Sunday, March 21, 2010

Hajat ke Aceh akhirnya tercapai
















HAJAT KE ACEH AKHIRNYA TERCAPAI
-catatan perjalanan Hajat Haji Lassin menyusuri silsilah keluarga Duaming di Aceh Darussalam

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Impian untuk melihat Serambi Mekah itu sudah tersemat di hati Cikgu Hajat Haji Lassin sejak sekian lama. Aceh dengan segala cerita dan kisah yang terkandung di dalamnya sentiasa menarik perhatian Cikgu Hajat bukan saja kerana wilayah itu memang memiliki sejarah yang tersendiri dan merupakan Wilayah Indonesia yang paling akhir dapat ditakluki Belanda, tetapi nama Aceh memiliki makna yang khusus di hatinya.

Ketika peristiwa Tsunami meluluhlantakkan Aceh, peristiwa itu membuat fikiran Cikgu Hajat sedih dan berkecamuk. Ratusan ribu mati dihanyutkan ombak atau tertimbus tanah dan bangunan, orang-orang berlari, meratap dan menangisi nasib mereka, penderitaan yang seperti tidak ada penghujungnya tetap membuat kerinduan kepada Aceh tak kunjung padam.

"Mari kita ke Aceh melihat Masjid Baiturrahman yang tetap bertahan walaupun dilanda tsunami," katanya pada satu hari. Di wajah isteri dan anak-anaknya tergambar perasaan gembira sekaligus kepiluan.

Gembira kerana mereka dapat melancong ke luar negeri, dan pilu mengenangkan nasib ribuan orang yang kehilangan keluarga, ribuan orang yang merana berjuang untuk sebuah kehidupan selepas ditinggalkan ayah, ibu, suami, isteri dan anak-anak mereka akibat tragedi tsunami itu.

Tetapi hajat di hati Cikgu Hajat sukar diukur betapa kuatnya. Misinya ke Aceh itu bukanlah semata-mata untuk `makan angin' tetapi misinya kali ini adalah untuk mencari keluarga.

Segalanya bermula pada satu hari pada tahun 1998 sebaik-baik beliau mendapat tahu bahawa nendanya berasal dari Aceh. Menurut cerita lisan, Atuknya yang bernama Duaming merantau dari Aceh lalu sampai ke Sabah tahun 1881 dan kemudian bermukim di Kampung Linau Kota Belud yang pada waktu itu dikenali sebagai Tempasuk dan beranak pinak di sana.

Beberapa hari sebelum berangkat ke Aceh, Cikgu Hajat yang juga mantan Pensyarah Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera Sabah dan mantan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran dan Luar Bandar) Tuaran telah mempersiapkan diri untuk mencari orang-orang yang boleh dihubungi ketika di Aceh. Sayangnya, Cikgu Hajat kehilangan alamat orang-orang yang boleh dihubunginya di Aceh.

Oleh sebab itu, Cikgu Hahat bersama isteri, Hajah Noriah Lambut dan anak-anaknya Aspawi Hajat, Sarinah Hajat, Mohd.Eranza Hajat tetap meneruskan perjalanan ke Aceh melalui LCCT Kuala Lumpur.

Sebelum itu, mereka telah menempah tiket untuk melancong selama enam hari ke Aceh. Mereka membulatkan tekad untuk berkunjung ke Aceh kerana mencari susur galur keluarga.

Mujur tanpa disangka, ketika menanti panggilan untuk memasuki pesawat, beliau dipertemukan dengan seorang perempuan yang berbudi bahasa dan berhati luhur. Hari itu 3 Mac 2010, kira-kira jam 11.00 pagi. Cikgu Hajat melihat jam tangannya, dan beliau tidak sedar bahawa Tuhan telah mengatur perjalanannya sedemikian rupa.

Perempuan dalam lingkungan 40-an itu, mudah tersenyum dan berwajah ceria itu duduk sebaris dengannya. "Hanya selang dua kerusi," kata Cikgu Hajat. Sementara menunggu pintu masuk ke pesawat Air Asia itu terbuka, tiba-tiba perempuan itu bertanya:" Pakcik mahu kemana?".

"Saya nak ke Banda Aceh," jawab Cikgu Hajat.
"Dengan keluarga?"
"Ya, saya dan lima orang lagi"
"Makan Angin?"
Memikirkan pertanyaan itu lahir dari hati yang ikhlas, Cikgu Hajat menceritakan tujuan sebenarnya ke Aceh. "Nenek saya berasal dari Aceh", katanya. Bagi masyarakat Bajau, nenek boleh digunakan untuk merujuk datuk dan nenek sekaligus.

Beliau memberitahu itulah kali pertama beliau ke Aceh. Wanita yang mulia itu rupanya merupakan isteri kepada Bupati Aceh Besar, Drs.Tgk.H.Bukhari Daud. Sesampainya di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, beliaulah dan isterinya yang sibuk menguruskan urusan mengecap pasport dan dokumen perjalanan. Selain itu, beliau telah menyediakan dua buah kereta yang membawa Cikgu Hajat sekeluarga ke rumahnya di Lorong Lampanaki, Banda Aceh.

Perjalanan satu setengah jam dengan kapal terbang itu tidak terasa letihnya.Bagi Cikgu Hajat pertemuan yang berlaku secara tidak sengaja itu membawa rahmat yang tidak terkira. Selepas bertanya khabar, sepanjang perjalanan itu, banyaklah kisah yang dipertuturkan terutamanya kisah-kisah sekitar tsunami yang berlaku beberapa tahun yang lampau.

"Di rumah beliau, kami berbual panjang mengenai susur galur silsilah keluarga. Saya menceritakan susur galur keluarga yang akhirnya membawa saya ke Aceh", kata Cikgu Hajat.

Alangkah terkejutnya, dan alangkah gembiranya, apabila mengetahui bahawa Drs.Bukhari juga merupakan generasi keempat daripada Allahyarham Du Amien, buyut kepada Allahyarham ayahnya yang bernama Daud.

Di Aceh, Duaming dikenali sebagai Du Amien. Du, menurut cerita adalah gelaran kepada orang ternama teuku, tengku, Nyak dan sebagainya manakala Amien bermakna Amien bermaksud Yang Benar.

Oleh kerana faktor sebutan, Du Amien yang menurut cerita merantau ke Asia untuk mengembangkan agama Islam akhirnya dipanggil dengan nama Duaming oleh orang-orang Bugis. Mereka tidak dapat menyebut Amin sebaliknya Aming, papan disebut papang, ikan disebut ikang dan sebagainya.

Kalau bukan kerana beliau yang mengakui keturunan keempat Du Amien, Cikgu Hajat mungkin tidak berani memperkatakannya. Ini kerana Drs.Bukhari merupakan tokoh masyarakat dan pembesar negeri. Malah kelihatan beberapa pengawal berkawal di rumahnya bepakaian serba kuning dan dua orang pemandu yang mengangkat beg pakain ke rumah.

"Saya sempat menasihatkan anak-anak saya supaya menjaga disiplin dan tingkahlaku mereka kerana orang yang kami datangi itu merupakan pegawai tinggi," kata Cikgu Hajat mengenang kunjungan itu.

Tetapi keluarga tetap keluarga, tidak kira sama ada miskin kaya, berpangkat atau berharta. Oleh sebab itu, Cikgu Hajat tidak putus memanjatkan rasa syukur ke hadratNya. Drs. Tgk. H Bukhari Daud dan isterinya juga bersyukur kepada Allah SWT kerana mempertemukan medreka yang mempunyai kaitan keluarga.

Mengikut cerita, Du Amien keluar ke Asia (demikian catatan sejarah menurut kisah yang dituturkan Drs.Tgk.H.A Rahman Kaoy, Ketua MAA Provinci Nanggroe Aceh Darussalam) untuk mengembangkan agama Islam. Mereka mengenali Asia sebagai kawasan nusantara tetapi mereka tidak tahu bahawa Du Amien itu berlayar dan merantau sehinggalah sampai ke Kampung Linau dan berkahwin pula dengan Timah, orang Dusun Dari Tambulian yang merupakan keluarga Lantukan. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Abdullah Duaming dan Abdulaham (Dulaham Duaming).

Bagaimanapun, Drs.Tgk H.A.Rahman Koay yang juga Ketua Adat NAD mengatakan bahawa Du Amien itu masih keturunan Sultan Alauddin Riayat Syah, dan mempunyai kaitan silsilah keluarga yang sama dengan Tjut Nya Dien, pahlawan Aceh.

Penemuan itu ternyata membuka lebih luas cakerawala pencarain keluarga Duaming. Cikgu Hajat tidak menyangka bahawa Duaming, yang berasal dari Lamparo, Aceh Besar merupakan pengembang agama Islam.

Rupa-rupanya beliau merantau hingga ke Sabah yang dikenali North Borneo dalam misi dakwah. Alangkah baiknya, itu yang bermain dalam fikirannya, jika ada yang masih menyimpan dokumen bertulis seperti kitab, catatan harian oleh nenek moyangnya kerana biasanya guru-guru agama menyimpan catatan perjalanan mereka.

Selepas misi mencari keluarga itu berjaya mempertemukan beliau dengan orang yang mempunyai kaitan keluarga dengannya, Cikgu Hajat menghabiskan masa untuk berkeliling Aceh.

Sepanjang di Aceh. beliau dan keluarga sempat ke Aceh Besar, Aceh Selatan, Aceh Utara, Aceh Barat Daya melihat kesan-kesan tsunami, melihat kebudayaan aceh, sempat ke Pantai Lok Nga, pantai yang cantik dan sempat berkunjung ke rumah Aceh.

Banyak pemandangan yang menarik sepanjang kunjungan ke wilayah yang baru saja menikmati kedamaian hasil kesepakatan di Helsinki. Tetapi yang paling bermakna bagi diri Cikgu Hajat ialah pertemuannya dengan keluarga Duaming di Aceh.

2 comments:

Hanafiah Zulkifly said...

Amat menarik. Syukur kehadrat Allah SubhanAllah Taala.

Amsyahril Syahril said...

Assalamualaikum Tuan/Puan.

Saya mohon maaf pada Tuan/Puan untuk boleh iklan sedikit disini, semoga kebaikan hati Tuan/Puan untuk memberi izin iklan ini, menjadi amal ibadah disisi Allah SWT hendaknya amiin….

Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency

Sebuah serikat yang punya legalitas di Indonesia, memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan sekali seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour, Bali Muslim Tour dan sewa kenderaan.

Contact person : Amsyahril
Mobile : +6285263007445 ( WhatsApp )
E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.