Friday, June 25, 2010

Catatan ketika Majlis Ulang Tahun DBP ke-54 di Sabah

Saya hairan kenapa Jess dan Alex agak sibuk pada petang itu.Jess merangka kata-kata, Alex merekanya dalam bingkai.Hampir semua rakan di Utusan Borneo, dan ini sudah tentu dipandu Editor Eksekutif, Lichong Angkui merasa ingin merakamkan ucapan tahniah kepada DBP Sabah kerana ulang tahun DBP yang ke54.
Saya diminta menyampaikannya kepada Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas sebagai rakaman penghargaan kami atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan kepada Utusan Borneo selama ini.
Majlis sambutan itu kelihatan agak sederhana.Didahului ucapan-ucapan, lagu-lagu tradisi Brunei dari Bongawan, bacaan puisi oleh Hasyuda Abadi,Jasni Matlani, Siiti Rahmah G.Ibrahim, Jasni Yakub,Mohd.Fuad Bebit,lagu-lagu puisi oleh Grup Pemuisi DBP Sabah, majlis itu ternyata meriah.
Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif menggesa masyarakat supaya memandang berat soal-soal bahasa dan sastera bagi melahirkan masyarakat yang beradat dan beradab.
Marilah kita mensasterakan rakyat dan merakyatkan sastera.Ia membawa dua makna yang berbeza tetapi sudah pasti, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan harkat dan martabat sastera tanahair.



Zubaidi berkata, walaupun kian tersamar oleh kilauan lampu neon yang benderang, semangat perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak pernah padam.
Semangat perjuangan kita tetap menyala untuk mendaulatkan bahasa Melayu, katanya.
"Kita tetap mempeteguh keyakinan untuk menggalas tugas dan tanggungjawab melaksanakan fungsi dan peranan dengan penuh amanah dan semangat," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang tahun DBP Ke-54 yang diadakan pada malam 22 Jun di Kompleks DBP Sabah.
"Sebagai institusi yang diamanahkan dengan tugas membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP mesti mengorak langkah mengikut arus zaman," katanya.
Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-54 itu diserikan lagi dengan kehadiran sasterawan, penulis dan penyair, pemimpin-pemimpin NGO dan wakil-wakil media cetak dan media elektronik.


"Pada tahun ini genaplah 54 tahun DBP ditubuhkan", kata Zubaidi mengimbas semula sejarah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP lahir daripada semangat perjuangan yang menyala untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
"DBP harus menjadi contoh kepada institusi pembinaan ilmu yang yang lain dalam usaha pembinaan, pengembangan penyelidikan, bahasa, sastera dan penerbitan.
Malah DBP harus memperhebat usaha dan peranan dalam mencorakkan perkembangan bahasa dan sastera pada era yang sungguh mencabar ini, " katanya lagi.
Walaupun amat sukar untuk mengukur dan menilai kejayaan dan keberkesanan program dan kegiatan yang dilaksanakan kerana ukuran tersebut agak abstrak sifatnya, namun keberkesanan program dan kegiatan tersebut banyak bergantung kepada sambutan dan penerimaan semua lapisan masyarakat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.
Keberkesanan itu juga terserlah melalui sambutan masyarakat terhadap bidang penulisan, kegiatan kesusasteraan, penerbitan mahupun minat terhadap buku dan pembacaan, katanya lagi
Ukuran kejayaan ini tidak seharusnya dilihat dari kehebatan fizikal saja, tetapi yang jauh lebih penting ialah kehebatan bahasa Melayu menjadi wadah penyampaian dan penyebaran ilmu untuk pembangunan minda dan masyarakat.
Beliau berkata, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, usaha DBP secara sendirian tidak akan berhasil. Bantuan-bantuan dan sokongan pelbagai pihak amat diperlukan.
"Kita amat memerlukan sokongan pemimpin dan golongan politik yang berperanan dalam menentukan hala tuju perkembangan bahasa dan sastera," katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Haji Mohd.Arifin Arif , yang juga ADUN Membakut yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan untuk menjayakan kegiatan bahasa dan sastera di negeri Sabah
Zubaidi juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak Media yang sentiasa bersedia memberikan ruang kepada kegiatan anjuran DBP.
Media massa cetak mahupun media massa elektronik sebagai alat untuk menyampaikan laporan, berita, maklumat, pandangan, ulasan dan sebagainya yang dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat sesungguhnya amat berperanan dalam pengembangan dan perkembangan bahasa kebangsaan.
"Sempena sambutan ulang tahun ke-54 DBP ini, marilah kita membina kesepakatan dan tekad untuk terus mempertahan dan memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan kita , baik dalam bentuk dan peranannya sebagai bahasa perpaduan, bahasa pembentuk jati diri bangsa, dan sebagai wahana komunikasi rasmi dan pengembangan ilmu," katanya.
Kita pasti tidak sanggup meminggirkan dan meremehkan bahasa milik sendiri yang dicintai, apatah lagi menginjak dan `menghumbankannya' daripada kehidupan kita.
Namun dalam kehidupan moden pada masa ini, sebilangan anggota masyarakat tidak lagi melihat bahasa kebangsaan sebagai sesuatu yang cukup bernilai bagi kehidupan sebagai sebuah bangsa, kata Zubaidi lagi.
Bahasa milik bangsa sendiri sentiasa dilihat sebagai bahasa yang serba kekurangan, tidak mampu menjadi bahasa moden, tidak mampu menjadi bahasa ilmu, tidak mampu memajukan bangsa.
Dalam majlis itu juga, Utusan Borneo, yang juga merupakan akhbar tunggal berbahasa Melayu yang diterbitkan di Sabah telah menyampaikan penghargaan kepada DBP Sabah kerana sambutan ulang tahun DBP ke-54.

2 comments:

Hanafiah Zulkifly said...

Saya terlepas peluang bersama-sama kalian.

abd naddin said...

semoga dapat jumpa dalam acaraacara akan datang