, yang saya fikir tidak perlu diteruskan dan saya fikir beliau perlu mendengar pendapat profesor, sasterawan negara, pakar-pakar dan lebih NGO Melayu yang minta dasar itu dihentikan.
Semoga beliau menang tetapi sesudah menang, beliau perlu bersedia mengkaji dasar PPSMI itu.

Wednesday, March 25, 2009

Kami berkemas kemas untuk pulang

"Kami telah berkemas-kemas untuk pulang kelmarin," kata Datin Hajah Ripah, isteri Datuk Haji Shuhaibun Yussuf. Tetapi penyakit beliau kambuh lagi, katanya ketika kami datang berziarah di Hospital Queen Elizabeth.
"Saya tanya dia, beliau tidak menyahut ", katanya.
Ketika kami menziarahinya, beliau sedang tidur.Irzan membukakan pintu mempersilakan kami masuk.Kami menyalami Bu Hajah dan bertanyakan khabar kerana hari itu kami baru tahu, beliau berada di hospital.
Beliau dimasukkan ke rumah sakit, hari Khamis untuk rawatan kimo. Keadaannya beransur pulih,malah beliau terlihat aktif,sering berjalan menaiki kerusi rodanya melawat dari katil ke katil. Para jururawat senang sekali padanya kerana beliau seorang yang suka bergurau.
Kerana beliau makin pulih, pihak hospital membenarkan beliau pulang.
"Tengah-tengah kami berkemas itu, sakitnya datang lagi," "Kata doktor itu fenomena biasa kesan kimo." kata Hajah yang terbiasa kami panggil `bu' itu.

Tidak lama kemudian kami -Saya, Ailin,Saik dan Jair minta diri untuk pulang. Hari sudah jam 11.00 malam.Kami tidak menyedari bahawa itulah kali terakhir kami dapat berjumpa Allahyarham sebelum beliau kembali ke hadratNya pada jam 2.50 pagi.

Saya menerima banyak sms sejak pagi memberitahu tentang kepulangannya tetapi kerana terbangun agak lambat, kami-saya, Cikgu Ramlie dan Mabul- sampai ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Papar ketika orang-orang mengaminkan doa.
Kami juga turut berdoa, supaya Tuhan Rabbul Alamin mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan orang yang soleh.
Dalam perjalanan pulang itu, Bu Hajah Ripah sempat membisikkan antara pesan terakhir arwah, supaya beritahu Dewan Bahasa. "Jangan bimbang nanti kami bagitau," katanya.

Budayawan itu sudah pergi. Beliaulah antara peribadi yang berpengaruh dan sentiasa memberi semangat, sama ada melalui percakapan kami atau surat-suratnya supaya saya menjadi wartawan yang benar-benar wartawan.Supaya saya berusaha menulis sebaik-baiknya untuk tatapan masyarakat, supaya saya menjadi wartawan beraniseperti A Samad Ismail dan Mochtar Lubis.
Banyak benar kenang-kenangan bersama tokoh sastera dan budaya, bapa pelindung kami ini. Kami sering bertandang ke rumahnya dan beliau akan menyambut kami dengan mesra, menganggap kami anak-anaknya yang lama tidak bersua.

Tapi jangan kita berjanji dengannya kerana kalau kita berjanji kita mesti menepatinya.Kalau berjanji jam 9.00 pagi, datanglah awal atau tepat jam 9.00 pagi.Kalau mengeja nama orang, eja dengan betul kerana mengeja dengan betul nama seseorang itu besar maknanya.

"Beliau sudah tiada, nanti kamu tidak singgah lagi kemari" katanya
"Nanti kami singgah juga.Ibu kan masih ada," kataku menghiburnya.

"Kami telah berkemas-kemas untuk pulang."Ternyata arwah pulang untuk selama-lamanya.

Menurut Bu Hajah, beberapa hari sebelum meninggal, Allahyarham sempat menyusun keratan-keratan akhbar seperti biasa. Mengemas-ngemas malah beliau suka bertanam bunga.
Kami menegurnya supaya tidak bersusahsusah menanam bunga kerana faktor kesihatannya.
"Kalau saya tiada, bunga ini tiada orang yang akan menanamnya," kata arwah.
Kini Pak Shuhaibun sudah tiada.Bunga ini siapakah yang akan menyiraminya?

Datuk Shuhaibun Yussuf telah tiada




BUDAYAWAN SABAH KEMBALI KE RAHMATULLAH

KOTA KINABALU: Budayawan Nasional, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, 74, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2.50 pagi kelmarin di Hospital Queen Elizabeth kerana menghidap penyakit kanser limpa.
Beliau meninggalkan isteri, Datin Hajah Ripah Haji Julang dan sembilan orang anak. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Papar, sejurus sebelum solat Zohor kelmarin.
Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif yang juga ADUN Membakut menyifatkan Allahyarham antara putera terbaik Sabah yang menjadi contoh kepada komitmen terhadap budaya ilmu.
"Buku-buku koleksi beliau menjadi rujukan pengkaji, penyelidik dan pelajar di nusantara," katanya sambil menambah "Perlu ada usaha membantu menjaga koleksi berharga itu".
Allahyaham menyimpan hampir 78,000 naskhah buku dan majalah dalam pelbagai genre manakala sebahagiannya telah diserahkan Arkib Negeri Sabah.
Yang Di Pertua BAHASA, Jasni Matlani, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada dunia sastera Sabah.
"Beliau adalah bapa kesusasteraan Sabah yang menjadi tempat rujukan ramai penulis muda dan sentiasa memberi sokongan dalam memajukan sastera Melayu di Sabah," katanya.
Sementara itu, Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) menyifatkan Allahyarham sebagai idola dan penasihat dan penyokong paling penting sehingga persatuan itu terus bergiat vergas.
Katanya, Arwah seorang yang gemar menghargai seseorang. "Sebagai seorang tokoh pemergiannya merupakan kehilangan yang amat dirasai. Arwah seorang insan biasa yang mesra dan tidak kedekut memberikan pandangan terhadap permasalahan budaya dan sastera tanah air"
Menurut Sukor, ribuan orang termasuk pelajar universiti, penulis dan pengkaji budaya telah berkunjung kerana Dangau Budaya menyimpan begitu banyak koleksi, artifak budaya dan bahan-bahan persuratan.
" Beliau telah meninggalkan sejumlah khazanah yg tidak ternilai banyaknya. Sewajarnya cita-cita arwah untuk menyimpan khazanahnya itu diberikan perhatian," katanya.

Seorang aktivis sastera, Ramli Jusoh yang juga Timbalan Yang Di Pertua Bahasa berkata, pemergian Datuk Haji Shuhaibun adalah satu kehilangan besar bagi negeri Sabah, terutama masyarakat budaya.

"Arwahlah `Kamus budaya" semasa hidup, terlibat secara langsung dalampenyelidikan dan penyuburan budaya etnik Sabah," katanya yang mula mengenali Allahyarham padatahun 1972.
Allahyarham pernah menerima Anugerah Budayawan Gapena, juga merupakan seorang sasterawan terkenal di negara ini.
Beliau dilahirkan pada 1 Januari 1935 di Papar dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Jepun, SRJK St Joseph Papar sebelum melanjutkan pengajiannya di Pusat Latihan Perguruan Menggatal dan kemudiannya di Maktab Perguruan Kent Tuaran.
Beliau pernah menjadi guru, pengetua sekolah manakala jawatan terakhir yang disandangnya sebelum bersara ialah Pengelola Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Selain itu, beliau pernah menghasilkan ratusan cerpen dan drama radio, novel dan sebagainya.
Atas sumbangan yang besar dalam dunia penlisan, beliau dianugerahkan Datuk pada 2003 manakala pada tahun 2002, beliau menerima Anugerah Tokoh Seni MAKUM 2002.Beliau merupakan penerima anugerah yang julung kali diperkenalkan di peringkat universiti di seluruh Malaysia.

Tuesday, March 24, 2009

Jalan-jalan pun `surveyor' juga

"Jalan-jalan di sekitar bandar, surveyor juga.General surveyor," kata seorang kenalan, Fred Kilos. Beliau seorangyang mudah mesra dan banyak bergurau. Saya bertanya kepada berapa jenis surveyor. Ada beberapa jenis surveyor antaranya land surveyors, quantity surveyor, building surveyors property consultancy dan valuation surveyors. Sebelumnya saya bercerita dengan seorang lagi rakan surveyors, YH Chin. Seorang yang mudah dirapati dan kami bercerita banyak hal juga, dari dunia politik, Kek DEB dan generasi Malaysia akan datang.
"Awak sepatutnya di KL sekarang". Dia bertanya mengapa saya tidak buat liputan Perhimpunan Agung UMNO di PWTC.
Kali ini saya tak pergi, kataku. Sibuk sikit, kebetulan pula kami tak cukup orang.
Saya agak kurang pengetahuan mengenai dunia surveyor ini. Setahu saya mereka ini, 150 orang semuanya yang mengikut kongres kedua itu adalah golongan profesional. Jurunilai bertauliah, juru ukur, juru yang menyediakan bahan-bahan untuk sebuah bangunan yang bakal dibina, menilai bangunan dan sebagainya. Saya ingat seorang surveyor yang kini ahli politik, iaitu Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr.Marcus Mojigoh
Ketika pertama kali bertemu dengannya,ketika beliau mula-mula menjadi ahli parlimen, saya sempat mengikutnya mengelilingi sebahagian Pulau Gaya dengan berjalan kaki
Sebenarnya tidak ramai yang punya kelulusan jurunilai ini. Di seluruh Malaysia, kata Fred, mungkin hanya terdapat sekitar 700 orang. Di Sabah,mungkin tidak terlalu ramai.Katanya..
Pagi itu, ketika mengikuti perasmian 2nd Surveyor's Congress anjuran Institut of Surveyors, Malaysia Cawangan Sabah, saya kurang dapat mengikuti butir-butir mkalah yang disampaikan. Kecuali penerangan mengenai POIC oleh Datuk Dr. Pang Teck Wai, yang menyatakan POIC bakal jadi Rotterdam of the East. Kawasan industri sawit paling luas didunia.
Jalan-jalan tengok-tengok pun surveyor juga,kata Fred bergurau.

Sunday, March 22, 2009

Memulihara gaharu dari ancaman kepupusan




MEMULIHARA GAHARU DARI ANCAMAN KEPUPUSAN


Oleh ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN


Apakah peranan masyarakat setempat untuk memulihara pokok gaharu,species yang kini diancam oleh kepupusan) Begitu soalan yang bermain di benak sejak saya melawat sambil belajar ke ladang demonstrasi Syarikat Sudah Gaharu di Kuala Penyu pada tahun lalu.
Mungkin tidak ramai daripada kita yang sedar bahawa hampir kesemua species gaharu yang dikenalpasti telah dimasukkan dalam senarai Merah Sangat Terancam oleh IUCN dan diisytiharkan mengalami kepupusan oleh CITES akibat cara pengeluaran yang tidak mapan (unsustainable).
Daripada 25 aquilaria species hanya 11 species yang dilaporkan menghasilkan gaharu. Daripada lima yang dikatakan ada di Malaysia hanya aquilaria malaccensis (Alas) and aquilaria Beccariana (gaharu “buayo”) sahaja yang dilaporkan ada di hutan Sabah.
Pokok Aquilaria malaccensis yang juga dikenali oleh orang Dusun Tatana Kuala Penyu Sebagai “Tindot” atau “Alas” menghasilkan damar (bahan oleo-resinous) yang dikenali sebagai “gaharu” (di “heart wood”) . Oleoresin ini adalah hasil tindakbalas daya pertahanan pokok yang diserang penyakit dalam bentuk jangkitan kulat, atau apabila pokok mengalami luka atau didalam keadaan tekanan mahupun kecederaan akibat serangan serangga atau patogen (punca penyakit) lain.
Bahan resinous yang amat berharga ini telahpun digunakan berabad-abad lamanya dalam industri minyak wangi, produk perubatan moden dan tradisi (Melayu, Cina, orang asli, Yunani, Ayuverdic, majlis keagamaan dan sebagainya. Malaysia adalah pengeksport kedua besar didunia selepas Indonesia, dengan jumlah quota CITES pada tahun 2007 sebanyak 244 metrik tan. Permintaan pasaran dunia yang amat tinggi di negara timur tengah, Singapura, Jepun, Hong-Kong, Taiwan, Europah dan India dan juga pembersihan hutan untuk kegiatan ekonomi lain telah menyebabkan pokok ini mengalami kepupusan.
Walaupun pokok-pokok hutan tumbuh liar yang dijangkiti penyakit atau mengalami stress akan menunjukkan tanda luaran namun adalah amat sukar untuk pencari dan pencuri gaharu sekalipun yang berpengalaman bertahun-tahun untuk memastikan kuantiti apatah lagi kualitinya. Ini menyebabkan pencuri dan pencari gaharu akan menebang sebanyak mungkin pokok-pokok liar. Orang kampung akan menjaga pokok-pokok gaharu yang tumbuh liar di kebun masing-masing sekiranya mereka melihat bahawa pokok tersebut boleh mendatangkan pendapatan sampingan ataupun boleh menjadi “alternative livelihood”.
Dulunya orang Tatana di Kuala Penyu belum mengetahui nilai ekonomi pokok gaharu selalu menebangnya untuk dibuat perabot, keranda dan sampan kerana pokok ini adalah jenis kayu lembut (softwood). Satu masa dulu mereka juga sering menjual pokok-pokok dewasa kepada sindiket pencari gaharu yang didalangi oleh orang luar (dari Semenanjung, Kemboja, Thai, Sarawak) dan dibantu oleh pencuri gaharu tempatan.
Tetapi sejak kebelakangan ini mereka tidak lagi berbuat demikian. Orang Tatana hari ini telah menjadi penjaga pokok gaharu yang paling setia, kerana mereka telah menikmati pendapatan melalui jualan anak benih yang diambil dari induk-induk unggul. Selain daripada itu mereka juga telah melihat bahawa pokok-pokok gaharu boleh dituai secara mapan melalui teknologi inokulasi diperkenalkan.
Menurut Dr. James Alin, pakar penilai ekonomi pemuliharaan hidupan liar dan alam semulajadi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UMS, Enakmen Hutan Sabah 1968 dan Enakmen Taman-Taman Sabah hanya melindungi pokok-pokok gaharu yang tumbuh di dalam kawasan hutan simpan dan taman-taman negeri.
Di samping itu, Kerajaan Malaysia sebagai anggota CITES (Konvensyen Untuk Perdagangan Antarabangsa dalam Tumbuh-tumbuhan dan Hidupan Liar yang Terancam) telah menguatkuasakan pemantauan dan pengurusan untuk mempasti perdagangan gaharu (semua species) yang sah, mapan dan terkawal.
Kejadian mencuri dan mencari gaharu dengan menceroboh ke hutan simpan dan taman negeri masih lagi berlaku kerana kegiatan ini dirancang oleh sindiket yang mempunyai rangkaian (network) dan modal yang besar. Rangkaian ini amat sukar dibanteras kerana ianya berpindah-pindah untuk mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa (polis/penguasa taman dan Jabatan Perhutanan).
Katanya, kejadian pencerobohan oleh pencuri gaharu di Taman Banjaran Crocker adalah didalangi oleh sindiket yang sama dengan yang telah dan sedang memasuki kawasan hutan kerajaan di Kota Belud , di kawasan Tomboyokon dekat poring (Taman Kinabalu) dan di hutan di Sugut, Karamuok, di Pinango dan kawasan lain di Kinabatangan. Pencuri/pencari gaharu adalah umpama tikus dan pihak berkuasa adalah kucing. “The mouse is always faster than the cat because it is running for its life, but for the cat, it is just another meal”.
Pihak Taman Banjaran Crocker memerlukan penglibatan masyarakat di kampung Buayan, Terian ataupun di Ulu Senagang untuk menjadi “mata dan telinga kerajaan”.
Beliau mencadangkan agar pihak taman membuat projek “community agriforestry” yang membantu masyarakat setempat mengenalpasti pokok-pokok gaharu unggul sebagai bank germplasma (untuk mendapatkan bibit unggul masa kini dan simpanan untuk generasi akan datang). Cara terbaik untuk menggalakan masyarakat setempat taman untuk menjaga pokok gaharu liar adalah dengan membuktikan kepada mereka bahawa pokok tersebut boleh mendatangkan hasil.
Sebagai salah satu pemegang amanah taman, masyarakat setempat akan merasakan mempunyai hakmilik, yang dengan sendirinya menjadi insentif yang kuat untuk melindungi pokok-pokok tersebut. Selain daripada itu pihak taman juga boleh menggalakkan masyarakat disitu untuk memulakan penanaman semula. Sebagaimana projek WWF Papua New Guinea atau Tropical Rainforest di Vietnam, pihak Taman –Taman Sabah boleh bekerjasama dengan pakar-pakar bertauliah dalam bidang teknologi pembiakan pokok hutan dan juga pakar teknologi pengeluaran oleoresin gaharu.
Sementara itu, Alex Sintin, seorang pensyarah di sebuah kolej swasta memberitahu, sebagai orang Dusun Tatana yang memiliki pokok gaharu tumbuh liar ditanah waris, dan sudah menanam seluas 3 ekar ( 1- 5 tahun umur).
Katanya, Kuala Penyu adalah daerah yang amat kaya dengan sumber alam lantas tidak sepatutnya berterusan terpinggir dari arus pembangunan perdana.
"Daerah ini mempunyai laut yang kaya dengan ikan, ada Taman Marin Pulau Tiga yang cantik, dan yang paling berharga adalah hutan kita masih kaya dengan pokok alas"
Beliau berkata" saya selalu mengingatkan saudara-saudara saya di kampung agar tidak menjual atau menebang pokok alas yang tumbuh liar semata-mata untuk sedikit wang. Selain daripada itu saya juga mengalakkan mereka untuk belajar cara mengenalpasti pokok alas yang unggul dan menanam semula bibit yang dipindah secara “wildling”.
"Adalah tidak mustahil satu masanya Kuala Penyu akan menjadi sumber genetik untuk industri gaharu masa depan. Kita mesti bermula dari sekarang melindungi dan menanam semula sebelum terlambat. Kita tidak mahu tragedi yang menimpa orkid dari Sabah yang genetiknya telah dicuri oleh lanun biologi (biopiracy) dari luarnegara menimpa pokok gaharu kita," katanya.
Penanaman pokok gaharu kini menjanjikan banyak potensi yang lumayan. Seorang pengamal perubatan dari Keningau, Dr. Nicholas Guntabon,memberitahu beliau sudah menanam pokok gaharu seluas 5 ekar yang berumur antara 1 hingga 2 tahun.
"Gaharu sebagai tanaman agriforestry mempunyai potensi tinggi, kerana dua sebab, pertama, Sabah mempunyai sumber biji benih unggul yang cukup, misalnya dari daerah Kuala Penyu; kedua, kepakaran tempatan berkaitan dengan teknik penanaman, inokulasi dan pembiakan sudah ada", katanya.
"Sebab kedua ini agak mustahak untuk mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab seperti fly-by night operators daripada memperdayakan orangramai.

"Lebih-lebih lagi buat masa “demam gaharu”, ramai pakar palsu menjaja biji benih yang tidak berkualiti (dikutip dari induk yang sihat dan tidak mengeluarkan oleoresin) ataupun menawarkan kursus yang meminta bayaran tinggi, seperti yang terjadi baru-baru ini, peserta kursus gaharu cuma mendapat kertas nota sahaja.

"Pakar palsu (bogus) yang biasanya menjual benih dengan harga yang tidak berpatutan (ada yang menjual RM30 bibit yang saiznya 20cm) selalunya mendakwa mewakili agensi kerajaan dari Semenanjung," katanya.
Menurutnya, peranan utama masyarakat setempat yang paling mendesak pada masa ini adalah membantah sebarang usaha untuk membuka kilang penyulingan minyak gaharu.
Katanya, Kajian menunjukkan 99 % daripada gaharu yang dijualbeli di pasaran dalaman dan di pasaran antarabangsa datangnya dari populasi liar (termasuk yang dicuri dari hutan simpan dan taman Negara).
Katanya, Kilang penyulingan (distillation factories) memerlukan 4 tan metric kayu serpihan (yang berdamar kualiti rendah) untuk menghasilkan 1-2 “tola” (11 grams) minyak gaharu. Masyarakat setempat perlu menyuarakan bantahan kerana mendirikan kilang penyulingan pada masa ini akan mempercepatkan kepupusan pokok ini. Pembukaan kilang boleh dipertimbangkan pada masa depan apabila kita telah menanam pokok gaharu yang cukup jumlahnya.

Mohd Hizan turuti jejak langkah ayahnya


Apa yang menarik pada diri anak muda ini? Mohd.Hizan Laliman dipilih sebagai Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Sesi 2009/2010 Kolej Teknologi Cosmopoint Kota Kinabalu. Hizan, pelajar tahun 6, diploma teknologi maklumat terpilih sebagai pemimpin pelajar setelah mengetepikan tiga pencabarnya yang lain. Tapi yang menarik pada Hizan, ialah kegigihan dan ketabahannya. Hizan dan ayahnya Laliman, banyak persamaan.Laliman pernah menjadi pemimpin pelajar Sabah sewaktu di USM dulu. Kini Hizan menuruti jejak langkahnya.

Penaung JPP Kolej Cosmopoint ialah Puan Grace Chang manakala penasihatnya ialah Ms Esther Donny. Presiden, Mohd Hizan Laliman, Awngku Azizi Azizan (Timbalan Presiden 1) dan Vilma Tony,( Timbalan Presiden 2). Setiausaha disandang Georgina Bernard manakala Bendahari, Nur Hafidah Harith. Exco tertinggi, Ahmad Izuddin dan Bryan Jyprus (Unit Aduan dan Kebajikan), Adrians Juel dan Sharliza Idrus (Unit Editorial dan Komunikasi), Nicholas Ng dan Amanda Geoffrey (Unit Akademik dan Keusahawanan), Grigorie George dan Aina Zulika Matbee (Unit Sukan dan Rekreasi) dan Umi Kalsum Mustapa dan Nadia Ross (Unit Perpaduan dan Kebudayaan)

JKKK Batu Berendam melawat Sabah


Meskipun sebentar, perkenalan dengan rombongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Berendam Melaka yang mengadakan lawatan muhibbah selama tiga ke negeri Sabah banyak memberi erti. Rombongan seramai 30 orang itu yang diketuai Setiauaha JKKK, Haji Sani Ali telah diraikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Isnin Haji Aliasneh yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia dalam satu majlis makan malam di sebuah restoran di Bandaran Berjaya.
"Kami sempat ke kaki gunung Kinabalu," katanya. Ada seorang anggota rombongan dari Melaka itu yang lama bertugas sebagai anggota tentera di Kinabatangan, jadi banyak
"Kalau datang ke Melaka, jangan lupa hubungi kami".
Saya pernah berkunjung ke Kota Melaka sempena Hari Sastera. Sempat juga saya berkunjung ke Kampung Pulau Sebang, dekat Tampin.Bersama pakcik Jamaluddin, beliau membawa saya melawat perigi naning. Dan menghimbau semula perjuangan Dol Said. Entah dimana Azura dan suaminya sekarang? Lama kami terputus hubungan.Berapa sudah anaknya? Dulu sewaktu di Sabah, mereka sudah ada anak satu. Masihkah mereka di Sabah?. Saya ingat Azura, bukan saja pandai berpantun malahan seorang yang lasak, malah pernah memanjat gunung Kinabalu seorang diri.
"Sampaikan salam saya kepada Pakcik Jamaludin sekeluarga"
Tapi, Pulau Sebang agak jauh dari Batu Berendam.

Saturday, March 21, 2009

Bang Mohamad mahu jual tv

Bang Mat mahu menjual tvnya. "Saya sudah bosan tengok tv", katanya dalam pertemuan kami di Jalan Gaya, kelmarin. "Saya tidak suka tengok tv kecuali kalau ada cerita P.Ramlee", kata Bang Mat. Saya suka bercakap dengan beliau kerana bang Mat suka berterus terang. Kalau tak betul, dia akan bilang tak betul. Kalau benar, dia akan kata benar.

"Dulu saya suka tengok berita, sekarang berita bukan lagi berita tapi banyak bohongnya," katanya. "Buat pengumuman sana sini, peruntukan berbilion-bilion tapi tak sampai kepada rakyat.

"Saya tidak minat lagi tonton tv. Cerita dramanya pun asyik berkisar hal itu-itu juga. Cinta murahan, persekongkolan, penipuan,perselingkuhan, dendam...hampir tak ada cerita yang baik untuk anak kita," katanya.

"Saya mahu jual tv kalau ada yang mahu membelinya," kata bang Mat. Bicaranya blak-blakan tapi kerana beliau bicara dengan fakta, saya tak berani menyangkalnya. Terlebih lagi, bang Mat ini, banyak jasanya pada saya.Waktu kahwin di Tawau dulu, dialah yang sponsor daging ayam. Paling menarik kerana beliau orang yang berpengalaman. Beliau adalah antara lulusan pertama dari Sabah yang belajar matematik komputer di Britain. Tak diragukan lagi, bang Mat seorang yang kuat berpegang pada prinsip dan jujur dalam perjuangannya.

"Kalau benar, katakan yang benar. Tulislah yang betul, jangan selewengkan fakta dan kebenaran. Kalau tidak biar saya jual tv saya, lagi baik daripada saya mendengar pembohongan demi pembohongan," katanya.

Friday, March 20, 2009

Sekadar catatan satu pertemuan


Penyair Prof.Madya Dr.Lim Swee Tin, yang juga penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara sedang menjelaskan sesuatu mengenai isu semasa termasuk cadanganya supaya Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia membaca pantun, sajak atau bidalan, peribahasa atau perumpamaan-perumpaan yang membawa kearifan, yang memberi nasihat, yang melembutkan sebelum memulakan sidang parlimen supaya mereka berhenti berbalah dan berbahas penuh sopan dan adab. Gambar ini dirakamkan di DBP Sabah ketika persidangan persuratan yang lepas.Laliman Ahmad , mantan Pengarah Kebudayaan dan Pelancongan Sarawak sedang mendengar bicara Lim sambil diperhatikan Timbalan Yang Di Pertua Bahasa, Ramli AR dan AJK IPS, Mohd.Puad Bebit yang juga pensyarah di Sekolah Pengajian Seni UMS.
Pertemuan sebegini jarang berlaku.Laliman sudah lama tidak bertemu Dr.Lim, kali pertama ialah sewaktu di USM dulu. Selepas Laliman melepaskan jawatannya sebagai pengarah kebudayaan, beliau pulang ke Sabah dan menceburi bidang politik membantu Tan Sri Pandikar sebagai setiausaha sulitnya. Kerana itu, beliau jarang terlibat dalam aktiviti sastera dan budaya.
Bagaimanapun, pertemuan ini diharap akan mempertajamkan semula minda Laliman supaya beliau dapat memberi sumbangan terhadap kemajuan dunia kebudayaan dan persuratan di negeri ini.

Julkalani, seni dan nyanyian Waty

Sebagai pencinta dan aktivis seni, Julkalani Haji Abd.Rahman melangkah setapak lagi dengan menerbitkan album yang menggabungkan irama bajau Semporna dengan lagu dalam bahasa dusun.Sungguh menarik percubaan yang dibuat oleh Julkalani dan ini pasti memperkayakan lagi khazanah seni hiburan kita. Berikut petikan berita mengenai album pertama yang diterbitkan oleh Julkalani, berjudul Sumadak Olundus yang dinyanyikan Waty Lajungin.

WATY LAJUNGIN SERLAHKAN KELAINAN DALAM ALBUM PERTAMA

Waty Lajungin mungkin satu nama baru dalam dunia hiburan di negeri ini. Namun penyanyi lagu-lagu berbahasa Dusun ini tampil di persada seni dengan bakat yang begitu menyerlah.Kemunculan Waty dengan album `Sumandak Olundus' menyerlahkan satu kelainan. Kerana kelainan itu, menjadikan album itu begitu istimewa kepada penggemarnya.
Penyanyi ini tampil istimewa lagu-lagu menarik, liriknya dicipta oleh Waty sendiri manakala lagunya dicipta oleh seorang aktivis seni yang tidak asing lagi di negeri ini,Julkalani Haji Abdul Rahman berdasarkan rentak irama tari budaya Bajau Semporna.
Penerbitan album itu dianggap membuka lembaran baru dalam seni hiburan kerana menggabungkan kombinasi dua etnik yang memiliki khazanah seni yang ditinggi.
Album Sumandak Olundus, album pertama yang menghimpunkan sepuluh lagu bahasa Dusun itu diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbit album tempatan, Jay Production, kini sudahpun terjual di pasaran di seluruh Sabah.

Antara lagu dalam album Waty Lajungin itu ialah Sumandak Olundus menggunakan rentak (Buliga)
Molohing Kopusan (Allan), Langadon Kampungku (ulan-ulan)Tanak Mosikin (Lolai)Momo Tanom Parai (sintakan taliaga)
Miniada Kio (lolai ku manis)Sinidualan (Sikanandungan)Gisom Kapatayon (Allan Rayang)Piginawaan Nokusini (Karandaman) Omis-Omis Miginawo (Sintakan Daling)
Kemunculan penyanyi berasal dari Ranau itu pasti membuat banyak kejutan dalam dunia hiburan tanahair kerana lagu-lagunya yang dialunkan membawa mesej tersendiri mengenai rasa cinta tanahair, kepada kekasih, kehidupan, penderitaan, rindu dan sebagainya.
"Kami menerbitkan album ini untuk integrasi dan perpaduan," kata Julkalani, ketika ditemui di ibu negeri.
Menurutnya, usaha menerbitkan lagu itu bertujuan untuk meluaskan lagi dimensi supaya lagu-lagu etnik tempatan seperti lagu-lagu Bajau Semporna dapat dihayati oleh rakyat Sabah.
Selepas penerbitan album itu, kita akan berusaha untuk menerbitkannya pula dalam bentuk video klip. Beliau juga berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan penerbitan lagu-lagu berentak keroncong, dangdut dan sebagainya pada masa depan.
Beliau ternyata gembira dengan penerbitan album Sumandak Olundus itu kerana album itu adalah kombinasi budaya Dusun dan Bajau dimana senikata lagu ditulis oleh Waty sendiri manakala lagu dicipta menggunakan latar budaya Semporna.
"Kami harap lagu-lagu dalam album pertama Waty akan mendapat sambutan daripada peminat seni hiburan di negeri ini," katanya.


Adik Rafidah, pelamin dan banjir di Tenom

"Tahniah," kata saya sebaik-baik menerima telefon adik Rafidah. yang melangsungkan majlis perkahwinannya minggu lalu.Saya ingin ke Tenom untuk meraikan majlisnya tapi ternyata terhalang oleh kesibukan-kesibukan.
Saya gembira menerima panggilan telefon itu.Tetapi cerita selanjutnya membuat saya turut bersedih dan sebak mendengarnya.
"Pelamin anganku musnah bang," katanya. Saya menasihatkan supaya beliau bersabar dan menerima keadaan itu sebagai satu suratan, pasti ada hikmah di sebaliknya.
"Mungkin abang tidak dapat merasakan apa yang adik rasakan," katanya.
"Abang faham tetapi bukankah semua itu kehendakNya".
Maka meluncurlah kisah bagaimana perjalanan majlis itu berlangsung.
Selepas majlis akad nikah, pada sebelah paginya, pada malam itu diadakanlah majlis persandingan.
Acara disusun rapi dengan segala persiapan agar majlis itu berjalan dengan sempurna.
Namun segalanya bertukar apabila banjir melanda."Saya tak pernah tengok banjir seteruk itu", katanya.
Pelamin basah.Entah berapa orang saja yang datang kerana masing-masing terpaksa pulang menyelamatkan harta benda masing-masing.
Kesedihan tidak dapat digambarkan kerana bateri kamera habis. Lampu mati kerana bekalan tenaga terputus.
"Akhirnya, kamilah berdua duduk di pelamin. Suami memegang lilin," katanya. Banjir terus naik hingga ke rumah.Majlis yang dirancang itu jadi tak ketentuan. "Bayangkan perasaan adik, betapa hampa dan kecewa,".
Tak apalah, kata saya menghiburnya.Kalau majlis sanding di KK nanti,jalanilah sepenuhnya. nanti abang dan HA akan datang.
Saya turut menceritakan kepadanya satu majlis lain di Beaufort yang diadakan pada hari yang sama.
Pengantinnya datang menaiki lori polis. Kerana hanya pasukan polislah yang boleh melalui jalan ke rumah pengantin perempuan. Mujurlah polis sudi menghantar pengantin dan pengapitnya.
Kesian, kerana di rumah pengantin, tinggal hanya berapa orang.Haripun sudah petang, pengantin tak sampai-sampai.Sekali pengantin datang, ia menaiki kereta polis.
Tapi ramai orang telah pulang menyelamatkan apa yang dapat diselamatkan.Banjir kali ini mungkin yang paling teruk.Sejak banjir besar berlaku tahun 81.
Perubahan iklim tak dapat dijangka.Dulu tengkujuh hanya berlaku pada bulan yang berhujung dengan `ber'.September,Oktober, November dan Disember.Tapi kini tidak begitu lagi kerana hutan ditebang, sungai ditimbus, kerana alam diganggu manusia.
Saya simpati kepadanya. Semoga mereka diberi rezeki dan kebahagiaan, kesejahteraan di dunia dan akhirat.Semoga kahwin di musim banjir,hanya ujian kecil bagi mereka.

Thursday, March 19, 2009

Badak sabah terancam pupus


BADAK SABAH TERANCAM PUPUS

KOTA KINABALU: Ancaman terhadap kelangsungan hidup badak Sabah ternyata membimbangkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun.
Badak Sabah- salah satu spesis badak sumatra, merupakan satu-satunya jenis badak yang hanya boleh ditemui di Sabah dan kini jumlahnya adalah antara 30 hingga 35 ekor.
"Sebanyak 15 ekor terdapat di Hutan Simpan Tabin manakala selebihnya di Lembah Danum," katanya sambil menambah, jika tiada sebarang usaha konkrit dilakukan untuk memeliharanya, besar kemungkinan haiwan yang dikesan hidup sejak 25 juta tahun lalu, pupus dalam waktu yang terdekat.
Masidi berkata, generasi kita akan dipersalahkan oleh generasi akan datang sekiranya kita tidak berbuat apa-apa dan terus membiarkan badak Sabah, salah satu spesis badak Sumatra pupus.
"Generasi akan datang tidak akan dapat memaafkan kita," katanya dalam majlis Makan Tengahari Untuk Mengumpul Dana bagi Menyelamatkan Badak di salah sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.
Katanya, Usaha untuk menyelamatkan badak Sabah itu perlu dilakukan secara serius.
"Kerana jika tidak generasi akan datang tidak akan dapat memaafkan kita kerana membiarkan binatang yang dikesan sejak 25 juta tahun yang lalu pupus ketika generasi kita kerana tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk menyelamatkannya.
Program itu dianjurkan oleh BORA (Borneo Rhino Allaince) sebuah badan NGO dimana anggota lembaganya mewakili WWF Malaysia, Universiti Malaysia Sabah (UMS) LEAP, dan Hutan bagi mengumpul dana untuk menyelamatkan badak Sabah yang kini semakin terancam.
Menurutnya, jumlah badan kini semakin merosot kepada hanya 200 ekor di seluruh dunia. Badak Borneo (Dicerorhinus sumatrensis harissino) yang hanya terdapat di Sabah kini berjumlah 30 hingga 35 ekor di bahagian timur dan tengah negeri Sabah, dan Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin kini hanya mendapat 15 ekor, dimana sebahagian lagi terdapat di Lembah Danum, jelasnya lagi.
Beliau juga meminta syarikat perladangan supaya memberikan sumbangan kepada usaha untuk menyelamatkan badak yang kini mengahadpi ancaman untuk pupus.
Dalam majlis itu, lebih RM500,000 berjaya dikutip daripada penderma-penderma yang terdiri daripada syarikat-syarikat dalam dan luar negeri termasuk individu-individu yang prihatin terhadap kelangsungan hidup badak sumbu dalam satu kempen mengutip dana yang turut digerakkan oleh Datuk Masidi sendiri.
Beliau juga mengumumkan sumbangan RM100,000 daripada Kerajaan Negeri untuk membantu menyelamatkan Badak Sabah di negeri ini.


PRIHATIN...Datuk Masidi bersama penderma-penderma untuk menyelamatkan Badak Sabah yang terancam pupus.

Apa yang kita cari di tamu KB?




Apa yang kita cari bila berkunjung ke tamu Kota Belud.Gong atau parang? ikan liking atau seda' a piangian? tembakau atau laget atau sigup. Atau tikar dari kampung Rampayan Ulu yang dijual kaka akaba? Gula tebu dari kampung tamau? atau si penjual kerbau yang telah hilang itu. Atau adakah orang yang menjual kuih penjaram. Atau kita singgah di kedai sup si sayun?
Di tamu, saya fikir adalah tempat untuk kita bertemu dan bertamu.













Wednesday, March 18, 2009

Apa yang arwah ayah kita fikirkan?,kata Datuk Hishammuddin




"Apalah yang arwah ayah kita fikirkan jika UMNO terkubur ketika kita sedang memimpin?" kata Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, sebagaimana yang diceritakan semula oleh Datuk Hisham dalam ucapannya di rumah Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Idris, Isnin lepas.

Saya agak terharu mendengarnya. Beliau meningatkan betapa perlunya orang Melayu, bumiputera bersatu. Selepas menyampaikan ucapan, Datuk Hisham singgah di meja kami, menyangka kami perwakilan UMNO sebaliknya kami-saya dan rashid (dari Utusan Malaysia) mengambil kesempatan itu untuk menginterview berkaitan beberapa isu semasa.

"Ala, Kenapalah saya pilih meja ni?" kata Datuk Hisham sambil bergurau."ingat perwakilan," katanya.Saya beritahu, meja ini meja perwakilan juga," perwakilan media'. Jadi dalam waktu yang singkat itu kami bertanya mengenai isu SPRM, Gobind Singh Deo,isu pelajaran dan sebagainya.

Di sebelah saya duduk saudara Laliman. Mereka berjabat tangan.Datuk Hisham agak terkejut kerana tak menyangka berjumpa Laliman, rakan lamanya dalam Pemuda BN. "La ila ha ilallah. Liman, tak perasan tadi dalam gelap," katanya. Laliman merupakan mantan Setiausaha Pemuda Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) Negeri, sebuah parti komponen yang kini telah dibubarkan. Beliau merupakan AJK Pemuda BN Pusat dan juga merupakan mantan Setiausaha Sulit Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia. Kini beliau merupakan Setiuasaha Cawangan UMNO Taman Milian. Pertemuan yang tak disangka itu menjalin semula tali silaturrahim antara mereka, yang mungkin telah hampir 10 tahun tidak bertemu.


Tuesday, March 17, 2009

di mana diaspora Iranun? di Sabah atau di Mindanao?

Seorang sarjana dari Filipina, Rolando C.Esteban yang pernah menulis mengenai diaspora Iranun memetik satu sumber yang menyatakan bahawa diaspora Iranun bermula sebelum dan selepas 1765. Ada dua gelombang diaspora Iranun. Ada bukti yang menyatakan bahawa kesultanan Iranun telahpun wujud di Tempasuk sejak beratus-ratus tahun lalu. Menurut catatan William Pretyman, Datu-Datu Iranun mempunyai pengaruh yang cukup luas dan besar ketika beliau pertama kali menjejak kaki di Tempasuk pada 1878. Mungkinkah kesultanan Iranun, wujud seratus atau dua ratus tahun lebih awal daripada itu.Jawapannya ada ditangan pengkaji sejarah.

Dimana diaspora Iranun. Orang Iranun di Sabah menggelar orang Iranun di Mindanao sebagai `bagu a iranun' yang bermakna Iranun baru. Dengan jelas mereka mengklasifikasi bahawa Iranun dari Mindanao itulah kelompok Iranun yang baru yang berhijrah dari tanah besar ke kepulauan Nusantara ini-khususnya Mindanao.

Menurut cerita Qadi Nurul Caqim, ketika ditanya oleh Jeneral Robert Bullard, gabenor Lanao pada tahun 1906, beliau menyatakan asal usul bangsa Maranao adalah dari Tempasuk Sabah.
Katanya, nenek moyang orang Maranao-Iranun mengakui bahawa mereka berasal dari Tempasuk.Itulah sebabnya nama Tempasuk banyak disebut dalam dongeng dan cerita lisan mereka.
Bagaimanapun, beliau menyatakan orang Iranun di Sabah datang dari Lanao- kebanyakan pengkaji menyatakan dari Butig, Lanao, selepas gunung berapi Makaturing meletus dalam tahun 1765.

Masih banyak perkara perlu dikaji.Makin lama, makin menarik hati.

Monday, March 16, 2009

Catatan awal mengenai kehadiran Iranun di Sabah

Menurut Tarsila Iranun, kedatangan orang-orang Iranun ke Borneo bermula selepas Sultan Brunei meminta bantuan daripada Sultan Kudarat di Ramitan untuk menghantar pasukan perwiranya untuk membantu memadamkan pemberontakan di Borneo beberapa ratus tahun yang lampau. Maka Sultan Kudarat menghantar sebanyak 12 perahu pahlawan-pahlawan Iranun untuk membantu Sultan. Setiap perahu menagndungi seramai 40 orang, menjadikan kesemuanya 480 orang yang dihantar untuk membantu Sultan Brunei.Selepas pemberontakan itu dapat dipadamkan, Sultan Brunei menawarkan agar mereka membuka petempatan di Borneo.Mereka menerima tawaran itu dan seterusnya menetap di Tempasuk, Tungku dan sebagainya. Ini versi tarsila Iranun.

Kedatangan Iranun ke Sabah, menurut satu sumber lain ialah ketika mereka menganggotai ekspedisi bersama Sharif Kabungsuwan menaiki perahu Awang yang boleh memuatkan seramai 200 hingga 300 orang ke Tempasuk, Sandakan dan sebagainya untuk menyebarkan agama Islam pada abad ke-16. Catatan awal ialah 1521. Orang-orang Iranun yang bersama para Sharif itu terus menetap di Borneo.

Teori ketiga ialah penglibatan masyarakat Iranun terhadap aktviti pelayaran dan perdagangan. Mereka memastikan bahawa di wilayah mereka tidak ada kapal asing yang menceroboh.Itulah sebabnya mereka menyerang kapal-kapal sepanyol yang cuba menggunakan jalur perdagangan dan pelayaran mereka. Penempatan mereka kebanyakannya terdapat di Tempasuk, Tungku dan Indarason kerana tempat itu menjadi pilihan mereka untuk berlindung dari tiupan angin ribut

Meskipun terdapat beberapa teori asal usul kedatangan sukubangsa Iranun di Sabah dari lupa a Iranun seperti yang terkandung dalam cerita-cerita rakyat, darangen dan bayuk, masyarakat Iranun di Sabah menganggap mereka berasal dari tanah borneo sendiri. Banyak buktinya, antaranya kerana jumlah rangkap yang terdapat di sabah lebih panjang daripada yang terdapat di Mindanao. Secara logika, orang dari tanah yang tinggi berhijrah ke tanah yang rendah, ini kata Bapa' Pinjaman Hassin. Sementara itu, dalam sejarah, memang tercatat kedatangan 10 datu dari Borneo meneroka Filipina.

Banyak buku yang boleh dirujuk. Antaranya Sejarah dan Adat Tradisi Iranun oleh Dr.Datu Bandira Datu Alang (kini allahyarham), Buku tulis James Warren. Tarsila Iranun, Tudtul daripada darangen dan bayuk juga boleh diambil kira, jika ada yang berminat untuk mengkaji suku bangsa Iranun.

Sketsa perjalanan ke KB, melihat tamu dan Kuda poni











Along, Aiman dan Nabilah sudah lama berhasrat untuk ke Kota Belud. Mereka ingin naik kuda, maka antara perkara pertama yang ditanya sebaik sampai di ibu kota ialah ialah dimana ada kuda.
"Kita boleh melihat kuda di Kota Belud". Saya tidak ingat tarikh yang sebenar kuda sampai ke bumi Borneo. Saya pernah terbaca, kuda poni dibawa pedagang dari China ketika zaman dinasti Ming. Entah benar, entah tidak, saya kurang pasti kerana saya sudah lupa tajuk buku itu.
Maka berkeretalah kami ke Kota Belud pada Ahad lepas. Sebenarnya, Mohd.Shukri dan isterinya, Ain dan anak-anak mereka memang sudah lama merancang untuk Ke KB berkunjung ke Tamu. Itulah sebabnya mereka sanggup melakukan perjalanan dari Sarawak dan mengambil masa dua hari untuk sampai ke KK kerana mereka berhenti-henti di sepanjang perjalanan itu, kebetulan pula waktu cuti. Sebelum ini tidak ada kesempatan seperti itu kerana Shukri, yang merupakan salah seorang pengurus di LTH sentiasa Sibuk. Beliau pernah ditugaskan di Tawau, Riau, Pahang lalu ke Sarawak untuk membuka ladang sawit.
Keinginan ke KB sudah lama terpendam. Tetapi yang menarik hati anak-anak itu ialah kuda, dan bagaimana mereka boleh menunggang kuda.
"Ada seekor kuda yang akan menyambut kita sebaik-baik sampai di pekan KB. Kuda itu berpakaian cantik, tidak pernah merasa demam, tidak pernah tua, tidak pernah merasa kedinginan, ia memang luar biasa".
"Ah pak Long ni, Nabilah tak mahu kuda patung". Kami terus ke Tamu.
Kami jumpa ibu yang menjual gila tebu. Kami ke gerai menjual tikar, gong, sigup dan sebagainya.
Banyak perkara yang menarik. Ain sempat membeli bakul rotan yang punya penutup dengan harga RM40. Murah. Shukri, seorang peminat parang, jadi kami mengambil masa untuk mengunjungi gerai menjual parang. Saya terjumpa dengan rakan-rakan, salah seorang ialah Haji Majad, keluarga saya sebenarnya dari sebelah bapa.
Saya sempat membawa mereka untuk membeli ikan liking yang agak terkenal di Kota Belud.
"Ikan liking hanya terdapat di KB," kata saya, membuat promosi. Saya juga ternampak seda a piangian, ikan tilapia yang dilumurkan dengan buah kepayang. Sedap rasanya jika digoreng atau dibakar.
Selepas makan di Restoran mayang Sari di Pekan KB (Kami sebenarnya ingin makan di atas bukit tapi waktu itu belum dibuka), kami meneruskan perjalanan ke Kampung Tamau. Di sepanjang jalan, kami melihat sawah.Mujur ada juga nampak kuda dan lembu. Bila nampak gunung Kinabalu, Shukri bertanya apakah ada catatan yang menunjukkan Paduka Mat Salleh dulu pernah mendaki Gunung Kinabalu. Apakah sebelum Sir Hugh Low dan Gunting Lagadan, tiada orang tempatan yang pernah mendaki gunung itu?
Sesampainya di rumah, kebetulan bapa sudah duduk di beranda. Ada juga dayang, dan mabul dan kemudian Amir dan Ibu yang baru sampai dari Tamu.
Bapa agak terkejut juga kerana tidak menyangka si Ain itu, adalah adik isteri saya kerana memang saya tidak memberitahu.
"Macam rupa mama Yasmin" kata bapa. Betapa bersyukur dan terharunya orang tua itu menerima kedatangan mereka sekeluarga, yang sanggup menempuh perjalanan yang jauh semata-mata ke kampung Tamau.
"Tamau, tawau.Patutlah abang dapat jodoh di Tawau kerana Tamau tak jauh bunyinya dengan Tawau" kata Ain. Sebenarnya ketika berkenalan dengan kakaknya dulu, tidak terfikir pun perkataan itu.
"Banyak kuda pakcikmu di Kampung Linau", kata Bapa ketika kami menceritakan keinginan anak-anak itu untuk meliht kuda. Datang saja ke sana. Kerana waktu yang suntuk, kami tak dapat singgah. Saya mengusulkan untuk melihat burung unta di Kampung Nanamun. Tapi tak sempat juga. Kami hanya melihat ribuan bangau yang berterbangan di sawah dan sebahagian lagi ikut bertengger di belakang traktor.Ada seekor dua hinggap di belakang kerbau.
Saya tak sempat mengambil gambar. Betapa cantiknya pemandangan itu.
"Lain kali kita datang lagi, kali ini pak long akan bawa menunggang kuda" kata Shukri kepada anak-anaknya. Shukri berasal dari Kelantan, manakala Ain merupakan adik isteri saya. Mereka kini bermukim di Sarawak kerana Shukri bertugas di sana.Kunjungan mereka kali ini semata-mata untuk menghabiskan cuti.Sempatlah juga mereka ke Pulau Manukan, Jesselton Point, Centre Point walaupun tak sempat ke 1 Borneo.
Syukurlah, sempat juga kami ke tempat Linda di Bukit Padang kerana anaknya Auzay Fadli bergunting rambut.
Hari ini mereka meneruskan perjalanan pulang ke Tawau dan saya mengambil kesempatan mengemaskini blog ini.

Abdullah mencari Rurik di Mersing

Kami sama satu perahu ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Mantanani. Namanya Abdullah Abdul Hamid. Sempat kami bercerita macam-macam hal dalam perjalanan laut yang mengambil masa kira-kira satu jam ke Kuala Rampayan. Kami kagum betapa orang-orang tu kita dahulu, pelayar yang pintar merentas dari pulau ke pulau.

Kata Abdullah, ada seorang datuknya, bernama Rurik bin Ali Akbar berlayar ke Johor pada tahun 1930-an dahulu hanya menggunakan kapal layar. Rurik tidak pernah lagi kembali ke Mantanani sebaliknya menetap terus di Mersing Johor dan beranak pinak disana. Paling akhir, khabar diterima daripada keluarga Rurik apabila salah seorang anaknya ke Kota Belud pada tahun 60-dahulu, tetapi keluarga di Mantanani tidak sempat bertemu mereka dan terus terputus hubungan.

"Mana tahu melalui blog tuan, keluarga kami akan dapat dipertemukan," katanya kepada saya. Menurut Abdullah, Rurik adalah adik beradik dengan atuknya yang bernama Pula bin Ali akbar.

Sekiranya ada kaum kerabat Atuk Rurik di Mersing atau Johor yang terbaca ini, sudilah kiranya menghubungi blog ini, atau alamat saya abdnaddin@yahoo.com atau menghubungi terus Abdullah Abdul Hamid di SK Pulau Mantanani 088-969080.

"Terima kasih Tuan", katanya. "Kami amat mengharap".

Saturday, March 14, 2009

SALAROM angkat nama Emin dalam penulisan Novel




SALAROM ANGKAT NAMA EMIN DALAM PENULISAN NOVEL

Oleh ABD. NADDIN HJ SHAIDDIN

Setelah sekian lama menghambakan diri dalam bidang kewartawanan, sdra Emin Madi kini mencuba bakat dalam genre kesusasteraan dan setakat ini telahpun menghasilkan dua karya novel, Nunukragang dan Salarom.
Menurut Emin, kedua-dua novel itu telah menyertai sayembara mengarang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, namun hanya ‘Salarom’ sahaja yang berjaya memenangi salah satu hadiah utama Sayembara Mengarang Sempena sambutan 50 Tahun Merdeka, anjuran DBP Kuala Lumpur, tahun 2007.
Emin, 59, berkata beliau memang sudah lama memendam cita-cita untuk menulis novel, namun hasrat itu terpaksa dilupakan buat seketika disebabkan kerjayanya yang lebih banyak tertumpu pada bidang kewartawanan.
“Saya berangan-angan hendak menulis novel tahun 80’an lagi, namun setiap kali mencuba ia tidak menjadi, mungkin juga saya belum mempunyai kekuatan pengetahuan untuk beralih pada genre kesusasteraan pada ketika itu,” kata bekas wartawan kanan akhbar Sabah Times itu (kini The New Sabah Times).
“Ketika saya menulis Nunukragang, saya rasa agak kekok sedikit kerana jiwa saya terlalu dipengaruhi oleh stail penulisan kewartawanan yang mementingkan ketepatan fakta.
“Kadang-kadang saya terasa lucu apabila saya berkali-kali mengingatkan diri saya bahawa saya sebenarnya cuba menghasilkan novel dan bukan menulis berita atau rencana.
“Namun, saya juga tidak menafikan bahawa pengalaman bidang kewartawanan banyak membantu saya terutama dari segi disiplin menulis, khususnya penulisan yang bercorak penyelidikan,” beliau memberitahu Utusan Borneo dalam satu wawancara khas.
Mengenai novel sulungnya, Nunukragang, Emin berkata dia tidak patah semangat walaupun novel itu gagal memenangi sebarang hadiah dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Saya bercadang hendak mengolahnya semula kerana saya dapati karya novel sulung itu terlalu banyak kelemahan. Saya anggap kegagalan itu satu pendorong untuk menghasilkan karya yang lebih baik,” kata Emin, yang masih lagi menulis sambilan untuk Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Pada tahun 2006 beliau menghasilkan Salarom dan karya itu sekaligus mengangkat nama Emin setelah ia memenangi hadiah ketiga Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka pada tahun 2007, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Panel Penilai memutuskan tiada karya novel yang layak memenangi hadiah pertama dan kedua bagi sayembara tersebut.
Pertandingan peringkat kebangsaan itu menerima penyertaan sebanyak 46 buah manuskrip novel, 22 manuskrip skrip drama pentas, 147 buah cerpen dan 196 buah puisi.
Penyampaian hadiah dilakukan Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri, di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 29 Januari 2008.
Menurut Emin, Salarom berkisar pada kehidupan unik masyarakat kaum Murut di kampung Salarom, sebuah desa terpencil di daerah pedalaman Pensiangan, Keningau.
“Saya mendapat ilham menulis novel itu setelah berpeluang berkunjung ke perkampungan terpencil itu, iaitu setelah menyertai satu rombongan pegawai pelajaran Pedalaman Keningau yang membuat lawatan ke kampung itu beberapa tahun lalu.
“Saya bukan sahaja terpikat dengan suasana dan keindahan alam semulajadi di persekitarannya, tetapi juga dengan cara hidup masyarakat Murut yang ‘tahan lasak’,” kata beliau yang sangat meminati novel-novel karya pengarang antarabangsa seperti Harper Lee, Paolo Coelho, Haruki Murakami, Khalid Hosseini dan Jeffrey Archer.
Menurut Emin, Salarom cuba menyelami budaya hidup masyarakat kaum Murut di kampung tersebut yang masih kaya dengan adat resam.
Salarom ‘bergolak’ selepas kunjungan seorang Wakil Rakyat yang mengumumkan rancangan Kerajaan untuk memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru.
Pada waktu yang sama kehadiran dua orang pelawat luar, seorang wartawan dari Kuala Lumpur dan seorang pelancong warga Jepun, menguatkan lagi konflik dan drama penceritaan novel setebal lebih 334 muka surat itu.
Menurut Emin lagi, novel Salarom, yang kini dalam pasaran, juga menampilkan watak-watak tempatan dengan sesetengah dialognya menggunakan bahasa kaum Murut.
Selain itu, Salarom juga cuba mengetengahkan ‘mesej-mesej’ tertentu mengenai isu-isu tertentu termasuklah soal sejarah, budaya dan alam sekitar.
“Kebanyakan fakta-fakta yang dipaparkan dalam novel itu adalah berpandukan pada hasil penyelidikan,” kata Emin, yang pernah mendapat bimbingan tokoh-tokoh penulis tanah air seperti wartawan tersohor allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan bekas pengarang Berita Minggu, Sutan Shahril Lembang.
Mengenai rancangan masa depannya, Emin, yang berasal dari kampung Bayangan, Keningau, berkata dia kini sedang ‘mengumpul idea’ untuk menghasilkan novel ketiga.
“Insya-Allah, saya berharap dapat menyiapkan novel ini selewat-lewatnya tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan terus berkarya selain kesihatan mengizinkan.
Beliau juga berharap usahanya itu dapat meningkatkan minat di kalangan penulis-penulis Sabah untuk bergiat aktif dalam penulisan kreatif.
“Saya percaya ramai orang di Sabah berbakat dalam bidang penulisan, tetapi mungkin kurang mendapat dorongan. Saya juga berharap badan-badan penulis di Sabah berusaha lebih gigih untuk menyungkil bakat-bakat baru,” katanya.
Selain menghasilkan novel, Emin juga juga telah menyiapkan sebuah buku sejarah mengenai Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).
Katanya, buku tersebut, berjudul ‘Sinar Perjuangan USIA’ adalah atas dorongan dan kerjasama USIA dan dijangka terbit tidak lama lagi.

KFC adakan kempen kukuhkan jenama


KFC ADAKAN KEMPEN KUKUHKAN JENAMA

KOTA KINABALU: "Apabila kita menyebut nama KFC, ia bukan setakat mengingatkan kita kepada makanan yang lazat, berkhasiat, seimbang, harga yang berpatutan dan memberi nilai kepada wang kita.
"Tetapi kita sebenarnya bercakap tentang sesuatu yang mengisi ruang istimewa di dalam hati ramai orang dan begitu hampir dengan mereka," kata Raja Chandra Lingham, Pengurus Pemasaran KFC (Sabah) Sdn.Bhd.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Kempen Baharu KFC untuk Kukuhkan Jenama bertemakan "Segalanya indah bersama KFC" di Wawasan Plaza, dekat sini, petang kelmarin.
KFC melancarkan kempen pemasaran terbaru untuk memperteguhkan lagi jenamanya yang kukuh di pasaran restoran makanan segera di Malaysia.
Sejak memulakan operasi pada tahun 1973, KFC kini mempunyai 520 cawangan di Malaysia, Singapura dan Brunei dan merupakan rangkaian khidmat makanan segera terkemua di Malauysia dan rantau ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan KFC Holdings (malaysia) Bhd, Jamaludin Md.Ali dalam kenyataannya berkata, jenama kami berkembang diiringi dengan generasi rakyat Malaysia.
"KFC dan rakyat Malaysia sebenarnya berkongsi satu hubungan yang begitu istimewa, peribadi dan erat dan kempen ini dilancarkan untuk mengukuhkan lagi jenama kami dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami," katanya.
Sempena dengan kempen itu, KFC turut melancarkan Combo Meal baharu yang dikenali sebagai `Melody Meal'.
Ia mengandungi dua ketul ayam goreng, satu coleslaw, minuman berkarbonat dan tabung syiling berirama Colonel dengan harga RM18.50.
Menurutnya, ia dinamakan Melody Meal kerana tabung syiling berirama yang berkuasa bateri ini memainkan tiga lagu lama yang popular-Fur Elise, Oh Suzanna dan Goosey Goosey Gander-secara bergilir-gilir setiap kali wang syiling dimasukkan ke dalam slot syilingnya.
Tabung syiling berirama ini yang juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM8.50 dengan mana-mana produk ayam lain, bermatlamat untuk menyemai tabiat menabvung di kalangan kanak-kanak.
Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, rangkaian restoran makanan segera ini turut melancarkan kemeja T penampilan baru untuk krew restorannya.
KFC membelanjakan lebih daripada RM3 juta bagi tujuan pengiklanan dan promosi kempen ini, yang meliputi iklan tv, radio dan akhbar, serta publisiti di dalam restoran.
"Kami meletakkan matlamat untuk mencapai pertumbuhan dua angka dalam keuntungan dan jualan setiap tahun dan kempen ini merupakan inisiatif pemasaran jangka panjang yang penting bagi menjayakan matlamat itu," katanya.
"Kempen ini akan membantu kami berhubung dengan para pelanggan dengan cara yang lebih mesra dan menyentuh emosi, serta diharapkan agar kempen ini akan dapat meningkatkan lagi jenama kami ke tahap yang lebih tinggi," tambahnya.
Restoran KFC menghidangkan pelbagai jenis kombinasi hidangan bernilai untuk wang berasaskan Resipi Asli (OR) dan Hot & Spicy, hidangan sampingan, sandwich dan burger.

JENAMA BARU...Kelihatan dalam gambar krew KFC, dari kiri, Vivien Angel, Chandran Sreedheran,Faridah Ismail dan Ben Andrian Sinimun bersama jenama terbaru KFC.

Tuesday, March 10, 2009

Mendapat gelar wartawan temberang

Saya menerima sms daripada seorang rakan di Keningau yang memberitahu bahawa ada pihak yang tidak senang dengan tugas kami dan menuding kami-wartawan temberang-. Kami mendapat gelar itu setelah membongkar kisah dua keluarga miskin dan daif di Kampung Baginda Keningau yang menceritakan masalah mereka berkaitan bantuan kebajikan dan bertanya mengapa sampai sekarang mereka tidak menerimanya. Ketika berita itu tersiar, ada pihak melenting kerana kerenah mereka terdedah kepada umum.
Tapi kami hanya menjalankan tugas kami.Panggillah kami apa saja, yang penting kami dapat menulis dan memaparkan kebenaran, bagi memberi keadilan dan kebaikan kepada semua pihak.
Jikapun kami dipanggil temberang, tidak apa.Yang penting kami telah melaksanakan tanggungjawab kami untuk sekadar membantu memaparkan derita suka duka yang dialami keluarga Lasimin.

Manuk-manuk limbukun, masa Jepun

Manuk-manuk limbukun,
pekepa' ta pentaran
ti ingot ku musim jipun (jepun)
bukug ku bekejaran.

Betapa sukarnya kehidupan di zaman pendudukan Jepun itu dan betapa ia mendatangkan kesan yang menjadi trauma kepada penduduk kampung sehingga mereka mencipta pantun kalang sama ini. Ustaz Kahar Abdul Rahman memberitahu pantun ini begitu membekas di jiwanya ketika ia dilagukan oleh orang-orang kampung di Kampung Bingkongan, Kota Marudu yang berkisah mengenai kekejapan tentera Jepun terhadap masyarakat tempatan.

"Saya ingat betul senikata kalang ini kerana `ti ingot ku musim Jepun (bila teringat zaman Jepun), bukug ku bekejaran, mereka menggeletar hingga ke tulang. Saya fikir, memang banyak lagi, kalang yang dihasilkan masyarakat kita mengenai kekejaman penjajah di negara ini.

kalang sama ini didengari oleh Ustaz Kahar Abd.Rahman

Mabul yang suka menyanyi





Ramai yang meminta saya menulis tentang Mabul. Saya tidak pasti apa yang akan saya tulis mengenainya kerana beliau telah membuktikan kegigihan dan keberanian dalam menggeluti dunia sastera. Seingat saya, beliau mula menulis awal 90-an lagi.Awalnya menulis puisi kemudian menulis cerpen dan kemudian menulis esei budaya. Karyanya pernah tersira di Dewan sastera, manakala esei budaya pernah tersiar di Majalah Dewan Budaya mengenai suki, dan tradisi paginakan manakala dalam majalah etnik, beliau menulis mengenai peranan bambu dalam masyarakat Iranun.Beliau pernah membentangkan kertas kerja mengenai pantun dan baru-baru ini, beliau membentangkan kertas kerja mengenai bayuk dan darangen dalam Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan. Beliau suka menyanyi, walaupun bukanlah pandai sangat menyanyi, tetapi beliau pernah menyanyi depan TYT. Beliau pandai bermain gitar, dan meniup seruling tetapi saya fikir yang membuat Mabul dikenali adalah keberaniannya membuat percubaan. Beliau bersama Sean Conklin pernah menulis kertas kerja dan dibentangkan dalam persidangan bahasa Austronesia. Bakat seninya, barangkali mengalir daripada darah seni yang dimiliki ayahanda Haji Shaiddin Mohd.Hashim.
Gambar-gambar Mabul ini dirakamkan ketika beliau mengambil bahagian dalam teater muzikal dundangan kasih yang turut disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Haji Amadshah Abdullah.









Nurul bakal seniwati?




Mestinya Nurul Fadzilah Nordin boleh pergi jauh dalam dunia seni. Beliau seorang yang berbakat malahan sudah menempah nama sebagai seorang penyanyi tempatan yang terkenal di negeri ini.Sering muncul dan membuat persembahan di pentas-pentas kesenian dan hiburan. Tetapi Nurul juga berbakat nbesar dalam dunia lakonan. Gambar ini dirakamkan ketika Nurul terlibat dalam teater muzikal dundangan kasih. Setakat ini, nurul telahpun membintangi vcd telemovie yang diterbitkan oleh Saba F Production, yang diarahkan Nandra Hitong. Saya yakin Nurul bakal menjadi seniwati yang boleh dibanggakan sekiranya beliau tabah mengharungi dunia seni.

Mengenai Cikgu Zainoraim Makbul


Saya suka dan tertarik dengan kebolehan Cikgu Zainoraim Makbul membaca puisi, terutama jika dia membaca puisi Harimau karya Prof.Rahman Shaari. Beliau mempunyai gaya yang tersendiri ketika membacanya.Saya fikir jika beliau giat berlatih dan mempelbagaikan sajak yang dibacanya, beliau boleh jadi seorang deklamator yang disegani.Bagaimanapun, gambar ini dirakamkan ketika beliau menyertai dundangan kasih, teater muzikal arahan Jamal sulai satu ketika dulu. Beliau dirakamkan dalam busana tradisional Bajau.

Kak Ony Latifah dan Raymond Majumah


Saya kagum dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh kak ony (Ustazah Ony Latifah Osman) dan Saudara Raymond Majumah @ Azlan Shafie Abdullah dalam memperjuangkan budaya mereka.Kak Ony dari suku Kimaragang manakala Raymond, dari suku kaum Rungus yang mendiami wilayah utara negeri Sabah.Kedua-duanya cikgu, kedua-duanya penulis dan kedua-duanya amat baik belaka dan berbudi mulia.

Mengaku 18 tahun tapi 16 tahun

Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) mengesan cubaan pihak tertentu yang cuba mendaftarkan pekerja bawah umur sebagai pekerja mereka, kata Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Rudhito Widagdo.
"Permohonan mereka kami tolak kerana mereka pekerja di bawah umur dan ini menyalahi peraturan dan undang-undang," katanya.
Beliau meminta pihak majikan dan agensi pekerja asing supaya memberikan data yang betul kerana jika mereka memberi data pekerja yang salah, ia boleh merumitkan dan mendatangkan kesukaran.
"Ada pekerja yang datang mengaku usianya 18 tahun. Tetapi setelah kami buat siasatan, ternyata dia baru berusia 16 tahun," katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.
Rudhito berkata, setakat ini seramai 4,300 orang pekerja Indonesia telah diberikan pasport melalui program pemutihan pekerja asing itu dengan purata seramai 120 orang hingga 150 orang sehari.
Katanya, KJRI hanya mengambil masa sehari untuk memproses permohonan mereka dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pasport.
Bagaimanapun, beliau juga memberitahu pihaknya masih menjumpai kes dimana orang asing cuba memohon pasport Indonesia.
Beliau meminta kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Imigresen bagi memastikan perkara seumpama itu berulang.
Selain itu, beliau menasihatkan supaya agensi atau majikan tidak menukar nama pekerja mereka manakala pekerja Indonesia diminta supaya mereka memberikan nama mereka yang sebenar.
"Jangan tukar nama atau sembunyikan nama yang betul. Berikan data yang benar, tunjukkan dokumen yang sah" katanya.
Beliau berkata, masih terdapat pekerja yang menggunakan nama Jeremy Thomas, iaitu seorang pelakon, Inul Daratista, Michael Ballack, dan sebagainya.
"Mereka berbuat demikian bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan kerana tinggal melebihi tempoh di Malaysia," katanya.
Jelasnya, seseorang pemohon pasport Indonesia di bawah proses pemutihan itu hendaklah membawa resit pembayaran levi, insuran dan salinan kontrak kerja.
Rudhito juga menggesa agar pihak majikan yang memberikan maklumat yang palsu dengan tidak memberikan maklumat dan data yang lengkap supaya dikenakan tindakan yang sewajarnya.
"Tangkaplah majikan yang suka bohong dan menipu," katanya kerana jika mereka tidak memberikan data yang sebenar, ia menyulitkan pelbagai pihak.
Beliau juga menasihatkan pekerja Indonesia supaya memberikan salinan perjanjian kontrak kerja kerana jika terjadi sebarang perselisihan, pihak KJRi boleh membantu memberikan perlindungan mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada.
"Majikan tidak semua jelek...hanya satu dua yang jelek. Yang jelek itulah yang kita lawan," kata sambil memberi contoh kes yang berlaku di Tawau dimana KJRI menang dalam gugatan mereka terhadap majikan yang tidak membayar gaji pekerja.

Perbuatan mengganti nama merumitkan

PERBUATAN MENGGANTI NAMA MERUMITKAN

KOTA KINABALU: Penyanyi Yuni Sara mungkin mempunyai ramai peminat di negara ini tetapi nama itu ternyata membuat Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia, Bapak Rudhito Widagdo pening kepala.
"Terdapat ramai pekerja Indonesia yang mengganti nama asli mereka. Kelmarin ada pembantu rumah yang mengganti namanya dengan nama Yuni Sara, ini menyusahkan kerana ia bukan nama asli mereka" katanya kepada Utusan Borneo.
"Kadang-kadang kadang mereka tidak ingat nama baru mereka, sehingga terpaksa dipanggil beberapa kali oleh petugas, barulah mereka menyedari bahawa nama yang dipanggil itu adalah nama mereka yang baru," katanya sambil menjelaskan ini merupakan beberapa perkara yang berlaku dalam proses pemutihan yang sedang berjalan sekarang.
Rudhito berkata, dalam proses pemutihan yang sedang berjalan sekarang, pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, banyak menem,ukan pekerja-pekerja Indonesia yang tidak mempunyai dokumen langsung, mengganti nama asli mereka, mengganti tanggal lahir mereka atas arahan majikan atau agensi pekerja asing.
Katanya, majikan dan agensi pekerja asing meminta mereka mengganti nama asli kerana kononnya nama mereka menimbulkan masalah.
"Padahal jika mereka mengganti nama kepada nama yang baru, itu lebih menyukarkan dan menimbulkan banyak masalah bukan saja kepada mereka malah keluarga mereka," katanya.
Katanya, dalam proses temuduga yang dijalankan, pihak KJRI berusaha untuk mengembalikan nama mereka kepada nama yang asal.
"Nama asli penting kerana jika mereka terlibat dalam kes kemalangan mislanya, ia nanti akan menimbulkan masalah," katanya.
Rudhito menegaskan perbuatan majikan dan agensi pekerja asing untuk memaksa pekerja mengganti nama mereka adalah menyalahi undang-undang.
"Saya marah sekali,Saya tanya kepada mereka, kenapa kalian ganti nama, kenapa kalian ganti tanggal lahir dan kenapa kalian beberapa tahun berada di negara ini, tidak memiliki dokumen langsung" katanya.
Katanya, terdapat seramai 217,367 tenaga kerja Indonesia yang didaftar oleh pihak Jabatan Imigresen dimana 160,000 daripadanya bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan.
Katanya, sebelum mereka membuat pasport untuk pekerja Indoneseia, mereka hendaklah memenuhi syarat seperti membawa resit pembayaran levi, resit insurans dan kontrak kerja yang dicop dengan setem hasil.
Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 1,000 orang telah menjalani proses pemutihan itu di konsulat di Kota Kinabalu dimana kebanyakannya bekerja dalam sektor informal seperti pembantu rumah, pekerja dalam sektor pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Menurutnya, setakat ini belum ada seorangpun daripada 160,000 pekerja ladang dan perkilangan yang mengambil peluang dalam proses verifikasi itu.
"Ini bermakna seramai 160,000 pekerja ladang dan kilang belum membayar bayaran levi mereka," katanya". Bayaran Levi yang dikenakan kepada pekerja ladang ialah RM540 seorang manakala bagi pekerja kilang ialah RM960 seorang.
Katanya, ramai majikan yang cuba lari daripada undang-undang dengan tidak membayar levi pekerja mereka dan terus mempekerjakan pendatang tanpa izin.
Selain itu, beliau juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap majikan yang `menipu' dengan mengambil kesempatan dalam proses pengampunan itu.
"Kelmarin terdapat seorang wanita yang mengaku dia orang Toraja datang ke Konsulat untuk mendapatkan dokumen. Bila diajak bercakap Toraja, dia tidak boleh bercakap Toraja. Bila ditanya adalakah dia mempunyai sanak saudara di sini, katanya dia tidak punya. Setelah disiasat, kami dapati dia orang Filipina.
"Bila ditanya mengapa dia mengaku orang Indonesia, dia menyatakan bahawa yang mengatur adalah pihak majikan," katanya.
"Kita menyatakan bahawa mereka yang bukan pekerja Indonesia tidak boleh memasuki kawasan konsulat," katanya.
Beliau meminta pihak Kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap majikan dan pekerja asing yang gagal mengambil peluang dalam proses pengampunan itu.
Beliau juga meminta supaya pekerja asing yang bekerja secara haram di negara ini diambil tindakan tegas. "Tindakan tegas haruslah diambil kepada majikan yang mempekerjakan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen," katanya.
"Kita mesti tegas dan serius jika mahukan masalah ini dapat diatasi. Tapi kita mahu semua pihak bekerjasama dan supaya jangan ada dusta di antara kita.

Saya terharu dan berterima kasih

Saya mudah merasa terharu sekiranya bertemu seseorang rakan, sahabat, kenalan atau pembaca yang memberitahu bahawa mereka membaca blog saya. Terima kasih.Ia memberikan saya semangat untuk terus menulis dan menulis.Terima kasih.
Saya terharu ketika abang saya di Kudat memberitahu bahawa beliau mengikuti tulisan saya dalam blog. saya juga terharu ketika seorang kenalan dari kampung taun gusi memberitahu bahawa beliau suka membaca blog saya dan tanya bila waktunya saya menulis. Juga saya terharu, ketika seorang sahabat pimpinan pemikir dan aktivis, yang memberitahu beliau sering membaca posting saya di blog. Juga saya terharu ketika seorang rakan di DBP memberitahu, selalu berkunjung ke blog saya.Terima kasih kepada semua yang sering mengsms, mengemel dan memberi respon terhadap tulisan saya. Terima kasih sebelum dan sesudahnya

Sunday, March 8, 2009

Catatan mengenai sahabat-Lichong Angkui

Saya sengaja berlambat-lambat membaca coretan sahabat saya, Lichong Angkui yang ditulisnya buat kali yang terakhir buat pembaca Utusan Borneo. Ada semacam rasa keengganan untuk membaca coretan itu. Tetapi saya membacanya juga, ketika duduk bersendirian di hadapan komputer seperti ini.
Lichong melangkah pergi meninggalkan UB tetapi saya yakin beliau tidak akan dapat berhenti meninggalkan dunia kewartawanan kerana sekali menjadi wartawan,akan terus menjadi wartawan, apapun bentuknya.
Kami enggan melepaskannya tetapi beliau telah membuat pilihan dan kami terpaksa menghormatinya. Pernah beberapa kali saya cuba menghubunginya tetapi telefon itu terus berdering dan berdering dan seperti lagu ebeit g ade, beliau seolah-olah menyatakan perjalanan itu sungguh menyedihkan.
Memang menyedihkan kejadian malam itu. Kata orang, malang tidak berbau kerana sekiranya ia berbau, tentu tidaklah berlaku kemalangan itu. Dan kerana itu, beliau terlantar di rumah sakit dan seperti katanya, hingga kini masih berkerusi roda untuk meneruskan perjalanan -yang katanya-masih samar untuknya.
Tetapi saya percaya, bermula dengan kesamaranlah, kita akan melihat cahaya yang terang benderang. Bahawa segala yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya.Bahawa tidak ada sehelai daunpun yang tertanggal yang terlepas dari perhatianNya. Bahawa tragedi hidup seperti kemalangan tragik yang dialami Lichong, bukanlah tragedi sebaliknya cara Tuhan bercakap dengan kita, sebagai hamba, bahawa Dia masih melindungi kita dengan kasih rahmatNya.
Lichong merupakan antara personaliti yang influental dalam kerjaya saya sebagai wartawan.Belaiu banyak berjasa kepada saya. Seingat saya, melalui tangan beliaulah, tulisan saya yang terawal terpapar dalam akhbar Berita Harian dalam tahun 1980-an dulu. Saya tidak dapat melupakan perhatian dan galakan yang diberikannya. Sebagai seorang peribadi, saya mengenali beliau sebagai seorang yang amat baik, dedikasi dan penuh komitmen dalam kerjayanya.Beliau seorang pendorong dan pembimbing yang baik.Kerana peluang yang diberikannya itulah, minat saya terus tumbuh dan subur sehingga kemudian saya ditawarkan bekerja sebagai wartawan di Utusan Borneo pada 16.4.1994 tanpa banyak soal hanya kerana saya pernah menulis berita dan rencana di Berita Harian dan Berita Minggu.
Lichong memiliki banyak kelebihan walaupun,perlu juga saya akui , dalam aspek tertentu beliau mempunyai sedikit kelemahan. Tapi itu lumrah manusia biasa. Hakikatnya, beliau telah memberi sumbangan dan jasa yang cukup besar bukan saja kepada Utusan Borneo sejak ia menjadi akhbar penuh berbahasa Melayu tetapi juga kepada dunia kewartawanan di negeri ini.
Saya melihat gambarnya.Tersungging senyuman. Nada bicaranya bersahaja, bahkan masih mampu tertawa, seakan tidak terjadi apa-apa disebalik tragedi yang dialaminya.
Namun itulah dia, Lichong Angkui,sahabat kami dan guru kami semua di tingkat enam, Utusan Borneo.

Gambar ketika majlis penutupan persidangan


Ini gambar yang saya ambil daripada blog Ketua satu IPS, Sukor Haji Usin yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi. http://hasyuda-abadi.blogspot.com. Blognya yang lain ialah lamanwebnya ialah http://www.kreatifha.com/. Gambar ini diabadikan ketika kami- ahli-ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS)menghadiri pada hari penutup Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan di DBP Sabah.
Dari kiri, Ustazah Ony Latifah Osman, Anthonia @ Kunia, Abd.Naddin Hj Shaiddin, Hasyuda Abadi, Cikgu Juilis Mokujal dan Ahli Kehormat IPS, Laliman Haji Ahmad. Tiada dalam gambar ialah Mohd.Fuad Bebit,Mabulmaddin Hj Shaiddin, Martinah Obod, Katherina Tati, Jasni Yakub dan ramai lagi.

Teladani Perilaku Rasulullah S.A.W

TELADANI PERILAKU NABI
KINARUT: Usaha melahirkan generasi berkualiti dapat dijayakan sekiranya umat Islam meneladani perilaku dan sikap hidup Rasululullah S.A.W, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif.
Beliau berkata, tiga ciri yang perlu diteladani dari Nabi Muhammad S.A.W ialah yang pertama, berpegang teguh dengan nilai akidah yang menjadi teras perjuangan dan asas kesejahteraan hidup dalam masyarakat dan negara.
Menurutnya, Rasulullah mengajar umat Islam menjauhi perkara syirik, khurafat dan tidak berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan akidah.
Katanya, ciri kedua yang perlu dicontohi oleh masyarakat khususnya para belia ialah mengamalkan saranan Rasulullah agar menimba ilmu sebanyak-banyaknya untuk cemerlang.
"Sekiranya golongan belia menggali dan menimba ilmu sebanyak-banyaknya, mereka mampu mencipta kecemerlangan demi kesejahteraan ummah," katanya ketika menyampaikan Khutbah Jumaat di Institut Kemahiran Belia Negara, di sini.
Menurutnya, ciri ketiga yang perlu diteladani dari sikap hidup Rasullullah ialah menjadikan beliau sebagai contoh dalam nilai akidah yang unggul.
"Generasi muda hendaklah menjadikan Nabi sebagai contoh dalam hidup mereka dalam menghadapi cabaran zaman dalam era global kini.
Menurutnya, jika akidah rendah, adalah sukar untuk menuju ketinggian hidup.Jika akhlak tidak diberi keutamaan, mustahil kita akan mencapai martabat kemuliaan dan keutamaan.

Persembahan teater Lungun










Persembahan Teater Lungun oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Cawangan Tawau, skrip dan arahan Hassan Saprin memeriahkan lagi acara Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan. Teater Lungun itu yang mempertontonkan persembahan yang mantap berjaya menarik perhatian penonton yang memenuhi Dewan Besar DBP Sabah itu. Semua kerusi penuh. Seorang pengamat teater yang tidak asing lagi di Sabah , Laliman Ahmad menyifatkan persembahan itu agak berjaya walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam beberapa aspek teater itu seperti pertukaran babak, lampu dan sebagainya. Persembahan itu wajar dipuji walaupun ia bukanlah persembahan terbaik daripada Hassan Saprin.
Gambar ihsan Logiman Juakim, DBP Sabah

Resolusi Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009

Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009 yang diadakan di Kota Kinabalu Sabah pada 6-8 Mac 2009 meluluskan sepuluh resolusi untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
1.Meminta Kerajaan agar menjadikan Sabah sebagai Dataran Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan.

2. Menjadikan Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan sebagai acara tahunan

3. Mendesak Kerajaan mewujudkan Geran Khas untuk badan-badan persuratan di Malaysia

4. Meminta Kerajaan melalui Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan mewujudkan Sekretariat Persuratan dan Kebudayaan Malaysia di Sabah.

5. Meminta Kerajaan menubuhkan Akademi Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan di Sabah

6. Mengiktiraf Sabah sebagai contoh perpaduan dan persefahaman kebangsaan

7. Mewujudkan jaringan persuratan dan kebudayaan antara negeri-negeri dalam Malaysia

8. Meminta Kerajaan Negeri Sabah bagi mewujudkan Anugerah Persuratan bertaraf ASEAN

9. Mengisytiharkan Mei sebagai Bulan Festival Puisi/Negeri Sabah

10. Mendesak Kerajaan Menubuhkan Majlis Persuratan dan Kebudayaan Negeri Sabah

Pembentukan bangsa perlu iltizam semua pihak


PEMBENTUKAN BANGSA PERLU ILTIZAM SEMUA PIHAK

KOTA KINABALU: Pembentukan bangsa dan negara perlu disempurnakan dengan penuh kesedaran dan iltizam semua pihak, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Katanya, pembentukan bangsa seperti pembinaan budaya, bahasa dan sastera merupakan projek yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan komitmen semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, bangsa yang tidak menunjukkan sikap prihatin terhadap pembinaan bahasa kebangsaannya , tidak akan berjaya dalam membina citra budaya, adat dan bahasanya.
Raymond berkata demikan dalam ucapannya Majlis Penutupan Persidangan dan Kebudayaan Kebangsaan, Dialog Persuratan Sabah-Johor dan pelancaran Antologi Puisi Penulis Sabah-Johor di Dewan Besar, DBP Sabah kelmarin.
Melalui program yang diadakan itu, beliau berharap akan menjadi titik tolak sebagai satu wadah pencetus kesedaran dalam membangunkan budaya, adat,bahasa dan sastera tanah air agar ia terus berkembang.
"Sesungguhnya pembentukan budaya mencerminkan sesuatu bangsa yang bermaruah yang sifatnya lebih cenderung kepada kelembutan,kesopanan, kesetiaan,kehalusan, pengorbanan serta kepasrahan.
Menerusi tradisi dan ingatan sejarah inilah sebuah bangsa itu mampu atau berupaya mengatur sesebuah negara yang berdaulat atau sekurang-kurangnya berjuang berhabis-habisan untuk membangunkan sebuah negara, katanya.
Katanya, seminar yang dianjurkan sesungguhnya dibina dan dipamerkan menerusi sikap dan tindakan untuk lebih terkedepan dalam memperjuangkan bahasa, sastera dan budaya untuk memperjuangkan citra yang sewajarnya buat bangsa Malaysia.
Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Japlin Haji Akim.
Beliau memuji sikap yang ditunjukkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah mengambil langkah-langkah positif melestarikan bahasa dan sastera yang menjadi teras dan warisan budaya bangsa.
"Dalam hal ini, Kerajaan Negeri memainkan peranan dan akan sentiasa membantu serta memberikan sokongan dalam setiap program yang dianjurkan," katanya.
Raymond juga mengucapkan syabas kepada pihak DBP, BAHASA dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana meneruskan usaha untuk menyemarakkan warisan budaya kita agar terus unggul.
"Kita perlu terus memastikan bahawa warisan bangsa itu terus dihayati dan dihargai sepanjang masa," katanya.
"Selain bahasa, budaya juga berkaitan dengan jati diri.Kalau kita tidak ada jati diri, kita memang masih boleh maju dalam bidang ekonomi tetapi tidak dapat atau sukar dikenal orang apakah bangsanya kita ini".
"Orang Jepun, orang Perancis,orang Jerman,orang Korea,orang Sweden dan banyak lagi yang lain, maju juga tetapi tidak pula mereka berasa rendah diri apabila mereka mengutamakan budaya dan bahasa mereka sendiri.
Sastera dan budaya merupakan salah satu unsur jati diri yang penting, katanya sambil berharap supaya semua pihak
bersama-sama meneruskan pembangunan negara.
"Dan dalam masa yang sama kita juga memberikan perhatian kepada aspek jati diri yang terpancar melalui bahasa, kebudayaan, pemikiran dan sistem kemasyarakatan," katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas,Wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Bapak Iman Rokhadi, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah, Jasmi Rashid, Yang Di Pertua BAHASA, Jasni Matlani dan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) Sukor Haji Usin.