Saturday, June 26, 2010

Antologi Puisi Sulaman dan Pena Kota

Di sebalik kesibukannya dalam dunia politik, Haji Ghulabdin Enjih yang juga Pengerusi Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Tuaran sempat juga mengumpulkan karya-karya penulis Tuaran khususnya dalam bidang puisi untuk dimuatkan dalam Antologi Puisi Sulaman. Selain puisi-puisi Haji Ghulabdin yang lebih dikenali sebagai Pena Kota di kalangan penyair Sabah, Antologi Puisi Sulaman itu memuatkan karya karya penulis seperti Mihaldin Rahim, Awang Puasa Jambul, Awang Bungu Ag Mattiasin @ Agus M, Marsah Muyung dan Ali Karim.
Antologi yang memuatkan 54 puisi itu disifatkan oleh Jasni Matlani, Yang Di Pertua BASA Pusat, sebagai "sangat besar ertinya dalam konteks penyerlahan sastera Melayu di Sabah".
Semoga penerbitan buku itu akan menjadi perintis kepada penerbitan lebih banyak buku lain yang lebih berkualiti pada masa depan khususnya dihasilkan oleh para penulis yang hebat dari kawasan Sulaman.
Haji Ghulabdin yang menulis sejak akhir 70-an lagi mula terlibat dalam sastera sejak di bangku sekolah.Karya-karyanya tersiar di akhabr tempatan seperti Sabah Times, Borneo Mail, Kinabalu Weekend,Suara Sabah, Mingguan waktu, Borneo Bulletin, Berita Harian, Dewan Sastera, Sarina, Juita dan Utusan Borneo.

Beliau pernah terpilih sebagai Pengarah Drama Terbaik Tuaran pada tahun 1980-an melalui drama Protes. Beliau juga menghasilkan cerpen, dan salah satu cerpennya berjudul `Cucu' dimuatkan dalam antologi cerpen Lambaian Kinabalu yang diterbitkan DBP pada tahun 80-an.

Kelahiran antologi Sulaman ini akan menyuntik lagi semangat penulis-penulis dari Tuaran Sabah untuk menghasilkan karya.

1 comment:

Hanafiah Zulkifly said...

Tahniah kepada Hj. Ghulabdin, saudara Ag. Bungsu dan yang lainnya