Tuesday, February 16, 2010

Catatan sewaktu pulang bercuti

Semua tiket bas dari KK ke Tawau habis ditempah pada hari itu.Semua orang pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina. Tiket kapal terbang pula melambung harganya pada musim perayaan seperti ini. Mujurlah dalam waktu-waktu segenting itu, Tuhan sentiasa menolong dengan caranya sendiri.

Dalam situasi seperti itu, saya dipelawa pula oleh anak saudara, Sharif Shah yang kebetulan hendak ke Tawau untuk menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga mertuanya. Alangkah leganya hati kerana dapat juga ke Tawau malam itu.

Kami berangkat dari KK kira-kira jam 8.30 malam setelah singgah minum di Coffee Bean terlebih dahulu.

Banyaklah cerita dan topik sepanjang perjalanan itu sambil dihiburkan dengan koleksi lagu-lagu klasik, dan antik, dan kerana itu terasa menyegarkan kerana lama tak didengar.

Jam 10.00 kami sampai di Ranau dan singgah makan soto. Kira-kira jam 11 lebih sedikit, kami mulai bergerak. Berhenti sebentar di Telupid sebelum meneruskan perjalanan lagi. Sesampainya di Batu 32 Sandakan, Wan memberitahu kereta kancilnya kehabisan minyak.

Wah gawat nih, dimana mahu mencari minyak pada malam sekelam itu. Stesen minyak di Batu 32 itu tutup sebel jam 7.00 malam sedangkan kami tiba di sana kira-kira jam 2.45 pagi.

Mujur ada orang memberitahu, ada minyak yang dijual orang di tepi jalan dekat Jambatan Segaliud, kalau tidak sudah tentu kami terpaksa singgah di Sandakan untuk beli minyak.

Tidak lama kemudian kami berhenti di Segaliud untuk membeli minyak.Selepas membunyikan hon, Puan Rahmah menjengukkan kepalanya dan kami dapat membeli minyak untuk meneruskan perjalanan ke Lahad Datu.Kami berhenti lagi di kampung Paris, kerana Sharif Shah, agak mengantuk .

Awal pagi itu saya menulis empat posting di face book, dan saya dapati kemudian banyak salah eja kerana saya menulis ketika kereta sedang bergerak menuju Lahad Datu.

Di Lahad Datu, kami singgah minum lagi di Restoran Islamic. Kuih pau kacang hitam agak sedap kerana masih panas-panas lagi.

Tidak lama kemudian, kira-kira jam 7.00 pagi kami meneruskan perjalanan selama dua jam lagi dan tiba di Tawau tepat jam 9.00 pagi.Sungguh satu perjalanan yang mengesankan dengan berbagai pengalaman.

No comments: