Thursday, January 28, 2010

Catatan perjalanan ke Ranau satu pagi




Meski selalu ke Ranau, perjalanan kali ini mungkin yang pertama kali. Biasanya saya tidak sempat menyaksikan keindahan puncak gunung kerana dilitupi awan tetapi kali ini dapat melihat puncak Kinabalu berlama lama.
Sebelum ini saya tidak pernah berangkat dari rumah seawal itu.Jam 5.15 pagi saya sudah berada di Restoran Bismillah,Likas Plaza menghirup kopi Radix sambil menunggu kereta tiba.Tepat jam 5.30 pagi Esther datang dan kami berangkat ke Ranau dalam dingin Subuh itu dengan kenderaan LKM yang dipandu saudara Arifin.
Jam 6.00 kami sudah berada di Tamparuli. Setengah jam kemudian, setelah melalui liku-liku jalan pergunungan, puncak Kinabalu yang indah itu mulai terserlah.
Yang menyerlah ialah rindu kepada keindahan itu.
Saya tidak ingat bila kali terakhir saya mendaki gunung yang dikatakan tertingi di Asia Tenggara itu.Mungkin 13 tahun yang lalu.Sudah cukup lama sebenarnya.Ketika itu,kos mendaki gunung hanya kira-kira RM100 lebih sedikit tetapi kini ia sudah melonjak RM800, suatu jumlah yang menyakitkan hati ramai orang.
Syukurlah kerana saya sempat mendaki tiga kali.Seingat saya, hanya pendaki dari tentera Australia itu yang tidak dapat saya kalahkan, walaupun saya akhirnya kecundang kerana kegagahan pendaki dari Jepun yang sudahpun berusia 70 tahun. Saya menyaksikan sendiri betapa handalnya pendaki-pendaki gunung , orang Dusun, yang mengiringi kami, mereka memang tak dapat dikalahkan.
Betapa megahnya puncak gunung itu.Saya teringat betapa hajat Prof.Datuk Dr.Zainal Kling untuk melihat puncaknya hampir tak kesampaian ketika satu petang kami sengaja ke Kundasang untuk melihat kemuncak Kinabalu itu.
Sebelum itu, Dr.E.U Kratz sanggup bersusahpayah datang dari London untuk melihat rahsia alam itu ketika satu waktu beliau berada di Kota Kinabalu.
Sukar melukiskan keindahan puncak gunung itu dengan kata-kata. Dan saya membiarkan kenangan memanjat dari keindahan ke keindahan yang lain.
Betapa dinginnya pagi ketika orang sudah ramai memenuhi pekan Kundasang dalam kemeriahan transaksi jual beli sayur. Sudah lama tidak menyaksikan keramaian pasar.Sudah lama juga tidak menyaksikan kabus membungkus pekan itu, yang menjadi pusat aktiviti pertanian yang utama di negeri ini.
Jam 7.05 minit pagi, kami tiba di pejabat LKM di Jalan Lingkudau, Ranau dan kini sedang meneliti pula rahsia koko.
Koko dibuat coklat. Dan coklat paling diminati isteri saya.

No comments: