Tuesday, June 30, 2009

Jalanraya runtuh di Kampung Lupak


Jalanraya yang runtuh ini terletak benar-benar berhadapan SK Lupak Beaufort. Saya kira ia berpunca daripada hakisan sungai Padas yang berlaku akibat kegiatan mengambil pasir (ada orang mengatakan mereka mencuri pasir kerana didakwa tidak mempunyai lesen untuk mengambil pasir di kawasan itu). Sehingga kini 30 Jun 2009, jalanraya itu belum diperbaiki. Padahal ia sudah lama runtuh.Ia boleh meruntuhkan wibawa kerajaan jika tiada apa-apa langkah yang diambil untuk memperbaiki jalanraya yang runtuh ini.

Mencari makna Sintak rabut

Dalam keadaan yang `sintak rabut' itu, kata Saudara Awadnir tidak banyak yang dapat kita lakukan melainkan kita mencari jalan untuk keluar daripada permasalahan kita. Kontraktor Melayu tidak selama-lamanya boleh berharap kepada kerajaan.Kadang-kadang kata Yang Di Pertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sabah ini, pokok durian tidak berbuah walaupun ia sering dibaja. Beliau menyeru supaya kontraktor mengusahakan tanah mereka untuk pertanian, menceburi bidang penternakan dan sebagainya. dalam suasana ekonomi yang gawat ini, katanya kontraktor perlu sentiasa berwaspada dan menghidupkan semangat ingin bersaing dan berjuang. Jika mereka tidak mencari jalan alternatif, mereka tidak akan dapat keluar dari keadaan yang `sintak rabut' itu.
Sebenarnya yang menarik bagi saya dalam ucapan Saudara Awadnir ini ialah perkataan sintak rabut, satu kosakata dalam bahasa Melayu sabah yang sudah lama saya tidak mendengarnya. Sintak rabut boleh membawa makna keadaan yang tidak keruan, kalangkabut, kelamkabut, gelabah, menggelabah dan sebagainya. Ketika saya bertanya kepada Mabul, Sintak rabut, mungkin berasal dari perkataan sentak dan rebut.Setelah disentak talinya, maka ia mesti direbut, katanya secara berjenaka.
Dalam keadaan sintak rabut seperti ini, saya juga sintak rabut kerana mencari asyik mencari makna sintak rabut.

Monday, June 29, 2009

Menjejaki Dang Insum-Pahlawan Wanita Bisaya






















i-Jam 4.00 petang saya telah berada dalam teksi menuju ke Beaufort. Pohon-pohon dipayungi mendung.Barangkali sebentar lagi akan hujan.Tetapi saya harus ke sana untuk mencari seorang wanita bernama Dang Insum.

ii-Ketika ditanya pemandu teksi itu,dimana saya akan berhenti, saya menyebut nama Melde Hotel. Di sana, Saudara Johal (Mohd.Johawalia Jamsin) sudah lama menunggu. Selepas membayar tambang RM15.00, saya melompat keluar.Tak perasan bahawa dalam teksi yang sama ada seorang wanita, yang ayu juga wajahnya. Yang pasti bukan Dang Insum.

iii- Hujan menyirami kebimbangan kami. Jika hujan turun berterusan, misi kali ini akan gagal kerana tempat Dang Insum itu, khabarnya tidak boleh dikunjungi kerana tanah yang lembab dan basah boleh menghalangi perjalanan. Lalu kami singgah sebentar di Restoran Rahmat. Bercerita mengenai hal-hal yang menarik di daerah itu.

iv- Kira-kira jam 10.30 malam, Tuan ADO, Mohd.Shaid Haji Othman mengajak makan di Beaufort Club. Banyak juga makanan yang dipesan, dan kami makan di tengah hujan yang turun dengan lebat sambil bercerita kisah-kisah kanak-kanak, kemiskinan dan sebagainya.

v. Tertidur hampir 2.00 pagi. Mulanya melihat siaran star movie mengenai pelancong yang dimakan buaya dan lepas itu, cerita mengenai incredible hulk.

vi-Selepas mandi, kami minum di Kedai Nam Fong, yang menurut Johal, soto yang dijualnya sedap. Walaupun taukeh kedai itu, orang Cina, tetapi pekerjanya orang tempatan dan kebanyakan pelanggannya 70 persen orang Melayu. Itulah uniknya Sabah.

vi-Sebelum itu sempat singgah di Kedai Goh Chin Hoo.Kedai suratkhabar. Saya tercari-cari wajah taukehnya, seorang taukeh yang baik dan kami pernah berkenalan di stesen sewaktu keretapi tergelincir dulu.
Siapa kau cari, tanya Johal.
Kawan saya, taukeh kedai itu.
Dia sudah meninggal. stroke. Saya terkejut dan tak menyangka, betapa mudahnya umur dipisahkan dari seorang insan lemah.

vii-Kami meneruskan pencarian untuk bertemu Dang Insum. Saya bertanya seorang tua, Omar bin Gara bin Ganza bin Laksamana Idris, berusia 103 tahun. mungkin yang paling tua di Beaufort.Beliau berkata beliau dilahirkan pada 14 Julai 1906 meskipun catatan di mykadnya beliau berusia 88 tahun. Beliau bercerita mengenai Dang Insum. Mengenai Beaufort, yang katanya sebelum kedatangan Beaufort dipanggil Kampung Borosanun. Mengenai Weston yang katanya sebelum kedatangan orang putih disebut, Madang Tawas. Mengenai suku kaum Bisaya, mengenai perjuangan orang dulu, dan sebagainya.

viii-Selepas itu, kami menuju ke Padas Damit. Sebelum itu kami singgah di Restoran Idaman untuk makan tengahari. Saya agak terkejut bila kawan Tuan ADO minta sup gear box. Gear Box? Ketika sup itu sampai, rupanya sup tulang kerbau.

ix-Kami singgah juga bertanya Asmah binte Banir,73 untuk menjejaki Dang Insum. Katanya, Dang Insum itu terlibat dalam perjuangan menentang British pada tahun 1888-1889.

x-Kemudian kami pun sampai di Kota Makarang. Melihat tugu Shabandar dan makam pahlawan wanita dari suku kaum Bisaya yang menentang penjajah, ratusan tahun yang lampau-Dang Insum.

Friday, June 26, 2009

namamu yang unik

Keadaan sudah berubah. Kalau dulu jalan di kampung kami agak sukar dilalui. Jalan berdebu ketika kemarau dan berlumpur bila musim hujan tiba. Tetapi kini, syukurlah, jalanraya itu sudah diaspal hingga hampir ke tangga rumah kami.
Entah berapa kali sudah jalan raya itu keluar di suratkhabar. Jalan raya tetap begitu, untuk beberapa dekad lamanya. Masyarakat kampung merayu supaya jalanraya itu diperbaiki supaya orang kampung mudah menjual hasil pertanian, hasil perikanan, hasil kraftangan ke Kota Belud. Tetapi itu cerita dulu. Sekarang jalan raya semakin baik dan ramai orang-orang kampung, yang dulunya hanya memiliki sampan, kini sudah mampu memiliki kereta, kalau tidak ninja king, atau proton wira, sekurang-kurangnya mereka memiliki kereta kancil.
Keadaan jalanraya yang teruk itu sangat erat hubungannya dengan kehidupan kami. Bahkan jalanraya yang teruk lagi sukar dilalui itu turut mempengaruhi proses penamaan anak-anak yang baru lahir di kampung kami. Sehingga lahirlah nama-nama yang unik, nama-nama yang diambil dari jenama makanan atau minuman. Tetapi sungguh, ia bukan hal yang disengaja.
Setiap kali ada ibu yang melahirkan anak, dan kebetulan pula sukar untuk turun ke pekan, biasanya mereka menitipkan nama anak mereka untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran melalui seorang haji, satu-satunya pemilik kereta pick up di kampung kami, yang baik hatinya tetapi pelupa.
Beliaulah yang banyak membantu mendaftarkan kelahiran anak-anak untuk mendapatkan surat lahir. Tahun-tahun 70-an dan 80-an memang kehidupan agak susah dan derita. Jadi melalui orang tua inilah, ibubapa menitipkan nama-nama anak mereka untuk didaftarkan.
Tetapi ada kalanya dia terlupa nama anak yang baru lahir itu. Untuk berpatah balik, kampung agak jauh manakala jalan raya agak teruk. Untuk menunggu esoknya, tentu banyak kerja yang tergendala.
Jadi ketika ditanya kerani pendaftaran , siapa nama anak itu pakcik? untuk beberapa ketika beliau cuba mengingat-ingat. Tetapi yang diingatnya ialah pesanan orang kampung yang lain, yang minta dibelikan makanan bayi.
"Siapa nama budak itu, pakcik?"
"simpan namanya dumik." Sebenarnya yang melintas di kepalanya ialah dumex, yang dipesankan kepada oleh seorang ibu untuk anaknya.
Ada juga nama Liktojen, daripada Lactogen dan macam-mcam lagi nama yang unik.Mujur ada diantara mereka telah berganti nama, bila dewasa. Ada juga nama desik, ada juga nama bagna (joe bugner) dan banyak nama lagi.
Walaupun bukan semuanya, ternyata keadaan jalan yang teruk itu mempengaruhi proses penamaan nama anak-anak yang pada mulanya cantik tetapi berubah jadi unik kerana pak haji itu terlupa. Apatah lagi tak ada telefon, dan jalan ke kampung itu memang berbukit bukau.
Tetapi sekarang keadaan jauh berubah. Ini hanyalah sepotong kisah bagaimana setengah orang di kampung kami memiliki nama yang unik.

Wednesday, June 24, 2009

Kalau kau lama tidak pulang

Walaupun selalu tersembunyi, apa saja yang namanya kampung, selalu menarik. Apatahlagi kalau kau lama tidak pulang, hatimu akan digamit kerinduan yang teramat sangat.Kau menjadi rindu kepada kehijauan, sawah padi, kau menjadi rindu kepada kelapa muda, kau menjadi teringat mangga muda, kau menjadi teringin makan ubi dan kau tercari-cari ikan bungkaung atau ikan langging. Tapi yang paling kau ingat ialah siager, sejenis makanan tradisi yang barangkali amat dekat dengan lingkunganmu.
Apapun yang namanya kampung selalu membuat kita rindu. Apalagi kerana kita lama tidak kembali. Alasan yang selalu kita ada ialah kita selalu dipeluk oleh kesibukan-kesibukan duniawi sehingga kita tidak berdaya untuk sekedar pulang sebentar menjenguk ibu bapa. Juga keluarga kita.
Minggu-minggu yang lalu, musim karepa-repa atau ketam surih kata orang. Kalau kau masih ingat, orang-orang di kampung selalu pergi ke laut membawa lampung pam (lampu )untuk menyuluh dan menagkap ketam, kalau tidak dengan tangan, dengan gintur yang dibawa bersama.
Kalau sawah yang kau rindukan, simpanlah rindu mu sekarang kerana ramai orang kampung kita, kini tak dapat lagi bersawah padi kerana kurang atau lemahnya sistem pengairan. Orang kampung kita yang dulunya pengeluar padi, kini banyak yang jadi pembeli. Kau pernah bertanya, sambil mengulang-ulang multatuli, bahawa bukankah petani yang menanam, memberi makan orang lain, dan orang yang makan nasi, seringkali tidak mengenal orang yang menanamnya.
Apa saja yang bernama kampung tentu istimewa. Kalau kau masih ingat, waktu kecil kau mengaji di rumah pak guru, seronok sekali. Tapi kau cepat sekali pulang untuk melihat tayangan gambar P.Ramlee atau melihat filem Combat, The Six Million Dollar man, dan sebagainya dan kerananya ada orang di kampungmu dipanggil desik oleh ayahnya.
Lambaian pokok nyiur sama seperti dahulu.Sudah tentu kau berbangga kerana kampungmu indah.Cuma yang tak indahnya bila banyak juga yang menjadi penagih, walaupun lebih ramai lagi anak-anak yang menjejakkan kaki ke universiti.
Banyak nilai-nilai luhur dan murni yang menghilang ditiup angin dari kampungmu. Tapi kau boleh berbangga kerana di antara banyak kampung di daerahmu, kampungmu bolehlah dikatakan ada sedikit maju.
Apa saja yang tersembunyi selalu indah kan? sehingga kau tergesa-gesa menuliskan catatanmu, sehingga kata-katamu jadi celaru dan tak menentu. Tentu banyak yang ingin kau tuliskan, menulislah. Kalau tidak, mari kita makan ikan bakar. Seda a Tiapa tidak ada di sini. Yang ada ialah ikan yang buncit perutnya terkena bom ikan.
Segalanya tiada yang asli di sini. Dan kau merindukan segala yang serba tersembunyi. Asal kau jangan bersembunyi dari apa yang kau namakan, hati nurani.

Tuesday, June 23, 2009

Teringat pecal makcik

Jika teringin makan pecal, saya akan ke tamu Tuaran. Hanya disana ada orang yang menjualnya. Sewaktu kecil dahulu, dan sewaktu sekolah rendah di SK Tamau,Kota Belud,saya suka dengan pecal yang dibuat oleh makcik. pedas kuahnya. Pecal, saya kurang tahu apa istilah melayunya tetapi ia ialah sejenis makanan yang didalamnya berisi mee hon, kangkung, kadang-kadang nangka dan kuah kacang yang ditumbuk. Dan dibungkus dengan daun pisang. Harganya waktu itu hanya sepuluh sen, dan kita boleh makan semaunya. Makcik saya itu seorang yang dijiwanya tertanam jiwa entrepreneur. Sejak dahulu lagi, beliau seorang wanita yang gemar berniaga, bahkan hingga ke hari tuanya, tak ada ruang yang dipersiakannya kerana kebanyakan waktunya digunakan untuk berniaga. Hasilnya, dialah yang melahirkan graduan pertama di kampung kami. Anak-anaknya yang lain berjaya dan sampai ke menara gading.
Tapi malam ini saya teringat pecal, dan semangat keusahawanan di kalangan masyarakat kita. Dulu kalau bukan ayam kampung, sayur-sayuran yang dibawa ke pekan ataupun tamu, sumber-sumber laut seperti ikan, ketam, udang, siput, kerang dan sebagainya akan dibawa ke bandar untuk jadi bahan jualan. Barangkali semangat juang berjuang untuk survival yang menyebabkan mereka melahirkan ramai anak-anak yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Satu ketika dahulu orang menyamakan Kota Belud dengan Kota Bharu. Jika orang berkunjung ke Pasar Kota Belud maka keadaannya hampir sama dengan Pasar Siti Khadijah. Aktiviti keusahawanan dan perniagaan dimiliki dan dimonopoli oleh golongan wanitanya.
Sehingga kini, semangat berniaga di kalangan masyarakat Kota Belud masih tinggi cuma khabarnya, sekarang ada beberapa gerai di pasar KB sudah mula digunakan oleh orang yang bukan dari daerah ini.

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya. Saya teringat salah satu dialog yang diucapkan oleh pak guru dalam filem Laskar Pelangi. Kata-kata ini, jika dihayati mampu mendorong kita membuat kebaikan sebanyak-banyaknya.Tanpa pamrih. Ia menjadikan hidup kita mulia dengan memberi sebanyak-banyaknya kepada orang lain, kepada sesama, kepada semua yang memerlukan.
Kebetulan, pagi tadi saya menghadiri Sidang Media Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun mengenai Bulan Kebajikan 2009. Beliau juga menekankan pentingnya semangat kesukarelaan ditanamkan ke jiwa setiap anggota masyarakat agar mereka sedia membantu.
Semua orang boleh menjadi sukarelawan, katanya. Malah jika anda datang ke rumah orang-orang tua dan membacakan buku untuk mereka, itupun satu bentuk kerja sukarela. Masyarakat kita perlu digalakkan untuk sentiasa membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Setiap cahaya lilin yang dihidupkan mampu menerangi kegelapan. Lilin tidak akan kehilangan cahayanya jika lilin lain dinyalakan tetapi jika lebih banyak lilin yang mampu dinyalakan, ia mampu menerangi ruang dengan terang benderang.

Sunday, June 21, 2009

Datuk Masidi di Facebook

Barangkali saya tidak salah jika mengatakan Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merupakan seorang menteri yang peka terhadap perkembangan teknologi baru. Sepanjang pengetahuan saya, Datuk Masidi adalah menteri kabinet Sabah yang pertama menyertai komuniti Facebook, dan melalui FB ini beliau dapat berhubung langsung dengan rakyat, bercakap dengan mereka, bertanya khabar, bertukar fikiran dan sebagainya. Malah ada juga rakan mengusulkan sambil bergurau, mungkin satu masa nanti sidang media juga boleh dibuat melalui FB.
Tahniah kepada Datuk Masidi kerana berani merangkul teknologi baru. Setakat ini, hanya segelintir pemimpin Sabah yang menyertai komuniti maya ini. Saya nampak hanya beberapa orang yang melibatkan diri, antaranya Azman Haji Roslan, Jamawi Jaafar, Moh.Joh Haji Wid, Nazliah Ali,Zulkhairi Haji Ismail (AJK Bahagian Papar) dan beberapa orang lagi yang saya tak dapat sebut namanya. Di KL, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, Mustapha Kamil Ayub Naib Presiden KEADILAN, Khalid Jaafar, MPT KEADILAN juga menyertai FB ini.
Saya fikir sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin dari Sabah menyertai facebook, friendster dan sebagainya untuk berhubung terus dengan generasi baru.

Aduhai Orang Lama

"Ada orang lama yang dulunya penaja UMNO di Sabah, bahkan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, yang menyara hidupnya dengan berjualan chicken wing," kata Saidon ketika kami berjumpa di kedai ikan bakar itu.
"Kita tak menyatakan bahawa berjualan sayap ayam itu salah tetapi ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang silap.
"Sepatutnya jasa mereka tidak dilupakan," katanya. Ramai yang dulunya pejuang UMNO ketika tahun-tahun awal UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah kini berada di pinggiran.Mereka terpinggir atau sengaja dipinggirkan. Sepatutnya mereka diajak semula untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO di negeri ini.

Dari aspek ini saya puji Datuk Seri Najib. Walaupun sudah menjadi perdana menteri, beliau tetap tidaklupa rakan-rakan lamanya dulu. Seorang kawan dari Ranau, mantan Ketua Pemuda bercerita bagaimana beliau merasa terharu apabila sering menerima jemputan untuk majlis makan-makan atau main golf sama ada di KL ataupun Pahang daripada Datuk Najib. Padahal kini beliau tidak lagi mempunyai kedudukan. Jemputan itu amat bermakna sekali baginya.
Itulah perkara yang perlu dilakukan oleh kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi iaitu supaya mereka tidak melupakan jasa bakti dan perjuangan orang-orang lama. Ramai orang lama yang terpaksa beralih mencari rumah baru kerana mereka rasa diketepikan di rumah lama mereka sendiri.
Jadi macamana kepimpinan baru di bahagian? tanya Saidon. Kepimpinan baru banyak perubahan, tidak seperti dahulu, kelihatan beliau banyak bersuara membela rakyat, saya beritahu kepadanya walaupun sekarang saya tidak lagi melibatkan diri dalam parti. Tetapi saya tahu, Ketua Bahagian yang baru itu, nampaknya sedang berusaha keras untuk memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat di kawasannya.
Banyak juga cerita yang kongsikan dalam pertemuan singkat itu. Perihal seorang mantan wakil rakyat yang terpaksa menjadi pemandu kereta pick up, seperti yang diberitahu kepada saya oleh ahli-ahli persatuan mantan wakil rakyat (Mubarak) dan bermacam-macam cerita lagi yang mengisahkan betapa ramai orang lama diketepikan, merasa diketepikan atau senagaja diketepikan dalam arus politik perdana.

Aduhai orang lama!..orang lama menjadi lama kerana kehadiran orang baru. Tetapi orang baru tidak begitu mengenal orang lama.Padahal tanpa orang lama tak adalah orang baru. Tanpa perjuangan orang lama, nikmat kemerdekaan takkan dapat dikecapi orang baru.

So Sanggibo A Ranon

Rakan dari Mindanao, Teng Mangansakan II, memberi khabar bahawa satu pementasan berjudul So Sanggibo A Ranon Na Piyatay O Satiman A Tademan akan dipentaskan di Virgin Lab Fest Edisi ke-5.

Ia mengisahkan mengenai seorang pejuang Moro, Abdul Rahman Macapaar yang terperangkap antara cinta dan perjuangan ketika tahun-tahun awal penentangan Moro terhadap pemerintahan Marcos.
Mangansakan, saya difahamkan merupakan anak saudara kepada Ustaz Hashim Salamat dan khabarnya beliau juga sedang membuat filem dokumentari mengenai pejuang Moro yang juga merupakan pemimpin MILF.

Alangkah baiknya jikalau kita juga dapat menonton pementasan So Sanggibo A Ranon Na Piyatay O Satiman A Tademan, untuk mempertajam pemahaman kita terhadap perjuangan Moro di Mindanao.

Written by a Filipino playwright as an ars poetica to a Bangsa Moro freedom fighter Abdul Rahman Macapaar is a story of love, lost and remembrance. Stella, a hooker from the university belt during the Martial Law years remembers the 1971 Tacub Massacre in Kauswagan, Lanao del Norte, Abdul Rahman who longs for a Ranao he left to pursue a dream in Manila, and Aling Ella a spinster who remembers a lost love that haunts her like a ghost. So Sanggibo a Ranon na Piyatay o Satiman a Tadman is both a story of how ordinary people struggle for love, self-respect, freedom and maratabat amid a nation that harbors a dark past and an invitation to a journey in one of the sordid histories of Filipino Nationalism against the Bangsa Moro people.
The play is directed by Riki Benedicto. It will be staged at the Cultural Center of the Philippines on June 24, at 3pm, 8pm; July 3, 8pm; July 4, 3pm."


http://www.morofilm.blogspot.com/

Saturday, June 20, 2009

Mendengar lagu lebih menghiburkan

Barangkali mendengar lagu lebih menghiburkan daripada membincangkan dunia politik yang hiruk pikuk dan sintang perenang, yang dipenuhi pelbagai tipu helah dan ketidakjujuran. Sebilangan orang heboh mengenai kerajaan perpaduan tetapi yang menghairankan hanya setengah pihak saja yang diajak bersatupadu sementara pihak yang lain, biarlah kekal bermusuh.

Barangkali mendengar lagu lebih menghiburkan. Bercakap politik sempit , orang lain muak mendengarnya. Saya fikir isu-isu berkaitan kemiskinan, kemunduran, keterbelakangan, penindasan, kekejaman kepada amah misalnya, haruslah melampaui batas politik kepartian, ras, warna kulit dan agama.

Yang miskin perlu dibantu tidak kira apapun fahaman politiknya. Yang mundur, yang terkebelakang perlu dimajukan tidak kira siapa wakil rakyatnya.Yang tertindas perlu dibela, tidak kira siapa dia.

Barangkali mendengar lagu lebih menghiburkan. Saya terhibur dan terbawa ke negeri yang jauh oleh lagu latin yang dinyanyikan Gypsy King. Saya jarang mendengarnya tetapi ketika duduk di cybercafe ini, saya turut menikmatinya. Joni sengaja memainkannya, sudah dua malam.

Kelmarin juga ketika duduk di sini, hati saya terbuai mendengar lagu ini walaupun senikatanya saya kurang mengerti.

Apa tajuk lagu ini, saya bertanya kepada seorang pengunjung yang juga penikmat lagu latin ini. Saya suka. Sama sukanya saya ketika mula-mula mendengar celine dion menyanyi dalam bahasa Perancis, yang juga saya tak mengerti tetapi diterjemahkan sedikit oleh sahabat baik saya, Mohd Nor Azan Abdullah, guru bahasa Perancis di UMS.

Lalu dia berikan saya tajuk-tajuknya. passion, madre mia, un amore, a mi manera, no volvera, love and liberte, duiro saber, mi corazon, caminando por la calle, inspiration, trista pena, mujer, tu duires volber dan habla me.

Kemudian saya terfikir, seberapa jauh bezanya sepak terjang politik kita jika dibandingkan dengan politik di Latin Amerika?

Friday, June 19, 2009

Kisah Doktor Kell di Borneo 1938-1945

Kisah Dr.Derwent Kell, yang pernah bertugas di North Borneo pada tahun 1938-1945 seperti yang ditulisnya dalam buku A Doctor's Borneo amatlah menarik hati. Dr.Kell yang berkhidmat sebagai Resident District Surgeon di Kudat,Sandakan, Keningau sehinggalah beliau menjadi tahanan perang amatlah menarik untuk dibaca.Ketika itu, Dr.Kell merupakan seorang pemuda berusia 25 tahun dari Australia menjawat jawatan itu selepas ternampak iklan kekosongan jawatan.
Banyak peristiwa yang dialamninya.Beliau menceritakan pengalamannya berjalan kaki dengan rombongan klinik bergerak ke kampung-kampung di Tigaman, di Kaniong, di Matunggong, di Tandek, di Pinggan-Pinggan, di Pitasdi Telaga, seluruh Sandakan, Keningau, Ranau, Tambunan, Beaufort dan banyak tempat lagi.Kisah ketika menjadi tawanan perang, bertugas di Kuala Belait, diadili di Miri dan ditahan di Kuching sehingga berakhirnya perang dunia kedua.
Buku ini sangat istimewa kerana biasanya sejarah mengisahkan mengenai kehidupan ahli politik, raja, jeneral tentera dan sebagainya, dimana kerana ulah sebahagian mereka, kehidupan yang aman menjadi celaru. Kali ini sejarah ditulis oleh seorang doktor dan sangat baik dibaca untuk melihat mengenai keadaan dan situasi dunia sebelum dan ketika perang dunia kedua, bagaimana masyarakat melihat doktor, dunia perubatan dan sebagainya pada ketika mereka belum terdedah kepada dunia luar. Buku terbitan Boolarong Publications Brisbane Australia pada tahun 1984 itu merupakan khazanah yang cukup bererti untuk kita melihat kualiti kesihatan masyarakat kita waktu itu.

Kisah sepanjang cuti 15-18 Jun 2009

Dari KK ke Tawau

Tengah malam dalam perjalanan dari KK ke Tawau itu, bas sairah yang kami naiki tiba-tiba berhenti. Saya agak terkejut dan bimbang kalau-kalau tayar bas pamsit atau enjinnya rosak. Dua tiga orang turun.Saya hanya memandang ke luar jendela melihat kepekatan malam.
Dalam hati tertanya-tanya apa yang rosak. Tidak lama kemudian mereka yang turun itupun naik.Rupanya pemandu dan konduktornya tak tahan lagi menahan diri lalu berhenti menyalakan sebatang rokok.
Bas 40 penumpang berangkat dari terminal Inanam kira-kira jam 8.00 malam. Tambang hanya RM60.00 ke Tawau. Kebetulan pula semua penerbangan, MAS ataupun AirAsia penuh hari ini, kebetulan penghujung cuti sekolah.
Di sebelah duduk seorang pemuda yang sopan dan baik hatinya. Dia bekerja di kedai hardware, berdepan sekolah Yick Nam. Bergegas pulang selepas diberitahu ayahnya telah meninggal dunia pada sebelah petangnya, meninggalkan ibu dan 14 anaknya. Ada abangnya yang masih menunggu flight dari Kuala Lumpur. Kami sempat bercerita, dan saya sempat memberi nasihat supaya dia sentiasa bersabar kerana ayahnya telah sampai waktunya dipanggil menghadap Ilahi. Saya lupa menanyakan namanya, yang saya ingat mereka tinggal di Batu 4, dan salah seorang abangnya bernama Jamal. Timbul rasa belas di hati saya. Keluarga berjauhan dan belum mendapat tiket pulang.

naik teksi orang kelantan

Bas sampai kira-kira jam 4.30 pagi di Tawau. Saya sempat membeli keropok di kedai Gemilang sebelum pulang rumah. Pakcik teksi itu berasal dari Kelantan, masih pekat logat kelantannya. Dulunya dia askar dan arwah Isterinya Sharifah Jainah, masih keluarga isteri saya. Salah seorang anaknya bertugas sebagai jurutera di SESB Tenom, kalau tak silap saya.
Dia agak terkejut bila diberitahu bahawa isteri saya suku Melayu -Bulungan- Arab dan kalau begitu, mesti ada kaitan dengan keluarga syed yang sampai sekarang masih mengamalkan budaya zapin itu.

krisis bekalan air yang teruk dan mandi kopi

Hari itu diawali dengan peristiwa-peristiwa melucukan juga. Tawau sedang menghadapi krisis bekalan air yang teruk. Sehinggakan tiga anak saya terpaksa mandi kopi. Tetapi mereka mandi kopi itu bukan kerana ketiadaan air.Cerita begini. Tengah kami rancak bercerita isu macam-macam itu, anak saya yang kecil, Aliff Farhan mencapai gelas berisi air kopi yang diletakkan di sisi peti tv sehingga tertumpah di baju kakak dan abangnya yang tengah asyik main game di laptop. Mujur kopi tak begitu panas dan tak terkena komputer si nelly itu.

Kucing mengiau majikannya meninggal

Di hujung kampung, ada juga orang tua yang meninggal.Baru sejam balik dari rawatan di hospital. Hanya dia dan isterinya yang tinggal di rumah ketika itu.
Ketika dia rebah itu, tak ada yang menyedari dia meninggal.Isterinya baru tahu apabila kucing mereka mengiau dan menggigit kain sambil menarik kain isterinya.Hanya selepas itu, si isteri baru sedar suaminya sudah meninggal.

Alhamdulillah, selama cuti itu, saya sempat membuka akaun ASB untuk anak-anak, Isteri saya sempat marah kerana staff bank itu tak tahu bangsa Iranun yang tertulis dalam sijil lahir anak saya.Mujurlah seorang pegawai bank berkata Iranun bangsa yang besar dan salah seorang Iranun yang terkenal ialah Speaker Tan Sri Pandikar. Sempat juga ke pejabat di KWSP itu untuk membuat penamaan walaupun sebenarnya sudah lama diisi borangnya tapi tak sempat diuruskan. Banyak juga perkara yang seempat dilakukan.Cuma yang tak sempat ialah melawat pakcik Arif yang khabarnya sedang sakit. Mudah-mudahan beliau sempat sembuh.

Tuesday, June 16, 2009

Gerai gado-gado di ice box

Selepas membeli ikan dan sayur, kami berjalan kaki saja ke gerai gado-gado itu. Tapi alangkah kecewanya kerana hari itu kebetulan gerai gado-galo itu tutup.Jadi tak dapat lah kami makan gado-gado yang dikatakan terkenal di Malaysia itu.

"Kalau nak cari gado-gado yang paling sedap di Malaysia, datanglah ke Ice Box Tawau. Gerai gado-gado Sabar Menanti itu terletak berhadapan Balai Polis," kata seorang kawan. Saya mulanya tak percaya tetapi kita bertemu seorang kawan, Saudi yang pernah bertugas di Tawau, beliau mengakui kehebatan gado-gado itu.Malah Kassim yang berpuluh tahun berhijrah ke Kudat dan KK, masih bertanya mengenai gerai gado-gado itu, ketika kami berjumpa beberapa bulan yang lalu.

Kami sekeluarga juga sering ke sana. Bukan kerana namanya tetapi kerana kami teringin makan gado-gado.
"Dulu ibunya yang berjualan sekarang anaknya," kata Isteri saya, yang kebetulan tinggal di Blok 7, Kampung Titingan Hujung, Tawau yang lebih dikenali dengan nama icebox itu.
Kalau tak silap, gerai gado-gado itu mula dibuka sekitar awal 80-an. Waktu itu, kami masih kecil, kata Isteri saya, Fauziyah menceritakan mengenai sejarah gerai gado-gado sepanjang yang diketahuinya.Kebetulan pula, isteri saya memang kenal dengan generasi penerus gerai gado-gado itu.
Ramai orang yang sudah menikmati kehebatan gado-gado di Ice Box tu, katanya dan ramai yang mengakui kehebatan gado-gado di sana.
Malah keistimewaan gerai gado-gado yang dibuka mulai jam 11.00 pagi sehingga 9.00 malam itu sudah tersebar ke seluruh negara.Bahkan, ada yang mengatakan tidak sah ke Tawau kalau tak singgah di gerai gado-gado itu.
Berbeza dengan tempat lain, gado-gado di ice box itu menggunakan kacang yang digiling oleh mereka sendiri.Resepinya sedap, kata seorang pemandu teksi pula yang pernah menghantar kami.
Kami yang ulang alik ke gerai gado-gado itu tidak menyedari betapa gerai gado-gado itu begitu dikenali. Kami hanya menikmati gado-gado kerana kami ingin makan gado-gado.

Friday, June 12, 2009

Pungut, limpas dan bahasa Melayu kami

"Kita pungut duit, lepas tu duit yang dipungut tu kita derma kepada si anu". Kawan saya dari Semenanjung agak terpinga mendengar perkataan pungut itu. Rupanya dia tak faham. Pungut adalah perkataan dalam bahasa Melayu Sabah yang ertinya kutip. si anu sama maksudnya dengan si polan.
Baru saya sedar rupanya banyak lagi kosakata bahasa Melayu Sabah yang kurang dimengerti maksudnya oleh rakan mereka dari Kuala Lumpur.
Saya teringat Encik Salleh Hashim, pegawai kewangan DBP Sabah dulu.
"Limpas kami"
Dia agak terpinga juga nak jawab apa dan apa maksudnya.
Lepas tu dia bertanya kami, apa maksud perkataan itu.
"Limpas kami maksudnya tumpang lalu" kata seorang kawan saya.
"Oh, jadi orang tadi tu nak minta izin tumpang lalu"
"Betul cik Salleh," kata saya pula. Tapi perkataan tumpang lalu jarang digunakan di Sabah bahkan di setengah-setengah tempat, tidak boleh diucapkan kerana mengandungi konotasi yang nakal maknanya.
Pungut yang baik saja. Entri ini sekadar untuk menunggu limpas waktu.

Berapa tinggi gunung Kinabalu

Berapa tinggi gunung Kinabalu,
berapa tinggi, aduhai sayang,
berapa tinggi gunung kinabalu.
tinggilah lagi, aduhai sayang,
tinggilah lagi harapan di hati.

Saya tertarik dengan dendangan lagu itu yang disampaikan oleh penyanyi dari Yayasan Warisan Johor (YWJ) di Centre Points Sabah ketika Festival Produk Johor 09 pada 12 hingga 14 Jun.

Saya kira Negeri Johor adalah sebuah negeri yang sentiasa memelihara dan memulihara budayanya.



Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin dan isteri, dan empat pembantu Menteri, Datuk Edward Khoo, Datuk Tawfiq Haji Abu Bakar Titingan, Datuk Bobbey Suan, dan Bolkiah Haji Ismail turut hadir dan berkesempatan melawat pameran 26 peserta pameran yang didatangkan khas dari Johor.

Exco Kerajaan Johor, Datuk Haji Maulizan Bujang, Pengerusi JK Pembangunan, Keusahawanan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi berkata, inilah kali pertama festival serupa diadakan di luar Johor.

Kita sedang berusaha mempromosi produk keluaran Johor yang dihasilkan oleh usahawan bumiputera tempatan. Produk-produk yang dihasilkan adalah produk berkualiti yang boleh bersaing di pasaran.
Sebahagian besar usahawan itu terlibat dalam program pembangunan keusahawanan yang dijalankan oleh Kerajaan Johor.
Disamping itu, turut serta ialah Majlis Tindakan Pelancongan Johor yang mempromosi produk pelancongan di negeri itu. Selain itu, terdapat juga peluang untuk pelajar di negeri ini melanjutkan pelajaran di IPT-IPT Johor yang menawarkan kursus di peringkat sijil dan diploma.
"Kita yakin usaha ini akan dapat menjalinkan rangkaian dan ikatan perniagaan dengan para usahawan di Sabah", "katanya sambil menyatakan rasa gembira kerana festival itu mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pelbagai jenis tarian juga dipersembahkan termasuk joget, tarian zapin dan kuda kepang. Tetapi saya sangat terhibur dengan lagu-lagu yang dinyanyikan.
Apa guna berkain batik
kalau tidak dengan kebaya
apa guna berwajah cantik
kalau tidak baik budinya.

Wednesday, June 10, 2009

Ikan tak pernah rasa masin kecuali ikan masin

Catatan 1
Kebenaran seperti ikan. Saya tidak ingat lagi siapa yang mengatakan itu. Seekor ikan tak pernah masin meskipun ia tinggal di dalam laut yang masin. Sama seperti ikan, kebenaran tetap tidak berubah walaupun ia dikelilingi kepalsuan dan pembohongan. Kebenaran tidak lagi jadi benar apabila sifatnya diubah, seperti ikan yang hanya akan jadi masin sekiranya ia dijadikan ikan masin.
Tapi ikan air tawar tidak boleh hidup lama di laut, sama halnya dengan ikan laut tidak boleh hidup lama dalam persekitaran air tawar. Kalau kebenaran seperti ikan air tawar,sudah tentu kebenaran itu tidak boleh dipaksakan untuk hidup di tengah air laut, sama airnya, jika kebenaran itu, ikan laut sudah tentu ia tidak boleh dipaksa hidup dalam air tawar.
Sebab itulah mungkin Amru Al-As mencipta dua hukum yang berbeza apabila berada di dua tempat yang berbeza.

Catatan 2
Siapakah yang lebih benar di antara parti ini dengan parti itu? Itulah pertanyaan seorang kawan saya ketika kami duduk minum teh lemon di ibu negeri pagi ini. Kebetulan di meja kami itu ada pemimpin UMNO Sepanggar manakala seorang lagi pemimpin Pemuda DAP negeri. Mereka saling kenal.
Pemimpin Pemuda DAP itu memberitahu betapa dulu dia salah faham dengan PAS, sekarang dia mengatakan dia menghormati Pas kerana mereka berjuang kerana prinsip perjuangan. Orang DAP sudah boleh menerima PAS manakala mereka boleh duduk semeja di Kota Kinabalu. Tak ada halangan. Boleh bincang sama-sama walaupun memakai topi fahaman yang berlainan.
Hari ini kawan, esok kita lawan, fatwa apa ini, kata seorang ustaz yang mirip perjuangan PKR.
Katanya salah satu petanda akhir zaman ialah apabila fitnah laris sebagai komoditi. Yang merosakkan dunia ialah fitnah, dunia hancur kerana fitnah, dunia kita sekarang cenderung bercerita fitnah. Tidak ramai orang yang mencari kebenaran kecuali kebenaran yang berpihak kepada mereka.
Banyak gosip politik yang terdengar hinggap di telinga kami. Tapi gosip bukanlah kebenaran walaupun mungkin ia mengandungi sedikit kebenaran. Antaranya, kononnya seorang pemimpin PKR Sabah akan mengambil tindakan drastik kerana kecewa terhadap DSAI berhubung deklarasi Tambunan. Entah betul entah tidak, wallahu alam.

Catatan 3.
Kalau dulu orang boleh mudik ke hulu Sungai Tandek untuk mencari ikan bekalau, kini ikan bekalau tidak ada lagi. Ini kerana sungai semakin tercemar dan sempit. Banyak sampah sarap yang hanyut melaluinya.
Di sungai telipok, dulu juga orang dengan mudah dapat ikan sungai yang besar-besar.Kini tidak ada lagi kerana dituba, diracuni dengan pencemaran.

Catatan 4.
Barangkali kerana banyak racun dan bahan-bahan yang mencemarkan, kini kebenaran sukar didapatkan kerana seperti spesies ikan tertentu, ia juga makin pupus dan terhapus kerana mungkin kebenaran kini tidak penting lagi.

Penduduk Inanam dan Menggatal terdedah banjir kilat

PENDUDUK INANAM DAN MENGGATAL TERDEDAH BANJIR KILAT

KOTA KINABALU: Kalau dahulu, selebat manapun hujan turun, ia tak pernah membimbangkan penduduk di kawasan Inanam dan Menggatal tetapi sekarang walaupun hujan turun sekejap, ia boleh mengakibatkan banjir kilat yang menjejaskan kehidupan penduduk kampung.
Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris berkata sebelum ini banjir tidak pernah berlaku di kawasan itu kerana kawasan tadahan air dan kawasan paya bakau masih luas.
"Lagipula Sungai Gudon dan Sungai Rampayan masih mampu mengalirkan air hujan yang datang dari kawasan darat untuk keluar ke laut,"" katanya kepada Utusan Borneo.
"Tetapi sejak pembinaan projek-projek pembangunan dan taman-taman perumahan di kawasan itu, beberapa buah kampung seperti Kampung Tebobon, Darau, Gudon, Rampayan Menggatal dan kampung lain sering terjejas akibat banjir kilat yang sering berlaku," katanya.
Beliau memberitahu, kira-kira 10,000 penduduk terdedah kepada ancaman banjir kilat dan mereka bimbang keadaan akan bertambah teruk sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah yang perlu bagi mengatasi masalah itu.
Katanya, banjir berlaku kerana pertembungan air pasang besar dengan air hujan sementara muara sungai Likas, Inanam dan Kuala Menggatal mengalami lambakan pasir di dasarnya yang sudah tentu melambatkan pergerakan air keluar dan ini menyebabkan banjir kilat sering berlaku dari Tebobon ke Inanam, dari Gudon hingga Rampayan.
Jumat meminta supaya kerajaan membuat perancangan pembangunan yang teliti termasuk memastikan sistem perparitan dibina,penebangan bakau tidak dilakukan sesuka hati dan sebagainya.
Beliau juga berkata, tender untuk tambatan banjir di Sungai Telipok, Sungai Menggatal sudah dianugerahkan kepada kontraktor tetapi sehingga kini belum dimulakan lagi walaupun sudah enam bulan berlalu.
Katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga hendaklah memantau projek perumahan yangsedang dibina supaya ia tidak menutup parit yang banyak berlaku di sepanjang Jalan Sepanggar dan juga di tempat lain.

Kaktus kalimah Allah






KAKTUS KALIMAH ALLAH...Bagi seorang kakitangan sektor perbankan di ibu negeri, Serah Kulah bin Abdullah,49 dari kampung Ketiau Putatan, kebesaran dan keajaiban Allah S.W.T diperlihatkan dalam pelbagai cara. Tak siapa menyangka, bunga kaktus yang dibelinya kira-kira lima bulan yang lalu tumbuh dengan subur. Keistimewaan pokok kaktus yang unik itu disedari oleh anaknya, Mohd Hafizul Adhza, 18 yang menyedari bunga kaktus itu membentuk kalimah Allah. Kelihatan Serah Kulah bersama bunga kaktus yang membentuk kalimah Allah di rumahnya di Kampung Ketiau, Putatan.

Monday, June 8, 2009

melihat gambar monyet sambil mentertawakan diri sendiri

Entah berapa kali saya berada di ruang itu-ruang menunggu di pejabat Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. Saya suka berada di sana kerana setiap kali saya berada di sana, saya berpeluang untuk mentertawakan diri sendiri.Membuat saya berfikir, membanding-bandingkan diri dengan gambar-gambar yang terdapat di ruang menunggu sekaligus ruang pertemuan itu.
Sebenarnya tidak ada yang menarik dalam gambar-gambar itu jika dilihat sepintas lalu. Ia hanyalah gambar-gambar monyet dalam pelbagai posisi.Ada monyet belanda yang lebih dikenali proboscis monkey dan sebagainya. Mengamati dari dekat, gambar-gambar monyet itu membuat saya merenung lebih dalam ke dalam diri sendiri. Banyak kelakuan kita, tabiat kita, sikap hidup kita, cara bertindak kita, pemakanan kita tak ubahnya seperti monyet.
Dengan mempamerkan gambar-gambar itu, Saya kira Masidi sebenarnya ingin memberitahu bahawa salah satu produk pelancongan di Sabah ialah monyet belanda, monyet pemakan daun yang tidak terdapat di belahan dunia yang lain. Beliau secara tidak langsung memberitahu betapa penting dan perlunya menjaga kelestarian alam sekitar di negeri kita.
Tapi gambar itu memberi banyak makna kepada saya. Mungkin orang melihatnya tak lebih sekadar gambar, gambar monyet. Banyak tafsiran yang muncul di kepala ketika memerhati gambar-gambar itu. Saya bayangkan diri saya melompat dari dahan kayu ke dahan kayu yang lain. Bergantungan dari dahan ke dahan. Membina komuniti sendiri, undang-undang sendiri tanpa pedulikan makhluk lain.Hidup tanpa memikirkan masa depan atau masa lalu. Asalkan hidup, dapat makan, tak perlu memikirkan orang lain atau kehidupan lain. Banyak persoalan dan bayangan yang muncul dalam fikiran saya ketika melihat gambar-gambar itu. Apakah diri saya juga tak lebih dari seekor monyet, yang betapapun handsomenya tetap tidak menarik kerana saya seekor monyet.Itulah fikiran yang selalu terlintas di benak saya.
Saya fikir, banyak jenis orang yang telah berada di ruang itu. Mungkin mereka juga telah melihat gambar-gambar monyet itu. Tapi saya pasti tak ada di antara mereka yang ingin menjadi monyet walaupun kelakuan mereka seperti monyet.

Elakkan sikap selingko

Dia terlalu `selingko'. Saya ingat perkataan ini sama maknanya dengan perkataan selingkuh dalam bahasa Melayu. Rupanya tidak. Selingko, adalah perkataan bahasa Bajau yang bermaksud terlalu banyak berbelit-belit. Perkataan ini dalam maknanya, kata Liman Kassim, seorang pemimpin masyarakat dari Kota Marudu. Bagi orang Bajau di Kampung Ongkilan, Kota Marudu, perkataan selingko merujuk kepada orang yang cakapnya terlalu berbelit-belit dan berputar-putar. Bukan saja cakapnya berbelit-belit tetapi ia juga pintar membelit sehingga orang yang terkena belitannya pun terbelit.
Elakkan sikap selingko.
Selingko
dalam bahasa Bajau di Kampung Ongkilan (mungkin juga di kampung-kampung masyarakat Bajau yang lain) dan selingkuh dalam bahasa Melayu, maknanya berbeza tetapi ia mempunyai persamaan iaitu kedua-dua perkataan itu membawa konotasi negatif dalam masyarakat kita.

Si aning berjalan mencari matahari

Sudah satu minggu, sianing pulang kampung. Saya tahu dia sedih meninggalkan profesion yang diminatinya ini. Kami juga sedih melepaskan wartawan yang baik, yang rajin dan penuh komited terhadap tugasnya ini.
Sebab musabab sianing memilih untuk berehat sebentar dalam bidang tulis menulis ini, tidaklah jelas bagi kami tapi meskipun saya tidak bertanya, saya dapat mengerti mengapa sianing tiba-tiba memutuskan untuk berjalan pulang ke daerah asalnya.Katanya, dia berjalan pulang untuk mencari matahari. http://myzatulakhmajanil.blogspot.com./
Banyak kebaikan dan keistimewaan sianing ini. Saya terpaksa menggunakan nama si aning ini kerana saya terkejut namanya hilang dalam senarai blog saya. Rupanya dia mengubahnya kepada si aning, nama di kampungnya.Setelah berjalan selama dua tahun dalam dunia kewartawanan yang melelahkan itu, Sianing berundur satu langkah ke belakang untuk bergerak lima langkah ke hadapan. Itulah sebabnya tidak lagi ada bicara sianing dari wanita untuk wanita itu seperti yang yang selalu menemui pembaca setiap isnin.
Sianing mempunyai masa depan yang baik dalam bidang kewartawanan sekiranya dia meneruskannya.Meskipun tidak lagi ada tulisannya tetapi sianing tetaplah terpahat di hati kami.

Catatan pertemuan dengan aranam

Saya sengaja datang lebih awal ke tempat pertemuan itu. Tidak sabar rasanya bertemu aranam dan keluarganya. Aranam, orang jauh dari Tashkent itu pulang kampung untuk bercuti. Masih diserkap tanda tanya siapakah gerangan aranam. Sampai detik terakhir pertemuan kami itu, tidak ada sebarang indikasi mengenai siapa aranam, yang katanya, inshaAllah saya boleh mengenalnya. Aranam yang menulis puisi-puisi yang cantik dalam blognya http://menelusuriilham.blogspot.com/.
Temujanji jam 12.30 tengahari. Tempat di restoran hutan hujan. Bolehkan aranam mengenali saya? berbeza dengan beberapa tahun yang lalu, kini saya sudah berkacamata dan gemuk sedikit berbanding dahulu. Siapakah aranam yang katanya mengenaliku itu.
Tiba-tiba berhenti sebuah kereta. Saya dengan cepat mengenali seorang adik yang sudah lama saya tidak jumpa. Saya tidak sempat menegurnya kerana mereka berjalan cepat ke depan.
Saya fikir kami sudah lama tidak berjumpa. Paling akhir barangkali ialah ketika saya dan sepupu saya Taib berhari raya ke rumah mereka di Kampung Sembulan. Saya ingat peristiwa kerana kami datang paling akhir berhari raya dan pulang paling kemudian.
Adik ini yang ingin saya bertanya khabarnya kerana kebetulan pula saya ternampak dia di restoran hutan hujan itu tempat saya menunggu aranam.
Belum sempat lagi saya menegurnya dia ternampak saya dan senyum. Demi melihat suaminya membawa beg kamera, barulah saya tersedar bahawa dialah sebenarnya orang yang saya tunggu.
Patutlah aranam merahsiakan identitinya kepada saya. Kerana kalau saya tahu siapa dia, sudah tentulah tiada nilai suspennya. Aranam datang bersama suaminya yang baik dan peramah, dan tiga anak mereka yang comel, Ameera, Anis dan Amirul.paling tua berusia 10 tahun, kedua lapan tahun dan ketiga, lelaki. Juga bersama dalam pertemuan itu ialah makcik masnah dan suaminya, pakcik abdul majid.
Apa khabar Mehran? Mehran dah tahun tiga sekarang. Anak yang kedua Ahmad Fawzan baru tiga tahun manakala Aliff farhan baru setahun lebih. "Kakakmu masih di Tawau, masih kerja, abang ulang alik saja begitu.
Percakapan kami bermula mengenai cuaca di Uzbekistan. Musim panas sekarang. Suhu 50 darjah celsius. Di negara Islam Karimov itu, udang 70 ringgit sekilo. Ayam 20 ringgit sekilo. Yang ada ikan air tawar.harga makanan mahal. saya terlupa bagaimana mengeja nama matawangnya tetapi nilai matawang malaysia lebih tinggi.
Aranam kata minyak sawit kita yang dijual disana cepat membeku. "Saya rasa kita perlu R & D mengapa minyak sawit mudah membeku berbanding dengan minyak-minyak lain seperti minyak jagung dan sebagainya.
Komuniti malaysia di Uzbekistan sekitar 50-60 orang tetapi orang Indonesia mungkin lebih ramai.
Saya mengesyorkan supaya aranam menuliskan pengalamannya di Tashkent itu, pengalaman itu boleh menjadi bahan yang berharga jika diterbitkan untuk buku kanak-kanak. Jarang ada buku mengenai pengalaman ekspatriat malaysia di luar negara, kehidupan mereka sehari-hari, kebudayaan yang berbeza dan sebagainya.
Saya sempat meluahkan keinginan untuk ke negara Asia Tengah itu, mengunjunga kota Bukhara yang melahirkan seorang ahli hadis terkenal, Imam Bukhari. "Ketika pulang ke Bukhara, Gabenor mahu melantik Imam Bukhari untuk memegang jawatan tinggi. Tetapi beliau enggan.Itulah sebabnya makamnya sekarang terletak di samarkhand.
Tidak lama kemudian Hasyuda Abadi datang dari masjid. Beliau balik dari umrah dan banyaklah kisah-kisah sepanjang beliau menjalankan ibadah umrah.
Tambah rancaklah perbualan kami,macam-macam topik termasuk topik dalam blog sampaikan seorang kawan kami tersilap memanggil aranam `abg aranam'. Sebab musabab aranam menyembunyikan identitinya dan suaminya itu dapat kami fahami apatah lagi mereka tinggal di rantau orang. Barangkali cukuplah saya mengenali mereka sebagai keluarga, sebagai sahabat, sebagai adik dan sebagai penulis, dan saya kira tidak perlu didedahkan siapa aranam itu.
Aranam pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) di Sabah. Teman-teman seangkatannya, kalau tak silap, Muharsafa Kirana Bacho, Hassan Jaidin dan ramai lagi.
Saya rasa amat gembira dan bersyukur kerana pertemuan dengan aranam dan keluarganya. Saya tidak ingat bila kali terakhir kami bertemu tetapi itu terjadi beberapa tahun yang lalu ketika aranam baru bertunang dengan suaminya. Kini aranam sudah punya anak tiga yang comel, yang mutilingual kerana sudah boleh berbahasa Uzbek, bahasa Rusia disamping bahasa ibunda mereka.
Aranam sempat mengambil gambar kami.Sayang sekali, saya dan HA tidak sempat membawa kamera pada hari itu, mungkin kerana terlalu suspen dengan pertemuan dengan rakan bloggers kami, aranam yang jauh tapi dekat itu.

Friday, June 5, 2009

Misteri kayu balak di Sabah

"Minta kayu balak bos!" kata Mr Robert selepas kami menikmati sup tulang gerai jawa di Kun Hin.
Pelayan restoran itu datang membawa kayu pencungkil gigi. Saya terfikir mengapa agaknya kayu pencungkil gigi itu dipanggil kayu balak? Saya tersenyum sendiri membayangkan bagaimana agaknya kalau benar-benar batang kayu balak yang diangkat oleh pelayan itu. Berapa orang, berapa lama masa yang diambil untuk mengangkatnya?
Mungkinkah kayu pencungkil gigi itu diperbuat daripada kayu balak? Atau oleh kerana kayu balak di hutan Sabah sudah habis, maka yang tinggal hanya kayu balak sebesar pencungkil gigi.
Kayu balak adalah satu kosakata yang banyak mempengaruhi cara hidup orang Sabah. Dengan wang hasil kayu balak, orang Sabah membina negerinya, memberikan pendidikan kepada rakyatnya, memberi kemudahan kesihatan, meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi mereka. Kayu balak yang menjana ekonomi Sabah satu ketika dulu memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah, tidak kurang juga orang yang memanfaatkan kayu balak itu untuk kekayaan diri dan kemewahan diri mereka sendiri.
Dulu pernah ada orang terbang ke Singapura semata-mata untuk bergunting rambut. Entah kerana terlalu banyak kayu balaknya kah ataukah kerana ketika itu tidak ada tukang gunting di negeri ini? Perbuatan-perbuatan mubazir itu akhirnya membawa padah kepada kita sehingga menjadikan kita lalai dan leka, terbuai dengan kemewahan sehinggakan Sabah yang dulu merupakan negeri terkaya di Malaysia kini menjadi negeri termiskin di Malaysia.
Kalau dulu kata Datuk Samad Maharudin, bekas Exco Selangor yang pernah lapan bulan bekerja dengan arwah Tun, orang Sabahlah yang menghantar duit ke Semenanjung untuk belanja pilihanraya. Tetapi kini sebaliknya, orang Sabahlah yang banyak meminta.
Di kampung-kampung, kayu balak juga menyebabkan orang muda jadi tua.Usianya bertambah atau ditambah dua atau tiga tahun dari usia asalnya semata-mata bagi melayakkan mereka menerima wang Amanah Tun Mustapha yang kemudian ditukar namanya kepada Amanah Rakyat Sabah. Setiap rakyat yang mencapai usia 21 tahun layak menerima wang amanah rakyat itu.
Saya pernah juga `ampit' sekali. Di sebalik pro dan kontranya, sekurang-kurangnya rakyat Sabah pernah menikmati wang hasil kayu balak itu. Tetapi kini kayu balak tidak banyak lagi di hutan kita.
Jadi mengapa kayu pencungkil gigi itu diberi nama kayu balak? saya pernah bertanya kawan-kawan di Facebook. Alvin Ting menyatakan ini kerana kayu pencungkil gigi dibuat dari kayu balak.Saiee Driss, penyair dari Sarawak mengatakan bahawa kerana kini sedikit saja, yang diagihkan maka yang sedikit itu dilihat sebesar balak. Mungkin juga yang tersisa di hutan kita hanya kayu sebesar pencungkil gigi kerana telah ditebang dan dimusnahkan.
"Tapi jangan salah anggap.Di Sabah dulu hanya ada satu jenama kayu pencungkil gigi yang jual dan lambang di kotaknya lambang kayu balak.Itu sebabnya kayu pencungkil gigi lebih senang dipanggil kayu balak," kata Patrick Mosinoh.

Thursday, June 4, 2009

Di sebalik gambar Perdana Menteri di Beijing

Apakah makna sekeping gambar? Bagi Perdana Menteri, Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak, gambar nostalgia lawatan allahyarham Tun Razak ke China pada tahun 1974 itu amat bererti kepadanya. Apatahlagi ibunya, Toh Puan Hajah Rahah yang turut serta dalam lawatan ke China 35 tahun yang lalu itu,ikut bersama dalam lawatan kali ini. Sudah tentu gambar itu menghimbau kenangan lampau mengenai kunjungan seorang negarawan terulung yang menjembatani hubungan antara Malaysia dan China pada ketika negara lain di Asia Tenggara enggan bersahabat dengan mereka.

Datuk Najib memilih untuk melawat China. Saya lihat beliau tersenyum ketika menerima ijazah doktor kehormat hubungan antarabangsa dari Beijing Foreign Studies University (BFSU). Prof. Hao Ping juga tampak tersenyum. Gambar Najib tersenyum menerima anugerah kehormat itu disiarkan hampir semua akhbar hari ini.

Saya yang berada di Kota Kinabalu juga ikut tersenyum. Saya tersenyum bangga bukan hanya kerana Najib menerima anugerah ijazah kehormat itu tetapi kerana disamping tulisan Cina, saya dapat membaca tulisan berbahasa Melayu ketika berlangsungnya majlis itu.

Hakikat bahawa majlis itu diadakan di Beijing dan bukan di Kuala Lumpur atau Jakarta, memberikan makna tersendiri kepada pejuang dan pencinta bahasa Melayu. Bahawa di negara yang mempunyai sejarah ketamadunan yang panjang itu, bahasa Melayu yang dituturkan oleh hampir 240 juta jiwa diberikan penghormatan yang tinggi dalam satu majlis di luar negara.

Kalau majlis itu diadakan di negara kita, apatahlagi melibatkan tamu asing, sudah pastilah bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris walaupun tamu yang kita raikan itu bukan dari negara berbahasa Inggeris.Datuk Najib layak berbangga kerana BFSU turut mengajar matapelajaran bahasa Melayu disamping beratus-ratus universiti lain di dunia yang turut mengajarkan bahasa Melayu. Ini menambahkan keyakinan kepada kita bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa tamadun yang tinggi. Malah Laksamana Cheng Ho yang berlayar dengan armada yang mengandungi 300 kapal dan 35,000 anak kapal itu, menggunakan bahasa Melayu ketika mereka itu menghadap Sultan Melaka, 600 tahun yang lalu.
Gambar itu menyerlahkan sesuatu yang menarik kerana Cina sebagai sebuah negara bertamadun besar menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang tinggi tamadunnya dan meletakkan bahasa Melayu kepada kedudukannya yang tinggi.

China berbangga dengan bahasanya.Kita juga harus berbangga dengan bahasa kita. "Jika kita pelajari bahasa, kita akan memahami ketamadunan dua bangsa dan bila kita memahami kedua tamadun, hubungan akan bertambah mesra," kata Dato Najib dalam gesaannya supaya kita mempelajari bahasa. Jadi marilah kita mempelajari bahasa kerana hanya dengan bahasa , tamadun kita sempurna.

Tuesday, June 2, 2009

Pak K.H. A Mustofa Bisri bercerita melalui bukunya

Pak Kiyai Haji A.Mustofa Bisri bercerita kepada saya melalui bukunya Membuka Pintu Langit terbitan Kompas.
Beliau bercerita mengenai kisah seorang wali Allah, Syeikh Sariy as-Saqathy (Meninggal tahun 253 H/967M), seorang arif, murud sufi besar Ma' ruf Karkhy yang pernah berkata" Tiga puluh tahun aku beristighfar, memohon ampun Allah atas ucapanku sekali `Alhamdulillah',
Mengapa pula begitu, tanya seseorang yang mendengarnya.
"Terjadi kebakaran di Baghdad" kata Syeikh menjelaskan, "lalu, ada orang datang menemuiku dan memberitahu bahawa kedaiku selamat tidak ikut terbakar. Aku waktu itu spontan mengucap "Alhamdulillah". Maka, ucapan itulah yang kusesali selama tiga puluh tahun ini. Aku menyesali sikapku yang hanya mementingkan diri sendiri dan melupakan orang lain".
Selama tiga puluh tahun Syeikh Sariy menyesali ucapan Alhamdulillahnya.Beliau menyesal kerana sedar setelah mengucapkan ucapan syukurnya itu, bahawa dengan ungkapan syukurnya bererti beliau masih sangat tebal perhatiannya kepada diri sendiri. Begitu tebal hingga menindih keprihatinannya kepada sesama. Alangkah musykilnya orang yang sanggup menyatakan kegembiraan di saat musibah menimpa sebahagian besar saudara-saudaranya.
Saya tertegun mendengar cerita pak Kiyai. Katanya kecintaan kepada diri sendiri dan dunia berlebihanlah yang membuat orang kehilangan kepekaan terhadap sesama.Kecintaan kepada diri sendiri dan dunia yang berlebihalah yang membuat orang sejahtera tak mampu melihat kesengsaraan orang lain, membuat orang kuat tak peduli saudara-saudaranya yang lemah, membuat pemimpin mengabaikan rakyatnya, dan sebagainya...

Monday, June 1, 2009

Kisah pemburu kepala

Sewaktu masih kanak-kanak dahulu, kami selalu ditakut-takutkan dengan kisah `pengait', pemburu kepala. Kenangan itu menjelma begitu saja ketika mengunjungi gerai kraftangan di Centre Point Sabah yang menjual terlalu banyak baju bertulis head hunter.
Secara peribadi saya pernah dikejar oleh pengait ketika kecil dahulu. Saya masih ingat ketika pulang dari sekolah, tiba-tiba sebuah land rover berhenti di depan saya.
Dua orang, kemudiannya turun dengan tali dan saya berlari menyusup di bawah pagar berdawai sehingga sampai sekarang masih ada bekas parut di kaki saya.
Itu berlaku ketika saya darjah satu atau darjah tua sekitar tahun 75 atau 76. Sama ada mereka pengait atau sengaja mahu menakut-nakutkan saya, saya tidak tahu.
Benarkah pengait atau pemburu kepala wujud?
Saya pernah terbaca catatan seorang antropolog yang masuk ke hutan di pedalaman Kalimantan pertengahan abad ke-18 dahulu dan beliau menuliskan rakaman pengalamannya dalam sebuah buku.
Pada masa dahulu, terdapat suku kaum di pedalaman Kalimantan yang memang memburu kepala. Jika seseorang mahu berkahwin dengan seorang perempuan yang disukainya, maka beliau perlu mempersembahkan kepala. Jika berlaku kelahiran di kalangan suku kaum itu, maka kanak-kanak itu tidak boleh diberi nama melainkan perlu ada kepala musuh. Jika ketua suku meninggal dunia maka suku kaum itu perlu mempersembahkan kepala manusia. Makin tinggi kedudukan kepala suku maka banyaklah nyawa yang dikorbankan. Biasanya kalau tiada kepala pihak musuh maka kepala hamba abdi yang dikorbankan. Kanibalisme ini memang berlaku pada abad yang lampau dan terdapat rekod daripada sarjana antropologi yang melihat dengan mata kepala sendiri dan mencatatnya dalam buku. Tetapi sekarang mungkin kegiatan itu tidak ada lagi bila suku-suku dipeluk oleh kemajuan dan kemodenan.Ilmu pengetahuan dan penyebaran agama akhirnya berjaya menghentikan kegiatan seperti itu.
Kegiatan memburu kepala kini tidak ada lagi. Tetapi pengait masih tetap wujud dalam masyarakat kita melalui bentuknya yang lain. `Membunuh' lawan dengan berbagai cara seperti pembunuhan karakter, adalah amalan biasa dalam politik. Politik yang menghalalkan segala cara untuk merangkul kuasa. Kuasa melahirkan pemburu-pemburu kepala yang bersedia untuk memusnahkan lawan atau musuh mereka tanpa menggunakan senjata.

Dia pun nak menderma

Rupanya Rashid, wartawan Utusan Malaysia punya cerita menarik selepas kami menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Aman, sebuah masjid yang terletak di jantung kota Kinabalu.

Katanya selepas memilih salah satu saf dalam masjid itu, AJK Masjid bergerak sambil membawa uncang untuk mengutip derma daripada jemaah.
Mamat tu nak menderma. Jadi diapun keluarkan dompet.
"Ketika dia nak keluarkan wang dari dompet, dia pula tertarik resit nombor ekor. Saya ternampak, dia toleh kanan kiri, nak pastikan perbuatannya tak disedari.
"Saya nak tergelak tapi tak jadi, takut pula dia marah," katanya. "Bayangkan kalaulah resit nombor ekor tu termasuk dalam uncang derma tu, lepas tu pulak esok, nombor tu pula menang, saja Allah nak bagi tunjuk kat dia, macam mana tu Din?"
Tak kan dia nak datang masjid nak tuntut balik resit nombor ekor tu?