Thursday, April 29, 2010

Sidang DUN Sabah ke-13 signifikan untuk rakyat

SIDANG DUN KE-13 SIGNIFIKAN UNTUK RAKYAT
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDINabdnaddin@yahoo.com

AHLI-ahli Yang Berhormat mengemaskan fail dan kemudian memasukkan ke dalam beg masing-masing sebelum meninggalkan dewan persidangan itu. Hari sudah petang dan mereka ingin pulang setelah menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) Kali Ke-13 yang berlangsung selama lima hari bermula 15 hingga 22 April lalu.
Persidangan itu dilihat amat signifikan kerana ia merupakan persidangan DUN terakhir dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sebelum melaksanakan RMK10. Hampir semua wakil rakyat bangun mengambil bahagian dalam sesi perbahasan menyuarakan dan membangkitkan keperluan rakyat di kawasan masing-masing. Banyak perkara yang disentuh tetapi persoalan yang banyak dibangkitkan adalah berkaitan isu-isu pembangunan dan kemudahan asas.
Sesekali suasana dalam dewan bertukar hangat apabila isu-isu tertentu dibangkitkan. Tetapi kualiti perbahasan kali ini amat memuaskan malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman turut mengadakan sidang media bagi menyatakan rasa puas hatinya terhadap mutu perbahasan wakil rakyat yang mewakili 60 kawasan DUN Sabah.
Kalau adapun yang membuat beliau meninggikan suara ialah apabila ADUN Sri Tanjung, Jimmy Wong bangun mencelah mempersoalkan isu berkaitan penempatan di Hutan Simpan ketika Datuk Nasir Tun Sakaran menyampaikan ucapan penggulungan bagi pihak Ketua Menteri.
Jimmy, walaupun berniat baik tidak dapat menyampaikan hujah dengan baik kerana kurang lancar berbahasa Melayu. Kekangan berbahasa ini dan kedudukannya sebagai ADUN Pembangkang menyebabkan beliau selalu menjadi sasaran ADUN-ADUN penyokong kerajaan.
Secara keseluruhannya, ADUN-ADUN telah berjaya membentangkan hujah masing-masing untuk kepentingan rakyat akar umbi yang mereka wakili. Antara wakil rakyat yang mendapat perhatian kali ini ialah ADUN Kuamut, Masiung Banah. Beliau membangkitkan antara lain isu-isu berkaitan tanah, isu pendidikan, isu kampung yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan di kawasan Kuamut dan sebagainya.
ADUN Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan bahawa Kinabatangan dan Sukau memerlukan sekurang-kurangnya empat hingga lima orang doktor bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu. Jika permintaan empat doktor tidak dapat dipenuhi, Saddi meminta sekurang-kurangnya dua doktor memandangkan kawasan itu amatlah luas. Katanya, doktor amat diperlukan untuk memberikan kemudahan kesihatan di kalangan rakyat khususnya jika berlaku kes-kes wabak denggi berdarah, H1N1 dan sebagainya yang akan menyebabkan kesukaran dan ketakutan. Kalau tidak dapat semuanya, beliau meminta dibekalkan dengan seorang dukun yang handal.
Bagaimanakah kita boleh mewujudkan sebuah masyarakat yang sihat dan berilmu,beliau bertanya, jika tahap kesihatan rakyat setempat diabaikan. Oleh sebab itu beliau meminta supaya Kementerian Kesihatan dan jabatannya di Sabah perlu mencari pendekatan yang berkesan bagi menyelesaikan masalah ini di Kinabatangan dan Sukau.
Masalah bekalan air di Kudat yang tidak mencukupi juga telah dibangkitkan oleh ADUN Tanjung kapor, Teo Chee Kang. Katanya, daerah Kudat memerlukan bekalan air sekurang-kurangnya 20 juta liter sehari (million litre daily (MLD) tetapi Empangan Pinangsoo yang ada sekarang hanya mempunyai kapasiti membekalkan 6 juta liter saja.
Bekalan air adalah keperluan asas rakyat, kata Teo dan ramai rakyat dikawasannya menyatakan bahawa mereka tabah menanggung kesusahan tetapi `tidak boleh tahan' jika tiada bekalan air dan lebih teruk lagi jika ketiadaan bekalan air berterusan sepanjang minggu.
Sebagai wakil rakyat, beliau kerap mendengar dan merasai keperitan rakyat kerana masalah kekurangan air.Katanya, ketika menghadapi kekurangan air yang serius, air mineral terpaksa dibeli untuk mengelap badan kerana tiada air untuk mandi. "Kilang-kilang ais yang penting untuk menyokong industri perikanan terpaksa menghentikan pengeluaran, kedai-kedai kopi dan restoran terpaksa tutup pintu, hotel-hotel tidak dapat menerima penyewa bilik walaupun terdapat banyak bilik yang kosong dan ini telah menyebabkan kerugian yang besar," katanya.
Masalah penjualan rokok secara haram di Inanam, Menggatal dan Teikpok,yang disyaki rokok seludup oleh rakyat asing terus berleluasa meskipun pelbagai usaha telah dibuat termasuk operasi menangkap para penjaja rokok berkenaan.
ADUN Inanam, Johnny meminta Jabatan dan agensi kerajaan diminta mencari formula yang lebih berkesan dalam usaha membasmi kegiatan menjaja rokok secara haram oleh rakyat asing diitu.
"Kedegilan penjaja rokok haram yang secara terang-terangan membelakangi undang-undang menimbulkan pelbagai masalah sosial yang membabitkan golongan remaja dan pelajar sekolah yang begitu mudah mendapat bekalan rokok kerana harga murah dan mudah didapati di tepi jalan.
Johnny juga meminta bilangan anggota polis di Pondok Polis Telipok ditambah bukan saja untuk memberi keyakinan kepada penduduk dan peniaga terhadap tahap keselamatan di kawasan itu tetapi mampu membendung berlakunya jenayah yang menjejas keselamatan orang awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Datuk Liew Teck Chan membangkitkan beberapa perkara yang menjadi perhatian dan kemusykilan awam atas beberapa projek kerajaan yang tergendala dan lambat disiapkan.Katanya.sering kali kita dengar bahawa projek mega diberikan kepada kontraktor yang berwibawa dan berkemampuan untuk melaksanakan projek-projek dengan cepat dan sempurna.
Antara projek yang mengalami masalah kelewatan pembinaan lapangan terbang, flyover simpangan Jalan Tanjung Aru dan Jalan Kepayan yang belum ada kesudahannya.
Adalah tidak adil jika alasan bahawa kontraktor luar dari Sabah lebih berkemampuan membuat kerja-kerja mega daripada kontraktor tempatan sehingga kontraktor anak tempatan tidak diberi peluang untuk melaksanakan projek yang besar sedangkan terdapat juga kontraktor tempatan yang berkemampuan, katanya.
Beliau mencadangkan agar semua projek di Sabah adalah lebih adil di tawarkan melalui tender terbuka supaya yang benar-benar berkebolehan dan berkemampuan dapat mencuba nasib untuk memasuki tender tender tersebut
Sementara itu, ADUN Lumadan Kamarlin Ombi mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya pekan Padas Damit yang teletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dijadikan sebagai Pusat Pentadbiran Daerah Kecil kerana kedudukannya yang agak jauh iaitu dati Pekan Beuafort.
Beliau berkata, jika ada pusat pentadbiran daerah kecil di pekan itu, akan dapat memberi kemudahan kepada orang ramai yang berurusan dengan jabatan penting dan mereka tidak perlu pergi ke pekan Beaufort dan dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan mereka.
Isu penternakan burung walit juga mendapat perhatian wakil-wakil rakyat. Penternak burung walit di Sabah dilarang memindahkan anak burung itu dari habitat asalnya di dalam gua kerana ia menjejaskan pendapatan pengusaha tradisi terutama di Kinabatangan, Lahad Datu dan Kunak.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin berkata kaedah itu juga boleh menyebabkan kepupusan burung berkenaan sekali gus menyebabkan pengusaha tradisi kehilangan pendapatan.
“Kaedah yang boleh digunakan adalah menarik perhatian burung itu berpindah ke bangunan dan rumah burung yang disediakan pengusaha selepas menerima kelulusan Jabatan Hidupan Liar negeri,” katanya.
Dewan diberitatahu bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyenaraikan 60 rakyat miskin untuk menyertai projek penternakan burung walid bagi membebaskan mereka daripada senarai Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT).Katanya, pihak kementerian telah meluluskan RM5 juta bagi membangunkan industri penternakan burung walid di seluruh negara.
Kini terdapat seramai 72 pengusaha burung walit di Sabah iaitu 46 di Pantai Barat Selatan, diikuti 14 di Tawau, Semporna dan Kunak, empat di Sandakan, masing-masing tiga di Pedalaman Bawah serta Kinabatangan dan dua di Lahad Datu.
Beliau berkata, ketika ini dua gua utama menjadi habitat burung walit di Sabah iaitu Goamantong, Kinabatangan dan Gua Madai, Kunak di bawah pengawasan Jabatan Hidupan Liar negeri.
“Industri burung walit semakin pesat membangun di negeri ini dengan rekod Jabatan Hidupan Liar negeri menunjukkan 19 rumah burung layang-layang dibina dan bangunan terbiar dijadikan pusat penternakan burung itu,”
Selain itu, tindakan menyorok gula dikesan punca kekurangan bekalan di negeri ini menyebabkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa.
Mereka yang didapati menyorok gula boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda maksimum RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat.
Sementara itu,Sabah dan Sarawak bakal menjadi pusat pengeluaran makanan utama negara dalam Dasar Agro Makanan yang akan diperkenal oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam waktu terdekat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin berkata, langkah itu penting memandangkan kedua-dua negeri tersebut mempunyai potensi yang amat besar dalam membangunkan industri makanan negara.
"Sememangnya hanya dengan memanfaatkan kelebihan potensi pengeluaran yang terdapat di Sabah dan Sarawak sahajalah maka pengeluaran makanan negara dapat dimantapkan," katanya sambil memberitahu, Dasar Agro Makanan tersebut akan diperkenal oleh kerajaan sebelum RMK-10 bagi menggantikan Dasar Pertanian Negara yang akan berakhir pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. Datuk Masidi Manjun berkata, inap desa di negeri ini dikenal pasti mempunyai potensi yang amat besar untuk dibangunkan bagi menjana pertumbuhan negeri
Katanya,industri baru itu telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari masa ke semasa dalam meningkatkan pendapatan penduduk setempat.Katanya, program inap desa di Sabah telah menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM2.3 juta pada tahun lalu.
"Malah setakat Mac tahun ini sahaja ia telah menjana pendapatan sebanyak RM488,314 kepada 229 orang peserta inap desa," katanya sambil menambah, inap desa yang paling banyak menjana pendapatan ialah inap desa Batu Putih di Kinabatangan yang berjaya menjana kira-kira RM1 juta pendapatan pada tahun lalu.
"Inap desa Walai Tokou di Ranau yang disertai 16 buah keluarga juga menunjukkan kejayaan di mana telah menerima pendapatan sebanyak RM462,526 pada 2009," katanya.
Dalam pada itu Masidi berkata, kewujudan Taman Kinabalu telah memberi impak positif kepada daerah Ranau yang telah telah menerima lebih 270,000 pelancong pada tahun lalu dan ia dapat dapat dilihat apabila hotel di daerah itu telah meningkat daripada 26 buah hotel pada 2004 kepada 34 hotel pada tahun lalu.
Sementara itu, ADUN Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif membahaskan tiga aspek berkaitan pelancongan dalam ucapan perbahasannya.Pertama, pelancongan ekologi iaitu pelancongan yang berasaskan sumber alam anugerah Allah S.W.T seperti pantai, pulau, hutan, tanah tinggi dan segala bentuk warisan alam yang kita miliki.Kedua, pelancongan ilmu iaitu pelancongan yang ada hubungkaitnya dengan istilah `lawatan sambil belajar' diaman pelancong datang ke negeri kita dengan tujuan memperkayakan ilmu mengenai negeri kita, budaya kita dan pencapaian tradisi keilmuan masyarakat kita.
Ketiga, pelancongan kesihatan iaitu pelancongan yang berasaskan kesihatan, dimana pelancong datang ke negeri kita bukan saja untuk berehat dan menikmati keinbdahan alam di negeri ini tetapi juga mendapatkan rawatan yang terbaik yang kita boleh tawarakan.
Katanya, ketiga-tiga aspek pelancongan ini mesti dilestarikan dan mesti diperkasakan jika kita mahu menjadikan negeri sabah ini sebagai sebuah negeri yang kukuh dari segi ekonominya, sebuah negeri yang bertamadfun dan mempunyai kemudahan kesihatan yang bertaraf dunia, yang sekaligus mendedahkan rakyat kita kepada keperluan penjagaan kesihatan yang terbaik setidak-tidaknya di peringkat serantau.
Adun Sulabayan, Datuk Haji Harman Haji Mohammad pula merayu kerajaan negeri membantu usaha ke arah merealisasikan pelaksanaan projek jambatan Pulau Bum-Bum di Semporna dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Beliau berkata projek berkenaan telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan sangat penting bukan saja kepada pendududuk, tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, terutama dalam industri pelancongan yang menjana kemajuan di kawasan pantai timur.
"Sebagai anak jati sebuah kampung kecil di Pulau Bum-Bum, yang memahami perit-jerih dan denyutan kehidupan penduduknya, saya merayu kerajaan negeri agar dapat membantu melicinkan lagi proses ke arah merealisasikan pelaksanaan projek ini.
Harman juga berharap kerajaan mengambil langkah proaktif membangunkan industri penanaman rumpai laut yang merupakan kegiatan ekonomi kebanyakan penduduk di kawasan Semporna.
"Tidak syak lagi industri ini mempunyai impak yang tinggi dalam menjana ekonomi penduduk dan bukan mustahil ia menjadi produk ekonomi bagi negeri Sabah di masa hadapan," katanya sambil berkata, projek tanaman rumpai laut itu telah dikenal pasti oleh Kerajaan Pusat sebagai antara projek yang berimpak tinggi.
"Dan sebagai anak nelayan yang mengerti tentang kesengsaraan hidup dilambung ombak kehidupan, saya merasakan sudah tiba masanya bagi kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif membangunkan industri ini dalam ertikata sebenar," katanya.
Dewan juga diberitahu bahawa Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menyemak atau mengkaji semula kadar royalti minyak yang sedia ada.
"Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mengemukakan cadangan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan," kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, kerana apa yang penting adalah komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri Sabah.
"Dalam konteks ini, jumlah peruntukkan pembangunan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negeri Sabah mencerminkan komitmen dan keprihatinan tersebut,".
Beliau juga memberitahu, Perfomance Management Unit (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan makmal-makmal (Labs) tertentu di Sabah dan Sarawak bagi tujuan untuk mengenalpasti masalah atau isu tertentu yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak.
Katanya, , antara makmal (lab) tertentu yang telah diadakan ialah " The Native Customary land and Legal Matter lab" dimana masalah isu tanah Anak Negeri Sabah dan Sarawak dikenalpasti dan syor-syor tertentu telah dibuat untuk menangani masalah tanah tersebut.
Setakat ini, syor-syor lab tersebut berkaitan dengan masalah tanah Anak Negeri telahpun dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dan Jawatankuasaa yang bertanggungjawab ke atas Lab-lab tersebut.
"Satu daripada syor pendekatan Lab ialah tanah-tanah Anak Negeri di Sabah akan dirancang untuk tujuan pengeluaran Geran Komunal (Communal Title)," katanya sambil menambah, dengan cara ini, adalah dipercayai bahawa taraf hidup penduduk di luar bandar khususnya Anak Negeri dapatlah dipertingkatkan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur sedang melaksanakan program yang dikenali dengan Fast Track Planned Land Alienation (FTPLA) untuk mengeluarkan Geran Komunal kepada penduduk setempat, katanya.
Beliau juga gembira kerana persidangan DUN ke-13 itu berjalan dengan lancar seperi dijadualkan. Musa dalam sidang medianya berkata, wakil-wakil rakyat telah menyentuh pelbagai aspek berkaitan sosial, ekonomi, pentadbiran dan sebagainya, bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri dan keseajhteraan rakyat sentiasa mendapat pembelaan.
"Saya juga perhatikan ahli-ahli YB begitu komited menyuarakan dan membangkitkan keperluan rakyat di kawasan masing-masing teritama berkaitan pembangunan dan kemudahan asas," katanya sambil menambah,setiap kementerian juga telah memberikan jawapan dalam sesi penggulungan, mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan
Ini jelas membuktikan bahawa kita adalah Kerajaan yang prihatin bertanggungjawab dan sentiasa merasai denyutan nadi rakyat, katanya sambil menyeru semua pihak agar terus bekerja dengan penuh komitmen dan iltizam bagi memastikan agenda pembangunan dapat kita realisasikan.
Berbekal amanat Ketua Menteri itu, ahli-ahli dewan undangan negeri bergerak meninggalkan bangunan DUN Sabah yang tersergam indah untuk pulang ke kawasan masing-masing bagi menyambung khidmat sebagai wakil rakyat, mendengar keluhan rakyat dan berbakti kepada rakyat.

No comments: