Monday, February 22, 2010

Aida Belo menyanyi demi Timor Leste



AIDA BELO MENYANYI DEMI TIMOR LESTE

Oleh ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN
Perkenalan kami belum cukup lama tetapi terasa akrab. Penyanyi Timor Leste yang pernah mendapat Anugerah Woman Of The Year 2003 di negaranya, ternyata seorang yang peramah. Aida Pereira Belo yang lahir 26 tahun lalu, adalah seorang penyanyi yang gigih memperkenalkan Timor Leste melalui lagu dan nyanyiannya. Sebagai sebuah negara yang baru merdeka pada 20 Mei 2002, Republik Demokratik Timor Leste merupakan anggota kesepuluh ASEAN.
Artis yang kini sedang menuntut di Institut Kesenian Jakarta (IKJ) dalam bidang muzik mula menunjukkan bakatnya sejak berusia lima tahun ketika berada di kelas tadika Taman Kanak-Kanak Bayangkari Dili.Ketika berusia 7-10 tahun, Aida Belo sering tampil dipentas untuk membuat persembahan bersama band muzik di Dili.
Apa yang membuat nina suka menyanyi?. Saya bertanya kepada Aida yang sedang dalam proses menerbitkan album ketiga The Best Of Aida. Nina adalah panggilan untuk gadis Timor Leste.
"Bakat yang diberikan oleh Tuhan kepadaku. Dari kecil aku menyanyi, bukan sekadar hobi tapi sudah menjadi profesi (kerjaya)," katanya. "Aku ingin berjuang demi untuk negeriku," katanya lagi dalam temubual melalui facebook itu. "Aku harus bangkit dan menunjukkan yang terbaik bagi Timor Leste.Bahawa aku bisa, punya kemampuan untuk melalukan apa saja sama seperti artis lain di luar negara," katanya.
Selain Aida, terdapat beberapa penyanyi Timor Leste yang telah menerbitkan album antaranya Abito Gama, Blass Pereira, Tony Pereira dan lain-lain. Tetapi mereka hanya bergiat di Timor Leste. Sementara Aida Belo yang telah menerbitkan album berjudul Hu Sei Escola di Surabaya ketika berusia 14 tahun, yang khabarnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Antara lagunya yang mendapat sambutan ialah Istoria Domin, Neon Susar,Lalika Tatolia Lia, Tragedi Domin, Sei Hein O, Domin Bosok dan laian-lain lagi. Kebanyakan lagu-lagu itu merupakan ciptaannya sendiri.
Aida bukan setakat penyanyi. Artis ini juga bercita-cita besar untuk menubuhkan sekolah muzik di Dili, supaya lebih ramai lagi anak-anak Timor Leste yang menceburkan diri dalam bidang muzik dan nyanyian. Aida berharap melalui langkah itu, budaya Timor Leste akan dikenali dunia.
Ayahnya pernah menjadi anggota polis manakala ibunya seorang suri rumah. Ketika ditanya apakah dia tidak mendapat tentangan daripada keluarga, Aida berkata, memang pada awalnya ada sedikit tentangan dari keluarga kerana mereka kurang menyetujui langkah sang puteri menjadikan muzik dan nyanyian sebagai kerjayanya. Namun Aida mendapat dukungan daripada abangnya Venancio Pererira Belo yang jugab seorang pemain bass, komposer dan penyanyi.
"Aku orangnya nekad," katanya. "Sudah takdir Tuhan yang memberikan aku bakat dalam seni. Aku sangat berterima kasih kepada Tuhan," katanya yang merupakan anak ke enam daripada sembilan adik beradik.
"Aku ingin perkenalkan kepada dunia bahawa kami juga memiliki budaya yang bagus, kebudayaan peninggalan leluhur kami," Aida Belo. "Bahawa kami juga mempunyai identiti sendiri
Muzik yang aku ingin tunjukkan bahawa wanita Timor Leste juga bisa dengan muzik dan menyanyi, " katanya yang bercita-cita menjadi penyanyi terkenal di peringkat antarabangsa.
Katanya, impian untuk `go international' itu akan selalu dikejarnya," "Akan selalu kukejar dan mengejar, sampai aku meraih. Apa yang aku inginkan budaya, kebudayaan Timor Leste. Aku ingin memperkenalkan kepada dunia. Bahawa kami juga punya budaya yang bagus," kata Aida Belo, artis berbakat Timor Leste yang lahir pada 26 Februari 1984.
Aida Belo ingin berduet dengan Ella
Ketika ditanya siapa penyanyi yang paling diminatinya, Aida Belo cepat menyebut nama Ella, Ratu Rock Malaysia.
"Semua lagunya aku suka. Setiap konsertku di Timor Leste aku bawa lagunya.Masyarakat Timor Leste juga suka dengan suaranya setiap aku menyanyi lagunya. Semua orang bilang aku Ella, dan lagu Ella diputar di radio, mereka bilang itu album baru Aida Belo.
Lagu yang sering aku bawa Sembilu, Berlayar Tak Bertepian dan banyak lagi.Hampir semua lagunya pernah saya bawakan," katanya. Kalau senhor dengar nyanyian saya, pasti senhor sukar membezakan suara kami.
'Suara kami sama , serak juga sama," katanya sambil menyatakan bahawa beliau mengimpikan untuk berduet dengan Ella.
"Aku ingin berduet dengannya. Kalau boleh diundang berduet dengannya. Aku akan menunjukkan kepada Masyarakat Timor Leste, Ella favourite udah kutemui.
Dulu album saya pernah diberi nama Ella Aida kerana telalu minatkan Ella, katanya mengakui. "Aku banyak berdoa supaya satu saat Tuhan akan mempertemukan aku dengan dia. Kalau bisa muat aja di koran Malaysia," katanya sambil menambah "Siapa tahu ada perhatian untuk penyanyi Timor Leste", katanya.
Seniwati yang meminati buah anggur dan rambutan ini adalah pemain piano dan berkebolehan memetik gitar dan berkeinginan untuk mnemainkan alat-alat mmuzik yang lain. Aida juga meminati penyanyi terkemuka di negaranya seperti Zinha Coreia dan Blass Pereira. Sedangkan artis Indosia yang paling disukainya ialah Agnes Monica dan Afghan. Aida juga memintai Alicia Keys, Mariah Carey dan Celine Dion.
"Meskipun agak sibuk dengan aktiviti seni, Aida Belo juga memberi perhatian dalam kehidupan sosio-budaya terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu wanita dan kanak-kanak serta orang-orang yang menderita akibat konflik peperangan.
Aida menyanyi supaya Timor Leste dikenali, supaya budayanya yang kaya itu dapat diperkenalkan di seluruh dunia. "Aku cinta budayaku...Aku ingin memperkenalkannya kepada dunia. Aku tidak mahu budaya asing menguasai negeri.Identiti Timor Leste tidak boleh hilang.Ia peninggalan leluhur kami," katanya yang mengagumi pemimpin penyair PM Xanana Gusmao dan Presiden Jose Ramos Horta.



Terbit di Utusan Borneo 13.3.2010







No comments: