Rabu, 10 Februari 2010

Catatan tentang Mangagat

Tags

Mangagat, mungkin tak ramai yang mengenalinya. Tetapi di kalangan keluarga, Mangagat memang seorang yang boleh diharapkan. Beliau seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dan sanggup memikul sebarang amanah yang diberikan kepadanya.
Tetapi yang membuat saya tertarik kepada beliau, bukanlah kerana beliau seorang usahawan namun lebih kepada penglibatannya dalam bidang teater.
Saya sebenarnya tak pernah membayangkan beliau bermain teater. Tetapi rupa-rupanya dalam diri Mangagat terdapat bakat yang luar biasa.
Mangagat atau nama sebenarnya Masdid Unsung, bersama grupnya, pernah mewakili Sabah dalam festival teater di peringkat kebangsaan.
Beliau sering berlakon sebagai antagonis. Saya kurang pasti, tapi kalau tak silap Agat pernah berlakon dalam teater Seruan Damai arahan Cikgu Jamali Satari dan pernah ikut festival di Kuching tahun 1974.

Saya terfikir-fikir juga mengapa kegiatan seni pada ketika itu tumbuh dengan mekar. Sekarang tidak lagi seperti dulu?. Kalau adapun pementasan teater, ia tidak lagi banyak membawa keghairahan di kalangan peminat seni. Entah kenapa kegiatan-kegiatan seni teater seolah pudar dan sepi penonton?