Khamis, 4 Mac 2010

Empat anak tercicir dari sekolah tanpa sijil lahir

Tags


EMPAT ANAK TERCICIR DARI SEKOLAH TANPA SIJIL LAHIR

TUARAN: Penderitaan yang dialami oleh seorang ibu, Welhemna Airin 32, tidak dapat digambarkan tetapi yang lebih membimbangkannya ialah anak-anaknya yang tidak dapat bersekolah kerana tidak mempunyai sijil lahir.

Empat anaknya, Nurliaraya Ahmad, 9 tahun, Nurul Izatul Ahmad ,7 tahun, dan Abdul Rahman Ahmad,5 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen manakala seorang lagi Intan Umira Ahmad, 13, yang walaupun mempunyai dokumen kelahiran tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan hidup.

Surat lahir kanak-kanak itu tidak dapat diuruskan selepas ayah mereka, Ahmad Darus, rakyat tempatan berbangsa Bajau meninggal dunia selepas menderita pneumonia kira-kira setahun lalu.

Akibat kemiskinan dan kurang pengetahuan, dokumen kelahiran anak-anak itu tidak dapat diuruskan menyebabkan mereka tercicir dari persekolahan, kata Welhemna lagi.

Seorang lagi anaknya, Siti Fatimah melarikan diri dari rumah menyebabkan Welhemna keseorangan dalam menyara hidup keluarganya.

Ketiadaan sijil lahir menyebabkan anak-anak itu tidak dapat bersekolah kerana pihak sekolah enggan menerima mereka tanpa sebarang dokumen.

Ketika menceritakan perjalanan hidup yang dilaluinya, Wilhemna terpaksa melalui pelbagai cabaran termasuk pernah tidur di bawah tangga, di dalam dewan dan sebagainya.

"Kehidupan kami tidak menentu, kais pagi makan pagi tetapi saya berusaha untuk mencari duit untuk menyara anak-anak," kata Welhemna lagi.

Setelah ditinggalkan bekas suami, Welhemna menyara hidup anak-anaknya dengan menjual rokok.

Katanya, kadang-kadang beliau boleh memperolehi pendapatan RM20 sehari tetapi pendapatan itu tidak menentu kerana pihak berkuasa menjalankan operasi setiap hari.

Ketika ditanya mengapa beliau menjual rokok seludup, Welhemna menjawab "kalau tak jual, macam mana mahu makan?".

Welhemna tinggal bersesak dalam sebuah bilik sewa di atas sebuah rumah kedai di Pekan Tuaran dengan kadar sewa RM250 sebulan.

"Untuk memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, beliau terpaksa merelakan anak-anaknya yang masih kecil itu untuk berjualan rokok.

"Kami sudah macam pendatang, kerana tidak mempunyai dokumen," kata Welhemna yang terpaksa bergantung kepada sehelai dokumen yang koyak.

Welhemna, yang dilahirkan di Sandakan pada tahun 1976, dari suku kaum Suluk, pernah memohon kad pengenalan sewaktu di Sandakan tetapi tidak dapat menguruskan permohonan kerana tidak mendapat izin suaminya.

Ditanya sama ada beliau pernah meminta bantuan keluarga arwah suaminya, beliau berkata, bagaimana mereka bantu kami, mereka pun hidup dalam keadaan susah.

Kini Welhemna mempunyai suami baru tetapi kedudukannya sebagai isteri kedua menyebabkannya tidak yakin terhadap `setakat mana jodoh mereka berpanjangan".

Beliau merayu kerajaan agar memberikan peluang kepada anak-anaknya untuk meneruskan persekolahan bagi masa depan mereka.

Welhemna juga meminta belas ihsan kerajaan agar memberikan rumah untuk mereka tempati anak beranak supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.



PERLU PERHATIAN...Wilhemna bersama anak-anaknya perlukan bantuan pihak kerajaan untuk memperbaiki kehidupan mereka.