Sabtu, 20 Februari 2010

Golongan Belia digesa pelajari fardhu kifayah

Tags


Perjalanan ke Sipitang itu, mungkin yang pertama kali buat Ketua Belia USIA, Saudara Abdul Hakim Haji Gulam Hassan. Kami berkereta dari KK kira kira jam 7.30 pagi dan sampai ke Sipitang, kira-kira jam 9.30 pagi.
Hari itu, Hakim merasmikan Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Badan Belia USIA Sipitang di Masjid Imam Haji Awang Hashim.
Dalam ucapannya, Abdul Hakim berkata mengenai betapa pentingnya golongan belia Islam di negeri ini
mempelajari fardhu kifayah kerana mengerjakan dan mengetahui fardhu kifayah adalah perkara yang wajib bagi umat Islam.
" Fardhu Kifayah mempunyai ruang lingkup yang luas melibatkan seluruh aspek kehidupan seperti soal-soal ekonomi, politik, dan perundangan termasuk soal ketenteraan dan lain-lain. ', katanya.

Katanya, Fardhu Kifayah ditafsirkan sebagai perbuatan yang wajib dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat Islam tanpa melihat siapa yang mengerjakannya.

"Apabila telah dilakukan maka hilanglah tuntutan kewaiban itu terhadap orang lain, tetapi apabila tidak ada seseorang pun yang melakukannya maka semuanya berdosa seperti mendirikan tempat ibadat, rumah sakit, menyembahyangkan mayat dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pengurusan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh dielakkan begitu sahaja kerana ia merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam.
Bagaimanapun, seperti yang diketahui kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali.
Katanya, ramai daripada generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada generasi yang lebih tua daripada mereka untuk melaksanakannya.
"Cuba bayangkan sekiranya suatu hari nanti ayah, ibu atau saudara kita meninggal dunia, tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya mampu melihat tanpa sebarang ilmu," katanya.
"Sesungguhnya ajal tidak mengenal usia, tua atau muda. Oleh itu setiap anggota masyarakat perlu mempersiapkan diri dengan ilmu fardhu kifayah untuk memastikan tanggungjawab ini dapat dipikul secara bersama.
"Bercakap saja soal mati, semua masyarakat tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan warna kulit tahu dan percaya bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti akan berlaku," katanya.
Justeru, penganjuran kursus seperti ini merupakan salah satu daripada bentuk pembelajaran berkesan dan berinovatif.
"Apa yang kita harapkan daripada kursus sebegini adalah pengetahuan dan pengalaman yang akan diperolehi oleh peserta berkaitan dengan persoalan menguruskan jenazah.
Para peserta diharap dapat menguasai ilmu berkaitan dengan persiapan ketika saat menghadapi maut, baik secara teori ataupun amali dan seterusnya melaksanakan pengurusan jenazah secara amali.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada badan Belia USIA Sipitang kerana menganjurkan program yang dapat memberi manfaat kepada belia khususnya serta masyarakat amnya golongan remaja yang meliputi sebahagian besar jumlah penduduk di negara ini.
"Golongan belia merupakan golongan yang produktif dalam menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara kita," katanya sambil menambah, usaha yang dilakukan Belia USIA Sipitang itu boleh dijadikan contoh oleh badan-badan belia USIA yang lain di negeri ini.
Turut hadir ialah Ketua Belia USIA Sipitang, Imam Haji Raffaie, AJK Badan Belia USIA Pusat, Ustaz Haji Awang Juri Awang Tahir dan kenamaan lain.

SERTAI KURSUS PENGURUSAN JENAZAH...Peserta Kursus Pengurusan Jenazah bergambar bersama Abdul Hakim (duduk empat dari kanan barisan tengah)selepas majlis perasmian di Masjid Imam Haji Awang Hashim Sipitang.