Saturday, April 24, 2010

Catatan di L.A dan penerbangan ke Naradang






Jam 7.15 pagi, saya sudah menunggu di Lobby Hyatt. Saya sudah berjanji dengan Haji Sairin untuk menunggunya di sana. Kerana takut terlambat, saya sengaja berangkat jam 6.15 dari Likas, menaiki bas, turun di terminal, menaiki city bus, kemudian tepat waktu yang dijanjikan saya sudah duduk di lobi, sempat membuka laptop dan menulis sesuatu dalam facebook.
Hari itu kami akan terbang, kali ini ke L.A.

Jangan salah sangka, kami bukan ke Los Angeles sebaliknya ke Landung Ayang, Kudat. Pernah satu ketika, Landung Ayang popular dengan nama LA, entah kerana sebutan itu mengingatkan orang rokok LA tetapi Landung Ayang singkatannya memang LA.

Sesampainya kami di Bangunan Sabah Air, jam hampir 8.00 pagi. Kemudian seperti biasa, berat kami ditimbang. Setelah ditimbang, saya dan beg saya seberat 97 kilogram.

Sebentar kemudian kekanda Haji Salim Ibrahim, wartawan berpengalaman, antara yang paling senior di RTM tiba bersama jurukamera, Asmat Oyah. Tidak lama kemudian, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri tiba. sambil sarapan itu beliau sempat memceritakan pengalamannya berkempen di Hulu Selangor, dan orang-orang disana agak kehairanan kerana Ahli Parlimen Kudat ini mampu berbahasa Tamil.

Ramai yang tertarik dengan ucapannya, yang kemudian baru disedarinya bahawa di tempat dia berucap itu merupakan masyarakat Telugu.

Menurut Datuk Rahim, beliau belajar bahasa Tamil ketika menuntut di USM dulu. Kebanyakan rakan sebasramanya terdiri dari Tamil. Dari situlah beliau belajar Tamil.

Kebolehannya memang luar biasa. Beliau juga fasih bertutur bahasa Sungai, bahasa Suluk, Kimaragang, Rungus, bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan sebagainya.

Setelah wartawan New Sabah Times, Hellinie Sina tiba dan setelah menghirup nescafe, kami berangkat ke LA.

Cuaca amat baik sekali.Walaupun beberapa minit sebelum itu, langit kelihatan di penuhi awan.

"Ini awan dari laut," kata John, kakitangan Sabah Air sambil memberitahu, biasanya kalau heli membuat penerbangan ke arah Keningau, agak berbahaya kerana terpaksa terbang tinggi melintasi Banjaran Crocker.

Tapi kami pula menuju Kudat.Laluannya di pesisir pantai. Sekali lagi saya tak lepaslepasnya memandang pemandangan negeri Sabah yang indah, dengan gunung, dengan sungai dan teluknya, dengan keindahan pantai, sawah padi, kehijauan alam, kemajuan pembangunan, juga asap kebakaran dan penebangan hutan.

Helikopter turun di padang bandaran Kudat. Selepas itu kami dilarikan oleh Chin ke Landung Ayang untuk menyaksikan Kempen Bumi Hijau dan Rakan Alam Sekitar. Datuk Rahim bersama penduduk kampung dan rakyat yang diwakilinya berjalan bergotong royong keliling kampung.

Ketika ternampak kedai runcit, saya sempat singgah untuk membeli buku nota. Baru saya menyedari buku nota tertinggal di pejabat.

Ternampak lolipop, dan serta merta teringat masa kecil saya, dan saya sempat membeli gulagula lolipop itu. Juga tanpa disangka, saya terjumpa seorang sahabat lama yang kini mengajar di sekolah itu. Cikgu Sharifah AM Noordin, yang dulunya merupakan orang kuat Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan merupakan salah seorang penyair dan eseis yang berjaya dengan nama penanya Anisul Jalis. Tapi dimana nama itu sekarang?

Datuk Rahim kemudian merasmikan gelanggang futsal. Beliau menendang bola dua kali, kali kedua, penjaga gawangnya ialah Pegawai Daerah Kudat sendiri. Beliau berjaya membolosi gawang. Kemudian beliau memandu pula buldozer dan selepas itu berjalan kaki lagi ke Masjid Al Akmal Landung Ayang untuk membuat ujian asap kenderaan bersama Jabatan Alam Sekitar.

Selepas menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah, kami kemudian dijemput ke jamuan makan tengahari. Saya semeja dengan Anupi Haji Nong dan Abd.Gani Haji Patah.

Kata saudara Anupi, penduduk Landung Ayang itu mencevah 6,000 orang belum lagi termasuk Taman Perumahan. Semua disini saling berkait rapat, walaupun kadang berlainan bangsa. Bapa saya Suluk, bapanya pula Sungai, tapi kami berkeluarga kerana ibunya sungai.

Saya teringat satu fenomena juga mengenai bangsa dan bahasa ini. Kalau di Telaga, tidak kira apa bangsanya sama ada bajau, tidung, sungai semuanya akan berkomunikasi dalam bahasa Suluk di kampung itu.Begitu juga kalau di Pinggan-Pinggan, tidak kira sama ada anda orang Sungai, Orang Suluk atau orang dusun, semuanya berkomunikasi dalam bahasa Bajau. Telaga dan Pinggan-Pinggan ini terletak di daerah Pitas.

Oleh sebab itu, perhubungan antara penduduk akrab dan punya kaitan keluarga.

"Sejak kecil kami sama sama, Sekolah sama-sama, kerja sama sama, tinggal sekampung sama-sama, jabatan sama -asama cuma kahwin saja nda' sama-sama," kata Anupi berseloroh.

Tepat jam 12.00 tengahari kami terbang lagi ke Kampung Naradang Laut Sikuati untuk program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat. Rombongan diberi sambutan dengan pencak silat oleh anak-anak kampung Naradang.

Apa makna kampung Naradang? Saya sempat bertanya orang kampung di situ. Malik Umpok, seorang penduduk kmpung mengatakan bahawa perkataan naradang berasal daripada perkataan meradang.
Ketika kemasukan UMNO ke sabah dahulu, kampung itu terletak di sempadan antara Kudat dan matunggong. kampung Korinayang terletak berdekatan terletak dalam kawasan matunggong manakala yang sebelahnya terletak dalam kawasan Kudat. Oleh sebab penduduk kampung tidak dipedulikan, makanya mereka meradang. Oleh sebab itulah kampung itu dikenali dengan nama Naradang, kata pakcik malik entah betul entah bersenda, tapi dia kelihatan sungguh-sungguh.

Rupanya Herlinie sewaktu di USM dulu mengambil jurusan sais kemanusiaan pengkhususan terjemahan Bahasa Inggeris.Minornya bahasa asingnya, beliau memilih Sepanyol.Kebetulan juga haji sairin sewaktu menuntut di USA mengambil matapelajaran Sepanyol.

Dari percakapan Haji sairin itulah, saya terkesan dua perkataan yang dianggap bahasa Iranun klasik rupanya terdapat juga dalam bahasa Sepanyol. Saya pernah bertanya orang tua dahulu, apa perkataan klasik bagi bahagian dapur dalam bahasa Iranun selain `sarudung' atau dapuran. Mereka menyebut perkataan klasiknya kusina.

Rupanya Kusina juga dipakai dalam bahasa Sepanyol untuk dapur. Apakah perkataan ini berasal dari perkataan `cuisine' dalam bahasa Inggeris? Siapakah yang meminjam, apakah ini salah satu perkataan asing yang menyerap dalam bahasa Iranun, yang kemudiannya dianggap klasik.

Begitu juga dengan kopi. Orang Iranun menyebutnya Kawa, orang Sepanyol menyebutnya kahwa sedangkan perkataan itu berasal dari bahasa Arab `kehwa' yang bermaksud kopi.

Haji sairin juga berkata perkataan bank berasal dari banco dalam bahasa Sepanyol atau bangku dalam bahasa Melayu. Ceritanya, dahulu ceti Yahudi sering duduk dibangku untuk menagih hutang dan membuat pinjaman. Dari perkataan itulah, kata Haji Sairin timbul perkataan bank.

Selepas minum, tepat jam 2.00 petang kami menaiki helikopter untuk pulang ke ibu negeri. Cuaca agak panas, di dalam heli pun panas.

"Ada yang salah dalam pembuatan helikopter ini," kata Kapten Ridzwan yang membawa kami. Dia orang letak kipasnya di luar," katanya bercanda.


Bayangkan tidak lama selepas kami tiba di KK, hujan turun dengan lebatnya.Kalau kami terlambat sedikit saja, mungkin heli tak dapat terbang untuk pulang.




No comments: