Sabtu, 6 Februari 2010

Sejenak dalam pertemuan dengan Datu Rosmadi

Tags

Jumaat lepas, saya menyertai rombongan DBP Sabah yang membuat kunjungan hormat kepada Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah, Datu Rosmadi Sulai. Rombongan DBP Sabah diketuai Pengarah DBP Sabah, Saudara Zubaidi Abas disertai oleh Ketua Unit Bahasa, Puan Hajah Asmiah Haji Ajamain, Pegawai Projek, Abd.Nassir Said, Pengerusi JK Penyelidik Bahasa Sukuan Sungai, Sitti Rahmah G.Ibrahim dan saya sendiri atas kapasiti sebagai Pengerusi JK Penyelidikan Bahasa Sukuan Iranun. Pertemuan yang disifatkan sebagai seolah-olah `menang loteri' itu oleh Datu Rosmadi itu berlangsung mesra.Datu Rosmadi memberi pandangannya mengenai perkembangan dan pengembangan budaya dan bahasa ibunda, dan dipihak DBP Sabah juga, Zubaidi memberitahu mengenai projek projek penyelidikan bahasa dan budaya etnik yang telah dilakukan.
"Kalau tak didokumentasikan, budaya kita akan pupus," kata Datu Rosmadi.
Umpamanya, kajian perlu dibuat mengenai teknologi menangkap ikan, usaha -usaha pelasteraian alam, sistem tagal di laut, cara membuat belacan, kerana jikalau tak direkodkan, ini semua akan hilang satu masa nanti.
Cerita rakyat, dongeng, peribahasa, dan hasil sastera kita akan hilang. Saya lupa menyatakan bahawa teknologi membuat garam di kalangan masyarakat Iranun sudah pun hilang, teknologi membuat `rabur' atau simen di kalangan masyarakat Iranun juga sudah pun hilang, teknologi membuat gula tebu pula kini telah dimajukan dan tidak lagi menggunakan kerbau sebaliknya menggunakan mesin.Ini semua patut dirakam dan didokumentasi dalam bentuk buku.
Di akhir pertemuan, terpatri janji antara LKS dan DBP Sabah untuk bekerjasama memaju dan membangun budaya dan bahasa ibunda.