Tuesday, May 18, 2010

Pengalaman didatangi Bahaya

Tanpa disangka, saya didatangi Bahaya petang tadi.
Bahaya dibawa oleh Masidar yang datang dari Kampung Koromoko, jauh di Kota Marudu. Beliau datang untuk mengadukan halnya kepada Suhakam, dan juga, kalau boleh, persoalan itu disiarkan di media.
Masidar terpaksa meredah hujan. Beliau yang biasanya berbaju batik, kalau turun ke KK itu, kelihatan basah kuyup. Saya kasihan melihatnya tetapi beliau berusaha datang tepat pada waktunya. Kami berjanji untuk bertemu jam 4.00 petang tetapi ketika itu, hujan turun menyiram ibu kota yang mengantuk menanti sinar matahari.
Masidar datang membawa Bahaya. Kemudian kami minum di Restoran Asrin,(dulunya Restoran Banu) di Jalan Gaya.
"Siapa nama pakcik tadi?" Saya bertanya.
"Nama Saya Bahaya.Tentu Tuan tidak percaya, nama saya Bahaya," katanya sambil menunjukkan intikatnya. Intikat sebenarnya yang bermaksud kad pengenalan, berasal dari perkataan identity card (ID) yang akhirnya disebut intikat di kalangan masyarakat kampung.
"Nama saya yang sebenarnya Bayah," katanya. "Tetapi dalam intikat saya, dia orang eja Bahaya.Saya bukan orang yang bahaya," kata Bahaya bin Unggus, yang berusia kira-kira 84 tahun, tetapi kelihatan masih kuat lagi.
"Oooo," hanya itulah yang saya dapat luahkan, ketika dia cuba berjenaka, bahawa kalau tidak masuk news, ini tentu bahaya!.

Sambil berbincang masalah sempadan tanah di Kampung Koromoko dan tanah pakcik Bahaya di kampung Samparita, yang dijual orang tertentu kepada syarikat, saya mempelawa mereka makan. Masidar berkata mereka belum sempat makan sejak pagi tadi.

Saya perhatikan Masidar makan dengan berselera tetapi Pakcik Bahaya hanya makan nasi, tanpa lauk. Beliau hanya meminta mangkuk, dan makan nasi berlaukkan air. Perbuatan ini dipanggil `dsabak' dalam bahasa Iranun, tetapi saya lupa bertanya, apa padanan kata itu dalam bahasa mereka, bahasa mereka.
"Banyak lauk di sana pakcik.Pakcik tak makan lauk," saya bertanya. Pakcik Bahaya berkata beliau tidak makan lauk kerana tidak mahu makan ajinomoto.

Saya bemaksud untuk belanja mereka makan tetapi Pakcik Bahaya beria-ia mahu membayar. "Semuanya 12 ringgit 50 sen," kata pelayan itu.
"Ini berapa?" Pakcik Bahaya menunjukkan gelas. "Ini berapa harganya?" katanya. Pelayan itu terpinga-pinga sebab belum pernah ada orang mahu membayar dengan harga minuman tetapi dengan harga gelasnya sekali.
Saya memanggil Hakim dan berkata, pakcik Bahaya mahu membeli gelas metal itu kerana beliau berkenan untuk memilikinya.
Hakim memberitahu, beliau tidak mempunyai gelas yang banyak seperti itu. Akhirnya dia menghadiahkan gelas itu secara percuma kepada Pakcik Bahaya.

1 comment:

Hanafiah Zulkifly said...

Itu memang Bahaya tapi tak mendatangkan bahaya. Betul tak?