Khamis, 31 Disember 2009

Satu senja di tanjung aru

Tags
Sebaik turun dari Terminal Dua, pada 11 Disember lepas, kami sempat singgah di Tanjung Aru membeli jagung rebus.Sempat juga melihat matahari terbenam masuk ke dalam waktu sementara anak-anak senja bermain di bibir pasir. Matahari terbenam dan terbit lagi keesokan hari dan semoga hari esok, mampu menciptakan keindahan yang sama dalam diri.







Senja di Manjong

Tags

Senja di Manjong, Perak. Selepas mengunjungi Loji Janakuasa Arang Batu di Manjong pada 9 Disember, kami sempat dibawa melawat ke Lumut. Berkunjung ke kampung Pangkor Laut melihat ternakan ikan. Kemudian dengan bot, kami meneruskan perjalanan berkeliling melihat suasana senjahari. Hanya riak-riak kecil ombak yang kelihatan dan senja seperti meresap ke dalam jiwa sambil memikirkan akan kemana kita dihanyutkan kalau sekadar mengikut arus?

melihat awan dari tingkap kapalterbang

Tags
Melihat awan gemawan dari tingkap kapal terbang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur 11 Disember lepas. Heh, mana satu awan sirus, awan kumulus, awan sirus kumulus dan awan kumulus nimbus? Saya terlupa jenis jenis awan tapi saya suka melihat awan, mega atau apapun namanya. Saya selalu terharu dan kadang terasa ingin berenang dari awan ke awan. Saya terasa ingin berlari dan bernyanyi menapak dari satu ke satu penjuru awan putih itu.
Terima kasih dan saya mensyukuri nikmat keterbatasan keterbatasan.Saya mensyukuri nikmat berangan-angan.














pertanyaan di penghujung tahun

Tags
Diambang tahun baru 2010, saya merenung-renung ke dalam diri. Apa azam tahun baru, demikian saya bertanya kepada diri sendiri. Azam setiap haripun belum sempat disempurnakan malah kadang terlalaikan. Inna solaati, wanusukii, wamahyaaya, wamamaati, lillah hirobbil 'alamin-sesungguhnya solatku, 'ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata untuk Allah Tuhan sekalian 'alam.

Jumaat, 25 Disember 2009

Jauhi tiga ungkapan, kata Arifin Arif

Tags
Saya sangat tertarik dengan kata-kata penyair Arifin Arif (YB Datuk Haji Mohd Arifin Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut) dalam facebook mengenai tiga ungkapan yang boleh mengurangkan rasa hormat orang lain sekaligus boleh menurunkan wibawa pengungkapnya:
Pertama - ungkapan bergaul fitnah dengan amarah nafsu;
Kedua - ungkapan berbaur rasa dendam dan penuh seteru, dan
Ketiga - ungkapan tentang perkara yang pengungkapnya tak tahu atau tentang sesuatu yang dia tidak memiliki asas ilmu.
Tiga ungkapan itu, kalau dapat, biarlah kita menjauhinya.

Rabu, 23 Disember 2009

mendengar guruh di langit

Tags
Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Peribahasa Melayu ini sangatlah tepat bagi menggambarkan sikap kita yang `mencurahkan air di tempayan' padahal hari belum lagi hujan.

Dalam budaya masyarakat Iranun juga, terdapat satu bayuk (puisi tradisi Iranun) yang menggambarkan mengenai perkara ini.


ban ka bu' malengga su aig
anda dsuung pun di' dumansal

mawatan pen su dadtem
pananambira taden

laud su malibuteng
pananalenggian tan

-Sumber Babu Intan


Hanya air yang perlahan tiba
ia pasti melanda, tak akan ke mana

masih jauh mendung mega
ia diperbesarkan oleh berita

alam menjadi kelam gelap
kita terus-terusan berharap
-terjemahan bebas oleh Mabulmaddin Hj Shaiddin

Mawatan pen su dadtem, pananambira taden. Mendung masih kelihatan di langit, kita sudahpun mencurahkan air di tempayan. Kalau sudah rezeki kita, ia takkan kemana.

Selasa, 22 Disember 2009

Ibu bimbang hilang kelkati

Tags
Bimbang kemungkinan kehilangan kelkatinya, ibu berpesan supaya membawa kelkatinya pulang. Saya pulang lebih awal menaiki bas Trans Tedar dari Tawau sementara ibu dan bapa dan shukri, pulang menaiki pesawat air asia. Mereka berada di Kampung Titingan Hujung, lebih dikenali sebagai Ice Box untuk menghadiri majlis perkahwinan adik ipar saya yang dilangsungkan di Dewan Masyarakat Tawau Ahad lepas.
Entah bagaimana ibu boleh terlepas dari pemeriksaan di lapangan terbang.Yang jelas setelah penggera berbunyi, ibu menyembunyikan kelkatinya dalam poket kerana semua barangan besi dianggap berbahaya terhadap keselamatan penumpang.
Itulah sebabnya beliau mengirimkan kelkatinya pulang, bimbang pengawal keselamatan menahan pengacip pinangnya itu.
Tidak banyak tempat yang dapat dikunjungi sepanjang mereka berada di Tawau. Kami agak sibuk menjelang majlis itu, lagipula bapa dan ibu hanya ingin menjenguk cucu-cucu mereka, yang agak gembira menerima kedatangan atuk dan nenek mereka. Sepatutnya kami balik kampung di Kota Belud tetapi kerana jumlah cuti yang tidak memadai maka tidaklah dapat bercuti dengan selesa.
Di Tawau, dengan ditemani biras saya, Md Shukri (terima kasih di atas keprihatinannya) kami sempat ke Batu Payung berkunjung ke rumah sepupu bapa, pakcik maing (Cikgu Ismail Alim). Arwah moyang saya, Satuh berhijrah ke Tawau selepas peristiwa Perang Pandasan. Kemudian selepas perang Jepun, beliau kembali semula ke kampung untuk mengambil anaknya, Alim bin Satuh dan adiknya Duakis (atau Dulakis) untuk berhijrah bersama-samanya ke Tawau.
Kebetulan ketika kami sampai ke Batu Payung, pakcik Anting (Ahmad Alim) juga berada di rumah. Kebetulan juga kak Hasnah Mahmud, abang Yunus, Kak Muna, serta anak-anak mereka, Otto dan isteri, juga kebetulan di Batu Payung. Syukurlah kerana dalam kesempatan singkat itu, kami dapat bertemu.
Cuma saya agak kecewa sedikit juga kerana tidak dapat menghubungi Kak Yati (Cikgu Nuryatih Amadshah) yang kini tinggal di Tawau untuk bersama-sama kami. Kak Yatih ini adalah anak kepada pakcik Ahmadshah Takim dari Kampung Jaya Bakti Beluran. Arwah Takim dan Arwah Alim dan arwah nenek saya Sablah adalah adik beradik. Mungkin dalam kesempatan lain, saya dapat mempertemukan mereka dan mengajak mereka berziarah ke kuburan moyang kami, arwah Satuh yang ada di Perkuburan Islam Batu Payung.
Selepas majlis perkahwinan malam itu, yang tentu saja meriah dan diserikan dengan tarian zapin, kami sampai di rumah sudah tengah malam.
Esoknya kami ke Tanjung Batu, kerana diajak pakcik Jaya Dallah, yang puluhan tahun bermastautin di daerah itu. Pakcik Jaya yang baik hati dan baik budinya itu, serta peramah pula mengajak kami ke rumahnya walaupun seminit dua.Pakcik Jaya dan isterinya, merupakan pasangan suami isteri yang sangat baik. Bagaimanapun kami tidak dapat memenuhi permintaannya untuk bermalam dirumahnya kerana ipar saya, kk Abdul Syeh Haji Salim, ketua kampung di Batu Empat itu telah terlebih dahulu mengajak ibu dan bapa supaya singgah ke rumah.
Sebenarnya dari rumahnya di Batu Empat itulah dahulu, rombongan pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan iaitu isteri saya di ice box kira-kira sepuluh tahun yang lalu.
Sejak itu, kami sering menyempatkan diri untuk singgah ke rumahnya kerana budi mereka itu tidaklah dapat kami balas.
Saya terpaksa pulang KK lebih awal kerana kebetulan ramai kawan yang bercuti krismas. Tak ramai orang di ofis.Banyak isu yang tak sempat ditulis dan perlu ditulis untuk mudah-mudahan dapat membantu menangani masalah yang dihadapi rakyat yang lara.
Ibu bimbangkan kelkatinya. Pengacip pinang. Anak saya mungkin tidak akan lagi makan siri pinang dan lama kelamaan tradisi makan sirih pinag ini akan hilang dan hanya tertinggal di dalam pantun-pantun lama.
Ibu bimbang kehilangan kelkati, kita bimbangkan hilang tradisi.

Rabu, 16 Disember 2009

Sekadar gambar

Tags


Ketika asyik mewawancara Pengarah SPR, Datuk Md.Idrus Ismail mengenai daftar pemilih, pengundi pos, pengundi hantu dan kesedaran yang rendah di kalangan generasi muda dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara, HA merakam gambar saya.

Saya suka gambar ini kerana inilah pertama kali saya memakai baju korporat Utusan Borneo.Baju ini masih baru lagi kerana baru siap ditempah, dan jangan beritahu orang, ia belum sempat dibasuh lagi.

Seorang rakan pernah merasa aneh jika melihat saya tanpa beg dan kamera. Baru saya tersedar bahawa rupanya sudah 15 tahun saya menjadi wartawan.

Catatan mengenai Cikgu Raskan

Tags
Masih ramai yang memanggilnya YB atau Yang Berhormat.Meskipun beliau menjadi ADUN Dilantik ketika zaman pemerintahan Berjaya tetapi beliau masih dipanggil YB kerana beliaulah orang Iranun yang pertama memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun hanya sebagai ADUN Lantikan. Beliau menjadi jurucakap masyarakatnya ketika masyarakat Iranun masih ketinggalan dari pelbgai segi.
Raskan Asing atau Cikgu Raskan, pada mulanya bertugas sebagai guru. Bersama-sama Allahyarham Tun Fuad Stephen dan Arwah K. Bali, Cikgu Raskan turut tercatat namanya sebagai salah seorang pendiri Angkatan Gaya Baru (AGABA) persatuan penulis yang terawal di Sabah.
Sumbangannya dalam kegiatan kesusasteraan dan kebahasaan pada akhir 50an dan awal 60-an tidak dapat dinafikan. Selepas bergiat cergas dalam politik, beliau dilantik sebagai ADUN.
Saya masih ingat satu peristiwa ketia beliau dan Datuk Mohd.Noor Mansor berkempen di Kampung Merabau, bersama arwah Exco Melaka, Datuk Mohamad Jais.
Orang Kampung memanggilnya UBi dan bukan YB kerana bagi mereka sebutan YB masih agak asing lagi.
Cikgu Raskan ramah bersama penduduk kampung tetapi beliau tidak dapat menembus Kubu Kuat USNO di Usukan.
Ketika BN berjaya membentuk kerajaan pada 1994, Raskan Asing dilantik sebagai Setiausaha Politik. Selepas itu, jawatan terakhirnya ia menjadi Pengerusi Perkasa Realty Sdn.Bhd.
Tetapi jasa dan baktinya kepada masyarakat tetap besar. Kedudukan sebagai guru, antara yang orang Iranun yang paling awal menjadi guru di Kota Belud sedikit banyak mampu menjadi faktor kesedaran kepada masyarakat itu supaya mencintai dunia pendidikan.
Saya sudah lama ingin menemuramahnya.
Ketika bertemu secara kebetulan di Jalan Pantai,saya cepat cepat merakam gambarnya. Sebenarnya beliau enggan kerana tidak bersedia, teyapi bagi saya ini merupakan satu kesempatan yang tak harus disia-siakan dalam merakam perjalanan salah seorang tokoh bangsa yang berjasa.

Selasa, 15 Disember 2009

Lima Rukun jadi panduan transformasi Kimaragang

Tags
LIMA RUKUN JADI PANDUAN TRANSFORMASI KIMARAGANG
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Pertubuhan Kimaragang Malaysia (Kimaragang) dilancarkan dengan rasminya Ahad lepas di Dewan Kampung Mosolog Tandek. Majlis pelancaran yang diadakan dengan meriah itu disempurnakan oleh Mejar Kehormat Abdul Latiff Kandok dan turut dihadiri tokoh-tokoh pemimpin Kimaragang antaranya mantan Ahli parlimen, Datuk George Sangkin, Mantan Ahli Parlimen Haji Madina Unggut, mantan ADUN, Haji Omar Majun, Haji Zulkifli Majun dan pemimpin-pemimpin lain.
Masyarakat Kimaragang di sekitar Tandek memenuhi Dewan Kg Mosolog untuk menghadiri majlis pelancaran pertubuhan itu yang disifatkan sebagai fasa baru dalam sejarah bangsa Kimaragang untuk melangkah ke hadapan menuju visi bangsa Kimragang yang bersatu padu, maju dan menarik.
Mejar Kehormat Abdul Latiff Kandok yang juga penasihat Pertubuhan Kimaragang Malaysia yang berucap sebelum memalu gong pelnacaran menyatakan rasa gembira kerana penubuhan pertubuhan itu oleh agen-agen perubahan iaitu individu-individu yang telah timbul kesedarannya bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk bangsanya supaya setanding dengan bangsa lain
"Saya percaya ramai agen perubahan di kalangan bangsa Kimaragang namun, tatkala ramai dari mereka yang terus bergiat dalam kegiatan-kegiatan sukarela, namun tidak kurang yang terpaksa mengundur diri kerana kritikan-kritikan yang tidak berasas yang berpunca dari hasad dengki dan sangkaan yang bukan-bukan yang kononnya menggugat kepentingannya sama ada dalam politik atau kepimpinan kepimpinan lain," katanya.
Pertubuhan Kimaragang Malaysia membuat keputusan yang bijak untuk melakukan sembangan atas pendirian bahawa sebagai pegawai kerajaan atau ahli perniagaan mereka mempunyai sedikit idea atau pendapat untuk disumbangkan kepada bangsa Kimaragang.
Beliau menggesa supaya bangsa Kimaragang menyokong sepenuhnya Deklarasi Trong Soko yang dihasilkan agen perubahan dan memandangkan deklarasi yang memuatkan 22 perkara itu, maka Pertubuhan Kimaragang Malaysia telah mengangkatnya sebagai perjuangannya.
Deklarasi ini berfokus kepada tujuh perkara iaitu kepimpinan, perpaduan, pendidikan,bakat, warisan, sosioekonomi dan jalinan bestari menampakkan apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan
Katanya, Bangsa Kimaragang yang bersatupadu membawa makna bahawa semua lapisan masyarakat terutamanya golongan terpelajar, bijak pandai dan pegawai kerajaan bersatupadu berfikir dan bertindak bagi kemajuan bangsa ini.
Beliau berkata, bangsa Kimaragang yang maju membawa makna bangsa Kimaragang menikmati kemajuan dari semua aspek seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan, politik, pertanian, kebudayaan, kesenian dan pelancongan,
Selain itu, bangsa Kimaragang yang menarik pula membawa maksud dunia mengiktiraf keunikan-keunikan bangsa Kimaragang.
Bagaimanapun beliau menyifatkan Pertubuhan Kimaragang Malaysia adalah masih bayi, cantik pada pandangan mata kita, dengan visinya yang jelas serta fokus perjuangan yang bertepatan dengan keperluan bangsa Kimarangan yang kita sayangi.
Abdul Latiff berkata, visi pertubuhan ini adalah bernilai tinggi kerana mampu membawa kebaikan kepada bangsa Kimaragang.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia, Haji Janathan Kandok memperincikan lima rukun Kimaragang yang sepatutnya menjadi panduan kepada masyarakat Kimaragang untuk mentransformasi menjadi sebuah bangsa yang besar.
Bangsa Kimaragang yang mendiami Tandek hingga Pitas berjumlah sekitar 100,000 orang itu, katanya, mestilah punya kehendak mahu bersatu.
"Memang kita akui, bangsa Kimaragang sudah hebat, tapi apa yang kita mahu ialah kehebatan bangsa Kimaragang yang terbangun oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dipertingkatkan lagi supaya bangsa Kimaragang muncul sebagai bangsa yang besar di dunia.
"Mungkin ada yang bilang, pada masa ini bangsa Kimaragang belum bersedia sebab masih ada kelemahan dan kekurangan, masih ada kimaragang yang miskin, buta huruf, memiliki tanah yang terbiar.Namun apakah kita menunggu sehingga semua Kimaragang menjadi hebat barulah kita bersedia menjadi bangsa yang besar," katanya.
Beliau bertanya, apakah masyarakat Kimaragang berani menamakan daerah Tandek sebagai Daerah Kimaragang atau N5 Tandek sebagai N5 Kimaragang?
"Jika kita teragak-agak menjawabnya, itu mungkin petanda bahawa minda kita masih belum merdeka sepenuhnya atau masih takut-takut bersuara," katanya.
Tiga syarat untuk menjadi minda yang merdeka ialah pertama bahawa kita memnag ada bumi sendiri tempat berpijak, kita mesti sedar bangsa kimaragang ingin bersatu dan mesti ada mekanisme yang kuat untuk gerakkan perjuangan bangsa Kimaragang, katanya.
Rukun Kimaragang adalah panduan untuk memimpin Wilayah Kimaragang.Jika kita pimpin bangsa ini dengan rukun yang tidak tepat maka bangsa ini tidak dapat dibangunkan mengikut keperluan sebenar bangsa ini dan negara Malaysia.Rukun ini adalah sumber menetapkan perjuangan yang tepat bagi bangsa Kimaragang.
Untuk menjadi pejuang bangsa Kimaragang yang berkesan, perjuangan di peringkat wilayah Kimaragang hendaklah ditetapkan oleh bangsa sendiri berpandukan kepada rukun yang ditetapkan sendiri oleh bangsa Kimaragang.
Hal ini perlu dilakukan supaya perjuangan tetap selari dengan kehendak bangsa Kimarang dan perjuangan negara.
"Kesinilah kita semua harus menuju Mendirikan satu Wilayah Kimaragang di atas kesatuan bumi Kimaragang dari Pitas hingga ke Tandek.
"Saya yakin, apabila kita sudah tetapkan Wilayah Kimaragang maka mulalah kita bercakap: Rupanya Sungai Pukaan adalah sungai Kimaragang.
Rupanya tangon Odu Om Kokian adalah sastera rakyat Kimaragang.Rupanya, bunga Saradan adalah bunga rasmi Wilayah Kimaragang. Rupanya, burung turipos adalah burung rasmi Kimaragang
Selepas ini, jika gunung-gunung, banjaran-banjaran, tasik-tasuk besar dan jalan-jalan utama di Wilayah Kimaragang belum ada namanya maka marilah kita namakan dengan nama yang hebat, katanya sambil menambah, ia perlu dilakukan sebagai simbol kewujudan bangsa Kimaragang di bumi sendiri.
Nama-nama yang hebat itu yang diangkat dari nam pemimpin-pemimpin lalu akan menghubungkan Kimaragang sekarang dengan Kimaragang zaman lampau.
"Dengan cara ini, bangsa Kimaragang tidak akan hilang di dunia.Dengan cara ini, ketuanan bangsa Kimaragang di bumi sendiri lebih nampak dan berwibawa," katanya.
Kehendak mahu bersatu atas nama bangsa Kimaragang dan Wilayah Kimaragang adalah rukun pertama untuk memimpin wilayah Kimaragang.Marilah kita namakan rukun pertama ini sebagai nasionalisme Kimaragang
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya Kimaragang tidak mengecilkan skopnya kepada Chauvinisme, sehingga percaya bangsa Kimaragang adalah bangsa yang paling pintar jika dibandingkan dengan bangsa lain.
"Ingatlah bahawa Wilayah Kimaragang hanyalah satu bahagian kecil saja dari Bumi Malaysia! Jangan kita berdiri di atas Kepercayaan bahawa bangsa-bangsa lain dalam Wilayah Kimaragang tidak sama taraf dengan kita. Jangan berkata, bahawa bangsa Kimaragang yang terbagus dan termulia, serta meremehkan bangsa lain.
"Kita harus menuju perpaduan Malaysia dan persaudaraan dunia.Kita bukan saja mesti mendirikan Wilayah Kimaragang yang merdeka mindanya, tetapi kita mesti menuju pula kepada kekeluargaan bangsa-bangsa lain di Malaysia dan di dunia.
"Ini membawa kita kepada rukun kedua iaitu Internasionalisme Kimaragang.Internasionalisme Kimaragang tidak dapat hidup subur kalau tidak tumbuh di dalam nasionalisme Kimaragang.
Demikian juga internasionlisme Kimaragang tidak dapat hidup subur kalau tidak hidup dalam internasionlisme Kimaragang kerana keduanya tidak dapat dipisahkan.
Rukun Internasionlismne Kimaragang akan membawa bangsa Kimaragang, bangkit menjadi bangsa yang besar, merentasi sempadan, wilayah dan negara. Maknanya, pada mulanya pentas kita ialah Wilayah Kimaragang. Kita menjadi hebat diatas semangat kebangsaan Kimaragang.
Apabila tiba saatnya kehebatan kita melimpah dan perlu pentas baru dan besar maka bangsa ini bergerak kepada internasionalisme Kimaragang yang berpentaskan antarabangsa
"Maknanya, jika sangop dan batad kita menggunung seperti Nabalu maka Sangop dan batad Kimaragang akan dieksport ke Amerika Syarikat, biar orang putih rasa kita punya sangop dan batad.Baru dia orang tahu betapa sedapnya sangop dan batad kita, mungkin lebih sedap dari apple," katanya.
Jika kepimpinan Kimaragang diperlukan di luar negara, apa salahnya jika salah seorang dari kita menjadi Duta Besar atau Menteri Luar.Semuanya ini menjadi kenyataan jika nasionalisme KImaragang terbangun terlebih dahulu
Katanya, Rukun Ketiga Kimaragang ialah Perwakilan Kimaragang
"Wilayah Kimaragang bukan satu wilayah untuk satu orang, bukan satu wilayah untuk satu golongan tetapi kita tetapkan wilayah semua buat semua.
Katanya, definiasi pemimpin bangsa Kimaragang hendaklah diletakkan semula kepada makna sebenar
Maksud sebenar pemimpin Kimaragang ialah memenuhi keperluan bangsa Kimaragang di bawah pimpinannya
"Ertinya sesiapa juga memainkan peranan pemimpin dalam Wilayah adalah umpama Jambatan yang menghubung dan menyampaikan kepada pihak berkuasa keperluan sebenar semasa dan masa depan bangsa Kimaragang," katanya.
"Maknanya disamping memenuhi keperluan semasa, pemimpin mesti rasa, nampak, dengar, hidu keperluan bangsa Kimaragang di masa depan.
Apabila saya bercakap tentang masa depan, saya tidak merujuk kepada satu atau dua tahun akan datang.Sebenarnya saya merujuk kepada masa depan generasi muda Kimaragang.
"Di bawah rukun ini, pemimpin tidak menunggu rakyat datang kepadanya, mengadu, merayu, minta kasihan tentang keperluannya sebaliknya pemimpin berganding bahu dengan pegawai Daerah membangunkan Wilayah Kimaragang. Rukun perwakilan utamakan semangat gotong-royong iaitu mitatabang. Dengan mitatabang, apa yang patut dibangunkan pasti membangun," katanya.
Apa yang diimpikan tetap menjadi kenyataan kerana dalam mitatabang tersembunyi kuasa kebaikan yang boleh menghancurkan kegagalan yang merugikan bangsa kimaragang yang kita sayangi, katanya sambil menjelaskan dengan mitatabang, pemimpin bangsa Kimaragang merancang untuk berjaya.
Ingatlah bahawa, jangan kerana sesuatu itu nampak mudah berjaya kita biarkannya begitu saja kerana kita percaya sesuatu yang nampak berjaya itu akan berjaya akhirnya.
Ini adalah anggapan yang salah kerana jika niat sesuatu bangsa untuk berjaya tidak mendapat pimpinan yang terancang atau lambat dicapai.

Oleh itu kita mestilah Mitatabang dalam melakukan kebaikan untuk bangsa Kimaragang
Tegasnya, rukun perwakilan ini menjamin bangsa Kimaragang mencapai impiannya menjadi bangsa yang merdeka minda, untuk menjadi bangsa yang besar di dunia.
"Apalah gunanya jika bangsa ini mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi, jika golongan miskin terbiar begitu saja.
Apalah gunanya bangsa Kimaragang ini menjadi begitu hebat sehingga pemikirannya merentasi sempadan antarabangsa, jika golongan miskin tidak mendapat pembelaan.
Apalah gunanya jika bangsa Kimaragang punya pemimpin yang hebat dengan agenda yang besar jika golongan miskin masih terabai.Impian kita ialah Wilayah Kimaragang yang menggembirakan semua golongan," katanya.
Oleh itu, Wilayah Kimaragang memerlukan rukun yang keempat iaitu Kesejahteraan Sosial Kimaragang.Kesejahteraan sosial Kimaragang maknya tidak akan ada kemiskinan di dalam Wilayah Kimaragang.
Inilah impian kita. Mungkin impian ini adalah impian semata-mata.mana mungkin keinginan ini tercapai? Sebenarnya, kita bukan bercakap tentang kekayaan Kimaragang.
Pada tahap ini, kita cuma bilang, tidak akan ada kemiskinan dalam wilayah Kimaragang.Kita tidak bilang, semua Kimaragang mesti jadi jutawan.Jika sekadar tidak miskin sahaja, maka itu bukan perkara mustahil dengan syarat kita ada rukun yang mentadbir isu ini, katanya.
Kita perlu rukun yang menjaga kepentingan golongan miskin Kimaragang supaya setiap kali pemimpin-pemimpin kita menetapkan agenda perjuangan, aspek kemiskinan bangsa Kimaragang tidak dilupakan.
Beliau juga berkata, bangsa Kimaragang hendaklah berpegang kepada rukun yang kelima iaitu percaya adanya Tuhan.Rukun kelima ini bukan saja menjadikan bangsa Kimaragang bertuhan tetapi masing-masing orang Kimaragang hendaklnya bertuhan kepada Tuhannya sendiri, mengikut kepercayaannya.
Marilah kita amalkan agama masing-masing, baik Islam mahupun Kristian dengan cara yang beradab iaitu hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira anutan agama.
Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti tarian pinakang, lagu-lagu tradisi dan moden, manakala pertandingan bolasepak dan tarik tali diadakan pada sebelah paginya.

Satu waktu di Mosolog Tandek

Tags






































Isnin, 14 Disember 2009

Kami sudah lama kehilangan `Pamangun'

Tags

Kami sudah lama kehilangan sesuatu selama ini, kata Haji Omar Majun,70 dari Tandek. "Apa yang hilang YB?" saya memanggilnya YB walaupun beliau menjadi ADUN Tandek sejak tahun 1971 hingga 1976.
"Kami hilang `Pamangun", katanya.
"Apa maknanya `Pamangun?"
Pamangun, katanya, ialah sejenis air yang boleh menyembuhkan segalanya jenis penyakit.
Saya menemui beliau selepas majlis pelancaran Pertubuhan Kimaragang Malaysia (Kimaragang) di Kampung Mosolog, Tandek, Ahad 13 Dis 2009 yang lepas.
Beliau mengalu-alukan penubuhan pertubuhan itu, yang diumpamakannya sebagai bayi yang baru lahir.
"Oleh sebab itu, kita mahu ia hidup membesar menjadi orang yang berguna," katanya.
Berguna dan bermanfaat lepada bangsa Kimaragang, disamping itu boleh menghasilkan pembaikan diri dalam segala segi.
Untuk kebaikan masyarakat Kimaragang, kehadiran pertubuhan ini perlu disokong, katanya kepada saya.
"Kita mengharapkan mereka boleh pergi lebih jauh lagi kerana kini Kimaragang bukan sekadar di Tandek hingga Pitas saja, malah sudah ada bangsa kimaragang di seluruh malaysia.
Kimaragang ada di Perlis, di kedah, di kelantan, Phanag dan sebagainya.Kami ada menantu dari pelbagai daerah di negara ini. Oleh itu wajarnya Kimaragang dapat mengantarabangsakan Kimaragang ke seluruh dunia.
Saya ingin menemubualnya lebih lama, bertanya mengenai sejarah perjuangannya tetapi percakapan kami terhenti ketika juruacara mempersilakan kumpulan tarian mempersembahkan tarian Pinakang.

Rabu, 2 Disember 2009

Wangi tak berguna, harum tak bermakna

Tags
Entah sejak bila masyarakat Iranun mengenal kemenyan dan kapur barus. Apa yang pasti, kemenyan dan kapur barus itu, bersama-sama rempah ratus dan sebagainya yang menyebabkan wilayah Nusantara pernah terjajah lebih tiga ratus tahun.

Masyarakat Iranun sudah mengenal kepahitan yang lebih pahit daripada patawali, seperti yang tergambar dalam puisi ini. Saya fikir, jika kita mengkaji dengan lebih mendalam kita akan dapat menghayati alam pemikiran Iranun dengan membaca bayuk atau puisinya. Terdapat banyak unsur alam di dalamnya antara bunga kakumpung?, saya pun tidak tahu apa yang dinamakan bunga kakumpung itu, apa daunnya, apa warnya dan sebagainya, bunga kembang jepun dan sebagainya.

Tapi sudah pastilah saya mengenal dengan sangat akrab patawali, yang pahit sepahit-pahitnya itu. Hanya seorang, sepanjang ingatan saya yang tidak berasa pahit apabila mengunyah patawali yang pahit ini.namanya Apa" gimo, saya sendiri sudah lupa nama sebenarnya. Sebagai seorang pengamal perubatan tradisi, Apa Gimo sudah tentu tahu mengenai khasiat patawali.

Namun dalam puisi yang indah ini, berkisah mengenai bagaimana orang Iranun merajuk, bagaimana mereka mengungkapkan diri mereka sebagai sudah menjadi dahan rapuh, wangian yang tak berguna, haruman yang tak lagi bermakna. saya fikir perlu kajian lebih mendalam lagi mengenai bayuk ini.


sarumba' paganai,
kamanian barus aku,
na sa alungan imantu,
saya aku misasayan,
sa rapu rapu na gedang
na pagiru'an di' menged,
a burukan di' tumarui,
a manayu' su kakumpung.
udi su kembang dipun,
a mapait su paitan
udi' su patawali'
-informan OKK Haji Musrin Hassin


jika dahulu,
aku kemenyan barus,
tapi kali ini,
aku seperti:
dahan teramat rapuh,
wangian tak berguna,
haruman tak bermakna,
bak harum bunga kakumpung
melebihi kebang jepun
pahit dari segala yang pahit
melebihi patawali
-terjemahan bebas oleh Mabulmaddin Haji Shaiddin

Mengenai rakan kami,Haji Ahmad Abdul

Tags
"Saya tidak pernah menduduki bangku sekolah menengah walaupun sehari," kata Tuan Haji Ahmad Abdul, mantan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS). Kalau tak silap, Selepas tamat sekolah rendah, Haji Ahmad terus menjadi guru. Selepas itu beliau menduduki LCE, SPM dan STPM sebagai calon persendirian. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Amerika dan menuntut di Southern Illinois University Carbondale hingga ke peringkat sarjana. Sekembalinya ke tanahair , beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sandakan.

Saya mengenalinya ketika kami sama sama menyertai bengkel pengumpulan kosakata bahasa sukuan pada tahun 1988. Sebagai seorang yang mahir hampir semua dialek dalam bahasa Sungai, Haji Ahmad mewakili sukubangsa Sungai makiang dan liwagu. Tetapi lebih mahir sungai Liwagu.

Beliau seorang yang mempunyai citarasa humor yang tinggi.Kalau bercerita dengannya, kita tak akan kering gusi dibuatnya.

Tetapi saya tertarik dengan beberapa syair dalam bahasa Suluk yang diungkapkannya. Namun beliau mengakui kurang mahir bahasa Suluk. Ketika kami berada di Kota Marudu, beberapa minggu yang lalu, ada syairnya yang menarik.

tolak pa jumaat
miapit pa sa saat
maputi' sadang lingkat
makalubu sahadat.

kota marudu lakau lakau
magsalibut in bakau
magsabal dayang na kau
bukun sulatan ikau

angka kami miari
kumita kami budi
bang merayau in agi
magbalik kami mari.

kota marudu maliku
taga kembang kayapu
isan naganap apu
isi wala' ibugtu.

sail ku ini sail kalangan
hukab hukaban in tabil lawangan
kari na kam si kambujangan
kumita kita simbagu duag gubangan

Sebagai seorang yang luas pergaulannya, Haji Ahmad banyak pula mengetahui warisan tradisi yang lain. Saya pun tak faham maksud syair ini, katanya sambil tersenyum, mungkin setengah bercanda. Kak Sitti Rahmah G Ibrahim yang menterjemahkan mengenai maksud kalangan itu.
Saya mengesan keindahan ungkapan dalam kalangan ini. Misalnya bila ternampak `maputi' sadang lingkat, makalubu sahadat., yang kira-kira maknanya biila melihat yang putih, yang cantik, yang menawan boleh merobohkan iman. Lebih kurang begitulah maknanya. Saya percaya akan ada rakan saya dari bangsa Suluk yang akan menterjemahkan syair atau sail (suluk) ini.

Tapi walaupun kita tertarik atau jatuh hati kepada seseorang, kalau bukan jodoh kita maka kita tidak akan mendapatkannya. Itulah sebabnya kalang ini memperingkatkan magsabal dayang na kau, bukun sulatan ikau. Bersabarlah, kau bukan yang tersurat untukku atau bukan jodohku.

Sebenarnya saya mencatat sail ku ini sail kalangan ini apabila mendengar haji Ahmad bersyair secara spontan bagi meredakan saraf yang tegang ketika asyik membincangkan menbenai kosakata bahsa sukuan. Saudara Abdul Nassir Said, pegawai bahasa DBP kadang ikut tersenyum mendengar celoteh Haji Ahmad.Kadang kami ketawa bersama dengan Saudara Mahali makiang dan Kak Sitti mengenai cerita-cerita lucu yang disampaikan Haji Ahmad ini, seorang penyelidik, seorang pakar bahasa dan seorang pemimpin yang disegani di kalangan suku bangsa Sungai, bahkan beliau merupakan mantan presiden persatuan itu.

Selasa, 1 Disember 2009

Mengenai sistem kiraan Bajau sama

Tags

"kiroon jomo sama tu pendok bana, paling iko telungan jo, teko empat urang, nia no tekiro ni kono. Jewapan ni, ba ngini sab diam teturan ti un tenaat siampu' dangan, datus, deribu, delaksa?" sistem mesej singkat saudara Abd.Halim Haji Muttalib kepada saudara Muddin Beting.

Saya pernah menulis mengenai perkara ini secara sepintas lalu, setahun lepas dan tulisan pendek itu mendapat respon daripada beberapa pengunjung blog.
http://abdnaddin.blogspot.com/2008/12/benarkah-orang-bajau-tidak-pandai.html.

Terima kasih saya ucapkan kepada mereka.Saya dimaklumkan mengenai respon cikgu Halim ini oleh saudara Muddin, dan saya kira mustahak untuk saya catat dalam blog ini untuk dapat kita fikirkan bersama.

Mari kita fikirkan sama-sama katanya, kerana sudah tentu mempunyai sebab mengapa disebut begitu. Kalau manusia disebut dangan(seorang) duangan (dua orang) telungan (tiga orang) empat urang (empat orang). Sudah tentu mempunyai sebab musabab.Sistem kiraan Bajau bermula isa',duo, telu ampat, sepu dekau. Kalau bukan manusia, ia disebut dekau, dembua delisu, dempoon, dekarung, deongkob, desaan debanan,deekar, densepar dentebae', deringgit, depekos, detalam mengikut sifat barang yang dikira

Nama hari bagi orang Bajau mengikut sistem kiraan Melayu.Misalnya Lau aad (hari satu ), senin (hari dua) arbaa (empat), khamis (lima).Tapi hari jumaat , jumaah ertinya himpun.sabtu (tujuh) Tak semena-mena nama Jumaat menyelit sepatutnya kalau hari enam di Sebut Sitta atau Sittaun maksudnya enam. Ini terdapat pengecualian tertentu.Tetapi orang kita silap mengertikan hari Isnin kata mereka hari satu, selasa (hari dua). Sepatutnya hari Isnin disebut hari dua.Orang barat menamakan hari mereka mengikut nama dewa misalnya dewa kayu (wood) wednesday. Friday diambil daripada salah satu nama dewa matahari (FRIday)

Kita menyebut hari satu hari dua itu mungkin pengaruh penjajah. Orang Kedah dan Kelantan mungkin menghampiri maksud sebenar hari satu kerana mereka bekerja pada hari ahad.Cuti hari Jumaat kerana berhimpun sempena Solat Jumaat, penghulu segala hari.
Orang Barat cberuti hari Ahad kerana mereka ke gereja.

Katanya, penjodoh bilangan kita ngan, puu, urang, besar ertinya dalam kehidupan kita kerana ia penjodoh bilangan yang khas untuk manusia.

"mawag bana amun dekau dela, dekaau ruma, dekau pohon saging.Masing-masing teratur penggunaannya, tidaua kacau bilau, atau parak parik.

"sukur bana no, reti ni manusia tebida ko makluk lain

Bah somo somo pikir ti guru. Persoalan dangan, duangan, telungan, mengapa pula empat urang, satu persoalan menarik.
Bagi pendapat saya, katanya, perkataan urang tu pengaruh bahasa melayu. Tapi perkataan ngan dalam bahasa Bajau , tidak juga hilang terus.

'Ngan nia pan sab rungai tarus tenaat balik amun teku, sepu dangan duaempo dangan, siampu dangan"
dekau doukaau, telu kaau alap bana jurun ni. tapi bila naat dangan, duangan, telungan, keempat jadi empat urang, delaksa . Cikgu Halim menyambung sambil bercanda ,
petuut debingung, ujung-ujung sama pan bingung dediri ni .demikian kira-kira bunyi sms cikgu Halim itu.

Wallahualam.