Wednesday, May 19, 2010

Saya selalu terjumpa dia

"Masihkah dia bertugas sebagai guru di pulau itu?
"Tidak lagi.Dia sudah pindah," kata seseorang.
"Ooo"
Saya sering melihatnya di kotaraya ini. Boleh dikatakan hampir tiap petang.Mungkin selepas mengajar di daerahnya yang terletak kira-kira 68 km di sebelah utara Kota Kinabalu, beliau turun ke KK. Atau mungkin dia tinggal di kota ini.
Biasanya apabila berselisih di jalan, saya hanya tersenyum atau melambaikan tangan. Saya tahu, dia juga, seorang pemimpin yang memegang jawatan di peringkat kampung, yang kemudian membuat orang kampung tidak berpuas hati kerana beliau jarang menjenguk kampungnya itu walaupun dia dipilih pengerusi JKKK.
Mungkin ada anaknya di sini, atau ada urusannya. Saya tidak tahu, tetapi saya pernah melihatnya berjalan dengan seorang perempuan, mungkin isteri baru.
Yang saya kesalkan ialah kerana saya mengenali dia. Saya mengenali dia sebagai seorang guru. Seorang guru yang sepatutnya berada di sekolah untuk mengajar anak-anak muridnya dengan penuh dedikasi.
Saya tidak mahu berburuk sangka. Saya hanya terkejut ketika melihat dia, malam itu, duduk menghabiskan masanya, bermain games.

No comments: