Sabtu, 6 Mac 2010

Perebutan Pengaruh dalam PRU ke-13 di Sabah

Tags

PEREBUTAN PENGARUH DALAM PRU KE-13, UTAMAKAN KEHENDAK RAKYAT
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Pilihanraya umum ke-13 pasti tidak akan berlaku hari ini atau esok tetapi esok lusa, pesta demokrasi tetap akan dirayakan oleh sebahagian besar rakyat yang layak mengundi. Parti-parti politik tidak kira parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti pembangkang di negara ini masing-masing telahpun melaksanakan gerak kerja untuk memikat hati pengundi seterusnya memberi sokongan kepada mereka pada pilihanraya yang sepatutnya diadakan dua tahun dari sekarang.
Di Sabah, yang disifatkan sebagai `simpanan tetap' Barisan Nasional (BN) , gelora politik semakin terasa dengan kehadiran parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang masing-masing telahpun bertapak di negeri ini.
Pencak silat parti-parti pembangkang yang kurang menjadi sejak beberapa pilihanraya yang lalu tetap diberikan perhatian kerana dalam pilihanraya yang lepas, DAP yang bergabung sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat telah berjaya menawan kerusi Sri Tanjung dan kerusi Parlimen Kota Kinabalu. Bahkan ramai pemerhati politik berpendapat, sekiranya berlaku pertembungan satu lawan satu, lebih banyak kerusi berkemungkinan boleh jatuh ke tangan pembangkang.
Namun senario politik selepas pilihanraya umum ke-12, tidak dapat tidak, perlu diberikan perhatian terutamanya oleh pemimpin-pemimpin parti, aktivis politik dan ahli-ahli parti kerana Sabah yang dikenali sebagai sebuah negeri yang sentiasa menyerlahkan budaya politik yang ramah dan santun selalu mampu mencipta kejutan.
Kejutan politik sepatutnya tidak berlaku sekiranya semua pihak arif dalam mentafsir kemahuan rakyat. Oleh sebab itu, politik Sabah sebenarnya mampu diramal dengan mudah sekiranya pemimpin-pemimpin mendekati rakyat, yang menjadi faktor penting menentukan proses demokrasi berjalan dengan lancar.
Terdapat beberapa parti politik pembangkang di negeri ini. Daripada semua parti politik itu, Parti Maju Sabah (SAPP) yang memisahkan diri daripada komponen BN tahun lalu, dijangka mampu mempengaruhi rakyat dan mengekalkan pengaruh di kalangan penyokong mereka. SAPP yang kini mempunyai dua DUN iaitu Likas, Luyang dan dua ahli Parlimen iaitu Sepanggar dan Tawau dikatakan akan bertanding sekurang-kurangnya 40 kawasan DUN, tetapi yang hampir pasti, mereka akan bertanding di kawasan pengundi Cina dan kawasan campuran dan beberapa kawasan bumiputera Islam.
Menurut sumber dalaman parti itu, semangat penyokong SAPP juga luar dari kebiasaan kerana ahli-ahlinya sanggup menghulurkan derma pada setiap program yang diadakan parti itu. Perkembangan ini wajar dibimbangi kerana jika selama ini ahli-ahli komponen BN hanya menghadirkan diri dalam aktiviti parti setelah dibayarkan tambang, diberi belanja makan dan sebagainya, tetapi kini semangat mereka perlu lebih kuat untuk mempertahankan kerajaan BN yang membawa kemakmuran kepada rakyat.
Parti Barisan Rakyat Sabah(Bersekutu) satu lagi parti pembangkang yang berpengkalan di negeri ini mengharapkan formula satu lawan satu yang diikrarkan bersama oleh parti-parti alternatif untuk berhadapan dengan kekuatan BN dalam pilihanraya akan datang dapat direalisasikan. Presidennya, Berman Angkap berkata jika formula satu lawan satu itu tidak berlaku, pembangkang wajar melupakan impian mereka.
Berman mahukan agar semua kerusi DUN ditandingi parti pembangkang tempatan sementara semua kerusi Parlimen diperuntukkan kepada Pakatan Rakyat terutamanya PKR. Cadangan ini belum tentu dipersetujui tetapi nampaknya inilah salah satu kaedah yang boleh ditempuh sekiranya Pakatan Rakyat mahu meyakinkan rakyat untuk menyokong mereka.
Kehadiran Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang mengisi halaman akhbar tempatan dua bulan juga perlu diberikan perhatian kerana seperti yang didakwa presidennya, Datu Mohd.Arshad Abdul Mualap, parti itu ditubuhkan atas kehendak rakyat.
Beliau mendakwa PPRS adalah sebuah parti multirasial yang kini mempunyai 80,000 ahli , menawarkan satu wadah penyatuan kepada rakyat Sabah. Misi menyatukan rakyat yang dibawa oleh PPRS adalah untuk menyatukan rakyat yang dikatakan oleh Arshad sebagai tersisih dan tidak berpuas hati kerana tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
PPRS bagaimanapun, tidak mengisytiharkan sama ada parti itu pro pembangkang atau pro BN. Selain itu, dalam dua sidang media yang diadakan oleh parti itu,Januari lepas, pegawai-pegawai parti itu memberitahu mereka telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan di Kuala Lumpur, sesuatu yang membuatkan penyokong mereka menuntut bukti yang lebih meyakinkan.
Sementara itu, beberapa siri program yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Sabah mendapat sambutan yang menggalakkan. Program Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Star City dan program Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat di Kian Kok mendapat sambutan yang tidak diduga.Beberapa program lain juga menerima sambutan baik daripada rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Bagaimanapun, pemilihan wakil rakyat akan datang lebih banyak bergantung kepada soal personaliti manakala pengaruh parti parti yang akan bertanding, dijangka tidak banyak memberi kesan kepada rakyat. Jika terdapat personaliti atau individu yang berwibawa dan punya karisma, rakyat berkemungkinan akan memberi sokongan. Soal parti mana yang mereka wakili akan diletakkan sebagai faktor nombor dua.
Semua perkembangan ini perlu diamati dengan cermat oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Beberapa program yang diadakan seperti program Juara Rakyat mampu memberi kesan yang positif jika ia dilaksanakan dengan niat untuk menjuarai rakyat dan bukan semata-mata kerana mengikut arus perkembangan semasa. Konsep 1 Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri juga dengan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian perlu diterjemahkan dengan baik kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Pengaruh Barisan Nasional di Sabah yang dipimpin oleh UMNO, PBS, UPKO, LDP,MCA, Gerakan,MIC memang diakui masih kuat tetapi kepercayaan rakyat terhadap mereka boleh berkurang sekiranya mereka tidak memperbaiki diri, tidak bermuhasabah dan terlalu membanggakan diri.
Senario terkini juga menyaksikan Barisan Nasional (BN) di Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman telah membuat beberapa langkah untuk memperkukuhkan pengaruh Barisan Nasional di kalangan rakyat. Beliau telah melantik 10 muka baru dan mengekalkan 15 muka lama sebagai penyelaras BN di seluruh bahagian di Sabah. Langkah ini dilihat sebagai tepat dan bijak untuk memastikan BN tetap kukuh dan berpengaruh serta terus disayangi rakyat.
Namun berapa banyak pun parti pembangkang dan betapa kuatpun komponen BN, sebahagian besar golongan rakyat akar umbi sebenarnya lebih berminat mengetahui penyelesaian kerajaan terhadap kenaikan harga barangan seperti gula, peningkatan sistem pengangkutan awam, pentadbiran yang telus dan bebas rasuah, serta pembangunan dan peningkatan prasarana, mengatasi masalah kekurangan tenaga, kekurangan doktor, dan pelbagai isu-isu lain yang berkaitan rakyat dan kehidupan mereka.
Kelangsungan kerajaan BN di Sabah dan sepak terajang parti pembangkang, banyak bergantung kepada sejauhmana mereka ikhlas dan komitmen kepada perjuangan untuk meningkatkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

***Tulisan ini tersiar dalam Utusan Borneo pada 6 Mac 2010. Utusan Borneo merupakan akhbar berbahasa Melayu tunggal di Sabah

2 comments

Salam...

Pemerhatian yang bernas. Banyak yang boleh saya belajar...

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.