Thursday, July 30, 2009

sabli dan puisi kalangsamanya

Sudah lama Saudara Sabli Nasi tidak datang.Rupanya beliau kehilangan nombor telefon saya.saya ingatkan beliau kehabisan kalang, iaitu puisi dalam bajausama. Setiap kali beliau datang, biasanya untuk menghantar berita untuk disiarkan, maka saya selalu meminta beliau untuk memberi kalang sama, sebagai pembuka mulut.
Apa kalang hari ini? tanya saya.
Beliau tersenyum dan seperti biasa dengan rasa rendah diri menyatakan beliau tidak pandai berkalang.
"Buat lah kalang sebelum kita buka cerita," saya memujuknya.
"Anak kuda jelali, mandi ta limbang bue', belabad kembang tuli' sakit na makapuli", "katanya. Anak kuda, biasanya merupakan perlambangan seorang yang jaguh. Patut juga anak-anak kita diajar untuk budaya tradisinya.

"Andu sumping tegelum, sumping taukan bilu, minsan laat lai lum, kekalpan asi lindo" hanya perkataan Lindo itulah yang saya dapat tangkap maksudnya, yang mungkin bererti rindu.
Percakapan kami berkisar mengenai bagaimana orang Bajau mengukur.kalau dari atas ke bawah kita panggil Gayad, kalau mengukur mendatar kita panggil tawang dalam bahasa Iranun, mengukur datar itu dipanggil lendu dan mengukur dari atas ke bawah itu.
Timbul pula perkataan anit, dalam bahasa bajausama iaitu istilah bagi mengupas kulit kayu menggunakan tangan. Bagi penutur Iranun, anit itu sama dengan lunit.
Memang menarik bercakap mengenai kalangsama dan bahasa ini.

Mabul pula kebetulan ada waktu itu. menyampuk dengan berkalang `resu mekelum ndo, pait mamis tereso, resu mekelum anak, teresu pait menak.

Percakapan tentang buku memang mengasyikkan

Percakapan tentang buku amatlah menyeronokkan. Apatah lagi jika kita berbicara dengan seseorang seperti Datuk Salleh, yang amat besar minatnya terhadap dunia buku. Bila meminta saya supaya memberikan senarai tajuk buku novel Melayu yang patut dibaca kerana kebanyakan buku yang dibacanya buku dalam bahasa Inggeris.
"Saya minat novel yang ditulis John Grisham dan Jeffery Archer," katanya kepada saya. Ingatan saya melayang terhadap novel-novel bahasa Inggeris yang pernah saya baca.Tidak banyak.Dulu saya suka membaca novel koboi karangan Louis L amour, kalau tak silap. Minat saya membaca buku dalam bahasa Inggeris hanyalah apabila saya menemui buku-buku biografi dan autobiografi orang-orang terkenal. Sebutlah misalnya biografi Nelson Mandela, Mahatma Gandhi,Martin Luther King, dan banyak lagi.
"Sudah baca Obama?" tanyanya. "Belum Datuk, mahal bukunya," tunggu dua tiga bulan, nanti dia akan diterbitkan dalam bentuk paperback.Saya terkesan beliau meminati buku Pirre Tredeau, saya lupa sebutan dan ejaannya.
Beliau sekarang juga banyak membaca kerana ingin menyelesaikan PHDnya. Sekarang sibuk semula katanya. Tetapi beliau tidak lupa berpesan kepada saya untuk mencarikannya novel-novel Melayu yang bagus.

Dari kan dekat hati merana, elok ku jauh tinggal mendengar

Pagi itu, dalam perjalanan ke ibu kota, saya terjumpa dengan Ustaz Jalidar Abd.Rahim. Bertemu dengan Ustaz yang baik ini amat menggembirakan saya. Lama kami tidak bersua kerana beliau sudah agak lama juga berkiprah di Shah Alam selepas pencen dari JHEAINS.
"Saya memang sudah lama mahu jumpa,", katanya. Dengan kata-kata itu, kami kemudian duduk minum di kedai di bawah bangunan SEDCO. Maka berceritalah kami mengenai sastera, nadwah, puisi, nasyid, dunia penulisan dan sebagainya. Pendapat kami sama mengenai Pengucapan Puisi Islam sabah, mengenai anugerah Tokoh penyair Islam, mengenai nadwah, yang tidak lagi gah seperti dahulu. Padahal teraju kerajaan kita sekarang ialah kerajaan BN.Sejauh mana perhatian pihak kepimpinan terhadap perkembangan sastera dan budaya di negeri ini. Mujurlah, ada Haji Arifin (Datuk Haji Mohd.Arifin Arif) yang terus memberi perhatian terhadap nasib sastera kita. Kalau dahulu, nadwah dan pengucapan puisi Islam itu diadakan tidak seperti ini. Ya, memang diakui bahawa sepatutnya ramai tokoh-tokoh lama yang patut diberikan penghargaan dan tidak dilupakan sumbangan mereka. Sepatutnya kerajaan memberikan perhatian yang memadai tetapi sebaliknya, perhatian kerajaan negeri terhadap perkembangan sastera di negeri ini boleh dipertanyakan, kata saya.
Ustaz Jalidar pulang sebentar untuk bersama kumpulan nasyid membuat persembahan pada malam di MUIS itu.Beliau juga melahirkan rasa terharu terhadap ingatan seorang sahabatnya, payung negeri ini, ketika mereka sama-sama di German dan England, sewaktu membuat persembahan dalam festival kesenian Islam di sana. Beliau segan dan merasa dihargai apabila dicari dan diajak duduk di meja VVIP.
Kemunculannya memang sudah lama dinantikan kerana ketiadaannya sering ditanyakan kawan-kawan. Walaupun singkat, pertemuan itu dapat mengubat kerinduan kerana lama tidak berjumpa dengan ustaz ini, yang suka saya pinjam buku-bukunya. Kami memang lama tak jumpa.
"Dari kan dekat, hati merana, elok ku jauh, tinggal mendengar," saya sangat terharu apabila Ustaz Jalidar mengulang kata-kata Prof. Haji Ahmad Baqi itu.

Kenangan ketika bertemu guru

Manis untuk dikenang.Tanpa mereka saya mungkin gagal menjadi wartawan. Mula-mula saya nampak cikgu Suhaindo Rambayau. Beliau banyak berjasa kepada saya.Malah saya pernah tinggal kira-kira dua tahun di rumahnya di flat guru SMK Taun Gusi. Daripadanya saya belajar menulis kerana saya paling rajin membaca karya-karyanya. saya membuat puisi dan meminta cikgu Suhaindo membacanya. Kerana amat sukakan puisi Meditasi, karya Kemala, saya pernah cuba menulis puisi panjang seperti itu. Tapi bagi seorang pelajar Tingkatan Empat 1984, puisi yang saya hasilkan dipengaruhi di sana sini oleh buku penyair yang saya baca. Puisi Malaysia-Indonesia, Puisi Hadiah karya Sastera yang jadi teks tingkatan enam ketika itu, paling suka saya membacanya. Bila cikgu selalu mengungkapkan perkataan `mungkin saja' saya sangat sukakan ungkapan itu. Apatah lagi cikgu Suhaindo memang sudahpun jadi penulis sewaktu beliau di Maktab Perguruan Gaya lagi, dengan nama pena Mas Surya. Saya gembira melihat beliau sihat kerana ketika bertemu iparnya sewaktu kami sama-sama ke Melaka, khabarnya cikgu kurang sihat. Tetapi bila melihatnya dalam majlis di Tang Dynasty itu, saya sungguh gembira.
"Isterimu masih di Tawau?" tanyanya. Saya mengangguk dan merasa betapa besar perhatiannya dan keprihatinannya kepada kami, murid-muridnya. "Masih di Tawau, isteri masih kerja, anak sekolah disana juga. Di KK sukar betul cari sekolah, semua penuh," kata saya.
Perbualan singkat itu sangatlah bermakna bagi saya. Saya ternampak juga cikgu Abdul Rahman Haji Pulah, guru bahasa Malaysia. Juga Cikgu Ghazali dan isterinya cikgu Jinteh. Pada malam itu juga saya sempat berjumpa dengan Datu Matlan Datu Unjong dan Cikgu Salgaring Wahid yang kini bertugas di SK Tugoson. Auntie Cikgu Maileh Kula juga ada, dan menegur perut saya yang agak buncit.
saya sempat bersalaman dengan Cikgu Selamat Omar, Guru Besar yang paling saya minati dulu kalau dia menjadi pengacara majlis.
Big Brother saya juga ada. Kami sempat bercakap mengenai Pijo, yang kini melukis kartun untuk majalah Ujang.Kalau Pijo di KL, sudah tentu maju malah, kata Big Brother Ma' Sidaq, Pijo bahkan pernah ditawarkan gaji yang lumayan sekiranya sanggup bekerja di KL.
Selepas saja majlis itu, kami minum di Restoran Zaminah. Dengan HA, Endra, dkk serta Cikgu Jeniar, mantan Setiausaha UMNO Bahagian KB. Beliau kini bertugas sebagai GB SK Menunggui. Cikgu Jeniar pernah mengajar saya subjek bahasa Malaysia dan beliau ingat satu ketika dulu, saya suka mengarang keluar tajuk. Sekarang beliau menjadi wartawan, saya bangga, katanya. saya agak terharu dengan kenyataan itu. Banyak ingat yang muncul kembali di Minda saya. banyak kenangan waktu di sekolah, yang kami ceritakan. Cikgu Jeniar, Ketua Guru Disiplin yang ditakuti murud-muridnya.Juga jurulatih bolasepak di sekolah. Kerana satu ketika dahulu, saya kurang pandai melukis, maka setiap waktu mata pelajaran lukisan, saya selalu mendapat alasan untuk ikut berlatih bola, walaupun saya hanya tersenarai sebagai pasukan C di sekolah, atau dengan kata lain, hanya sebagai penonton.
Banyaklah kenangan bila terjumpa cikgu.saya bersyukur dan berterima kasih kerana jasa bakti mereka kepada saya.

Hanya sayur kangkung dan kicap, kata Datuk Rahman

Ketika saya tiba, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan sedang berucap. Mantan Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia ini menekankan betapa pentingnya pendidikan di kalangan anak-anak, dan betapa pentingnya bantuan kerajaan sampai kepada sasaran. Banyak yang beliau perkatakan pada malam itu, yang kesemuanya demi untuk masa depan anak-anak kita. Saya melihat Datuk Rahman merupakan seorang pemimpin muda yang ada stail tersendiri. Khalayak yang kebanyakannya terdiri daripada Guru Besar sekolah-sekolah di Kota Belud itu, nampak tekun mendengar apa yang dikatakan datuk rahman dalam Majlis Bersama Pemimpin dan Makan Malam anjuran Majlis Guru Besar (MGB) Kota Belud.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana individu yang perlukan bantuan dan pertolongan, hendaklah mendapatkan semacam surat perakuan dari sekolah yang menyatakan bahawa anak mereka tidak mempunyai dari segi disiplin. Bagus juga cadangan itu, saya kira, tetapi sejauh mana beliau mampu melaksanakannya, kita tunggu dan lihat.
Beliau juga, katanya agak terkejut apabila mengetahui bahawa sebanyak 24 makmal komputer di sekolah di Kota Belud belum dapat digunakan. Selain itu, beliau mahu supaya sistem kantung digunakan supaya amalan pemakanan di bawah RMT sampai kepada pelajar.
RMT, katanya, bukan bertujuan untuk membantu pengusaha kantin melainkan untuk memastikan zat makanan turun kepada anak-anak.
Beliau berkata mendapat aduan terdapat pembekal yang sepatutnya menyediakan makanan ayam atau daging, hanya menyediakan sayur kangkung dan kicap.
Ini menyebabkan RMT gagal mencapai matlamatnya, katanya dan mahu supaymasa depan pelajar-pelajar diutamakan.

Monday, July 27, 2009

Maryamah Karpov-kisahmu menakjubkan

Sebaik-baik Maryamah Karpov sampai di Kota Kinabalu, saya terus bermesra dengannya. Dan hanya dalam waktu tiga hari, di tengah-tengah kesibukan sebagai wartawan, novel karangan Andrea Hirata itu habis saya baca. Sebelum ini, kesemua novelnya Lasykar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor telahpun saya baca kesemuanya. Agak menarik juga diceritakan kerana Maryamah Karpov saya beli dengan cara yang lain. Iaitu melalui online www.ujanailmu.com.my dan pesanan itu sampai dalam tempoh dua hari kemudian.Sangat efisien dan boleh dikatakan cepat.

Novel Maryamah Karpov ini memang sangat menarik. Ia menggambarkan keberanian dan keteguhan hati seorang lelaki Melayu Belitong bernama Ikal yang mengembara hampir ke seluruh dunia untuk mencari A Ling. A Ling bukan saja seorang perempuan yang berjaya menakluk hati Ikal, tapi perempuan inilah yang menjadi sumber inspirasi Ikal sehingga beliau berjaya menjejakkan kaki ke universiti Sorbonne, yang merupakan sebuah universiti terbaik di dunia yang terletak di Perancis.Pencariannya terhadap A Ling sebenarnya adalah pencariannya terhadap dirinya sendiri. Dan ketika akhirnya, beliau menemui A Ling di sebuah pulau di gugusan Pulau Batuan, selepas menyusur dari Karimata, berminggu-minggu lamanya, Ikal bukan saja berjuang untuk menemukan perempuan itu malah dia juga berjuang untuk harga dirinya.

Kisah Maryamah Karpov memang menakjubkan.Kadang-kadang ia membuat saya tertawa apabila Ikal bercerita mengenai kebiasaan masyarakat Melayu Belitung, pandangan hidup mereka dan sebgainya, tetapi sebaliknya kisah ini juga mengharukan saya. Saya tertarik dengan pelukisannya mengenai lanun asli yang tersisa, Dayang Kaw dan juga mengenai orang sawang-orang bersarung dan sebagainya.

Kekuatan novel ini terletak bukan semata kerana kehebatan pengarang merangkai ayat-ayatnya, bukan setakat sihir kata-katanya tetapi juga kerana muatan ilmu yang terdapat di dalamnya.

Menjelajahi Gilli bersama Lintang

Lintang Sugianto membawa saya menjelajahi pulau Gilli dan bertemu dengan Suamar dan Suhada dalam novelnya yang memikat, Matahari Di Atas Gilli. Kalau ada novel yang membuat saya terkagum-kagum, novel ini salah satu daripadanya. Ia merupakan sebuah novel sosial yang merakam denyut kehidupan masyarakat Gilli. Kisah perkasihan Suamar dan Suhada yang dibalut dengan gaya bahasa yang puitis menyebabkan kita tak ingin melepaskan novel itu sehingga selesai. Kemampuan Lintang melukiskan peristiwa jiwa watak-watak dalam novelnya amat cemerlang. Lintang juga berkisah mengenai usaha Suhada bersama-sama Ketua Kampung dan Pak Karta menanamkan kesedaran di kalangan masyarakat Pulau yang mengalami trauma masa lalu supaya membenarkan anak-anak mereka mengecap pendidikan. Melalui novel ini, novel Matahari Di Atas Gilli,yang diterbitkan PTS Litera Utama, kita dapat memahami sikap hidup dan budaya orang-orang Gilli, walaupun Gilli itu, kita hanya tahu namanya hasil penceritaan seorang pengarang bernama Lintang. Inilah antara buku terbaik yang pernah saya baca tahun ini.

Terkapus-kapus dan maja-maja

Setengah berlari, saya melaju untuk ke Asia City. Sepatutnya saya sudah tiba di sana, tapi kerana terjumpa lagi dengan seorang kawan, saya memperlambat sedikit langkah kaki. Akhirnya ketika ditanya, bila saya akan tiba, saya beritahu bahawa saya setengah berlari menuju ke sana.

"Berhati-hati.Jangan sampai terkapus-kapus" Saya sebenarnya berasa lucu kerana sudah lama tidak mendengar perkataan kapus-kapus itu. Mungkin terkapus-kapus itu hanya boleh diertikan oleh orang sabah sendiri, yang maksudnya tercungap-cungap. Itulah antara kekayaan bahasa Melayu Sabah.

Beberapa malam yang lalu, Haji Abdullah mewakilkan Cikgu Hajat untuk menghadiri seminar mengenai adat. "Cikgulah yang pandai Maja-Maja" katanya. Maja-maja, jarang saya mendengarnya adalah perkataan bajausama yang membawa erti lebih kurang bersilat kata. Atau mungkin juga boleh diertikan dengan bermadah-madah.

Saya fikir di antara kita,ada juga yang terkapus-kapus tidak dapat menjawap persoalan sehingga tidak mampu untuk bermaja-maja lagi. Ada juga yang maja-maja sehingga terkapus-kapus. Saya tersenyum sendiri memikirkan perkataan maja-maja dan kapus-kapus itu. Saya tidaklah pintar maja-maja kerana ada kalanya saya juga terkapus-kapus memikirkan apa sebaiknya intro tulisan saya.

Sunday, July 26, 2009

Catatan pendek di Signal Hill

Majlis pada malam itu hanyalah sebuah majlis makan-makan.Tidak ramai yang dijemput tetapi saya rasa amat beruntung kerana Haji Abdullah Sibil mengundang saya hadir ke signal hill. Saya datang bersama cikgu Hajat Haji Lassin, seorang pendidik yang pernah menjadi ADO di Tuaran dan pernah juga menulis menggunakan nama pena Ilhamahad.

Orang sudah ramai ketika kami tiba. Haji Abdullah sendiri, yang juga Presiden Persatuan Sama Sabah (PSS) yang menyambut kedatangan kami.Juga kami disambut saudara Jenar Lamdah, seorang intelektual Bajau yang kini merupakan Pengurus Besar LPPB.

Program pada malam itu, dinjurkan bersama oleh PSS, Kelab Peminat Siaran Sama Sabah, Kelab Rotary Luyang dan Society of Agricultural Sceintist Sabah (SASS). Antara ramai yang datang itu, ramai juga para denakan yang saya kenal. Antaranya, denakan Musli Haji Oli, seorang penulis buku politik yang terkenal dan kini seorang blogger yang disegani. Saudara Naumul Haji Mulud, Dr.Jamal Kastari, Haji Kajul. Sempat juga bersembang dengan cikgu Roslee Ombang, kini Guru Besar SK Tamau. Beliau seorang pencinta seni dan telah menggubah beberapa buah lagu untuk rakaman album. Malam itu, cikgu Roslee menyanyi sambil memetik gitarnya, lagu yang mengisahkan petani yang hidupnya sengsara. Seingat saya, pertama kali saya mendengar nama cikgu Roslee ialah ketika menatapnya namanya di akhbar.Dulu, cikgu Roslee menulis berita secara sambilan untuk akhbar Sabah Times, selain satu nama yang cukup tenar, Wangsa dan mendiang BC Tan. Inilah orang-orang yang pernah menulis dan menggegar KB satu waktu dahulu dengan tulisan mereka.

Program pada malam itu cukup santai. Ramai yang menyumbangkan suara untuk menyanyi. Apabila mendengar saudara Jenar menyanyi, saya terfikir apakah beliau dulu tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi.Suaranya Merdu. Haji Abdullah juga menyanyi. Cikgu Amirun, Haji Kajul dan lain-lain lagi.

Tetapi yang paling menarik tentulah menu yang dihidangkan. Semuanya makanan tradisi Bajausama Kota Belud.Pernah makan loor peria? Sambal langkuas bangkutut? Kullia diing pai? Ampap basung, Sambal kodop, Loor peria, rebung rebus, pancak yu, ampap nangka. Sebenarnya banyak makanan tradisi Bajau yang perlu diketengahkan, misalnya di hotel-hotel untuk dinikmati oleh lebih ramai orang termasuk pelancong.

Saya fikir majlis-majlis seperti itu, kalau dapat diadakan lebih kerap, barangkali lebih baik dan bermanfaat untuk mengukuh ikatan silaturrahim antara kita.

Terkenang perjalanan ke Jawi Jawi




Kami solat Jumaat di Masjid Lok Batik.Jemaah tidak begitu ramai. Ada satu bas dari SMK Teknik Kudat yang turut singgah. Edui memberitahu bahawa sering juga dia bertemu dengan rakan-rakan sekampung yang baru pulang main golf di Tuaran.
Khatibnya bersahaja. Khutbahnya datar tapi saya melihat keikhlasan di wajahnya.
Selepas berjumaat, kami terus bergegas pulang kerana acara bermula jam 2.30 di SK Jawi-Jawi. Tapi oleh kerana masih awal, kami sempat singgah di warung tepi jalan dan menikmati air tebu. Saya melihat penjual itu memasukkan batang tebu empat lima kali ke dalam mesin pengisar. Di pekan KB, sambil menunggu waktu, saya mengajak Edui ke Restoran Pandan. Saya teringat ada kuih pau kacang yang sedap di sana.
Telefon berdering menanyakan dimana kami berada. Seketika itu juga, kami sudah meluncur laju ke Jawi-Jawi.
Saya melihat Saudara Asli, Setiausaha Biro Pendidikan UMNO KB sudah menunggu. Juga saudara Roslan Haji Manshor, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO KB sedang menanti ketibaan Ketua Bahagian, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.
Sebenarnya saya kurang yakin dengan kehadiran Datuk Salleh. Kalau tidak silap, petang sebelumnya beliau berada di Kuala Lumpur.
Ketika menunggu nunggu itu, saya sempat bersalaman dengan Ustaz Abd.Aziz Rejab, ustaz yang mengajar saya selama enam tahun sewaktu menuntut SRK Tamau. Beliau tidak lagi balik ke kampungnya di Johor setelah sebahagian usianya dihabiskan untuk berbakti di Sabah.
Pengerusi PIBG Sk Jawi-Jawi ialah Derisa Sidin, yang juga kerabat kami. Guru Besar Maznie Mohd.Said rupanya masih mengajar.
Tidak lama kemudian Datuk Salleh tiba. Ketibaan mantan Ketua Menteri ini disambut oleh ibubapa dan JK penganjur.Beliau tersenyum. Apabila kami berjabat tangan, beliau serta merta bercerita mengenai Facebook.Masukkan di Facebook, katanya setengah bergurau. Sepanjang yang saya kenali, beliau seorang yang tidak gemar protokol.Kadang-kadang beliau datang lebih awal ke sesuatu majlis, menyebabkan JK penganjur tersipu-sipu juga.
Beliau menjadi orang besar di negeri ini, ketika saya mula menjadi wartawan di Utusan Borneo pada tahun 1994. Saya kira beliau seorang pemimpin yang punya wibawa dan kualiti kepimpinan yang tinggi.
Memang, ada beberapa hal juga yang saya tidak setuju dengan beliau ini tetapi tidaklah berlebihan kalau saya katakan beliau adalah antara Ketua Menteri Sabah yang terbaik yang pernah dimiliki negeri ini.Sayangnya beliau menjadi Ketua Menteri dalam jangkawaktu yang agak singkat, dan kita kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa.
Dipenghujung khidmatnya sebagai Ketua Menteri saya pernah bertanya, akan kemana beliau selepas itu.
Beliau tidak menjawab dengan jelas dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan. Saya membuat kesimpulan sendiri bahawa beliau tidak akan menerima portfolio di KL waktu itu kecuali diberi jawatan yang penting, misalnya Menteri Pendidikan. Tetapi waktu berlalu, dan beliau tetap istiqamah dalam perjuangannya malah pernah tidak bertanding jawatan Ketua Bahagian.
Beliau mengistilahkan dirinya pemimpin masyarakat juga seorang ahli politik.
Tetapi keprihatinan beliau terhadap betapa pentingnya pelajaran di kalangan anak-anak terbukti atas kehadirannya dalam majlis anjuran PIBG SK Jawi-Jawi dan Biro Pendidikan UMNO Bahagian di bawah pimpinan Roslan Haji Manshor.
"Sebagai seorang pendidik, sudah tentulah saudara Roslan tahu mengenai bagaimana memajukan bidang pendidikan," katanya dalam ucapannya.
Program yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan UMNO KB dengan kerjasama PIBG SK Jawi-Jawi itu sesungguhnya mampu memberi semangat kepada pelajar.
Saya juga terkesan betapa UMNO mementingkan dan memberi ruang kepada tenaga-tenaga muda dan pemimpin-pemimpin pelapis ketika membaca barisan AJK Biro Pendidikan UMNO KB itu. Syabas dan tahniah.
Apa yang agak mengharukan saya ialah Edui. Edui atau Ustaz Daiman itu merupakan seorang senior saya dan kami berjiran.Beliaulah yang meminta saya datang. Walaupun dikepung oleh kesibukan, permintaan beliau itu sukar ditolak. Saya ingat waktu masih remaja dulu, beliau prihatin terhadap saya. Kadang-kadang bila balik dari Semenanjung, beliau memberikan saya hadiah baju batik dan sebagainya.Ketika beliau kuliah di Bandung, beliau tidak lupa. Bila beliau pulang, saya sering bertandang ke rumahnya, kadang berbincang banyak perkara.
Banyak jasa dan baktinya kepada saya. Dan ketika beliau meminta saya hadir untuk buat liputan, saya setuju datang walaupun saya tahu, banyak program di KK.
Selepas acara itu, selepas minum di Kotaraya, beliau menghantar saya ke perhentian bas. Teksi sudah tiada.bas juga tiada.Akhirnya saya menumpang kereta sapu.

Yasmin, selamat jalan

Saya ingat wajahnya yang terkejut.Di tengah kesukaran mendapatkan daging, kerana hari raya telah tiba, kita masih mampu tersenyum melihat sang ibu yang tercengang melihat anaknya pulang membawa lembu yang belum disembelih.
Itulah perkenalan awal saya dengan karya-karya Yasmin Ahmad. Sebelum itu, memang telah banyak karyanya yang bercerita mengenai perpaduan menerusi filem iklan Petronas.Tetapi saya fikir Yasmin lah yang dengan sedar mempromosi konsep 1 Malaysia. Pemahamannya terhadap sesuatu subjek memang sangat menarik. Saya terkesan kerana karyanya universal sifatnya. Sempat juga saya menonton filem Rabun, Sepet dan Gubra. Saya suka menonton filem-filemnya, dan walaupun dilingkari Kontroversi, Yasmin bercerita secara jujur mengenai masyarakatnya. Meskipun adakalanya tafsirannya terhadap masyarakat, yang kurang saya setujui tetapi Yasmin tetaplah seorang sutradara Filem yang saya memiliki kelas tersendiri.
Saya ikut bersedih. Yasmin hari ini telah pergi meninggalkan kita.Al Fatihah.

Thursday, July 23, 2009

`Malaysia' digunakan 74 tahun sebelum pembentukan Malaysia



NAMA MALAYSIA DIGUNAKAN 74 TAHUN SEBELUM PEMBENTUKAN MALAYSIA


KOTA KINABALU: Nama `Malaysia' sudah digunakan 74 tahun sebelum pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963, kata seorang sejarawan dan ahli akademik,Profesor Madya Mat Zin Mat Kib.
Beliau berkata, perkataan itu digunakan dalam akhbar The British North Borneo Herald terbitan 1 Januari 1889 dalam satu nota laporan oleh J.E Tenison-Woods, seorang ahli kehormat Royal Asiatic Society bertajuk `Geographical Notes in Malaysia and Asia'.
Penemuan ini membetulkan kajian awal yang dibuat oleh pihak Arkib Negeri Sabah yang menyatakan bahawa perkataan Malaysia mula digunakan pada 1 JulaI 1929 keluaran akhbar yang sama, katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.
Prof.Madya Mat Zin, yang juga seorang pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Sabah mula terlibat dalam kajian sejarah sejak 1984 dan pernah membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa manakala artikel kajiannya telah diterbitkan dalam pelbagai di dalam dan luar negeri.
Setakat ini, beliau telah menyunting beberapa buah buku dan menghasilkan buku antaranya, Kristian di Sabah 1884-1994 terbitan UKM dan Persatuan Buruh Keretapi Maut Siam- Burma terbitan UiTM.
"Sebelum ini, kita hanya tahu `Malaysia' digunakan apabila Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk sebuah negara baru yang diberi nama `Malaysia', pada 16 September 1963" katanya yang juga Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah (PSMCS).
Sementara itu, akhbar The British North Borneo Herald pada 1 Julai 1929 menyiarkan rencana mengenai Gunung Kinabalu, yang menunjukkan gunung setinggi 13,455 kaki yang nemiliki pelbagai flora dan fauna yang unik merupakan gunung tertinggi di Malaysia.
"Itu bermakna nama Malaysia telah digunakan terlebih dahulu sebelum pembentukan Malaysia seperti yang terkandung dalam catatan sejarah yang ditemui itu," katanya.
Bagaimanapun, penemuan nama Malaysia yang digunakan lebih awal iaitu pada 1 Januari 1889 membuktikan bahawa nama Malaysia telah digunakan secara meluas oleh orientalis barat bagi merujuk kawasan Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan di kawasan Nusantara.
Katanya,Laporan yang dibuat oleh J.E Tenison-Woods dalam `Geographical Notes in Malaysia and Asia' memberikan maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Gaya, Sandakan di Borneo dan juga kunjungannya ke Sulu sekitar tahun 1883 hingga 1886 menggunakan HMS Pegasus.
Penemuan ini sekaligus merangsang para sejarawan untuk mengkaji lebih mendalam lagi mengenai kewujudan nama `Malaysia' dalam sejarah negara, katanya.



INI SEJARAH....Nama Malaysia digunakan sejak 1889, kata Prof.Madya Mat Zin Mat Kib sambil menunjukkan keratan akhbar The British North Borneo Herald.

Wednesday, July 22, 2009

Jadikan bekas tapak bangunan Maktab Sabah tapak bersejarah


KOTA KINABALU: Kerajaan diminta menjadikan bekas tapak bangunan Maktab Sabah (Sabah College) dan Dewan Turnbull sebagai tapak bersejarah yang perlu dipulihara kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
Pengerusi Persatuan Sejarah Negeri Sabah (PSMCS), Datuk Seri Panglima Dr.Hasbollah Haji Mohd.Taha berkata kerajaan hendaklah mengambil langkah proaktif unttuk menyelamatkan bangunan sekolah itu daripada dirobohkan.
Katanya, bangunan lama Maktab Sabah itu kini terbiar dan bangunan itu sedikit masa lagi akan roboh jika tidak ada usaha untuk memuliharanya.
"Pperkara itu sungguh memalukan apatah lagi sekolah itu pernah menjadi sebuah sekolah utama kerajaan pada satu ketika dahulu.
"Kini bangunan sekolah itu hanya tinggal bangunan yang buruk menyakitkan mata memandang," katanya kepada Utusan Borneo.
Menurutnya, Dewan Turnbull atau lebih dikenali sebagai Turnbull Hall merupakan sebuah bangunan bersejarah dan meninggalkan banyak kenangan kepada bekas-bekas penuntutnya.
Sebelum ini, Utusan Borneo pernah menyiarkan keluhan seorang bekas penuntut sekolah itu yang berkata jiwanya sentiasa terusik apabila memikirkan nasib bangunan lama sekolah itu.
"Kenangan menghadiri perhimpunan mingguan, sambil menyanyi lagu `morning had broken', pertandingan drama dan majlis tari menari sentiasa mengusik jiwa," katanya.
Katanya, "bukan Dewan Turnbull itu saja yang menanti masa rebah ke bumi tetapi lain-lain bangunan bekas bilik darjah juga kini menunggu untuk rebah ke bumi dan dibiarkan kosong".
Menurutnya, bangunan yang dimaksudkan ialah bekas tapak sekolah lama Maktab Sabah atau dahulunya dikenali sebagai Sabah College yang ditinggalkan begitu saja sejak tahun 2000 apabila sekolah itu berpindah ke bangunan baru.
Maktab Sabah ditubuhkan pada tahun 1957 dan telah melahirkan ramai pemimpin negeri dan persekutuan.
Antara pemimpin yang pernah bersekolah di Maktab Sabah ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Dr.Yee Moh Chai, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Dr.Ewon Ebin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran dan ramai lagi pembantu menteri .
Pemimpin di peringkat pusat yang pernah menjalani persekolahan di maktab itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar , Datuk Haji Shafie Apdal, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr.Maximus Ongkili.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Pandikar Amin Haji Mulia dan timbalannya, Datuk Ronald Kiandee dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Haji Juhar Mahiruddin juga merupakan bekas pelajar Maktab Sabah.
Katanya, sehingga kini bangunan itu terus terbiar dan dilupakan dan kerajaan digesa supaya mengambil langkah menyelamatkan bangunan bersejarah itu.

masing-masing orang punya cara


Masing-masing punya cara untuk memperkenalkan bahasa ibundanya. Si Atongan, orang Rampayan Ulu Kota Belud ini juga punya cara tersendiri.Meskipun cuma sepatah `pagedah kanu' yang boleh diertikan `silalah naik', yang diletakkan di pintu teksinya,beliau berbangga dengan jatidirinya sebagai sukubangsa Iranun, yang pernah satu ketika menjadi penguasa laut paling dominan di nusantara sekitar abad ke-17 dan hingga awal abad ke-19.
Tambang teksi dari Kota Kinabalu ke Kota Belud, masih RM15.00 seorang dengan perjalanan hampir satu jam.

Melihat pasar malam dari tingkap yang tinggi


Pasar Malam di Kota Kinabalu, di lihat dari jendela Le Meridien. Kalau dahulu peniaga pasar malam ini, lumayan pendapatannya tetapi kini situasi tidak lagi seperti dahulu.Mereka yang dulu biasanya pulang jam 12.00 malam atau jam 1.00 pagi, kini sudah menutup warung seawal jam 10.30 malam.
Tak ada orang, kata mereka. Kalau dulu ramai yang suka berbelanja ke pasar malam, kini jumlahnya makin berkurang.Kesan ekonomi global? Mungkin juga, tetapi yang jelas penjaja pasar malam ini tidak lagi berwajah ceria seperti dahulu.
Ramai peniaga yang dulunya tinggal di Likas, kini terpaksa berpindah ke Telipok, yang terletak di luar kawasan bandaraya Kota Kinabalu dan ini tentulah menyusahkan mereka. Kos pengangkutan meningkat sementara pendapatan semakin menurun.

SC, selamat bersemadi

Paling akhir kami berjumpa ialah ketika kami bersama-sama ke sidang media pelancaran SAPP Cawangan Putatan. Saya tidak ingat bulan berapa tetapi yang saya ingat ialah SC pergi dengan tergesa untuk mengejar penerbangan ke Kuching petang itu.
Kami sempat minum di Wisma Merdeka.Walaupun tidak selalu berjumpa tetapi setiap kali ada kesempatan, saya sentiasa meluangkan masa untuk bertemu dengan wartawan veteran ini.
Saya mengenal SC sebagai Tony Thien. "Itu bukan nama saya yang sebenar," katanya. Nama pena itu digunakan sewaktu menulis.Beliau memberitahu saya bahawa selain menulis untuk Malaysiakini, beliau juga menulis untuk akhbar Borneo Post di Kuching dan beberapa penerbitan lain di dalam dan luar negeri.
Sebenarnya saya agak kagum dengan SC, seorang wartawan yang memiliki segudang informasi.Tanyakan saja kepadanya mengenai situasi politik khususnya di Sarawak, beliau pasti punya jawapannya. Saya pernah membaca tulisannya di majalah Asiaweek satu ketika sebelum Asiaweek dihentikan penerbitannya.
Yang saya ingat SC seorang yang baik dan simpatik. Banyak memberi nasihat dan menunjukkan kepada saya beberapa peluang dalam bidang penulisan.Orang yang penuh pengalaman ini tidak pernah kedekut berkongsi pengalaman dengan orang lain.
Biasanya beliau yang lebih dulu bangun membayar makanan atau minuman, walaupun saya berniat untuk belanja.
Perkenalan saya dengan SC sebenarnya tidak lama. saya sering melihat seorang tua yang selalu hadir mengemukakan pertanyaan pada sidang media terutamanya pasca Mac 2008.
Beliau banyak menggalakkan saya menulis, malah pernah beberapa kali meminta saya menulis untuk Malaysiakini segala rakaman suka duka dunia sosiopolitik di negeri ini. Saya masih belum dapat menunaikan permintaan itu.
Tetapi sekarang SC sudah pergi. Seperti tergesa meninggalkan dunia yang hirukpikuk ini.Rupanya pertemuan kami sambil makan di Wisma Merdeka itu adalah pertemuan kami yang terakhir.
Hari ini saya agak terkejut apabila menerima berita itu ketika membaca blog http://akimomogun.blogspot.com/ dan akhbar online malaysiakini mengenai berita pemergiannya. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarganya dan kepada SC, selamat bersemadi.


dipetik dari blog http://akimomogun.blogspot.com/, malaysiakini.


Veteran journalist SC Chan, 61 passed away at Normah Medical Specialist Centre here early this morning after undergoing a heart surgery. The Borneo Post editor in chief, M Rajah when contacted described SC as a "Top Notch" journalist who would go all the way to compile the best report. SC wrote for many news organisations both International and local publication.
"We have been friend and colleague for a very long time, he will be missed dearly," Rajah told Sarawak Update.
Rajah said the remains would be brought to SC residence in Rainbow Drive (opposite Datuk Effendi Norwawi house) for his family and friend to pay last respect.Sabah and Sarawak journalist loss a friend
"I was really shocked and sad on hearing the news of his demise. SC Chan and many from that era are a rare breed today." said Toman Mamora, ex-group editor of an English daily, now a communication and media research consultant.
"We have been friends for more more than 30 years and we share a lot of common interest," he added.
SC Chan and I grew up in the old school of journalism, where the power of the word and the art of communicating the message were the hallmark of true-blue journalism, Toman explained.
On the field, on the desk, and sometimes off the beat, SC Chan had been a friendly motivator and source of information to me.
"Of course, we shared another passion: music. We jammed a lot together. SC, we’re gonna miss you a lot. Rest in peace," Toman concluded.
Malaysia National News Agency (BERNAMA) editorial adviser, Datuk Seri Azman Ujang said SC had been a great journalist for Sarawak and one of the pioneers of modern day journalism in the state.
He could be described as an unsung hero, having written extensively and passionately about many significant developments especially in the political arena in Sarawak’s recent history.
"I’ve known him for about 40 years and although most of the time I’ve been in Kuala Lumpur we kept in touch regularly. The last time we met was when I had breakfast with him and Datuk Amar Leonard Linggi at a hotel in Kuching early this year. Condolences to his family," he said.
Kuching Division Journalist Association president, Alice Wee was shocked when the news was first broke out.
"He was optimistic of his operation, docs said he got 90% chance..anyway I am glad I met him at SPDP’s PC last Saturday and got to see him for the last time..may he rest in peace," Alice commented in FaceBook.
Bernama Miri Bureau Chief, Hamdan Ismail said he had lost a friend and a guru.
"Sarawak lost another humble person. I learn a lot from him as a journalist. Rest In Peace SC," he said.
Meanwhile, former New Straits Times news editor, Joseph Bingkasan said SC was among the first person he met when first appointed to the Kuching-based post in Nov 2000.
"It was this great man who created my networking with the rest of the Press in Sarawak and Brunei," he said.
He was the best of friends I had in Kuching during the four years tenure of duty in Sarawak. After I was transferred to Kuala Lumpur and finally retired in Kota Kinabalu, we had been in contact via email, SMS and telephone calls, JB added.
"My condolence to the family of the late Mr S C Chan who passed away this morning. SC, as the Press called him, you will forever be in my memory," he concluded.

Monday, July 20, 2009

Mungkin itu yang terakhir, katanya

Mungkin itu yang terakhir,katanya."Saya tak dapat lagi menulis". Sedih mendengarnya. "Sampaikan salam saya kepada semua," katanya. Menurutnya baru kelmarin dia keluar hospital kerana masalah jantung dan sesak nafas. Katanya dia ada menghubungi rakan-rakan lain tapi tak dapat.Saya memintanya banyak berehat di rumah.Saya sendiri tidak terkata-kata, rasa pilu mendengar suaranya. Dalam keterharuan itu, saya berdoa semoga beliau cepat sembuh.
"Ibu tak dapat menulis lagi, mungkin ituyang terakhir," katanya merujuk karya puisinya yang kami siarkan beberapa minggu yang lalu.

Selepas mesyuarat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah

Pagi Jumaat yang lalu, sempat juga kami mengadakan mesyuarat bagi membincangkan agenda serta persiapan untuk mesyuarat agung persatuan pada 26 Julai nanti. Banyak idea yang dicetuskan, banyak hal yang dibincangkan mengenai kepentingan agar kesedaran sejarah diterapkan di jiwa generasi muda. Kami perlukan lebih ramai lagi ahli yang akan membantu menggerakkan persatuan sejarah agar dapat memainkan peranan dalam proses pembangunan sebuah negara bangsa yang kita miliki bersama. Kelihatan dalam gambar, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah (PSMCS), Datuk Seri Panglima Dr.Haji Hasbollah Haji Mohd Taha (dua dari kiri) diapit oleh Timbalan Pengerusi, Dr.Haji Aziz Ahmad (dua dari kanan) Setiausaha Haji Adnan Ibrahim (kiri sekali) dan BendahariMansur Asun (kanan sekali). Manakala di barisan belakang, Ali Hassan Omar (dua dari kiri) Mat Zin Mat Kib (tiga dari kanan) Ono Boni (dua dari kanan) dan Dr.Dayu Sansalu (kanan sekali) dan saya sendiri kiri sekali.

Hentikan Penindasan, hentikan kekejaman


Jumaat lalu, umat Islam di sekitar ibu negeri telah mengadakan perhimpunan secara aman selepas Jumaat di Masjid Bandar Kota Kinabalu bagi membantah penindasan yang berlaku terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang.
Ketika itu, pergaduhan etnik antara Kumpulan Han dan Uighur telah memakan 180 korban manakala 1,000 yang lain turut tercedera.
"Kami juga ingin menegur Kerajaan China dan sangat tidak bersetuju dengan tindakan keras yang diambil sehingga berlaku tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang," kata Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama Yang Dipertua PAS Putatan, Abdul Hamid Abu Bakar yang diadakan kepada media.Menurutnya, Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.
Katanya menurut laporan media, pihak polis China telah menangkap lebih 1,434 kaum Uighur kerana mengadakan perhimpunan besar-besaran.
"Kami ingin mempersoalkan mengapakah ramai kaum Uighur yang beragama Islam ditangkap sedang tiada alasan yang munasabah," katanya.
Menurutnya, pihak polis di negara itu juga bertindak ganas dengan memukul menggunakan belantan dan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan tersebut.
Rusuhan dan pergaduhan etnik di kawasan pendudukan muslim dikhuatiri akan menyebabkan sentimen kebencian terhadap umat Islam dan mengakibatkan krisis kemanusiaan yang berpanjangan, katanya.
"Kami menegaskan bahawa hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Astronomi Xinjiang mestilah dijamin dan dilindungi semua pihak," katanya.
Justeru itu, kami mengharapkan Kerajaan China segera mengatasi dan menghentikan persengketaan yang berlaku dan menyeru semua pihak mencari jalan untuk menyelesaikannya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Angkatan Muda (AMK) Keadilan Sabah, Abd.Razak Haji Jamil, dan masyarakat Islam yang menunaikan solat Jumaat itu.
Mereka juga turut melaungkan takbir dan `hentikan penindasan' selainkan sepanduk bertulis `Selamatkan Umat Islam Uighur'," hentikan kekejaman dan `stop violence' sebagainya terhadap etnik Islam di Xinjiang.

Katakanlah si penderma memiliki hati yang jahat?

"Katakanlah si penderma memiliki hati yang jahat, apakah si penerima organ juga akan turut memiliki hati yang jahat," Begitulah kira-kira antara pertanyaan yang dikemukakan dalam Forum sempena Kempen Promosi Pendermaan Organ. Si penanya, seorang pelajar, melihat hati dalam bentuk batini padahal yang didermakan itu hanyalah organ dalam bentuk fizikalnya.
Mujurlah Ustaz Norjam dapat menjawab persoalan itu dengan memuaskan. Timbul juga pertanyaan seperti seseorang yang telah mendermakan matanya, bila mati kelak, diakhirat nanti akan dibangkitkan dalam keadaan yang buta?
Saya fikir Ustaz Norjam dapat memberi jawapan yang memuaskan dengan memetik ayat Quran dan juga pendapat Ulama terkenal, Sheik Yusuf Qardhawi.Banyak silap faham dalam masyarakat kita mengenai derma organ ini.
Kementerian Kesihatan sedang berusaha meningkatkan kempen Promosi Pendermaan Organ di kalangan masyarakat bagi menambah bilangan pengikrar dan penderma organ bagi membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan iaitu pesakit jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr.Haji Marzukhi Md.Isa.
"Pendermaan organ merupakan satu amalan kebajikan terakhir yang sangat tinggi nilainya, yang boleh dilakukan oleh seseorang kepada insan lain selepas kematiannya.
"Dengan kata lain, seseorang insan masih boleh melakukan amalan kebajikan selepas meninggal dunia dengan mendermakan organ mereka seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pingggang kepada insan lain," katanya.
"Ini kerana pemindahan organ atau transplan terbukti merupakan satu kaedah rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa bagi pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir, hati, jantung dan paru-paru," katanya ketika merasmikan Forum Pendermaan Organ, Hospital Queen Elizabeth di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji, di ibu negeri pada 17 Julai lepas.
Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ jauh melebihi bilangan organ yang diperlukan, katanya sambil menambah, setiap tahun lebih 2,500 pesakit baru mengalami kegagalan akhir buah pinggang.
"Sehingga tahun 2006, seramai 13,000 pesakit buah pinggang sedang menjalani rawatan dialysis dimana 50 peratus daripada mereka sedang menunggu pemindahan organ," katanya.
"Manakala bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung, hati dan paru-paru ramai yang meninggal dunia semasa menunggu untuk mendapatkan organ yang baru. Lebih daripada 50 % daripada mereka sedang menunggu kegagalan jantung meninggal dunia dalam penantian," katanya.
Menyingkap sejarah pemindahan organ di negara ini, beliau memberiathu, kejayaan pemindahan organ buah pinggang yang pertama di Malaysia dijalankan pada tahun 1975.
"Sehingga Disember 2006 sebanyak 1,143 pemindahan buah pinggang telah dijalankan manakala kadar kejayaan hidup bagi pemindahan buah pinggang adalah lebih 95 peratus bagi tahun pertama, 90.0 peratus pada tahun ke lima dan lebih 75.0 peratus pada tahun ke-10. Penerima buah pinggang yang pertama ini telah hidup selama 31 tahun," katanya.
Sementara itu, pemindahan jantung yang pertama dilakukan pada tahun 1997.Sebanyak 17 pemindahan jantung telah dijalankan sehingga Disember 2006. Pada amnya kadar daya hidup bagi pemindahan jantung adalah 85 peratus bagi tahun pertama, 70 peratus bagi tahun kelima dan 50 peratus bagi tahun kesepuluh. Setakat ini terdapat penerima jantung yang masih hidup setelah 9 tahun menjalani pemindahan jantung.
"Pemindahan paru-paru (single) yang pertama ialah pada Disember 2005 dan pemindahan paru-paru (double) pada Mei 2006. Pemindahan hati di Malaysia pula bermula sejak tahun 1995 dan sehingga Disember 2006 lebih daripada 70 pemindahan telah dijalankan ke atas orang dewasa dan kanak-kanak dan 10 daripadanya adalah melibatkan penderma kadaverik (selepas kematian).
Malaysia juga telah mencatatkan sejarah apabila berjaya melakukan pemindahan tangan pertama di dunia yang melibatkan kanak-kanak berumu 1 bulan pada tahun 2000, katanya lagi.Beliau berkata,Walau bagaimanapun, kadar pendermaan organ masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Mengikut Laporan Medical Development Division Review, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2004, kadar pendermaan organ di Malausia ialah 0.67 orang bagi setiap sejuta penduduk; berbanding dengan Sepanyol kadar penderma orgnan ialah 34.6 orang bagi sejuta penduduk dan Amerika Syarikat 24.1 orang bagi setiap sejuta penduduk. Manakala Arab Saudi kadar pendermaan organnya ialah 2.3 orang bagi setiap sejuta penduduk.
Walaupun pesakit buah pinggang mempunyai rawatan alternatif dengan dialisis tetapi kos rawatan hemodialisis di pusat rawatan swasta adalah di antara RM120-RM300 bagi satu sesi. Maka seorang pesakit memerlukan rawatan sebanyak 3 sesi seminggu dan mereka terpaksa membelanjakan RM1500 hingga RM3,600. sebulan tidak termasuk kos perubatan dan kos lain-lain.
Jangkamasa pesakit menunggu untuk mendapatkan pemindahan buah pinggang adalah sehingga 16 hingga 20 tahun.
Menurutnya, sesiapa saja di Malaysia boleh menjadi pengikrar untuk menderma organ seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang.Manakala tisu yang boleh kita dermakan ialah mata, kulit, sum-sum tulang, injap jantung dan uri. katanya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihartan Sabah, Dr Enoch Tan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah (Klinikal) Hospital QEH, Dr.Yusmaniza Abd.Rashid, Ketua Jabatan Anestesiologi, Hospital Queen Elizabeth Dr.Lily Ng Moi Hang dan Ketua Unit Promosi Kesihatan, Abd.Razak Md.Noh yang juga Pengerusi penganjur Forum Penderma Organ Hospital Queen Elizabeth.

Pondok di lintasan deasoka














Rumah tradisi yang dibina, mungkin buat sementara, di lintasan deasoka, di tengah-tengah ibu kota, memiliki daya tarikan tersendiri bagi para pelancong. Khabarnya di Eropah sekarang musim panas, dan musim cuti sekolah.Jadi ramailah di antara mereka memilih Sabah sebagai destinasi pelancong dan lebih separuh daripadanya pernah mengunjungi negeri ini sebelum ini.Bagi yang tak sempat ke pedalaman, rumah tradisi yang menjual pelbagai hasil kraftangan ini amatlah memadai untuk mereka . Sepatutnya lebih banyak lagi tempat seperti ini dibina supaya hasil kraftangan pelbagai suku kaum di negeri ini dapat dijual dengan mudah. Syabas kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana membina rumah tradisi seperti ini. Sepatutnya kerajaan membina kampung budaya, seperti kampung budaya Sarawak, supaya lebih banyak lagi produk budaya dan cara hidup masyarakat dapat dipamerkan kepada generasi muda dan pelancong sebagai muzium yang hidup.

Thursday, July 16, 2009

Melahirkan jurnalisme masyarakat yang jujur

Kelahiran ramai blogger khususnya di Kota Belud amatlah memberangsangkan. Saya tertarik membaca tulisan dan perdebatan mereka yang kadang-kadang sengit mengenai sesuatu perkara yang dekat dengan dunia mereka dan sekitarnya. Saya fikir para blogger ini mampu memberi sumbangan yang bermakna dalam proses pembinaan sebuah negara bangsa, atau kalau tidakpun dapat memberi sumbangan ke arah menjayakan konsep 1Malaysia yang penuh dengan segala cita-cita muluk, juga penuh dengan hirukpikuk perbahasan mengenainya.

Seorang rakan blogger yang bernama pak Iman Brotoseno, mempunyai pendapat yang menarik mengenai integriti seorang blogger. Katanya, "bagi saya integriti seorang blogger dinilai bagaimana ia bisa menyuarakan sebuah penilaian kepada pembacanya.Ia bisa jujur terhadap nilai-nilai yang dilihatnya.Blogger menulis kerana hati nuraninya.
Seorang teman, kata Iman Brotoseno lagi, mengatakan kepadanya, bahawa ketika saat ini media jurnalisme mainstream kadang bisa ambivalen, dan sering berpihak kepada pemilik modal dan patron-patron politiknya, justru blogger harus menjadi tumpuan jurnalisme masyarakat yang jujur."

Setiap malam, air mata ini meleleh







ANAK KAPAL M.V.EVERWIN TIGA BULAN TIDAK DIBAYAR GAJI
"Air mata saya meleleh setiap malam mengingatkan anak isteri menelefon minta susu.Hampir tiga bulan, saya tidak bisa kirim wang kerana kami tidak dibayar gaji," kata Marhasim Matnai, 34, seorang anak kapal M.V Everwin.
Marhasim, yang berasal dari Madura, bersama tujuh anak kapal masih bertahan hidup di atas kapal milik sebuah syarikat di Pulau Pinang dan didaftarkan di Tarawa, Kiribati tetapi masih terkatung-katung di perairan Kota Kinabalu sejak tiga bulan lalu.
Kapal kargo itu dalam perjalanan dari Cebu, Filipina ke Pelabuhan Pasir Gudang Johor ketika ia terkandas di Kota Kinabalu pada 22 Mac lalu
Marhasim dan kawan-kawannya hidup hasil dari jualan besi buruk dan kini kehabisan wang selepas pemilik kapal itu, Everwin Merger Sdn.Bhd tidak lagi membayar gaji kepada pekerjanya.
"Saya sudah beritahu isteri mengenai masalah yang kami hadapi, tetapi saya tidak berani beritahu ibu kerana dia ada penyakit darah tinggi," katanya.
"Kapal tidak dapat berlayar kerana kehabisan minyak," kata Ketua Pegawai M.V Everwin, Huce Lombogia,55.
Beliau memberitahu, anak-anak kapal tidak diberi gaji sejak hampir tiga bulan lalu. Akibatnya, keluarga mereka di kampung menghadapi masalah kekurangan belanja untuk menghantar anak ke sekolah, membayar bil air dan elektrik dan sebagainya.
Menurutnya, kapal itu tidak dapat bergerak kerana kehabisan minyak menyebabkan mereka terpaksa bergerak ketika malam tiba.
Mereka menghibur diri dengan memancing dan Huce Lombogia bekerja kuat untuk menghubungi pihak berkuasa mengadukan masalah mereka.
"Saya tidak pasti apa yang terjadi.Khabarnya syarikat tidak dapat membayar hutangnya menyebabkan kapal itu disita. Pertikaian terjadi antara mereka dan yang menjadi mangsa ialah anak-anak kapal yang kini berjuang untuk mencari sesuap nasi bagi mengalas perut mereka.
"Ejen kapal juga menghilang dan tidak dapat dihubungi," kata Huce lagi.
"Sudah 12 tahun saya bekerja di perusahaan ini," kata Arifin Amiruddin,57 berasal dari Belawan, Medan.
Beliau yang bekerja di bahagian enjin berkata, sepanjang pengalamannya bekerja di kapal itu, beliau belum pernah menghadapi masalah seumpama itu.
"Kami terpaksa menjual besi tua, memancing ikan untuk makan kerana terpaksa hidup luntang lantung di negeri orang," katanya yang menerima gaji sebanyak RM1,600 sebulan.
"Bahkan untuk mandi pun, mereka terpaksa berjimat kerana tidak mempunyai duit untuk membeli air," katanya.
Seorang lagi yang sempat ditemui , Asdar Rabing, 28 berkata "Kami sering menelefon majikan tetapi ia tidak pernah angkat telefon," katanya sambil menambah, nasib mereka tidak diberikan sewajarnya oleh pihak majikan.
"Ejen kapal juga menghilang dan tidak dapat dihubungi," kata Asdar yang telah bekerja selama satu tahun tiga bulan di kapal itu.
Beliau yang berasal dari Makassar berkata, mereka juga kehabisan bekalan makanan.
"Kapten kapal sudah pulang kampung dan kini kami tertinggal kerana kehabisan wang, "katanya lagi.
Menurutnya, kapal kargo itu menghantar bahan binaan besi untuk jambatan ke Cebu, Filipina sebelum operasi tergendala.
"Tapi dimana ada muatan, di situ kami berada," katanya sambil menambah, kapal itu juga mengangkat ubi kayu dari Thailand, beras dan jagung dan boleh memuatkan kira-kira 1,200 tan setiap pelayaran.
"Kami menjalani kehidupan yang sukar," kata Nordin Parinding,berasal dari Toraja. "Kami merayu kepada pihak majikan untuk melunaskan pembayaran gaji kami," katanya.
Sementara itu, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu tampil memberi bantuan makanan kepada anak-anak kapal M.V Everwin yang terkandas itu untuk meringankan bebanan mereka.
Konsul Indonesia, Iman Rokhadi, memberitahu KJRI akan menyediakan peguam untuk membela kepentingan anak-anak kapal itu selain memberikan biaya logistik termasuk bekalan makanan untuk warga Indonesia yang terkandas itu.
Selain itu, pihaknya juga akan menyediakan bantuan pemulangan kepada warganya selepas selesai menjalani semua proses undang-undang.




Anak kapal minta bantuan


ANAK KAPAL MINTA BANTUAN KJRI

KOTA KINABALU: Lapan anak kapal M.V Better Master yang terkandas di W.P Labuan meminta bantuan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu untuk dipulangkan ke halaman masing-masing.
Mereka menghadapi nasib yang sama dengan rakan mereka yang terkandas di perairan Kota Kinabalu tidak menerima gaji sejak tiga bulan yang lalu.
Wakil mereka, Sofaatin Khamim, 42 berasal dari Pemalang Jawa Tengah mendakwa mereka terpaksa meminta bantuan untuk dihantar pulang .
"Kami tidak ada jalan lain. Kami cuba menghubungi owner (pemilik) tetapi telefon tidak diangkat," katanya.
Sofaatin berkata mereka terpakmsa menjual besi buruk bagi membeli makanan `untuk menyambung umur'.
"Kami tidak dapat bertahan dalam keadaan seperti ini," katanya kepada Utusan Borneo dekat sini, kelmarin
Seorang lagi anak kapal yang sempat ditemui, Darmodjo Ismullah,34 berasal dari Jakarta Selatan meminta perlindungan ke Konsulat dan merayu bantuan supaya mereka dapat dipulangkan ke kampung masing-masing.
"Kalau bertahan di sini pun akan menimbulkan masalah.Lebih baik kami pulang," kata Darmodjo.
M.V Better Master yang berpengkalan di Pulau Pinang, di daftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia

Esok kita ke Kapal











"Esok kita ke kapal", kata pak Iman kelmarin. Ke Kapal? Kapal yang mana? Di mana? Ada apa di sana? Banyak pertanyaan yang muncul di kepala saya. Untuk apa ke kapal dalam keadaan ombak yang bergelora ini.

"Okey, jam 10.00 saya tunggu bapak dekat Milimewa.". Saya sempat makan soto di kedai Kun Hin sambil pak Iman datang. Tentu ada yang tidak beres kerana sebelum ini, kami pernah ke Paitan selepas mendapat tahu ada 70 orang tenaga kerja warga Indonesia yang berkerja di ladang Sawit, dipecat oleh majikan.
Tapi kali ini Pak Iman mengajak saya ke kapal. Kapal itu, katanya sedang berlabuh di perairan Kota Kinabalu.
Ketika mereka tiba, saya terus melompat dalam kereta. Terdapat dua pak Iman dalam kereta itu. Seorang pernah pak Iman Siregar dan seorang lagi, pak Konsul, Iman Rokhadi.
"kok, naik kapal pakai dasi," kata pak Iman Rokhadi, lebih kepada dirinya sendiri.Ceritanya beliau kurang gemar pakai dasi, tapi pagi ini beliau memakai dasi.

"Kita kan ke kapal," katanya. Bersama Pak Huce, berlepaslah kami ke Kapal M.V Everwen dalam perahu yang dipandu Ju.
Kira-kira sepuluh minit kemudian, kami sudah berada di atas kapal kargo itu.Inilah pertama kali, sejak menjadi wartawan 15 tahun lalu, saya menemuramah orang-orang yang lapar di atas kapal.
Orang-orang kapal yang terkandas sejak 22 Mac lalu, tidak dapat meneruskan perjalanan kerana kapal mereka kehabisan minyak.Mereka juga tidak dibayar gaji dalam tempoh hampir tiga bulan itu. Sebabnya terjadi pertelingkahan di antara majikan mereka yang tidak dapat membayar hutang yang dipinjamnya dengan pihak lain, yang kini mendakwa menjadi pemilik kapal itu.Kes itu kini sudah sampai ke tangga mahkamah.Orang-orang kecil ini, tak semena-mena menjadi mangsa, tiga bulan tidak dibayar gajinya.

Lelaki berkaca mata yang memakai jaket pelampung itu ialah Konsul Indonesia, Iman Rokhadi manakala yang memakai baju kuning itu, saya sendiri. Bersama kami ialah Pak Huce Lombogia (bertopi), orang Manado yang jadi Chief Officer di kapal kargo itu.


Tuesday, July 14, 2009

Sketsa Mantanani-eh, ada orang putih!


Pada mulanya mereka datang melihat tarian `pakiring'. Tapi mereka tak sempat melihatnya. Saya terkejut juga melihat ada orang putih yang datang ke majlis itu. Saya mendekati mereka, ingin tahu.
"Kami tinggal di sini selama sebulan," kata lauren Mclennan dari Scotland. Ada tiga tujuan yang dinyatakannya kepada saya mengenai keberadaan mereka di pulau itu. Pertama membanru mengajar bahasa Inggeris di sekolah. Kedua, membantu meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan pantai dan ketigam membantu pemuliharaan penyu. Sukarelawan dari Camp International itu dibantu oleh Hirda Albih, 23. Kebanyak mereka dari UK iaitu Charlotte Wallis, 19, Henry Evans,19, Finbar Queef, 19, katie Crutchley,19. Turut membantu ialah silvia, kalau tak silap pengarah projek Camp Borneo itu.
Pulau Mantanani ini cantik, kata Lauren.Mereka ingin mengenali budaya masyarakat pulau itu.

Membeli petrol dalam botol



Kereta kancil itu hampir kehabisan minyak. Mulanya kami bercadang untuk ke stesen minyak di pekan Kota Belud tetapi waktu sudah semakin suntuk. Rombongan sudah menunggu di jeti perikanan Kuala Abai. Mahu tidak mahu kami terpaksa juga meneruskan perjalanan.
"Jangan risau," kata Mabul, "kita singgah di gerai, beli petrol dalam botol". Inilah pertama kali saya melihat petrol di jual dalam bentuk botol, RM2.00 sebotol. Kami singgah di Kulambai kerana kedai di kampung tamau masih belum buka kerana masih terlalu pagi.
Tak usah risau kalau kehabisan minyak. Banyak kampung yang menjual petrol sebegini, katanya.
Ketika hal itu saya utarakan kepada rakan-rakan di FB, mereka memberitahu bahawa minyak petrol dalam botol mineral juga dijual di Balung, di Kinabatangan, di Beluran dan sebagainya. Ini bukan hal yang luar biasa di kawasan luar bandar. Bagi saya ini hal biasa yang luar biasa.
Kelihatan dalam gambar, Mabul bersama petrol dalam botol

Sketsa Mantanani-selepas tiba di jeti

Di depan sekali, Datuk Haji Musbah dan Datuk Japlin sebaik tiba di jeti Mantanani. Hampir seluruh penduduk pulau keluar menyambut kedatangan mereka ke pulau itu.
Kami berangkat dari Stesen Perikanan Kuala Abai jam 8.00 pagi dan tiba di Mantanani lima minit sebelum jam 9.00. Penduduk sudah lama menanti tetapi mereka faham, kami menempuh perjalanan `ningka selang'.

Sketsa Mantanani-di bawah pohon kelapa

Di bawah pohon kelapa itu, saya mengajak Haji Manchu untuk mengambil gambar kenangan.Beliau masih merupakan kerabat kami yang jauh dari sebelah bapa saya. Tetapi saya mengenalnya sebagai penggiat teater sejak 80-an lagi.Sekarang masih berteater. Juga aktif dalam politik di daerah Kota Belud.

Sketsa Mantanani-yang menyapa pulau kali pertama

Banyak sudah pulau yang dikunjungi oleh Haji Manchu Kula (bertopi) tetapi inilah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Pulau Mantanani. Seniman yang bergiat dalam dunia teater di Sabah ini tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri dan merasakan denyut nadi kehidupan masyarakat pulau. Di sebelahnya ialah Mabulmaddin Haji Shaiddin, juga seorang penyair dan cerpenis, eseis yang tidak asing lagi di negeri ini. Sejak kecil lagi, beliau sering melihat pulau Mantanani dari Pantai Tamau, terasa begitu jauhnya. Beliau sudah lama ingin merasai bagaimana tinggi ombak yang membuat kapal teroleng-oleng. Pada kunjungan itu, bot yang mereka tumpangi mati di tengah laut walaupun akhirnya berjaya dihidupkan kemudian. Kedua-dua seniman ini mengunjungi Mantanani buat pertama kali.

Sketsa Mantanani-pada kunjungan kedua

Ombak besar hampir menghalang perjalanan kami ke Pulau Mantanani.Hari itu merupakan hari yang penting bagi penduduk pulau . Empat puluh sembilan orang menerima bantuan daripada Jabatan Perikanan. Bantuan kerajaan itu disampaikan sendiri oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haji Musbah Haji Jamli. ADUN Usukan, Datuk Japlin Haji Akim yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur juga turut hadir. Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan, Daim Haji Basirun mengetuai sejumlah pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan berusaha memastikan majlis itu berjalan lancar.

Kami menaiki empat bot nelayan.KD Tigabu, KD Gaya, KD Selingan dan KD Langkayan. Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam dengan dua kuasa enjin 130 hp. Angin ribut baru berhenti dua hari lepas, kata penduduk kampung. Sudah lebih seminggu nelayan kecil tidak dapat turun ke laut.

Penduduk kampung berbaris untuk menyambut ketibaan kami. Mereka gembira melihat kedatangan Datuk Musbah ke pulau itu setelah tahun 1997. Waktu itu, menurut pengakuan Datuk Musbah sendiri, beliau sendiri yang memandu bot untuk ke pulau itu. Ketika mula-mula tiba, beliau sempat disangka `mundu' oleh penduduk kampung kerana ketika itu, di perairan kita masih ada mundu.

Inilah kali kedua beliau mengunjungi pulau itu. Datuk Japlin pula memberitahu, beliau sempat bermalam di pulau itu pada pilihanraya lalu. Kawasan Mantanani yang kini terletak di DUN Usukan mempunyai kira-kira 1,000 penduduk, 400 daripadanya pengundi.

Walaupun perjalanan kami agak mencabar tetapi demi penduduk pulau itu, akhirnya pemimpin-pemimpin yang mereka nantikan tiba juga untuk sedikit sebanyak membantu menyelesaikan permasalahan penduduk di pulau Mantanani, satu-satunya pulau yang berpenghuni di Kota Belud.Ramai di antaranya miskin dan perlu bantuan walaupun tidak dinafikan ramai juga yang hidupnya lumayan. Bagi saya sendiri, inilah kali kedua saya berkunjung ke pulau itu selepas Februari lepas. Lima bulan yang lalu, ramai diantara mereka mengeluh YB tidak datang menjenguk mereka tetapi kini, kedua-dua YB turun padang untuk memberi khabar kepada penduduk pulau, khabar yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar daripada mereka.






















Monday, July 13, 2009

masyarakat perlu minda kreatif



MASYARAKAT PERLU MINDA KREATIF

PITAS: Masyarakat hari ini perlu mempunyai minda yang kreatif agar mereka mampu berinteraksi dengan sopan dan beretika dalam kehidupan seharian, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Bolkiah Haji Ismail.
"Menikmati sastera kreatif pada hari ini bukan lagi satu perkara yang boleh dianggap sekadar bermain-main dengan emosi sahaja tetapi melalui karya-karya kreatif pembaca akan dapat membuka cakerawala minda yang lebih kritis dan dinamik," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas.
Beliau berkata, kesudian DBP Cawangan Sabah membawa pelbagai kegiatan di daerah Pitas membantu mendedahkan masyarakat di daerah itu dalam pelbagai kegiatan bersifat keilmuan.
"Ini menunjukkan bahawa agensi-agensi kerajaan persekutuan sentiasa menyokong pelbagai usaha kerajaan negeri memajukan masyarakat bukan saja dalam konteks pembangunan fizikal tetapi juga dalam pembangunan mentalmasyarakat," katanya ketika merasmikan Malam Baca Puisi Juri Durabi di Dewan Serbaguna Pitas, malam kelmarin.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat, Mohd. Lahab Enul.
"Kejayaan Juri Durabi sebagai sasterawan di negeri ini telah mengangkat imej daerah Pitas dan ini amat membanggakan," katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa daerah Pitas mampu melahirkan lagi penulis-penulis baru dengan sokongan dan bimbingan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Katanya, puisi-puisi Juri Durabi memberikan tafsiran tentang kehidupan masyarakat bukan sahaja di Pitas tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
"Melalui seni kreatifnya kita akan dapat membaca ketajaman cetusan hati nurani Juri melalui pemilihan kata-kata yang puitis dan penuh bermakna," katanya.
Sementara itu, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas berkata Malam Baca Puisi Juri Durabi dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah sebagai penghargaan kepada penulis dan golongan sasterawan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan minda masyarakat melalui karya-karya dalam bentuk puisi, cerpen dan sebagainya.
"Malam Baca puisi Juri Durabi diadakan sebagai salah satu usaha DBP cawangan Sabah untuk memperkenalkan golongan penulis dan sasterawan serta karya-karya mereka kepada masyarakat," katanya sambil menambah, negara-negara maju menghargai karya dan golongan sasterawan.
"Di negara maju, karya Karya penulis dibaca dan dihargai, serta golongan sasterawan diberi penghormatan dan ditempatkan di kedudukan yang sewajarnya tetapi masyarakat di negara kita masih kurang memnbaca dan menghargai karya-karya sastera.," katanya.
Golongan sasterawan masih `terpinggir' tidak dikenali masyarakat, apatahlagi diberi penghormatan yang sewajarnya sesuai dengan sumbangan besar mereka kepada pembangunan minda masyarakat,kata Zubaidi.
Malam Baca Puisi Juri Durabi diserikan dengan pembacaan puisi oleh Juri Durabi, penulis kelahirkan Kampung Kusilad Pitas, Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Ramli AR, Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Dulamid Rudin, Ng Loi Tect, Naib Ketua UMNO Bahagian Pitas, Harun Durabi, lagu puisi oleh Rablin Nordin dan lain-lain lagi.




Kenangan jauh di pulau

KENANGAN JAUH DI PULAU

oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
Hampir seluruh penduduk pulau Mantanani berada di jeti ketika kami tiba (pada kunjungan pertama Februari 2009). Saya tidak begitu pasti apa sebabnya tetapi setiap orang berjabat tangan dengan saya. Selepas itu berpawailah kami ke bangunan sekolah yang terletak tidak jauh dari situ. Berjalan di bawah pohonan kelapa dan rumah orang kampung yang miskin tapi ikhlas hatinya.
Saya terharu dengan sambutan mereka terhadap kedatangan kami. Dalam rombongan itu ada guru besar, ada serombongan pegawai dan kakitangan Yayasan Sabah yang datang untuk mengadakan kursus motivasi pendidikan. Penduduk kampung keluar beramai-ramai setelah diberitahu bahawa dalam rombongan itu, turut serta seorang wartawan yang datang untuk menemubual penduduk kampung mengenai hal ehwal pulau itu.
Seorang pemuda kampung, pendek tapi gagah orangnya mendekati saya.Kalau tak silap namanya Rumi."Saudara pemberita, nanti kita jumpa selepas ini, ada yang ingin saya katakan," katanya.
Itulah perkenalan saya yang pertama dengan Mantanani, sebuah pulau yang hampir yatim piatu di perairan Kota Belud itu. Masyarakatnya masih daif dan miskin walaupun ramai juga yang memiliki rumah yang cantik. Hampir semua penduduknya bekerja sebagai nelayan. Hidup diamuk gelombang semata-mata untuk mencari rezeki dari perut lautan untuk memberi makan anak isteri mereka di rumah.
Pulau Mantanani boleh dikatakan sebuah pulau yang cantik.Boleh dihubungi satu jam setengah dari Kuala Rampayan.Meskipun begitu, pulau yang berpenduduk kira-kira 1,000 pengundi masih belum dijenguk pembangunan.Terdapat beberapa buah kampung dan beberapa cawangan parti politik di sana.
Satu ketika dahulu pulau Mantanani terkenal kerana beberapa sebab.Pertama kerana ia mempunyai sarang burung layang-layang. Pulau itu juga menyimpan derita ketika para lelakinya dibunuh Jepun. Kemudian beberapa tahun lalu, muncul ikan dugong yang menjadikan pulau itu dikenali sebagai lokasi pelancongan yang menarik. Satu sebab lagi, yang menjadikan pulau itu terkenal ialah pelajar di sekolah itu pernah mencatat kosong peratus dalam UPSR.
Padahal sebelum itu, sudah ada anak Mantanani yang berjaya menjejak kaki ke Universiti, ada menjadi guru dan pegawai kerajaan. Entah kenapa prestasi pelajar menjadi sangat menurun, mungkin kerana kesan PPSMI atau komitmen tenaga pengajar yang longgar. Tetapi itu cerita lama.Kini sekolah itu mulai bangkit untuk mencatat kecemerlangan dalam pelajaran.
Saya kemudian dikerumuni oleh masyarakat kampung itu seolah-olah saya seorang yang didatangkan untuk menyelesaikan mereka.Saya hanyalah seorang wartawan, yang datang merakam kesedihan dan keperitan hidup mereka."Tugas saya hanya menulis berita." saya memberitahu mereka begitu.
"Tolong encik, tolong, encik tulis cerita kami,". "Kami miskin, anak ramai, atap rumah bocor," katanya. Lihat dinding rumah kami, papan bocor atau zink yang panas, sekadar untuk tempat berteduh.
Tidak pernah, sepanjang kerjaya saya, orang-orang yang begitu sukarela menceritakan kepahitan hidup mereka. Sebelum ini, ada orang yang rasa terpaksa bercerita, ada yang lain terpaksa dipujuk, dan bermacam-macam cara untuk mendapatkan berita.Tetapi di pulau ini, mereka tidak segan-segan mengeluarkan segala isi hati mereka.
Saya ingat seorang bernama Habli Tohmajun. Beliau menghadapai masalah mendapatkan my kad, padahal beliau penduduk pulau yang asal. Ketika mahu menukarkan kad pengenalan, beliau dikenakan denda atas sebab tertentu dan beliau tidak mampu membayarnya.Syukurlah, masalahnya telah diatasi dan kini, khabarnya dia sudah mempunyai my kad baru.
Apa yang paling mengejutkan saya ialah semangat golongan belia, yang mengadakan pertemuan dengan saya selepas itu.Enam atau tujuh orang mengerumuni saya dan memberitahu betapa yang paling penting ialah supaya kerajaan memberi perhatian ke arah peningkatan mutu pendidikan di sekolah itu.
"Kami mahu guru yang komitmen mengajar anak-anak kami, kami tak mahu lagi melihat anak kami mengikuti jejak kami sebagai nelayan.Kalau mereka mahu menjadi nelayan, biarlah mereka jadi nelayan dengan mempunyai ilmu teknologi yang tinggi," kata Rumi.
Kebimbangan mereka beralasan kerana sekolah itu pernah mencatat kosong peratus dalam UPSR beberapa tahun kebelakangan.Hanya pada tahun lalu, angka telur itu dapat dipecahkan. Mereka sanggup berkorban, malah sanggup meninggalkan buat sementara kerjaya sebagai nelayan semata-mata mahu mempertahankan seorang guru besar supaya tidak dipindahkan bertugas di tempat lain.
Ketika ternampak penduduk yang masih menggunakan telaga untuk air minum, saya teringat kampung-kampung di pedalaman yang pernah saya lawati. Keadaannya hampir sama. Di Malubang Pitas, dan beberapa tempat lain lagi.Malah di kampung saya sendiri, walaupun sudah 46 tahun pembentukan Malaysia, penduduknya masih menggunakan air graviti.
Saya cuba menemuramah mereka.Menanyakan duka yang mereka alami. Berapa anak mereka, berapa pendapatan mereka, berapa tanggungan mereka dan banyak lagi. Tetapi yang lebih mengharukan ialah betapa besar harapan mereka kepada saya, seolah-olah seorang pemimpin yang telah lama ditunggu.Tapi saya bukan wakil rakyat. Saya hanya seorang kuli tinta.
"Kami sudah lama minta bantuan tetapi sehingga sekarang, kami belum dapat bantuan lagi," kata seorang lagi penduduk. "Kami tinggal di bawah kolong, menumpang rumah orang tua". Kami sudah buat permohonan, tetapi janji tinggal janji.
"Kalau pilihanraya, mereka janjikan apa saja lepas itu mereka lupa semua". "Tulislah kisah hidup kami tuan," kata seorang yang lain lagi.."Ah sana lagi tuan, tolong ambil gambar supaya mereka tahu penderitaan kami".Saya terus menggambar dan menggambar, memotret wajah-wajah mereka. Mungkin lebih dua puluh rumah yang kami kunjungi, saya tidak ingat lagi kerana tidak sempat bertanya mereka semua.
Saya mengambil gambar sehingga hari gelap, sehingga saya sedar, tidak mungkin dapat mengambil foto mereka semua dalam kegelapan itu. Tapi saya terus menggambar walaupun saya percaya tidak mungkin dapat menggambarkan kepiluan dan kepedihan hidup mereka.
Catatan ini tersiar dalam ruangan Nota seorang wartawan Utusan Borneo 13 Julai 2009

Catatan dari belakang lensa-R syad














































Saudara R Syad Hussin, sahabat saya yang kini merupakan Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran meminta saya menyiarkan catatan perjalanan ini dalam blog saya. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya.R.Shad, seorang penulis dan penyair menulis mengenai perjalanan mereka ke medan.Berikut ini saya perturunkan catatan yang diemel kepada saya.


PENERBANGAN kami yang sepatutnya dijadualkan berangkat dari Kuala Lumpur ke Medan pada 14:45 petang waktu Malaysia tiba-tiba ditunda lewat setengah jam akibat penerbangan lewat tiba dari Kota Kinabalu.
Kata seorang kawan yang turut dalam rombongan masalah seperti ini memang sering menyusahkan penumpang dan merimaskan menunggu keberangkatan apa lagi kalau melibatkan penumpang ‘Connecting Flight’ ke suatu destinasi tertentu.
Dalam hati turut rasa resah kerana penerbangan kami dari Lapangan Terbang Polonia, Medan akan berangkat ke Banda Acheh tepat pada 15:35 petang waktu Medan .
Sementara menunggu penerbangan kami melihat beberapa orang petugas lewat dinding kaca mengangkat bagasi penumpang dilemparkan sesuka hati ke dalam perut kapal terbang seperti menghumbankan buah kelapa ke dalam lori barang.Dalam hatiku berkata,tidak hairan kalau ada bagasi penumpang yang pecah dan rosak.Cuai.
Penerbangan kami tiba di Lapangan Terbang Polonia, Medan kira-kira jam 14:20 petang waktu Medan dan berangkat ke Banda Acheh tepat pada 15:35 petang.
Ketika melihat jam di tangan seorang penumpang warga Indonesia menyapa dari belakang," Nggak usah bingung,pak.Bapak ngak kehilangan waktu.Waktu di sini satu jam mundur berbanding waktu Malaysia ," ujarnya ramah.Kami hanya mampu tersenyum lega dalam kehairanan.
Selepas pemeriksaan dokumen perjalanan kami menuju ke ruang bagasi yang sudah dikerumuni Porter yang lebih sibuk daripada penumpang.
"Pak, biar kami yang urus bagasinya,bapak tenang-tenang saja.Ini nomor saya 189.Bapak tunggu saja di sono,ya," ujar salah seorang Porter ramah.
Selesai urusan bagasi kami terus menuju ke ruang pendaftaran masuk dan menyerahkan tikit penerbangan kepada petugas tak rasmi yang mencari makan di Lapangan Terbang Polonia.
" Maaf ya,Pak. Dua tikit kelas bisnis saja yang komfom dan yang satu lagi terpaksa duduk kelas ekonomi.Tapi,nggak usah kuatir bapak-bapak tetap bisa berangkat semua ke Banda Aceh," ucap petugas itu penuh yakin.
Kami hanya mampu mengomel sesama sendiri dengan karenah warga Indon yang sengaja mencari akal menambah pendapatan.
Setelah menerima Pas Naik Pesawat ( Boarding Pass ) Penerbangan GA146 ke Banda Acheh kami menuju ke ruang keberangkatan sambil meneliti pas naik yang dikepilkan resit Airport Tax yang sepatutnya dibayar Rp25,000.tetapi dibayar lebih tiga kaliganda.Muakal!
Sepanjang perjalanan menuju ke hotel di Banda Acheh kami tidak melepaskan peluang meninjau lewat cermin kereta sambil mendengar penerangan ringkas pemandu yang menyambut kami di lapangan terbang Acheh.
PROVINCI Nanggroe Banda Acheh Darussalam yang dikenali dengan jolokan Serambi Mekah kini mula membangun selepas dilanda gempa bumi yang disusuli Tsunami 26 Disember 2004.
Bencana Tsunami yang meranapkan rumah penduduk khususnya pekan-pekan di sepanjang pesisir pantai Acheh itu khabarnya telah mengorbankan 130,000 nyawa dan lebih 90,000 orang hilang tidak diketahui jasadnya hingga sekarang.
Selain itu lebih setengah juta orang terpaksa hidup dikhemah-khemah penempatan dengan segala penderitaan dan keperitan hidup.
Namun selepas tiga tahun setengah keadaan perkampungan yang dilanda tsunami itu mula berubah dengan pembangunan perumahan hasil bantuan dana dari pelbagai Negara termasuk dari Malaysia .
Selepas membersihkan diri kami dibawa ke Masjid Raya BairurRahman untuk menunaikan solat magrib berjamaah yang diimamkan Imam Besar,Prof.Dr.Tengku H.Azman M.Ismail M.A.
Selepas solat semua jamaah berdoa masing-masing dan tidak seperti solat berjamaah di masjid-masjid di Malaysia yang dipimpin oleh imam solat.
Antara jemaah yang turut solat Menteri DiJabatan Ketua Menteri Negeri Sabah,selaku Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam di Sabah merangkap ketua rombongan,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran; Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Acheh,Drs. H.Hasan Basry; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS),Haji Amri Suratman; Setiausaha Rendah 1,JKM Sabah,Datuk Haji Ag.Sharin Alimin ; 15 orang ahli rombongan negeri Sabah ke Banda Acheh yang terdiri dari Ahli Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta masyarakat Islam Banda Acheh Darussalam.
Sementara menunggu solat Isyak satu ceramah khas disampaikan Pengerusi Program Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu,Haji Jamal Tun Sakaran mengenai Perancangan Strategik Pembangunan Masjid Di Alaf Baru;Masjid Sebagai Nadi Pembangunan Strategik Kemajuan Agama,Sosial & Ekonomi Ummah disiarkan secara langsung melalui radio masjid Raya BaiturRahman ke seluruh Acheh dan Sumatera,Indonesia serta mendapat sambutan hangat pendengar dengan beberapa panggilan ke studio mini Masjid Raya BaiturRahman.
Masjid Raya BaiturRahman yang menyimpan seribu cerita duka bencana Tsunami dan menempatkan ratusan ribu mayat mangsa sebelum dikebumikan di tanah perkuburan besar di Acheh tetap masih teguh berdiri menjadi rumah ibadat utama masyarakat Islam Acheh menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelusuk bumi Indonesia raya.
Sebagai memulakan acara lawatan kami dibawa melawat Syiah Kuala University dan disambut mesra Rektor Syiah Kuala University , Dr.Darni M.Daud.
Pada mula kami menyangka universiti itu ada kaitan dengan golongan Syiah namun selepas diberikan taklimat sebenarnya ia mengambil nama sempena seorang pemimpin dan ulama tersohor Acheh, Syeikh di Kuala.
Acara lawatan kami terlalu padat sehingga membuat setiap rombongan terkilan tidak sempat merakamkan banyak gambar untuk dijadikan kenangan kerana bumi Acheh sememangnya kaya dengan pemandangan alam semulajadi cukup indah serta warna-warni kehidupan penduduknya yang unik dan tabah.
Dari kampus Universiti Kuala Syiah kami terus melawat perkampungan Persahabatan Indonesia – Tiongkok ( China ) yang didirikan di atas bukit dan sempat melihat keadaan perkampungan pesisir pantai yang musnah dilanda tsunami sudah mula ditumbuhi rumah-rumah penduduk yang sebahagiannya hasil sumbangan Negara asing.Namun kesan kemusnahan bencana itu tetap masih kelihatan melalui beberapa lokasi yang masih lapang bagaikan padang jarak, padang tekukur.
Selepas singgah makan di Restoran Masakan Padang kami sempat menunaikan solat zohor di salah sebuah perkampungan Camat Baitussalam dan meneruskan lawatan singgah menjenguk asrama Anak-Anak Yatim Negeri Johor yang dibangunkan kerajaan Negeri Johor selepas bencana Tsunami menempatkan 50 orang anak-anak yatim dan yatim piatu.
Kami melihat disetiap wajah anak-anak kecil yang rata-rata berusia antara tujuh hingga belasan tahun itu menyimpan seribu harapan yang dibaluti sejuta kedukaan meratapi nasib walang yang amat dalam membuat hati kami mengharu sendu.
Anak-anak kecil yang kehilangan ibu,ayah dan keluarga itu tetap ramah menguntum senyum menghulur salam kepada setiap rombongan yang datang sambil mengusap lembut kepala anak-anak itu dengan penuh kasih sayang.
Kami membayangkan betapa perit pedih kehidupan tanpa kasih sayang ibubapa dan keluarga yang pergi buat selamanya dalam tragedi menyayat hati sedemikian. Sayu pilu mengilir sanubari melihat sebahagian anak-anak kecil itu tidur lena dalam bilik asrama yang diselenggarakan para sukarelawati yang dipimpin seorang wanita cekal prihatin itu.
Tidak cukup melihat kesedihan anak-anak yatim kami dibawa mengunjungi sebuah kapal laut besar PLTD Apung 1 yang terdampar di Kelurahan Punge Blang Cut.
Menurut penduduk Punge Blang Cut kapal sepanjang lebih 70 meter dan lebar 25 meter itu merupakan kapal pembekal tenaga letrik dan sebelum itu berada kira-kira lima kilometer di tengah laut telah dihanyutkan ombak tsunami dalam masa kurang sepuluh minit serta menghempap sebelas buah rumah yang dipercayai masih terdapat mayat di bawahnya sehingga sekarang.
Kapal yang memiliki dek tiga tingkat itu kini dijaga serta dijadikan lokasi pelancongan oleh Sekteriat Pemuda Kelurahan Punge Blang Cut sebagai bukti bencana tsunami yang penuh tragis dan dahsyat dalam abad kini.
Selain itu disekitar kawasan berhampiran kapal itu dibina Taman Edukasi Tsunami menempatkan sebuah bangunan mini muzium menyimpan gambar-gambar semasa bencana tsunami dan dijual kepada pelancong asing yang mengunjungi kawasan itu.
Keesokan harinya sebelum balik ke tanahair kami amat bertuah kerana mendapat undangan menghadiri majlis makan malam hidangan Ala Timur Tengah dan majlis menandatangani perjanjian (MoU) Pembangunan Masjid dan Pertukaran Aktiviti antara Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dengan Masjid Raya BaiturRahman Banda Acheh di kediaman Wakil Gubnur Provinsi Nanggroe Acheh Darussalam,Muhamad Nazar S.A.G.
Majlis MoU itu diwakili Pengerusi Program Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu,Haji Jamal Tun Sakaran dan Prof.Dr.Tgk.H.Azman Ismail mewakili Masjid Raya BaiturRahman serta disaksikan Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Acheh,Drs. H.Hasan Basry; Pengarah JHEAINS,Haji Amri Suratman dan Wakil Gubnur Acheh,Muhamad Nazar.
Sempena majlis itu juga Datuk Haji Nasir menyampaikan sumbangan dana kerajaan Negeri Sabah kepada Muhamad Nazar S.A.G. berjumlah RM50 ribu untuk tujuan pembangunan Masjid BaiturRahman sebanyak RM10 ribu dan bakinya RM40 ribu untuk rumsh-rumah anak yatim di Banda Acheh Darussalam.
Perjalanan panjang yang amat meletihkan membuat kami terlena panjang dalam penerbangan balik melalui Medan dan terus ke Kuala Lumpur sebelum balik ke Negeri Di Bawah Bayu dengan membawa seribu kenangan dan catatan ingatan yang amat berharga.
Sesungguhnya kesan bencana tsunami yang melanda bumi Acheh serta beberapa buah Negara termasuk Tamil Nadu,India; Meldev dan Phuket Thailand cukup memberi pengajaran dan keinsafan kepada tiap warga yang mahu bersyukur terhadap keamanan serta kemakmuran yang dinikmati di bumi Malaysia ini.
Ihsan R.Syad Hussin

Saturday, July 11, 2009

Perihal mencari serunding

Biasanya kalau emak telefon, yang ditanyanya selalu mengenai perkhabaran kami. Tetapi kelmarin, beliau menanyakan serunding selepas menonton dokumentari di tv.
Di mana saya kali terakhir nampak serunding? Itulah yang pertama menerjah minda saya.Serta merta saya ingat Kota Bharu.Hampir di seluruh sudut pasar, orang kampung ada menjual serunding. Di Kuala Terengganu juga, saya sempat singgah di pasar, ramai orang menjual serunding. Tapi di sabah, jual di mana ya?
saya kirimkan sms kepada beberapa orang kawan. Ebing, staff FAMA menyatakan syarikat Agromas ada menjualnya, tapi hari ini tak buka.
Khabarnya ada jual di pasar raya. Saya ke Milimewa,tak jumpa. Kamarudin kata ada Wisma Wisma MUIS, juga tak ada lagi orang yang menjualnya. Kalau tak dicari ,ada, kalau dicari tiada.
Saya meminta Hasyuda menurunkan saya ke Wawasan Plaza, juga tak ada. Kemudian saya menghabiskan masa ke kedai kraftangan, kedai menjual VCD kerana di luar hujan lebat.

Dah jumpa serunding? tanya Encik Zubaidi sewaktu kami bertemu. Beliau baru balik dari Pitas kerana DBP Sabah menganjurkan program Baca Puisi Juri Durabi di sana. Kita makan dulu, katanya, saya pun nak cari serunding.

Kami ke KK Plaza lepas itu.Tapi jurujual yang ditanya macam tak tahu apa yang dinamakan serunding.Mujur ada seorang gadis yang tolong mencarikan.Habis, kata seorang lagi kawannya.
Biasanya kalu kita mencari, kita akan jumpa.Tapi mungkin serunding kurang dijual di sabah ataupun saya yang tak pandai mencarinya. Malamnya saya ke Centre Point, tapi serunding tak ada dijual disana. "Tapi ada orang kata, dia orang beli serunding di sini," saya memberitahu jurujual itu.
Serunding? dia membawa saya ke tempat jual daging. "Ini bukan serunding" kata saya kepadanya. Ini daging yang dikisar? bukan serunding. Serunding, daging yang dikeringkan itu sudah lama membudaya dalam masyarakat Melayu. Inilah antara makanan tradisi mereka.dalam masyarakat Iranun juga, ada serunding, saya terlupa istilahnya tetapi yang lebih popular ialah tiampik, ikan yang dikeringkan, yang boleh dibawa sebagai bekal dalam perjalanan. Selain itu, liking-ikan talang yang diasinkan campur lada, yang hanya terdapat di Kota Belud.Tapi yang saya cari ialah serunding.

Hari ini sejak pagi lagi ke Jalan Gaya, mencari kalau-kalau ada orang menjual serunding daging di tamu. Tapi tak ada juga. Sebaliknya saya berkesempatan untuk mengunjungi tamu jalan gaya kerana lama sudah tidak ke tamu walaupun tapak tamu terletak dekat dengan pejabat. Kebetulan pula saya terserempak dengan imam losman linjal al hafis yang menikahkan saya di tawau 10 tahun yang lalu. Beliau menepuk perut saya yang agak buncit, barangkali menegur saya supaya jangan membiarkan perut buncit.
Agaknya, dimana saya mendapatkan serunding di tengah kota ini?

Friday, July 10, 2009

Khabar dari Dili, Timor Leste

Seorang rakan menghubungi saya dari Timor Leste. Amat gembira rasanya menerima khabar yang tak disangka-sangka dari Dili. Emel yang dikirimkan Mohd.Zaky Harry Susanto, seorang penulis, seorang aktivis seni dan yang paling penting lagi seorang anggota pasukan keselamatan yang diamanahkan bertugas sebagai anggota polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam pasukan yang dikenali United Nations Police (UNPOL). Khabarnya Zaky akan bertugas di negara itu selama satu tahun atau lebih. Tahniah kepadanya kerana berjaya memikul panji negara di negara yang baru saja merdeka itu.

Insp Mohd.Zaky juga pernah ditugaskan di UMS, membimbing pelajar-pelajar disana mengenai dunia kepolisan. Zaky, yang berasal dari Tawau merupakan seorang anak muda yang berktramilan dan mampu maju dalam dunia penulisan di negeri ini.

Saya sempat memberitahunya bahawa saya banyak membaca mengenai Timor Leste. Saya pernah membaca biografi Xanana Gusmao, presiden yang suka berpuisi itu. Juga Dr Mari Al Katiri, bekas Perdana Menteri yang pernah mengetuai Fretilin,satu-satunya orang Islam keturunan Arab yang jadi pemimpin di negara yang kebanyakan penganut katolik itu. Saya kagum dengan kegigihan mereka mencapai cita-cita menjadi sebuah negara merdeka.