Isnin, 10 Mei 2010

Dari perapat ke Kampung Andap

Tags


Pokok kayu pahappat mungkin tidak lagi tumbuh di kampung itu.

Atau mungkin saya yang tidak tahu mana satu yang dikatakan kayu pahappat.

"Dari nama pokok kayu itulah, kampung ini di sebut kampung perapat.Pada mulanya ia disebut pahapat," kata Cikgu Maikal Haji Silal, Guru Besar SK Perapat Laut Kudat.

Itulah kampung yang pertama dalam senarai program Ahli Parlimen Kudat, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri pada hari itu.
Kami tiba kira-kira jam 9 lebih sedikit di kampung itu dengan menaiki Heli dari Tanjung Aru. Cuaca amat baik. Saya sekali lagi diberi peluang ikut serta untuk membuat liputan lawatan beliau turun padang itu.

Kampung Perapat Laut merupakan sebuah perkampungan yang cantik.Kebanyakan penduduknya dari suku Ubian, dan mempunyai kaitan kekeluargaan dengan almarhum Tun Mustapha.

Sebaik tiba, kanak-kanak mempersembahkan seni silat sebelum Datuk Rahim diiringi ke Khemah yang disediakan.

Khemah itu didirikan di tepi pantai. Kelihatan laut yang terbuka dan pemandangan yang cantik. Pemandangan yang cantik itu amat merisaukan Ali Umra, Pengerusi JKKK di kampung itu, kerana bimbangkan ia terhakis.
Katanya, beliau telah mengemukakan permohonan-by hand- kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keperluan membina tembok kerana jika tidak lama kelamaan pantai itu akan terhakis oleh ombak.
Majlis yang dinamakan Program Mesra Rakyat itu dianjurkan oleh Kemas Kudat dan dihadiri penduduk kampung Perapat.

Pada majlis itu juga, Ketua Kampung, KK Kuyui Muddu membacakan `surat cinta' kepada Datuk Rahim, surat cinta penduduk kampung kepada pemimpin mereka.

Surat cinta itu berisi permintaan penduduk kampung yang memohon supaya mereka diberikan jalanraya,bekalan air dan khemah.

Dalam ucapannya, Datuk Rahim membalas `surat cinta' itu. Katanya jalanraya itu kini ditadbir satu syarikat konsesi dan kerana itu adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menaik taraf jalan raya Kampung Perapat Laut itu, tapi beliau berjanji untuk melihat masalah itu.
Mengulas mengenai bekalan air , beliau berkata masalah bekalan air itu dijangka dapat diatasi apabila Empangan Milau, yang kini sudah 85 peratus siap akan beroperasi kelak.

Selain itu, beliau meluluskan bantuan khemah kanopi untuk kegunaan penduduk kampung sewaktu majlis kenduri kendara dan sebagainya.

Selepas itu, kami ke Kampung Ayer Kudat. Di sana, Rahim menyampaikan bantuan kepada 25 NGO di kawasan Parlimen Kudat selain memberikan bantuan kepada masyarakat Cina.

Tidak lama selepas itu, kami bergegas pula ke SMK Kudat untuk Majlis Penghargaan dan Pengiktirafan Pelajar Cemerlang. SMK Kudat merupakan sekolah lamanya dan beliau pernah menuntut di sekolah itu pada tahun 74-78.

Beliau berbicara mengenai keperluan pelajar untuk menjadi orang yang serba boleh, yang menguasai pelbagai bidang, pelbagai bahasa dan sebagainya.

Selepas majlis penyampaian sijil itu, kami naik heli terbang lagi ke ke Kampung Andap Bangau Sikuati. Di dalam helikopter itu kami sempat mengunyah sandwich kerana tidak sempat makan dan terpaksa mengejar masa.

Orang-orang kampung Andap sudah menunggu. Mereka mengenakan sigah Rungus bagi menyambut ketibaan pemimpin mereka.

Di Kampung Andap, saya menyaksikan orang-orang tua menarikan tarian mongigol. Kalau biasanya, hanya gadis gadis yang menarikan tarian ini, di Kampung Andap Bangau, kelihatan warga tua cuba sedaya upaya meeka untuk menyuburkan minat terhadap lenggok tarian Mongigol itu.

Tetapi gadis-gadis Rungus memang cantik belaka. Saya sempat menyaksikan pertandingan Unduk Ngadau. Selain itu, pemuda bergusti tangan dan tarik tali untuk memeriahkan lagi Pesta Kaamatan itu.

Sempat juga menemuramah Datuk Rahim sebelum heli terbang balik ke Kota Kinabalu. Kami perlu `drop' Ampal di Kota Belud, dan selepas itu terbang lagi tetapi hujan dan angin kemudian memaksa kami berpatah balik ke padang Kota Belud kira-kira jam 5.00 petang dan kemudian menuju Restoran Mayang sari dan makan soto ayam sambil menulis berita mengenai heli yang mendarat cemas itu.