Wednesday, May 12, 2010

Catatan singkat dari Menumbok











Sepuluh minit sebelum jam 6.00 petang, kami sudah tiba di Terminal Feri Menumbok. Selepas minum sebentar di kedai Muhibah, kami bergegas ke jeti untuk menunggu speedboat terakhir ke Pulau Labuan.

Tambang biasanya RM15 ringgit seorang tetapi pada petang itu, kami dikenakan tambahan RM5 lagi kerana bot laju itu adalah bot yang terakhir ke pulau itu.Alasan yang diberikan oleh pengusaha bot ialah kerana bila balik nanti, tak ada orang lagi yang mahu menumpang ke Menumbok.

Itu tak jadi masalah kerana apa yang penting ialah kami sampai ke Pulau Labuan pada malam itu. Saya tertarik untuk melihat isu berkaitan perkhidmatan feri, yang nampaknya mendapat sorotan pro dan kontra.

Tetapi saya tidak memberitahu sesiapa kecuali Eksekutif Editor kami yang prihatin dan dapat memahami tugas seorang wartawan yang memburu berita.

Saudara Hussin mengajak saya untuk meninjau masalah itu dan sudi pula menemankan saya ke Pulau Labuan bersama Ramlan.Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orangorang di sana, dan baginya, yang penting saya dapat menurunkan laporan yang seimbang mengenai perkhidmatan feri itu iaitu setelah saya melihat dengan mata kepala saya sendiri.

Maka pada petang itu, saya secara tergesa meninggalkan pejabat untuk ke Labuan. Kami berangkat dari KK kira-kira jam 4.00 petang dan dengan kelajuan yang sederhana kami tiba di Menumbok kira-kira jam 5.50 petang.

Saya tidak pernah menaiki bot laju ke Labuan kerana setiap kali ke sana, saya selalu menaiki feri dari Menumbok ke Labuan dengan tambang RM5 atau dari KK terus ke Labuan.

Tetapi pada hari itu, kami terpaksa menaiki bot laju kerana perkhidmatan feri berangkat jam 4.30 petang tadi.

Yang penting kami sampai ke Labuan pada hari itu.

Setiap bot boleh mengangkut penumpang seramai 12 orang. "Kalau mahu charter, boleh juga, bayar RM150 atau atau 20x12 orang," kata Abd.Mana, seorang kenalan baru, yang rupa-rupanya abang kepada sdr Jaafar Abd.Wahid.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 25 minit untuk sampai ke Pulau Labuan.Sesampainya disana, kami ke Hotel Pulau Labuan tetapi telah penuh. Sebelum ke Beta Service Apartment di Ujana Kewangan, kami sempat makan di Restoran Malindo.

Selepas membeli berus gigi dan sedikit kami naik ke apartmen yang terletak di Tingkat 13.Malam itu, kami menonton perlawanan badminton peringkat suku akhir antara Malaysia dan Denmark. "Kalau kalahpun tidak apa, yang penting ada semangat melawan," kata saya kerana khuatir episod perlawanan antara Jepun dan Malaysia berulang. Namun pasukan Malaysia menang pada malam itu dengan kiraan 3-2, dan saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan beregu kedua Malaysia.

Saya sengaja berkurung di apartmen dan tidak menyertai Hussin dan Ramlan yang keluar melihat Labuan waktu malam. Saya ingin menyiapkan beberapa tulisan dan kemudian berasa geram kerana talian broadband yang agak slow. Tidak lama kemudian mereka pulang sambil membawa KFC kerana di Labuan turun hujan.

Saya teringat Sepupu saya. Bustamam yang kami panggil ustaz itu kerana dia memang bertugas sebagai Ustaz di Lubok Temiang.Dia baru saja selesai main futsal dan saya menelefon sekadar memberitahu bahawa saya berada di Labuan pada ketika itu. Haji Shuaib Nasir pula, orang kuat DPIM Labuan dan Majlis Belia Labuan sedang berada di KL ketika itu.
Saudara Ramlan dan Saudara Hussin terlibat dalam perbahasan mengenai berkaitan soal keadilan, isu politik semasa dan saya membiarkan mereka berhujah sambil saya menaip dan makan biskut.

Kami tertidur hampir jam 2.00 pagi dan saya berasa rimas kerana tidak dapat mengirimkan beberapa emel kerana talian yang agak perlahan pergerakannya.

Keesokan harinya selepas bersarapan, kami singgah membeli baju kerana kami tidak membawa baju untuk menyalin pakaian. Kami check out kira-kira jam 1.30 petang kerana pengusaha feri hanya dapat diinterview kira-kira jam 3.00 petang nanti.

Kemudian kami ke terminal feri, menyaksikan feri berangkat dan selepas itu saya mengajak mereka ke Jabatan Kaji Cuaca untuk mencari Robby A yang rupanya baru pulang rumah di Membidai selepas bertugas pada shift waktu malam.
Sementara Saudara Hussin dan Ramlan mengurut kaki refleksologi, saya mengambil kesempatan untuk menghantar beberapa berita dari Restoran Chicken King.

Kira-kira jam 3.30 petang, kami ke Choice untuk bertemu orang yang kami ingin temubual mengenai masalah feri. Selepas itu, kami ke Kampung Ayer Labuan untuk memulangkan kereta dan kemudian meminta denakan Jelani menghantar ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Setelah penumpang cukup 12 orang, kami pun berangkat dari Labuan kira-kira jam 5.25 petang dan sampai jam 5.42 petang di Menumbok. Terdapat banyak kereta sewa sedang menunggu penumpang ke Kota Kinabalu dengan tambang RM30 seorang.

Tapi kami ada kereta sendiri.Sepuluh minit kemudian,kami meninggalkan Menumbok dan bergegas pulang ke KK.

No comments: