Friday, May 7, 2010

Pensiangan dilanda banjir paling buruk


PENSIANGAN DILANDA BANJIR PALING BURUK SELEPAS 29 TAHUN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

PENSIANGAN: Sebuah rumah panjang, sembilan buah rumah persendirian, tiga buah rumah PPRT, sebelas buah jambatan gantung, empat buah jeti dan lima `water graviti' dihanyutkan arus deras atau rosak teruk dalam kejadian banjir pada Khamis, yang dianggap paling buruk melanda Pensiangan dalam tempoh 29 tahun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan, Datuk Bobbey Suan.

"Kejadian banjir itu berlaku selepas hujan lebat turun disertai petir mengakibatkan air sungai Saliuh yang bertembung dengan Sungai Tagol melimpah kira-kira jam 4.00 pagi (hari Khamis) menyebabkan banjir bertambah teruk melimpah hingga Ke Logongon, Pagalungan," katanya yang melawat mangsa banjir di Pensiangan dengan menaiki helikopter kelmarin.

Sebelum ini, hasratnya untuk melawat tempat kejadian pada Khamis terpaksa ditangguhkan apabila terpaksa berpatah balik selepas jalanraya yang menghubungkan Sepulut dengan Pensiangan terputus dan tidak dapat dilalui.

Beliau berkata, kerugian dianggarkan melebihi RM1 juta tidak termasuk harta milik persendirian seperti tajau, periuk belanga malah dokumen seperti surat beranak, kad pengenalan dan sebagainya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian kali ini.

Bobbey yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan memberitahu, banjir seburuk itu tidak pernah berlaku di Pensiangan walaupun rekod menunjukkan bahawa kejadian banjir pernah melanda Pensiangan pada 1971.

"Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1981,sekali lagi banjir berlaku di Pensiangan mengorbankan dua jiwa," kata Bobbey yang secara kebetulan berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Nabawan ketika itu.

Beliau menyifatkan kejadian banjir kali ini agak besar sehingga melibatkan kampung halamannya sendiri, iaitu di kampung Tampanon. "Air sungai melimpah lebih 20 kali dari paras biasa.

"Seumur hidup saya, tidak pernah berlaku banjir sebegitu di kampung saya," kata Bobbey kepada Utusan Borneo selepas melawat lokasi kejadian diiringi Pegawai Daerah, Bubudan OT Majalu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah dan Penolong Pegawai Daerah (Pagalungan), Sukiang Ensing.

Beliau juga memberitahu, tiang-tiang elektrik rebah menyebabkan bekalan elektrik terputus di Pensiangan tetapi hubungan melalui telefon tidak terjejas kerana menggunakan satelit.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur kerana banjir mulai surut kelmarin dan mangsa-mangsa yang terlibat telah diberikan bantuan.

Katanya, walaupun hubungan jalan raya masih terputus tetapi laluan melalui sungai dengan menggunakan bot enjin kini boleh dilalui.

Beliau berkata, kerajaan akan membaiik pulih 11 buah jambatan yang hanyut, jeti dan bekalan air graviti untuk kepentingan masyarakat di Pensiangan.

Bobbey juga menasihatkan supaya masyarakat tempatan supaya tidak membina rumah yang `terlampau' dekat dengan sungai terutamanya di kawasan riapriant reserve iaitu beberapa kaki dari tebing sungai.

"Kita harus berhati-hati dan menjauhkan diri dari ancaman bahaya terutamanya jika banjir belaku seperti ini," katanya.

Beliau juga memberitahu, 19 buah keluarga yang terlibat iaitu tujuh di rumah panjang, sembilan keluarga di rumah persendirian, dan tiga keluarga PPRT telah diberikan bantuan makanan dan kini mereka tinggal di rumah saudara mara.




TERJEJAS...Antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Pensiangan

No comments: