Selasa, 16 Februari 2010

Catatan kecil di Semporna

Tags






















Hari sudah petang ketika kami sampai di pekan Semporna. Kami terus mencari tempat penginapan dan pilihan pertama yang tergambar dalam fikiran kami ialah `floating', sebuah tempat penginapan yang terletak di atas air. Sayangnya, semua bilik sudah penuh dan masih ramai lagi yang sedang menunggu.
Kami lupa bahawa pada hari itu, hari Ahad dan cuti Tahun Baru Cina.Dengan rasa sedikit hampa, kami ke Sipadan Inn, tetapi tak ada bilik yang kosong.Kelihatan ramai pelancong Eropah dan Jepun, Cina sedang menunggu. Nampaknya kejadian di Pulau Sebangkat tempoh hari tidak mempengaruhi kunjungan pelancong ke daerah yang terkenal kerana memiliki pulau-pulau yang cantik, yang menjadi syurga para penyelam atau sekadar berjemur di pantainya yang indah dan bersih itu.

Selepas minum di Mabul Cafe, kami ke Mabul Inn, ke City Inn namun semuanya telah dipenuhi para penginap. Akhirnya kami ke Seafest Hotel dan berharap masih ada bilik yang kosong.
Harapan kami hampa juga kerana sewaktu akan mengeluarkan duit, bilik yang ada sudahpun diberikan kepada orang lain, hanya satu minit sebelum kami sampai di kaunter.
Dengan perasaan yang hampa itu kami memutuskan untuk pulang dan menyesali diri kerana tidak membuat tempahan lebih awal.

Entah bagaimana selepas berpusing-pusing itu,isteri dan mertua saya ingin ke kamar kecil. Kami singgah di City Inn, dan secara saja saja isteri saya bertanya, dimanakah agaknya tempat penginapan di Semporna selain tempat-tempat yang disebutkan itu.
Seseorang menyebut tempat penginapan dyana.
Dan akhirnya kami mendapat dua bilik di Tempat Penginapan Dyana dengan sewa RM50 sehari.
Saya sengaja tidak memberitahu rakanrakan dari Semporna mengenai kunjungan saya kali ini. Sebelum ini saya datang bertugas tapi kali ini, saya datang membawa keluarga untuk bercuti. Ada beberapa orang yang kebetulan terjumpa, agak terkejut dan bertanya`kenapa tak beri tahu nak datang' .

Selepas mandi, malam itu kami makan di floating.Lama tidak makan di sana, seingat saya kali terakhir ialah sewaktu Mehran masih berusia dua tahun.

Mujur ada Fazri, seorang kenalan yang membawa kereta private, jadi mudahlah kami bergerak ke sana kemari.

Menurut Fazri, hanya terdapat kira-kira lima buah teksi berpermit. Entah benar, entah tidak yang jelas memang tidak terdapat teksi yang beroperasi di pekan yang perlahan-lahan berubah menjadi bandar itu.

Jam 11 malam, kami menelefon Seafest Hotel sekali lagi untuk menempah bilik untuk Ain dan keluarga yang sedang dalam perjalanan dari KK.Mereka merentas dua negeri dan satu negara, berkereta dari Pusa, Sarawak untuk pulang bercuti ke Tawau. Pada malam itu, mereka singgah ke Semporna untuk bersama kami.

ke Pulau Bait

Pada mulanya kami merancang untuk snorkeling di Singgahmata. Vicky berkata mereka tidak dapat lagi menerima pengunjung kerana terdapat lebih kurang 80 pelancong di Pulau itu. Kami hanya dibenarkan masuk untuk melihat-lihat tanpa bayaran tetapi kebetulan pula Mail menelefon dan bertanya saya dimana kerana dua hari sudah sukar dihubungi.

Akhirnya kami memutuskan untuk berkeliling pulau di sekeliling Pulau Bait. Terdapat kira-kira 40 kampung yang terdapat di lapan buah pulau kata Abdul Arab atau Karag. Abdul Arab, yang saya temui di Pengkalan Tanjung Kapor itu, agak istimewa orangnya kerana memiliki tiang rumah dari kayu balak. Kalau tak silap ia mempunyai 22 anak dari empat isteri.

Mail membawa kami ke rumah Abukasim Imam Laggu di Pulau Bait.Rumah yang terletak dekat pengkalan itu sering menjadi tumpuan ramai.Apatahlagi tuan rumahnya seorang yang baik dan peramah pula. Kami dijamu kuih wajit sebelum dijamu makan tengahari yangmenyelerakan di Balai Nelayan. Kami makan ditemani semilir angin dan ikan panggang yang disediakan langsai kesemuanya.

Tidak lama kemudian kami dibawa oleh Mail untuk berkeliling melihat pulau-pulau yang cantik sekitar pulau Bait. Setelah beberapa minit, perahu yang dibawa oleh Julaili dan Julaihi Usop, adik beradik itu berhenti di tengah laut, berdekatan Kiling-Kilingan.

Kelihatan dasar laut yang ditumbuhi terumbu karang, terlihat juga tapak sulaiman dan hidupan laut yang lain.Perairan itu sangat bersih sekali, tak ada sampah dan kelihatan terjaga atau mungkin kerana jauh dari kediaman penduduk.

Disana kami berhenti untuk mandi manda, menyelam dan bersorak kepada keindahan dan kegembiraan yang dianugerahkan kepada kami hari itu. Kami bersyukur atas kurnia Allah yang memberikan alam secantik itu.

Kami semua turun mandi, kerana apabila sampai di kawasan cantik itu, tiada siapa yang boleh menahan keinginan untuk tidak terjun ke laut.

Jam 4.00 petang kami bersiap untuk pulang ke pengkalan.Saya bertekad untuk menuliskan sesuatu mengenai pulau-pulau itu. Pulau Bait merupakan pulau yang kedua terbesar di Semporna selepas pulau Bum Bum. SK Pulau Bait juga merupakan sekolah kedua yang dibina di Semporna itu pada tahun 1954, seumur dengan mertua perempuan saya.

Kami tidak jadi pulang ke Tawau, sebaliknya menginap untuk semalam lagi di Semporna.Hanya Ain dan Shukri dan mama dan anak-anak yang pulang. Kami berehat lagi dan berharap untuk naik bas Tung Talun, yang kemudiannya tidak tertunai juga kerana kami terlewat bangun pagi.

Semporna memang menawarkan banyak keistimewaan malah keajaiban sekaligus. Bagaimanapun untuk menjadikan perjalanan lebih sempurna di Semporna,mungkin lebih baik untuk membuat perancangan lebih awal untuk ke daerah yang selalu dipenuhi pengunjung dan pelancong itu.