Khamis, 4 Mac 2010

Perihal nedas dan teriti

Tags

Kami singgah di Kampung Tambalang Tuaran dalam perjalanan pulang itu. Cikgu Hamid mahu berjumpa dengan Ketua Kampungnya, Maduin bin Hj Staat.

Pakcik Maduin berusia 74 tahun. Beliau baru pulang dari laut ketika kami sampai. Cikgu Hamid ada sesuatu urusan dengannnya. Apabila beliau mengetahui saya dari Kota Belud, maka bercakap Bajaulah kami, apatah lagi pakcik Maduin, mantan pesara RTM ini asalnya dari Kampung Timbang Dayang Kota Belud.

Saya sempat bertanya dari mana Kampung Tambalang mendapat namanya. Panjang ceritanya, kata Pakcik Maduin tetapi tambalang ertinya buluh.

Satu ketika dahulu, ada sebuah rumah yang dibuat daripada buluh, lantainya buluh, tiangnya buluh, dindingnya buluh, yang mula-mula di bina di kampung itu. Itulah yang dinamakan tambalang. Tapi banyak juga cerita lain mengenai asal usul kampung itu.

Semuanya `nedas'. Saya jarang mendengar perkataan nedas, kosakata dalam bahasa bajausama yang bermaksud `boleh digunapakai'. Perkataan ini boleh dicadangkan untuk diserapkan dalam bahasa Melayu untuk menggantikan istilah boleh digunapakai.

Saya memberitahunya bahawa ramai juga kaum kerabat kami di kampung Timbang Dayang itu. Arwah Haji Taip, Imam Ramlie, Marjan dan ramai lagi anggota keluarga besar kami. Maka berceritalah saya mengenai kisah asal usul nenek moyang kami

"Cerita kamu ini `teriti'," kata Pakcik Maduin. Teriti, satu lagi perkataan bajausama yang jarang sekali kedengaran. Apa maksud teriti, pakcik? Teriti maksudnya turun temurun. Saya fikir perkatan teriti ini juga boleh diserapkan dalam usaha memperkaya kosakata bahasa Melayu di negara ini.

Selain dua perkataan yang agak klasik itu, ada beberapa perkataan bajausama lagi yang jarang didengar.Mali' ertinya letih atau kepenatan, nepian ertinya pergi ke kedai, tamu dan sebagainya, dan banyak lagi yang perlu didokumentasikan untuk mengelakkannya dari kepupusan.