Sunday, February 28, 2010

Catatan singkat sewaktu pulang KB

Sesampainya di rumah kira-kira jam 1.00 pagi, saya masih tak dapat tidur. Hari ini hari Isnin, ketika saya menyedari banyak perkara yang belum selesai sementara saya terlalu letih. Tapi kelopak mata enggan terkatup, lalu saya duduk dan mengingati hari hari yang berlalu dengan amat pantas.Teramat pantas rasanya.
Empat hari yang lalu, usia saya menganjak ke angka 41. Kebetulan hari itu sambutan Maulidur Rasul.
Perasaan memang agak bercampur baur. Sahabat saya, Hasyuda Abadi kehilangan isterinya yang tercinta dan dikebumikan sebelum Jumaat di Kampung Lumadan, setelah menderita penyakit SLE sejak bertahuntahun lamanya.
Sementara itu di Kota Belud, bapa mertua adik saya juga kembali ke rahmatullah, tiga hari sebelum itu.
Ayah saya pula masuk hospital kerana kencing manis.
Dan saya dikejutkan dengan ucapan hari ulang tahun yang ke-41. Isteri saya yang tercinta tak dapat melelapkan mata kerana risaukan saya, yang terpaksa melakukan perjalanan dari satu daerah ke satu daerah, hampir tanpa henti sepanjang dua minggu kebelakangan ini.
Hanya anak-anak saya yang bernyanyi mengucapkan selamat hari jadi di dalam telefon.
Kerisauan isteri dan nyanyian anak-anak membuatkan saya gembira dan mampu tertawa, walaupun masih banyak kerja yang tertinggal., Pasti semuanya akan dapat saya selesaikan walaupun mengambil masa yang lama.
Walaupun letih, tetapi perjalanan kami ke Kota Belud semalam, terasa mengesankan kerana suasana malam yang bermandi cahaya bulan.
Saya merasa terharu melihat saya bulan yang melimpah itu. Tanpa hentinya memberikan kecantikan kepada malam yang sepi itu.
Sepanjang jalan sepi, dan saya dapat memperkuatkan azam untuk memberikan kehidupan ini sesuatu erti.
Ya,Sesuatu erti.

No comments: