Friday, January 8, 2010

Selepas Jumaat di Masjid Bandar KK


Sejurus selepas solat Jumaat, anak-anak muda itu sudah bersedia di pintu masuk Masjid Bandar Kota Kinabalu dan membuka sepanduk dan poster.Perhimpunan Aman membantah tindakan kerajaan Mesir menghalang konvoi bantuan memasuki Gaza.
Sepanduk Hancur Zionis, Hidup Palestin.Let Gaza Live merupakan satu pernyataan dan kepedulian kita terhadap kemanusiaan.Tindakan tidak manusiawi yang dibuat Mesir dengan menghalang konvoi bantuan itu memasuki Gaza tidak dapat diterima oleh masyarakat di seluruh dunia.
Anak-anak muda itu berhimpun, menghentam tindakan yahudi. Melaungkan takbir dan mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Tapi ada pula poster Kami Sokong Pas. Saya kehairanan juga mengapa perlu ada sepanduk yang berbunyi seperti itu.Saya berpendapat dengan adanya sepanduk seperti itu ialah mengecilkan skop perhimpunan sebagai perhimpunan yang hanya disokong oleh ahli-ahli Pas sahaja. Padahal seluruh umat Islam tidak kiranya parti membantah tindakan tidak menghalang konvoi bantuan makanan itu.
Perhimpunan itu dianjurkan Dewan Pemuda PAS Sabah. Saudara Lahirul Latigu, seorang pemimpin muda yang kini menjadi Ketua Pemuda PAS Sabah mengetuai perhimpunan aman itu, yang walaupun aman tetapi terdapat juga aksinya membakar bendera yahudi.
Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan anak-anak muda itu dalam menzahirkan penentangan mereka terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai tindakan tidak diplomatik kerajaan Mesir menyekat konvoi bantuan ke Gaza.

"Kami membantah sekeras-kerasnya apa juga tindakan tidak berperikemanusiaan Kerajaan Mesir terhadap penduduk Gaza", kata Lahirul dalam kenyataan medianya.
Lahirul berkata Keengganan Kerajaan Mesir membuka sempadannya sebelum ini kepada konvoi bantuan makanan ke Gaza merupakan satu tragedi yang sungguh malang kepada kemanusiaan itu sendiri.
"Sebagai negara jiran paling hampir dengan penduduk Gaza, Kerajaan Mesir seharusnya mengenepikan dahulu soal perbezaan politik demi kelangsungan nyawa penduduk Gaza," katanya.
Walaupun Kerajaan Mesir ada membuka sempadannya kepada konvoi bantuan tersebut, namun ia masih menjadi pertikaian kerana berlaku beberapa insiden yang tidak sepatutnya oleh pihak berkausa Mesir, antaranya ialah menahan pasport mereka sehingga mereka terkandas di pelabuhan selama beberapa hari.
Selain itu, tindakan polis Mesir menggunakan tinbdakan kekerasan juga amat mendukacitakan, katanya.
Beliau menambah, 10 orang anggota konvoi tersebut cedera dan empat orang lagi dikatakan parah setelah dibelasah teruk ketika 59 kenderaan konvoi ditahan daripada memasuki sempadan Gaza-Mesir.
"Jika Kerajaan Mesir benar-benar jujur ingin membantu penduduk Gaza, tentu tidak akan ada tindakan-tindakan yang tidak sewajarnya berlaku kepada konvoi bantuan tersebut.
Malang sekali kepada kita semua yang mencintai kedamaian kerana Kerajaan Mesir tidak menghiraukan suara keamanan dari segenap pelusuk dunia, katanya.
" Konvoi Viva Palestina tersebut merupakan himpunan para simpatisan dari pelbagai pertubuhan yang konsisten dan komited mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan dimana jua.
Tindakan Kerajaan Mesir itu juga amat bertentangan dengan konsep persaudaraan sesama Islam, " kata Lahirul lagi.
Perhimpunan aman itu berakhir tanpa insiden yang tidak diingini.Saya kira perhimpunan aman sebegini yang menunjukkan kita sebahagian daripada warga dunia yang prihatin terhadap nasib mereka yang hidup dalam trauma penindasan.

No comments: