Thursday, April 8, 2010

Catatan pertemuan dengan Juvencio de Jesus Martins

















PERTEMUAN DENGAN JUVENCIO DE JESUS MARTINS

HUBUNGAN TIMOR LESTE-MALAYSIA PERLU DIERATKAN

PERJALANAN terasa agak lambat pada petang itu sebelum kami sampai ke No.62, Jalan Ampang Hilir yang menempatkan Kedutaan Timor Leste di Kuala Lumpur. Bapak Juvencio de Jesus Martins, yang bertugas sebagai Duta Besar Timor Leste ke Malaysia sudah menunggu di pejabatnya. Lelaki kelahiran 25 Jan 1961 ini pernah bertugas sebagai Minister Counsellor Timor Leste ke Jakarta, sebaik-baik saja negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun Mei 2002. selepas itu beliau bertugas di Kementerian Luar Negeri pada tahun 2005-2006 sebelum dilantik sebagai Duta Besar Timor Leste ke Malaysia sejak Ogos 2006. Bagaimanapun, kini beliau kembali bertugas di Dili, ibu negara Timor Leste.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN menemui beliau di Kuala Lumpur tidak lama sempat meninjau pandangannya mengenai hubungan budaya, ekonomi, sosial di antara kedua negara yang menjadi anggota ASEAN.

Timor Leste merupakan sebuah negara yang memiliki kira-kira 1.1 juta penduduk dan mempunyai keluasan kira-kira 15,000 km persegi. Negara itu merupakan sebuah negara yang mempunyai keindahan sumber alam semulajadi,potensi ekonomi dan penduduk yang pelbagai kaum.Temuramah ini dibuat dalam bahasa Melayu kerana Juvencio merupakan seorang yang fasih dalam bahasa Melayu.

UB: Apa khabar ? Terima kasih kerana sudi menerima kami untuk sesi temubual ini. Boleh ceritakan pengalaman anda sejak lima tahun bertugas di Malaysia?

JM: Saya bertugas di Kuala Lumpur sejak Ogos 2006.Saya merasa tidak asing lagi di negara ini,apatah lagi terdapat banyak persamaan dari segi budaya dan bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Tetum. Misalnya kayu dalam bahasa Melayu, dalam bahasa Tetum disebut kayi. Kuih onde-onde juga terdapat dalam bahasa kami. Selain itu terdapat persamaan cara hidup antara Timor Leste dan Malaysia. Banyak persamaan yang kita boleh gali bersama, untuk dapat mendekatkan lagi hubungan antara negara serantau.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai keistimewaan Timor Leste?

JM: Sebagai sebuah negara yang baru merdeka, Timor Leste memiliki banyak keistimewaan yang belum begitu diketahui oleh masyarakat luar. Timor Leste merupakan sebuah negara yang memiliki pantai yang indah, gunung-gunung yang cantik dan boleh didaki dengan ketinggian 3,000 meter di atas paras laut. Ini sudah tentu sangat menarik untuk pencinta dan peminat sukan gunung.Selain itu banyak acara sukan yang boleh diperkenalkan di Timor Leste seperti Lumba Basikal di peringkat antarabangsa dan lain-lain.

UB: Berapa jumlah penduduk Timor Leste?

JM: Timor leste mempunyai kira-kira 1.1 juta penduduk. 91 peratus daripadanya terdiri daripada penganut Katolik manakala selebihnya merupakan orang Protestan, Buddha, Hindu dan Islam.

UB: Apa pekerjaan utama penduduk Timor Leste?

JM: Kebanyakan penduduk terdiri daripada masyarakat petani dan nelayan. Mereka mengusahakan tanah-tanah pertanian dan menangkap ikan untuk menambahkan sumber penghasilan mereka.

UB: Bagaimana pula mengenai kerjasama ekonomi antara kedua negara?

JM: Saya kira banyak bentuk kerjasama ekonomi yang boleh dibangun antara kedua negara. Ketika ini pun terdapat syarikat Malaysia, Petronas Carigali yang sedang membuat eksplorasi minyak di Timor Leste.Begitu juga dalam bidang pertanian. Selain itu, Kerajaan Malaysia juga boleh membantu dalam bidang latihan.

UB: Tidak lama dulu terdapat permintaan agar Timor Leste mengirimkan pembantu rumah ke Malaysia. Apa komen anda?

JM: Kami bersedia mengirimkan sekitar 10,000 pembantu rumah ke malaysia kerana permintaan pembantu rumah agak tinggi. Tenaga pembantu rumah kami boleh dilatih, apatah lagi kebanyakan mereka mampu berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mereka boleh memenuhi permintaan yang tinggi terutamanya di kalangan keluarga non Muslim. Selain itu, ada juga penduduk Timor Leste beragama Islam yang bisa menjadi pembantu rumah di kalangan keluarga Muslim di Malaysia.

UB: Terdapat satu perkembangan menarik dalam industri hiburan. Kebelakangan ini terdapat usaha untuk mendekatkan lagi hubungan antara kedua negara apabila penyanyi Timor Leste, Aida Pereira Belo merakamkan lagu di Kuala Lumpur? Apa komen anda?

JM: Saya fikir itu merupakan usaha yang cukup baik.Saya mendukung sekali jika ada usaha-usaha sedemikian dibuat kerana ia akan memperkenalkan penyanyi antara kedua negara. Saya kira ia merupakan salah satu jalan untuk mempererat hubungan rakyat. Selain itu, ia boleh memperkenalkan budaya dan bahasa Timor Leste ke negara serantau dan dengan itu mampu mendekatkan lagi hubungan rakyat kedua negara.

UB: Saya tertarik dengan kenyataan bahawa penduduk Timor Leste terdiri daripada masyarakat berbilang kaum? Boleh anda jelaskan?

JM: Terdapat kira-kira 36 bahasa daerah yang dituturkan di Timor Leste.Ini menggambarkan bahawa terdapat kira-kira 36 suku kaum di Timor Leste. Pada mulanya memang agak sukar juga menyatukan mereka.Tapi ini semua tidak menjadi halangan, kerana dalam perlembagaan Timor Leste, bahasa yang digunakan di negara kami ialah tetum, Portugis, Inggeris dan Melayu (Indonesia).

UB: Bagaimana anda melihat kedudukan bahasa Melayu di rantau ini.

JM: saya kira bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang sangat penting, apatahlagi ia dituturkan kira-kira 250 juta penutur di rantau ini termasuk di Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina. Saya fikir kedudukan bahasa Melayu akan semakin penting.Bagi kami, ini tidak menjadi masalah malah ia mampu mendekatkan lagi antara negara di rantau ini. malah saya pernag diundang untuk menghadiri persidangan Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Saya tidak ada masalah berkomunikasi dengan mereka. Malah Dari segi kebudayaan bahasa Melayu boleh menjadi bahasa komunikasi antara negara-negara ASEAN.

UB: Bagaimana Timor Leste dapat menyelesaikan pertelingkahan yang pernah berlaku ketika rakyat yang pro merdeka dengan mereka yang pro-integrasi

JM: Memang kami dapat menyelesaikan pertelingkahan dalam masa kurang tiga tahun. Tetapi yang penting bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah pertelingkahan itu dalam waktu yang singkat.Rakyat saling memerlukan antara satu sama lain.Masa lalu sudah berlalu, angin ribut sudah pergi dan yang penting harus bergerak ke hadapan.Itu yang lebih penting.

UB: Akhir sekali, apa harapan anda terhadap hubungan kedua negara?

JM: Saya berharap kerjasama antara kedua negara harus ditingkat dengan lebih intensif demi kemajuan kedua bangsa. Timor Leste sangat memerlukan huluran tangan Malaysia yang bantu kami sampai sekarang.Kami sangat berterima kasih sekali. Kalau kami sudah kuat dari segi ekonomi, pada gilirannya, kami akan dapat membantu negara negara yang memerlukan.Ini yang kami harapkan.






No comments: