Sunday, January 17, 2010

Lebih 300,000 bekas tentera dapat faedah dari Akta Veteran


LEBIH 300,000 BEKAS TENTERA DAPAT FAEDAH DARIPADA AKTA VETERAN

KOTA KINABALU: Lebih 300,000 pesara tentera di negara ini akan mendapat pembelaan yang lebih baik dengan adanya langkah kerajaan menggubal Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Mac ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Dr.Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa kebajikan bekas bekas tentera akan lebih terjamin kerana akta baru itu digubal untuk membantu bekas tentera dari pelbagai aspek kebajikan.

Akta baru yang dikenali sebagai Akta Veteran yang dijangka dibentangkan dalam Sidang Parlimen itu akan memastikan kebajikan veteran ATM terus dijaga supaya terus menjadi aset negara dan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah diketuai Yang Dipertuanya, Abd.Sanon Haji Sapri yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

Katanya, beberapa jenis bantuan akan diperuntukkan di bawah akta itu seperti bantuan sara hidup, persekolahan, kemasukan ke Insitut Pengajian Tinggi (IPT), peralatan pesakit dan bencana alam.

"Akta baru itu akan memastikan semua bekas tentera di negeri ini mendapat pembelaan.Akta Veteran itu turut memperuntukkan faedah dan bantuan bagi memberi lebih jaminan untuk membela kebajikan dan nasib tentera yang telah berbakti kepada negara," katanya.

Menurutnya, pendekatan lebih menyeluruh termasuk menaikkan kadar bantuan kepada veteran ATM dan keluarga mereka termasuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Beliau berkata, jika sebelum ini veteran ATM diberikan bantuan RM1,500 untuk peringkat ijazah di IPTA, jumlah itu akan dinaikkan kepada RM3,000 melalui akta yang digubal itu.

Ini untuk mencapai objektif nasional untuk membantu pesara-pesara tentera dan keluarga mereka, katanya.

Jelasnya, kerajaan juga akan menbantu anak-anak bekas tentera untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah di IPT di negeri termasuk memasuki Universiti Pertahanan Nasional.

Sementara itu, Pengerusi PBTM Sabah, Abd.Sanon Sapri merayu kerajaan supaya terus membantu bekas-bekas tentera di negeri ini yang masih perlukan perhatian dan sokongan kerajaan.

Beliau juga meminta supaya bekas-bekas tentera diberikan keutamaan untuk menjalankan projek-projek di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan dan turut membantu bekas tentera menceburi bidang perniagaan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah PERHEBAT, Mej.Haji Mohd Zain Daud, Timbalan Yang Di Pertua PBTM Sabah, Zaman Haji Bayang, Naib Yang Di Pertua , Marshid Haji Salleh dan Tommy Sawali, Setiausaha Haji Jindih Ason dan Ketua Penerangan PBTM Sabah, Adrin Haji Dullah.

3 comments:

PESARA ATM said...

AKTA VETERAN - harap2 agar ia benar benar manfaat buat bekas2 tentera. Jangan sekadar hanya ada, tapi hasilnya tiada dan jangan hanya 1 tahun sahaja lepas tu ENTAHHHHHH. JHEV Negeri kena turun padang mencari peluang untuk bekas tentera ..... sebab ianya sebuah agensi kerajaan bukannya syarikat swasta atau persatuan.

PESARA ATM said...

Hari ni dah 27 Mac 2010… ada 4 hari lagi untuk masuk ke bulan April….. AKTA VETERAN dimanakah dikau….. apakah satu pembohongan atau hanya angan-angan…. sama-sama kita tengok…..

abd naddin said...

sidang parlimen dijangka berlangsung hingga pertengahan April. sama-sama kita tunggu perkhabaran Akta Veteran itu.salam