Sabtu, 13 Mac 2010

dari `pentaran', ke `torong jungkir' ke `sedi timbang'

Tags

Saya membayangkan kami duduk di `pentaran' pada petang itu. Sambil berehat merasai hembusan bayu yang segar. Kami bercerita mengenai kekayaan bahasa ibunda dan kerana ketiga-tiga teman saya berbicara pada hari itu orang Bajau, maka berceritalah kami mengenai nasib dan masa depan bahasa bajau di negeri ini.
Pada mulanya kami hanya berdiri, tetapi saudara Mohd.Syum mengajak kami minum, lalu kami memilih kedai kopi fortune yang terkenal dengan kopinya yang sedap.
Itulah yang menjadi `pentaran' kami petang itu. Pentaran dalam bahasa Bajau sama maksudnya dengan `pantaran' dalam bahasa Iranun. Ia merupakan satu bahagian rumah-yang sengaja dijadikan tempat berehat terutamanya ketika petang. Dalam bahasa melayunya bahagian ini dikenali sebagai beranda ataupun anjung.
Perkataan `pentaran' itu, menurut saudara Mohd.Syum, sudah digunakan oleh RTM. Ada satu tempat di RTM yang dinamakan pentaran RTM iaitu pentas tempat membuat persembahan dan sebagainya.
Di antara kami, yang menguasai banyak bahasa ialah saudara Aliyudin Ben, masih bekerja di Jabatan Perubatan. Beliau selalu mengajak saya bertutur dalam bahasa Iranun, yang dapat dikuasainya dengan baik. Beliau juga mahir berbahasa Bajau, loghat KB, Tuaran, Mengkabong, Kawang, Inanam dan sebagainya.Fasih berbahasa kadazandusun, bahasa Inggeris dan malah boleh bercakap bahasa Inggeris seperti Karpal Singh.
Seorang lagi rakan bernama Pardio. Namanya saja Jawa tapi ada darah bajau ditubuhnya. Banyaklah isu bahas dan sejarah yang kami percakapkan, antara sebelum Kampung Rampayan Menggatal itu mendapat namanya, dulu tempat itu dipanggil kebatuan.
"Kita sukar menentukan mana yang dulu Berungis atau Mengkabong'" kata Aliyudin mengenai sejarah kedua tempat itu.
Dari sana percakapan kami beralih kepada soal istilah. Tersebutlah perkataan `torong jungkir', ia satu tempat yang terletak di bahagian hujung. Saya terfikir istilah ini boleh digunakan untuk sukan terjun junam dimana peserta perlu ke bahagian hujung toring jungkir sebelu melakukan aksi terjun.
Istilah sempayan pula kini semakin asing, padahal ia merujuk bahagian siling rumah. Sebut saja `sempayan' orang dengan cepat membayangkan bahagian siling rumah,
Istilah belanai merujuk kepada tempayan kecil manakala ipang istilah untuk tempayan biasa.
Kami juga membahas istilah sedi timbang, yang bermaksud berhampiran dengan kawasan tebing yang hampir runtuh. Jika sekarang kita selalu menggunakan `sedi suang' untuk tepi sungai, dahulu orang menggunakan perkataan sedi timbang.

Banyak juga tajuk yang kami kongsikan bersama tetapi kata saya teringat kata suadara Aliyudin , dalam dunia ini lebih baik bagi kita menjadi alap dela (lelaki yang baik) daripada lawa' dela (lelaki yang rupawan).
Jika kita tidak usahakan bermula dari sekarang bahasa ibunda kita akan hilang, katanya.