Selasa, 31 Ogos 2010

Pakcik Laham rasa kecewa

Tags
Saya sedang membelek-belek buku, ketika pakcik Laham Kahar menelefon saya untuk menyampaikan kesedihannya.
Beliau berasa kecewa dan sedih pada pagi 31 Ogos itu.
Kenapa pakcik?
Nanti kita jumpa.Tunggu saya di KK jam 11.30 pagi.
Sudah lama juga saya tidak bertemu dengannya. Tapi kali ini pakcik Laham menelefon untuk menyampaikan kekecewaannya. Kecewa kerana apa? saya belum tahu.
Selepas berpakaian, saya bergegas ke Kota Kinabalu untuk menemui beliau. Mudah-mudahan saya dapat membantu beliau keluar dari masalah yang membuatkan beliau kecewa itu.
Saya melambaikan tangan sebaik melihatnya. Beliau tersenyum. Pakcik Laham, walaupun sudah berusia 69 tahun tapi masih kuat berjalan.
Apa cerita pakcik? saya mengambil kerusi dan duduk disebelahnya.
"Pakcik rasa sedih kerana dari tempat tinggal pakcik di Suang Parai hingga sampai ke api-api, pakcik lihat tidak ramai yang mengibarkan bendera," katanya.
Kalau dulu awal-awal lagi orang sudah mengibarkan bendera, katanya. Saya teringat beliau seorang bekas polis yang tentunya sangat cintakan negara.
Katanya, berapa sajalah harga sehelai bendera? Bukan mahal sangat untuk kita tunjukkan rasa cinta kepada negara.
Hari itu 31 Ogos, ialah sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-53.

Isnin, 30 Ogos 2010

mn suzien rupanya dah berpulang

Tags
saya agak terkejut juga mendengar khabar bahawa rakan seperjuangan kami, mn suzien sudah berpulang pada Mac lalu.Saya baru tahu hari ini melalui Nassir, yang mendapat maklumat itu daripada sdr Radik. Saya baru tahu beliau telah meninggal. MN Suzien penyanyi lagu-lagu bajau itu, dan pencipta liriknya juga merupakan seorang pencinta seni dan bahasa yang komited. Nama sebenarnya Sunjin Haji Samsudin dan pernah bertugas sebagai pegawai penjara.
SWsaya mengenalinya cukup lama itu sejak mula terlibat dalam pengumpulan data bahasa sukuan sejak 1988. Arwah Sunjin yang mempunyai banyak kisah lucu, suka membuat kami tertawa. Selain itu dalam memerikan sesuatu, beliau sering membawa banyak alat bantu untuk menjelaskan deskripsi sesuatu benda.
Semoga rohnya dicucuri rahmat, dan segala amal baktinya diterima dan dibderi ampunan oleh Allah SWT.

Kaisin dan Pukudita Power

Tags
Encik Kaisin sanggup masuk ke hutan untuk mencarikan pukudita untuk kami lihat.Pukudita atau nama saintifiknya rahmnaceae banyak khasiatnya.
"Yang naik boleh diturunkan, yang turun boleh dinaikkan," katanya mengulangi atau mungkin membetulkan penjelasannya kelmarin.
Katanya orang yang menghidap darah tinggi boleh menurunkan kadar gulanya selepas meminum pukudita sebaliknya orang yang mempunyai tekanan darah rendah boleh menstabilkannya.
Secara tradisional pukudita sangat berkesan untuk menambah kesihatan badan,sakit sakit pinggang,melancarkan aliran darah,mengubati dugal atau gastrik,mengurangkan tekanan darah tinggi, memulihkan sistem peranakan selepas bersalin,awet muda, melegakan migrain,mengawal kencing manis dan kolesterol dan menguatkan tenaga batin.
Kandungan pukudita power, minuman khas produk walai tokou homestay milik encik Kaisin ialah 80 peratus pukudita,dan 20 peratus halia madu.
"Minum dua kali sehari, pagi dan petang," katanya.
Kalau berminat katanya, sila hubungi Encik Kaisin 0198328680 atau walai tokou homestay 088-888166.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Kisah Sinisian dan pakudita

Tags
Sinisian maksudnya disambar petir,kata Encik Kaisin ketika kami bertanya mengenai asal usul kampung ini.
Kampung Sinisian Kundasang yang terkenal di seluruh negara kerana industri inap desanya, satu ketika dahulu adalah hutan tempat orang selalu berburu.
Satu ketika, hutan yang dipenuhi mergasatwa itu terbakar disambar petir.
Sekumpulan pemburu yang ingin memburu kehairanan juga melihat bagaimana pokok pokok kayu terbakar meskipun waktu hujan.
"Sinisian," kata mereka.Sejak itulah kampung ini dipanggil Sinisian, yang ertinya disambar petir.Pokok kayu yang banyak terbakar itu ialah kayu tongou.Sampai sekarang masih terdapat tunggul kayu tongou bekas terbakar itu.
Selang beberapa lama setelah kawasan itu hangus terbakar disambar petir,tumbuhlah pokok-pokok lain menggantikan hutan yang telah terbakar itu.
Pokok yang banyak sekali tumbuh ialah pokok pakudita.
Lama kelamaan pokok pakudita itu meninggi.
Ketika itu di sini terdapat puluhan monyet betina. Apa yang menghairankan ialah kesemua monyet itu bunting padahal tak kelihatan monyet jantan.
Setelah diselidiki rupanya ada seekor monyet jantan di tengah-tengah kumpulan monyet betina itu.
Anehnya,bagaimana seekor monyet boleh menghamilkan banyak monyet betina?
Kerana tidak berpuas hati, mereka mengamati dan memerhati perlakuan monyet jantan itu.
Monyet jantan itu rupanya suka memakan buah pakudita.
Mungkin buah pakudita berkhasiat, fikir mereka. Tetapi oleh kerana pokok pakudita agak tinggi maka sukarlah mereka memetik buahnya.
Bagaimanapun, mereka tidak kehabisan akal. Oleh kerana tidak mendapat buah, mereka mengambil akar pakudita.
Ternyata akar pakudita itu berkhasiat.
"Yang turun akan naik, yang naik tak pandai turun," kata Encik Kaisin mengenai khasiat pakudita itu.

Jumaat, 27 Ogos 2010

menatap puncak Kinabalu dari Sinisian

Tags



puncak kinabalu yang tadinya tersembunyi di balik awan tiba-tiba menampakkan wajahnya selepas hujan turun petang tadi.
Indah sekali pemandangannya.Menakjubkan.
Kami segera menangkap gambar gambar.Kami tidak mahu terlepas detik detik ketika kami diberi peluang oleh Yang Maha Esa melihat pemandangan indah itu.
Ada rakan-rakan yang datang dari jauh semata-mata untuk melihat puncak gunung itu, pulang begitu saja tanpa melihat puncak Kinabalu kerana sang awan menutupinya.
Keindahan gunung itu sukar dilukiskan, dan saya tidak mempunyai banyak perbendaharaan kata untuk menggambarkan bagaimana indahnya gunung itu, tatkala kita melihat puncaknya yang gagah dan air terjun yang mengalir dicelah-celahnya.
Saya terpaku.Terharu. Entah berapa banyak keindahan yang diberikan Tuhan kepada kita tetapi kita terlupa menghargainya.

Wah, di seberang bukit sana, kelihatan garis-garis pelangi. Cantik sekali. Tapi waktu berbuka puasa hampir tiba dan kami segera duduk untuk memesan makanan.

Di Walai Tokou Homestay ini, walaupun sederhana tetapi ia menyuguhkan pakej penginapan yang hampir lengkap. Industri inap desa di kampung ini begitu terkenal dan nama Kampung Sinisian Kundasang tidak asing lagi bagi pengamal industri inap desa di seluruh negara.

Terdapat lebih 16 buah homestay di kampung Sinisian yang boleh memuatkan kira-kira 80 orang pada satu-satu masa.

Kali ini kami memilih di Walai Tokou milik Encik Kaisin dan Puan Noraini, yang terletak berdekatan jalan besar dan restoran.

Malam terasa dingin dan angin yang bertiup membuatkan tubuh sedikit menggigil.Walaupun tak sedingin dahulu, angin malam di Sinisian terasa lain hembusannya.

Sidang pengumpulan dan pengesahan bahasa sukuan kali ini adalah yang terakhir tahun ini. Kali ini, walau dengan rasa terpaksa, saya seorang diri menjadi wakil untuk cuba mengangkat martabat bahasa dan bangsa Iranun supaya ia menjadi bahasa yang penting di tanahair kita. Sambil itu, saya bercadang untuk menulis mengenai perjuangan penyelidik bahasa sukuan ini untuk mengangkat bahasa ibunda mereka ke peringkat yang lebih luas lagi khalayaknya.

Saya kehabisan kredit sementara tak ada kedai menjual kad reload.Saya terpaksa menunggu esok untuk mengisikan semula telefon saya. Itulah sebabnya mengapa saya tak dapat menjawab sms yang masuk.

Selepas sesi pada sebelah malam berakhir, kami minum di beranda rumah sambil menikmati malam di Sinisian. Sempat makan beberapa biji buah manggis yang dibeli Sdr.Abd.Nassir.

Buah manggis mengingatkan saya kepada sajak seorang penyajak yang katanya buah manggis tidak pernah berbohong, kerana sebagaimana ia diluar, begitulah juga ia di dalam.

malam di sinisian

Tags
titik titik hujan berjatuhan di atap.

catatan sewaktu balik kampung

Tags
malam senyap.sunyi sekali suasana di kampung tetapi menyenangkan. Damai.Jauh dari hiruk pikuk dan kesibukan kota, saya mulai menemukan saat saat yang telah lama menghilang.

pulang agak tergesa dari KK petang tadi, kami sampai di kampung kira-kira jam 7.00 malam. Berbuka puasa di tengah jalan, kami sempat menyaksikan matahari tenggelam berpindah ke dalam waktu.

Sejak arwah bapa berpulang, saya jarang dapat pulang kampung. Saya diterjah pelbagai kesibukan dan sambil menghibur hibur diri yang kehilangan, saya mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi menghilangkan kepedihan.

Pemergian bapa memang tidak disangka. Sewaktu beliau dipanggil kembali itu, saya sedang berpergian ke luar negara. Tak sempat melihat saat-saat akhir kepulangannya.Tak sempat menghantarkan beliau ke tempat istirahatnya.

Sabtu ini, hari yang ke empat puluh beliau dikebumikan dan dalam tradisi masyarakat kami,kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan. Tapi saya ketika itu terpaksa menghadiri satu persidangan penting untuk mewakili masyarakat saya dalam Sidang kosa kata bahasa sukuan di walai Tokou Kundasang pada tarikh yang telah persetujui sebelumnya tanpa menyedari kenduri ke-40 arwah ayahanda saya.

Saya yakin kalau bapa masih ada,beliau tentu berbangga terhadap perjuangan kami memartabatkan bahasa dan budaya bangsa. Tiga hari sebelum beliau dipanggil menghadap Ilahi, beliau masih menyempatkan diri membaca berita yang saya tulis mengenai kubu paduka Mat Salleh yang terbiar di Inanam. Itu yang selalu membuat saya terharu, betapa beliau itu sering bangga terhadap usaha kami. Hidup biar berjasa, itu pesannya selalu.Berkhidmat kepada sesama.

Malam semakin sunyi. saya menemankan ibu bercerita-cerita sambil beliau membuat kuih dan memasak untuk sahur.

Rabu, 25 Ogos 2010

Bercerita tentang novel Andrea Hirata dan Kang Abik

Tags

Saya kagum dengan cara mereka menjual buku.

Selepas makan di Restoran Garuda Jakarta, di Jalan Sabang, para penjual buku keliling itu menghampiri kami sambil menyodorkan buku buku terbitan terkini.

Saya membeli dua buku, satu novel dwilogi Andrea Hirata, Padang Bulan dan Cinta Dalam Gelas dan novel terbaru Habiburrahman Eli-Shirazy bertajuk Bumi Cinta.

Dua novel Andrea itu dicetak dalam satu buku dengan teknik yang membuat kita merasa betapa majunya dunia perbukuan di Indonesia.

2. Andrea Hirata menulis dwilogi novel, Padang Bulan dan Cinta dalam Gelas. Sangat menarik. Novel Padang Bulan saya habiskan sewaktu dalam perjalanan antara Jakarta-Bandung dan Jogjakarta manakala novel Cinta Dalam Gelas, saya habiskan sewaktu balik dari Jawa. Buku-buku itu sangat mengesankan kerana penulisnya pintar mengadun cerita dengan latar budaya Melayu Belitung yang pekat, dengan segala rencahnya. Juga kepandaian pengarang menulis mengenai dunia catur yang membuat kita terbuai dengan ceritanya dari awal hingga akhir.

Novel Bumi Cinta karya Habiburrahman El Shirazy juga mengasyikkan. Ceritanya mengenai Muhammad Ayyas yang membuat penyelidikan di Moskva untuk peringkat sarjana. Di Moscow beliau menghadapi cubaan yang luar biasa, tinggal satu rumah dengan Yelena, pelacur kelas atasan dan Linor yang merupakan ejen Israel. Melalui watak-watak yang dibinanya, kita berasa seolah-olah pernah bertemu dengan Dr.Anastasia, Devid, Imam Sadulayev, Pak Joko dalam kehidupan kita.

Cerita novel ini memang menarik. Saya membacanya penuh minat sehingga habis apatahlagi ia diselingi dengan banyak dialog yang mencerahkan pemahaman kita. Habiburrahman, pengarang yang juga dai ini berupaya membangun jiwa kita melalui novel yang ditulisnya.

Sabtu, 21 Ogos 2010

Tentang dua pertemuan di Jogja

Tags

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Lies Soca sudah menunggu ketika kami tiba di Malioboro Inn selepas menonton Sendratari Ramayana di Candi Prambanan.
Dia agak terkejut juga ketika saya memberitahu bahawa ketika itu-5 Ogos 2010-kami sedang berada di Jogja untuk satu misi lawatan yang diaturkan KJRI Kota Kinabalu.
"Mari kita cari warung kopi," saya mengajak mbak Lies dan Aan (Anningtyas) menyusuri Jalan Sosrowijayan. Meskipun jam 10.00 malam di Jogja tetapi masih terasa nadi kota itu terus berdenyut.
Kedai kedai sepanjang jalan dipenuhi pelancong Eropah. "Ramai sekali orang bule ya". Disana mereka menyebut orang putih dengan orang bule.
Akhirnya kami menemui warung kopi. Kami sengaja duduk di sudut kedai supaya kami dapat bercerita panjang mengenai kegiatan seni di kota kesenian itu.
Lies, 27,seniman Jogja itu aktif di teater. Ketika itu, Lies sedang aktif menjalani latihan monolog di Sanggar Bagong. Selain teater, Lies juga menulis puisi dan kini sedang cuba menulis cerpen. Sementara Aan, 31, kini kembali semula bergiat di teater. Kepada mereka, saya ceritakan sedikit sedikit mengenai perkembangan sastera di Kota Kinabalu. Saya membayangkan kemungkinan-kemungkinan untuk mengadakan kerjasama antara seniman Jogja dengan penggiat sastera di Sabah untuk mengadakan semacam program pementasan puisi atau monolog di Kota Kinabalu. Jogja memang terkenal sebagai kota para seniman, budayawan dan sasterawan Indonesia. Saya teringat Umar Kayam, seorang budayawan dan cerpenis yang banyak saya baca cerpennya. Emha Ainun Najib, Darmanto Jt, Linus Suryadi AG, Nirwan Dewanto, manakala yang lebih muda Saut Situmorang,Raudhal Tanjung Banua,Asma Nadia,Ndika Mahrendra, dan ramai lagi.
Saya teringat juga penyanyi Ebiet G.Ade yang mula menyanyi di Jogja.
Pertemuan itu terasa akrab. Percakapan kami meloncat dari satu ke satu topik. Dari kegiatan teater, filem ke dunia buku. Kebetulan Aan sedang membaca novel Padang Bulan dan Cinta dalam Gelas karya Andrea Hirata. Saya juga membeli buku itu di Jalan Sabang Jakarta.
"Datanglah ke Sabah, buat pementasan di sana," saya berkata kepada Lies dan Aan sebelum kami berpisah pada malam itu. Semoga kedatangan mereka kelak dapat memperluaskan cakrawala kesenimanan mereka dan hubungan seniman Malaysia dan Indonesia dapat diperkukuhkan lagi.
*************************************************************
Saya terharu dengan kesanggupan Kirana Kejora, seniman dari Jakarta yang ketika itu sedang berada di Surabaya untuk datang ke Jogja. Lulusan Cumlaude Fakulti Perikanan Universiti Brawijaya itu, entah mengapa terjun dalam dunia sastera dan kini sudah menghasilkan empat buku iaitu Kepak Elang Merangkai Eidelwies, Selingkuh, Perempuan & Daun dan yang paling banyak mendapat sorotan novelnya Elang.
Kami memilih untuk berjalan kaki menyusuri Jalan Malioboro untuk menikmati kopi arang di Angkringan Kopi Joss sambil lesehan.Lesehan bermakna duduk di bawah.
"Pakcik! Pakcik!, " tiba tiba saya terdengar suara memanggil saya. Bagi mereka panggilan pakcik itu ditujukan kepada orang dari Malaysia.Rupanya Lies dan Aan baru pulang dari Taman Budaya dan terserempak dengan kami.
Saya memperkenalkan mereka kepada Kirana dan kami sempat merakamkan gambar di pinggir jalan itu sambil Kirana menghadiahkan empat bukunya kepada saya. Lies dan Aan tidak turut serta minum di Angkringan itu kerana mereka sedang dalam perjalanan pulang.
"Ini betul-betul salah satu keunikan Jogja," saya berkata sambil duduk bersila di pinggiran jalan sambil minum kopi, yang dikatakan bercampur dengan arang.
"Kalau menjelang pagi, banyak seniman Jogja datang ke sini," kata Dian Mardiana. Dian kini sedang menyiapkan lagu untuk dinyanyikan dan saya sempat mendengarnya. Sangat puitis dan menyentuh. Saya yakin Dian mampu pergi jauh dalam dunia nyanyian
"Bang, Abidah El Khaliky penulis Perempuan Berkalung Sorban itu tidak dapat datang," kata Kirana yang mesra dipanggil Key. Pada mulanya, ramai teman-teman dari Jogja ingin serta dalam pertemuan itu. Saut Sitomurang juga tak dapat dihubungi.
"Aku lebih nyaman disebut penulis, bukan sasterawati. Besar di Surabaya, Jawa Timur, mulai produktif dan kreatif, setelah berbagai badai dahsyat mendera dalam perjalanan hidup di saat berkepala tiga. Beberapa artikel tentang kisah sejati, psikologi anak orangtua, kesihatan, hukum, kehidupan metropolis belia Surabaya, dan cerpen dewasa banyak termuat di beberapa media cetak selain aktif menulis skenario serial Jawa Pos TV di tahun berkepala 2000," katanya.
Katanya, beliau baru `benar-benar menulis dengan sungguh-sungguh' sesudah usianya memasuki tiga puluhan.
Sebelum ini, tulisan-tulisannya hanya tertuang dalam buku harian sejak usianya 9 tahun yang masih tersimpan di Sidoarjo.
"Belajar dengan guru alam, kerana orang tua sama sekali tak menginginkan anaknya jadi penulis, sasterawan, atau semua pekerjaan yang berbau seni. Menjadi seniman adalah sebuah pekerjaan tanpa hasil materi, tak jelas, tak punya masa depan, buang-buang energi, itu kata beliau dulu.", katanya.
Sehingga akhirnya Kirana memilih sesuatu yang bukan pilihannya tetapi pilihan orang tuanya iaitu menjadi insinyur perikanan yang lulus cumlaude dari Universitas Brawijaya Malang.
"Seni menulis adalah ubat jiwa yang telah menghidupkan jasadku yang mau mati, Katanya.
"Setelah menulis jadi darah daging, maka aku bisa hidup dari menulis. Dari buku dan skenario-skenario filemku.
"Bagiku puisi, cerpen, novel dan skenario film adalah sebuah lingkaran seni tulis yang saling menghidupi.
"Puisi bisa jadi cerpen, cerpen bisa jadi novel, dan novel bisa jadi sebuah film. Begitupun sebaliknya. Ibarat asal muasal telur dan ayam, mana yang lahir terlebih dahulu di muka bumi ini?
Kirana Kejora lahir di Ngawi, tahun 1972. Beliau pernah Peneliti Sosial Ekonomi Perikanan Universiti Brawijaya, Staf Pengajar SMK Perikanan Dipasena Citra, Darmaja Lampung,Staf Ahli Sosial Ekonomi projek Management Monitoring Consultant JBIC-DPK di Sulawesi Tenggara,Staf Pengajar pada Univ. Hang Tuah Surabaya , Wartawan tabloid Infotainment Fenomena, wartawan freelance Delta Pos dan Supremasi Hukum, Sekretaris Direktur PT. Intrada Buana Makmur dan kini Kirana menjadi penulis sepenuh masa.
Beliau pernah mewakili Indonesia sebagai Pemakalah dan Pemuisi untuk Seminar Wajah Kepengarangan Muslimah Nusantara 2009 di Kuala Lumpur.
Selain itu, Kirana juga aktif menulis skenario film Kos X (lapan episod di Jawa Pos Tv), Embong Malam (Jawa Pos TV) manakala dia Astro TV, antaranya Kabut Hati, Selma, Lilin Kecil, Selamat Jalan Kekasih, Malam Pertama, Anak Jalanan, Kidung, Kala Cinta Menggoda, Cinta,Surya, Menunggumu, Marlina, Merpati Putih, Call Us Jayus, Cinta Kembar, Musik Noni, Kidung Cinta Sejati, Kembalikan Cintaku, Beri Aku Waktu, Warnet Cinta, Cintaku Saat Maghrib Tiba, Ketika Ku Bersujud, Ustadzku Sayang, Saat Tuhan Memberi Dia Cinta, Kemana Ku Akan Pergi, Kalau Jodoh Tak Lari Kemana, Pagi Sayang, Sahabatku Sayangku, FTV “Lelaki Penjaga Kereta” di Metro TV manakala untuk filem layar lebar,Ketika Cinta Memilih, Hidup Itu Beautiful, Munajat Cinta Sang Gibran, Hasduk Berpola.
Minum kopi dengan lesehan di Angkringan Kopi Joss agaknya sudah menjadi sinonim dengan Jogja. Kopi arang, yang memang dicampurkan dengan arang, terasa nikmatnya. Apatah lagi, Kirana sempat membeli pisang goreng dan kami merasa persahabatan sesama seniman terasa lebih akrab dan murni. Malam sudah larut ketika kami melintasi jalan keretapi tidak jauh dari tempat itu.








Khamis, 19 Ogos 2010

Krebet, pusat kerajinan batik kayu di Jogja

Tags

PAGI bergerak agak cepat pada hari itu di Jogja. Cuaca amat baik sekalipun di langit tetap tergantung awan. Sebelum Jumaat, kami bergegas ke Krebet, sebuah desa yang menjadi pusat kraftangan batik kayu yang terletak kira-kira 12 km ke arah barat daya kota Jogjakarta.
Dusun Krebet yang terletak di Desa Sendangsari, Kecamatan Pajangan, Kabupaten Bantul merupakan sebuah kampung yang tenang dan damai. Sejenak kelihatan seperti tidak ada yang istimewa di Krebet, tetapi dari tempat itulah, seluruh kraftangan batik kayu Jogjakarta yang begitu terkenal di Indonesia dikeluarkan.
Di Krebet, kami singgah di Sanggar Peni. Di sana, kami bertemu dengan pemilik pusat kraftangan batik kayu itu, Pak Kemiskidi. Berbagai produk kraftangan batik kayu seperti topeng, almari, aksesori rumah, patung haiwan, gantungan kunci dan sebagainya boleh didapati di Sanggar itu dengan harga yang murah.
Kunjungan kami pada hari itu, walaupun singkat tetapi tetap memberikan pengalaman yang menarik. Pak Kemiskidi menceritakan serba sedikit mengenai kewujudan Sanggar Peni, yang merupakan salah satu daripada pusat pengeluar kraftangan batik kayu yang terkenal di Indonesia.
Krebet merupakan sebuah desa pergunungan dengan keluasan sekitat 104 hektar.Penduduknya hanya sekitar 800 orang. Ia merupakan salah satu daripada 73 pusat atau sentra Industri Kecil Kerajinan Kayu Batik yang terdapat di Kabupaten Bantul.
Berbagai produk yang dihasilkan di Krebet memiliki corak yang spesifik dan ciri khas tersendiri. Kraftangan atau kerajinan kayu dalam berbagai jenis binatang dalam ukuran kecil, topeng, wayang dan lain-lain sentuhan seni pada proses finishing akhir yang dilukis dengan corak batik.
Selain Sanggar Peni, terdapat 37 unit usaha di Krebet dengan jumlah pekerja seramai 220 orang. Sanggar Peni sendiri mempunyai kira-kira 30 pekerja yang mahir mengukir kayu sehingga menjadikan Sanggar Peni menjadi salah satu pusat kraftangan kayu yang terkenal di Jogja.
Menurut Profil Sentra industri kecil di Kabupaten Bantul yang diterbitkan Dinas Perindustrian Perdagangan dan Koperasi Kabupaten Bantul , sebanyak 20 peratus hasil produk batik kayu dijual di Jakarta, Bali, Surabaya, Nusa Tenggara Barat, Batam, Semarang dan Kalimantan manakala 80 peratus dijual di pasaran luar negara seperti Perancis, Kanada, Australia, Jepun, Belanda, Malaysia dan Singapura.
"Banyak hasil kraftangan kayu yang dijual di kota-kota besar di Indonesia, berasal dari Jogjakarta. Sedangkan produk kraftangan kayu itu sebenarnya dihasilkan oleh usahawan kraftangan dari Kabupaten Bantul. Salah satu pengeluar kraftangan batik kayu yang begitu terkenal ialah Desa Krebet," kata Dra.Maria Supriyanti, dari Dinas Perindustrian, Perdagangan, Koperasi dan UKM Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta.
"Kerana kraftangan ini merupakan kayu batik, maka bahan yang selalu menjadi bahan utama adalah kayu", kata Pak Kemiskidi. Pada umumnya semua jenis kayu dapat digunakan namun ada satu jenis kayu yang tidak dapat digunakan sebagai bahan dasar iaiyu kayu pinus.
Jenis kayu yang paling sering digunakan dalam kerajinan kayu sengon dan kayu mahoni.Selain kayu, tentu saja ada bahan lain , katanya.
Menceritakan urutan pembuatan kayu batik, Kemiskidi berkata, kayu yang telah dipotong diukir sesuai bentuk dan pola yang diinginkan,kayu yang telah selesai diukir kemudian dihaluskan dengan menghilangkan serabut-serabut kayunya sehingga tidak merosak batik.
"Setelah kayu menjadi halus,kayu memasuki tahap pembatikan. Tahap berikutnya adalah proses pewarnaan total dengan memberikan warna kayun yang sudah selesai dibatik" katanya.
"Pada tahap terakhir, kayu yang telah diberi warna dilorot dan dikeringkan," katanya. "Setelah kayu benar-benar kering, kayu batik siap untuk dijual, katanya.
Selain industri kecil batik kayu di Krebet Pajangan, Kabupaten Bantul juga terkenal kerana menjadi pusat Industri Kecil Kerajinan Gerabah (pasu) di Kasongan Bangunjiwo Kasihan, , Pusat Industri Kecil Kerajinan Batik Tulis di Wukirsiri Imogiri, Batik Tulis Cap di Wijirejo Pandak dan , Pusat Industri Kecil Kulit Manding Sabdoadi, Kerajinan Tatah Sungging di Wukirsiri Imogiri, Industri Kecil Mebel (perabut) di Bawuran Pleret, dan Industri Kecil Kerajinan Bambu di Dlingo.
Sesungguhnya usaha pembuatan batik kayu di Krebet mampu meningkatkan sumber ekonomi penduduknya. Pak Kemiskidi telah membawa kami melihat proses pembuatan batik kayu dari peringkat awal hingga proses akhir. Bermula dari proses memotong kayu, mengukir sesuai pola yang dikehendaki sehingga proses membatik, mewarna dan seterusnya dikeringkan.Semua ini memberi pengalaman yang sangat berharga buat kami.
Berkat kerajinan dan usaha yang dibuat oleh Kemiskidi, beliau telah dianugerahkan Anugerah Museum Rekod Dunia Indonesia pada tahun 2007 sebagai 'Penyelenggara Pendukung Topeng Panji Batik Kayu Terbesar' di Indonesia.
Selepas melawat Krebet, Kami terus ke Kasongan sebelum kereta meluncur laju ke Candi Borobudur bagi memberikan kesempatan kepada kami melihat salah satu daripada tujuh keajaiban dunia itu.

Malam terakhir di Jogja

Tags



Pada malam terakhir kami di Jogja (6/8), Komunitas PR (Public Relation) yang terdiri daripada pengusaha hotel, agen pelancongan, wartawan dan Lembaga Pelancongan di kota itu telah mengadakan majlis jamuan makan malam untuk meraikan kami.
Kami dikalungkan bunga, seolah kami tamu yang dihormati dan diistimewakan.Dijamu makanan asli Jogja dan sebagainya.
Terima kasih sebesar-besarnya kepada mereka, yang turut bersama membantu menjalin kerjasama dan silaturrahim dan Kota Kinabalu dan Jogja sekaligus mempromosi kota Jogja sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di Indonesia.
Agak menarik juga kerana mereka ingin tahu banyak mengenai Kota Kinabalu dan Gunung Kinabalu dan Sabah secara amnya. Bagaimana Kinibalu? Begitu mereka menyebut Kinabalu. Mereka berhasrat untuk memperkukuh kerjasama antara kedua kota.

Pertemuan dengan Pak Tazbir

Tags

Pak Tazbir, Kepala Dinas Pariwisata Daerah Istimewa Yogyakarta gembira sekali menyambut kedatangan kami.Beliau menjelaskan betapa Kota Yogyakarta sebagai daerah istimewa sentiasa mempertahankan keunikan budaya yang dimiliki yang didukung oleh masyarakatnya yang ramah.

"Dengan demikian, para wisatawan yang berkunjung ke Jogja akan merasa betah dan akan kembali lagi ke Jogja," katanya.
Beliau juga menyarankan agar agensi pelancongan di Sabah dapat berkunjung ke Jogja untuk melihat potensi pelancongan di Jogja. Selain itu, beliau juga mencadangkan agar kerjasama antara Sabah dan Yogyakarta dapat dipertingkatkan. "Jika ada direct flight KK-Jogja mungkin akan lebih baik dalam membantu mempromosi pelancongan di kedua belah pihak," katanya.

Sewaktu kami dalam perjalanan ke Borobudur, Bapak Tazbir juga `belanja makan' di sebuah restoran dengan makanan Jawa dengan suasana Jawa, sambil dihiburkan gamelan.

Pada sebelah malam, sebelum kami nonton Senderatari Ramayana kami senpat singgah di restoran miliknya, dan kami dijamu makan makanan Aceh kerana kebetulan beliau berasal dari Aceh.

Kraton Yogya miliki kedudukan istimewa

Tags










GAMELAN sedang dimainkan ketika kami tiba di halaman Kraton Yogyakarta. Kraton Yogyakarta yang terletak di pusat kota Jogja terus menerima pengunjung bukan saja dari Indonesia malah dari seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia.
Kami duduk di bangku yang disediakan untuk mendengar muzik gamelan itu. Saya cuba menghayatinya tetapi imaginasi saya melayang jauh ke masa silam.
Kraton Yogyakarta atau sering disebut dengan nama lengkap Kraton Ngayogyakarta Hadiningrat dibina pada tahun 1756 oleh Sri Sultan Hamengku Buwono 1 di Wilayah Hutan Baringan. Istilah Yogyakarta berasal dari kata Yogya yang bererti baik dan Karta yang bererti Makmur. Ada juga yang mengatakan ia berasala dari perkataan Ayu+Bagya+karta sehingga menjadi Ngayogyakarta.
Kraton Yogyakarta memiliki kedudukan yang sangat penting dalam kebudayaan Jawa. Kraton bukan saja merupakan tempat tinggal raja dan ratu Yogyakarta, malah ia memiliki erti filosofis yang sangat bermakna jika dipandang dari kacamata budaya Jawa.
Tidak kurang 25,000 orang `abdi dalem' tinggal dalam kraton seluas 14,000 meter persegi itu. Kompleks kraton yang luas itu turut menempatkan istana sultan, galeri, pusat kerajinan batik, sekolah, masjid dan sebagainya.
Ia merupakan salah satu destinasi wajib bagi para pelancong untuk berkunjung ke Kraton malah kunjungan mereka ke Yogakarta dirasakan tidak lengkap jika mereka tidak berkunjung ke Kraton.
Menurut sejarahnya, Yogyakarta yang dibangun oleh Pangeran Mangkubumi pada tahun 1755 dimana ia telah mendirikan Kraton Yogyakarta , kerana beliau telah berselisih mengenai pembahagian wilayah dengan saudara lakilakinya Susuhunan Surakarta. Beliau kemudian mengangkat dirinya sebagai Sultan dengan gelar Hamengkubuwono yang bererti `alam semesta berada di pangkuan raja'.
Bagi orang Jawa, Yogya merupakan simbol perlawanan mereka terhadap penjajah. Perang Jawa yang dipimpin Pangeran Diponegoro menentang Belanda yang berlaku pada tahun 1825-1830, berlangsung di sekitar Yogyakarta.
Pada masa revolusi kemerdekaan, Yogyakarta menjadi pusat perlawanan terhadap kolonial dan bahkan sempat menjadi ibukota Indonesia dari tahun 1946-1949 apabila Jakarta diduduki semula oleh Belanda.
Sebahagian wilayah kraton itu kemudian diubah menjadi Universitas Gajah Mada yang dibuka pada tahun 1946. Ketika Belanda menduduki kota Yogya pada tahun 1948, Sri Sultan Hamengkubowono IX melakukan perlawanan dengan caranya sendiri iaitu mengurun diri dalam Kraton menolak bertemu dengan penguasa Belanda.
"Tuan-tuan boleh berbuat apa saja di Kraton saya kerana tuan-tuan bersenjata," katanya kepada penguasa Belanda. "Sedang saya hanyalah manusia biasa yang tidak bersenjata, tetapi sebelum tuan-tuan berbuat, tuan-tuan harus membunuh saya lebih dahulu".
Keberanian Sultan itu meniupkan semangat pejuang kemerdekaan. Walaupun begitu, namun diam-diam ia tetap menerima para pejuang kemerdekaan di kratonnya dan menjadi penghubung antara Yogya dan para pejuang yang melakukan perang gerila di luar kota.
Belanda tidak berani bertindak terhadap sultan kerana takutkan kemarahan rakyat. Sri Sultan juga membenarkan para pejuang Indonesia menggunakan kraton sebagai markas perjuangan. Apabila Indonesia merdeka, Yogyakarta dianugerahkan status Daerah Istimewa dan Sri Sultan menjadi Gubernur sejak tahun 1945-1988. Beliau juga pernah menjadi Wakil Presiden Indonesia pada tahun 1973-1978 bagi mendampingi Presiden Suharto. Beliau meninggal dunia dalam bulan Oktober 1988 dan dianugerahkan dengan gelar Pahlawan Nasional pada tahun 1990.
Beliau telah digantikan oleh Pangeran Mangkubumi iaitu putera tertua dari 16 anak laki-laki dan dilantik sebagai Sultan Hamengkubowono X dengan perayaan yang sangat meriah.
Sepanjang lawatan kami ke Kraton itu, kami dibawa menyaksikan pelbagai galeri, pameran batik, dan bangunan-bangunan yang terdapat dalam kraton itu.
"Walaupun saya telah mengenyam pendidikan barat yang sebenarnya namun pertama-tama saya adalah dan tetap orang Jawa,". Sultan Hamengkubowono 1X menegaskan walaupun beliau menerima pendidikan barat, beliau tidak pernah melupakan hakikat bahawa pertama-tamanya adalah orang Jawa dan tetap menjadi orang Jawa.
Kata-kata ini seolah ditujukan untuk semua orang. Bahawasanya setinggi mana pun pendidikan kita, kita tidak harus lupa jati diri dan asal muasal kita.
Sesungguhnya kunjungan ke Kraton Yogyakarta bukan saja membolehkan kita menyelami sejarah peristiwa masa silam melalui artifak yang ditinggalkan tetapi ia turut memberi peluang kepada kita melihat dan mengenali kebudayaan Jawa. Bahkan lebih jauh dari itu, ia membawa kita mengenali erti kebudayaan itu sendiri.

Kunjungan ke Kantor Pak Didiek

Tags
Banyak perkara yang membuat kami selalu ingat pada Pak Didiek Eko Pujianto. Selama beberapa tahun bertugas Konsul di KJRI Kota Kinabalu, pak Didiek seorang yang mesra dan mempunyai hubungan yang baik dengan para wartawan. Kami juga dapat menghubunginya dengan mudah untuk mendapatkan informasi atau klarifikasi mengenai isu-isu berkaitan pekerja Indonesia di Sabah.

Kadang-kadang beliau menjamu media sebagai menghargai sumbangan mereka dalam memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia.
Kepada Pak Didiek saya juga tak segansegan minta majalah Gatra atau Majalah Tempo, kalau saya ke kantornya untuk wawancara, misalnya.

Jadi sewaktu kami berkunjung ke Kementerian Luar Indonesia, baru-baru ini, kami menyempatkan diri untuk mencari Pak Didiek yang telah kembali ke Jakarta kira-kira setahun yang lalu. Beliau kini bertugas mengurus pasport untuk diplomat atau pegawai kerajaan yang bertugas di luar negeri. Setiap hari tidak kurang 300 pasport harus diuruskannya dan kesibukannya juga luar biasa.
Di tengah-tengak kesibukannya itu, kami mengadakan kunjungan silaturrahim ke kantornya.

Kelihatan dalam gambar ini, saya dan Kamarudin Liusin, rakan wartawan dari New Sabah Times, bergambar kenang-kenangan bersama Pak Didiek.



Berenang bersama ikan di Seaworld Indonesia

Tags







MULANYA kami enggan untuk memasuki Seaworld Indonesia itu. Apa istimewanya ikan-ikan dan hidupan laut di Seaworld berbanding dengan ikan yang ada di Kota Kinabalu? Tetapi apa salahnya `masuk ke dalam laut' kerana kami sudahpun berada di gerbang pintu.
Namun alangkah takjubnya melihat ikan-ikan berenang, ikan pelbagai jenis dan spesies. Banyak jenis ikan yang tidak pernah saya lihat sebelumnya ada dalam `alam laut' Indonesia itu.
Agak lama juga saya menatap ikan piranha. Tidak pernah sebelumnya saya melihat ikan piranha secara dekat. Piranha dikatakan sejenis ikan yang sensitif dan sentiasa tertarik dengan bau darah. Ia terkenal sebagai ikan buas yang ditakuti. Dengan giginya yang kuat dan tajam, sekelompok ikan piranha dapat melahap seekor kambing dalam beberapa minit.
Selepas melihat ikan piranha itu, perhatian saya beralih kepada ikan-ikan yang hidup di celah batu karang. Kemudian tanpa saya sedari, saya seolah berada dalam laut yang luas, memesrai segala hidupan laut, mengakrabi penyu dan ikan-ikan lain pelbagai warna, pelbagai tingkah.
Memang ada rasa sedikit gentar melihat kawanan ikan jerung. Ada yang sedang berenang ke sana kemari mencari mangsanya. Ada yang barangkali kerana keletihan, kelihatan seperti sedang berehat.
Saya seolah olah ikut berenang menjelajahi isi lautan ciptaan itu.
Tiba-tiba saya melihat ikan belut. Saya mendekatinya untuk melihat kehidupannya dari dekat. Saya melihat ia memasuki celah celah karang sebelum menyembulkan kepalanya.
Entah apa pula nama ikan penuh warna dibadannya. Bintik-bintik yang membuatnya kelihatan cantik.
Saya terpegun dan memandang agak lama melihat bagaimana ikan itu bergerak, bernafas dan berkomunikasi.
Tidak lama kemudian saya dikejutkan ikan pari yang besar, yang berenang tepat di kepala saya. Andaikan dinding pameran ini pecah, sudah tentu saya akan dilibas ekor ikan pari ini.
Saya melihat banyak juga ikan kerapu. Berbagai jenis dan warna. Namun saya tak dapat membezakan spesisnya.
Eh, dimana sang penyu ini akan bertelur. Tak ada pantai yang kelihatan untuk mendarat. Dari dekat, hanya dipisahkan dinding kaca, saya melihat penyu, sang penjelajah lautan malah menjadi mitos di pelbagai negara.
Ikan besar dan kecil, dari berbagai jenis terus berenang-renang mencari kehidupan dalam lautan. Rekabentuk di dalamnya membuatkan ikan ikan dan hidupan laut yang lain merasa hidup dalam habitat mereka masing-masing.
Kami sempat juga melihat pelbagai spesimen ikan purba,ikan yang hidup di zaman dinosaur di laut di sekitar nusantara.
Kunjungan ke Seaworld Indonesia yang terletak di Taman Impian Jaya Ancol, Jakarta amatlah bermakna. Ia memberikan pengalaman yang sukar dilupakan, yang membuatkan kita seolah-olah berenang bersama ikan-ikan di tengah lautan dengan melihat khazanah yang sukar dilukiskan.

Kunjungan di Jalan palasari, Bandung

Tags
Di Bandung, kami ke Jalan Palasari untuk menemui pengurus PHRI, pak Herman Muchtar (empat dari kanan) dan Ketua ASITA, Hilwan Shaleh (kiri sekali)
Kami juga bertemu Pak Deden (kanan sekali), salah seorang orang kuat `Bandung Week'.

Dalam pertemuan itu, mereka menyatakan bahawa Bandung sebagai ibu kota Jawa Barat sudah lama dikenali oleh masyarakat Malaysia sehingga para pelancong malaysia yang berkunjung ke Bandung, bukan sekadar untuk membeli belah tetapi juga untuk mengunjungi destinasi pelancongan seperti Tangkuban Perahu dan Ciater.
"Bandung dilengkapi dengan sarana dan prasarana yang memadai untuk wisata asing seperti hotel yang lengkap dan nyamana, shopping centers dan tempat-tempat makan yang enak dengan harga yang berpatutan.
Mereka juga menyambut baikusaha untuk mengeratkan hubungan antara pengusaha pelancongan di Jawa Barat dan Sabah iaitu dengan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain.
Selain itu mereka berharap kerajaan akan mengadakan penerbangan terus antara Kota Kinabalu dan Bandung.

Isnin, 16 Ogos 2010

Cemas kehilangan pasport di Jakarta

Tags
mengingati kejadian itu, sekarang barulah saya berasa cemas.
Bagaimana tidak sewaktu berada di negara orang, jauh dari tanahair, saya kehilangan pasport.
Mulanya saya yakin pasport itu saya tinggalkan di bilik hotel. Sebaik naik kereta yang membawa kami ke Taman Mini Indonesia Indah dan Taman Impian Jaya Ancol, saya telah memeriksa beg saya dan pasport itu, saya fikir tertinggal di kamar hotel.
Seharian kami berkeliling Jakarta dan hanya balik ketika hari sudah lewat petang.
Saya terus ke bilik hotel untuk memastikan dimana saya telah meletakkan pasport. Rakan sebilik, Sdr Kamarudin yang turut risau meminta saya mengeluarkan isi beg saya. Tak ada. Beliau yakin kalau pasport itu tertinggal di kamar hotel pasti tak akan hilang.
Saya memeriksa beg saya berkali-kali namun hasilnya tetap nihil dan saya tidak menjumpainya.
Ketika itu saya teringat arwah ayah saya dan saya yakin dengan petua yang diberikannya. Tak kan apa-apa, yang penting yakin tak kan apa-apa. Serahkan semuanya kepada Yang Maha Kuasa.Kalau hilang pun, paling-paling terpaksa melapor di Kedutaan Malaysia di Jalan Kuningan.
Saya turun ke kaunter untuk menanyakan kalau kalau mereka terjumpa pasport saya, yang mungkin tercicir di hotel. Semua menggeleng kepala. saya ingat kali terakhir saya berada di restoran hotel itu ialah ketika sarapan pagi tetapi kini sudah petang. Kalau terjatuh, pasti dijumpai oleh orang-orang yang mengemaskan meja.
Saya tidak berputus asa. Saya kelihatan tenang walaupun hati gundah gulana. Saya teringat tempat duduk saya ketika sarapan pagi itu. Saya menuju ke sana dan melihat pasport saya tergeletak di bawah meja. Mujur tak ada sesiapa yang melihatnya.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Bersama Tan Sri Simon Sipaun

Tags
Saya memiliki beberapa kenangan bersama Tan Sri Simon Sipaun, mantan pesuruhjaya Suhakam dan Naib Pengerusi Suhakam Malaysia.
Banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau.Komitmennya yang luar biasa terhadap hak asasi manusia, terhadap orang-orang kecil di pedalaman sana, terhadap siapa saja yang merasa tertindas, siapa saja yang merasa diperlakukan secara tidak manusiawi.
Bahkan kerana komitmennya yang tinggi itu, dan perhatiannya terhadap orang-orang bawah, saya kemudian tidak melepaskan peluang untuk membuat liputan mengenai aktiviti memperjuangkan hak hak asasi manusia melalui Suhakam.
Kini beliau telah bersara.Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar bersama beliau ketika Tan Sri Simon diraikan di pejabat Suhakam.
Selain Prof.Datuk Dr.Hamdan Adnan dan Jasmih Slamat (setiausaha Suhakam Sabah), Siva Subramaniam, Tan Sri Simon merupakan personaliti yang patut dicontohi perjuangannya yang tak habis habisnya membela orang-orang kecil dan dinafikan hak asasi mereka sebagai manusia.

Rabu, 11 Ogos 2010

Lebih mudah di Jogja berbanding Bandung atau Jakarta

Tags
kami menginap di Golden Boutique Hotel, di Jalan Angkasa sewaktu di kota Jakarta awal bulan ini. Hotelnya agak bagus juga, mungkin empat bintang. Kerana hotel penuh, kami ditempatkan di tingkat 9.Sayangnya tingkat 9 tidak mempunyai kemudahan internet. Kemudahan internet hanya bagi orang yang menginap di tingkat 11,12 dan 15. Jadi kami terpaksa ke lobi hotel untuk membuka atau menghantar emel dengan bayaran rupiah 20,000 untuk minima dua jam.
Esoknya kami dipindahkan ke tingkat 11 dengan fasilitas hotel yang lebih baik.

2. Tetapi di Hotel Guci Bandung, di Jalan Pasir Kaliki itu, kemudahan wifi hanya boleh diakses di lobi hotel. Tak perlu membayar. Dengan password yang diberikan hotel, pengguna boleh melayari internet, walaupun terus terang saja, agak slow dan sukar akses.

3. Pengalaman di Jogjakarta, agak berbeza. Kami menginap di Malioboro Inn, satu kawasan hot spot.Kemudahan wi fi boleh diakses dengan mudah dan percuma.Dimana-mana di Kota Jogja itu, agak mudah menggunakan kemudahan wi fi, malah menurut kawan saya, di Borobudur juga, ada wireless network.

4.Kalau di jakarta, kami terpaksa membayar untuk akses internet, di jogja malah semuanya boleh diakses dengan mudah dan percuma.

Isnin, 9 Ogos 2010

Catatan sekembalinya dari Jogja

Tags
Dalam perjalanan pulang dari Pontianak, ibu kota Kalimantan Barat itu, hati saya memang kurang tenteram. Sebaik berhenti makan di sebuah restoran minang, di kabupaten sanggau, saya menerima sms dari Amir, adik saya yang mengkhabarkan ayah sudah tiada.
Saya cuba menahan diri untuk kelihatan kuat. Kami masih berada jauh dari Entikong, iaitu sempadan Sarawak dan Kalimantan. .Saya hanya sempat menjawab beberapa sms sebelum kehabisan kredit.

Waktu itu sudah kira-kira jam 3 petang dan saya melihat sms itu dikirimkan jam 4.51 pagi 18 Julai itu.
"Bapa sudah kembali ke rahmatullah sebentar tadi" 18 Julai 2010, 04:51:59 am
Begitu bunyi mesejnya.
Ayahanda kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang tenang. Walaupun saya tidak berada di sisinya, saya tahu ayah saya sudah bersedia kerana beliau selalu memperingatkan kami bahawa kita yang hidup ini tunangnya mati. Jikalau sampai waktunya, maka kita akan menuju alam yang lebih abadi.
Ayah yang merupakan idola kami menghadap Tuhannya pada usianya yang ke-75.

ii. Saya tidak sempat menghadiri majlis pengkebumiannya. Pada ketika itu saya masih berada di Wilayah Kalimantan, di satu tempat yang bernama Sanggau.

iii.Hanya selepas tiba di Kuching saya dapat menghubungi keluarga di kampung.Kemudian telefon bertubi tubi masuk menanyakan dimana saya berada. Hanya pada hari esoknya kami-saya dan isteri dapat pulang menggunakan pesawat Air Asia.

iv. Memang terngiang-ngiang juga kata bapa di telinga saya ketika kami bercakap buat kali yang terakhir melalui telefon.Saya tidaklah menyangka bahawa itulah kali terakhir kami bercakap dan beliau menanyakan apakah saya tahu dan telah diberitahu bahawa beliau sakit kerana dia khuatir saya akan marahkan adik-adik kalau tidak diberitahu. Beliau juga menelefon saya menanyakan apakah saya dapat balik kampung kerana ada mesyuarat beramai-ramai untuk merobohkan bahagian dapur rumah kami pada hari Ahad itu kerana akan ada keramaian, katanya, dimana ramai orang akan berkumpul.
Rupanya keramaian yang dimaksudkannya itu ialah hari dimana beliau dipanggil menghadap Tuhannya.

v. Saya sempat pulang ke Tawau sebelum menyambung tugas lagi ke luar negara. Kali ini saya terpilih untuk mengikuti rombongan wartawan Sabah ke Jakarta, Bandung dan Jogjakarta yang difasilitas Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. Kami melawat Indonesia untuk melihat perkembangan industri kecil dan sederhana (IKS), kraftangan dan hubungan ekonomi dua hala serta tempat-tempat pariwisata di negara itu.

vi. Bagaimanapun sepanjang seminggu berada di negara itu, saya dihinggapi demam dan kurang sihat. Suhu badan tidak menentu manakala saya dihinggapi batuk juga. Mujurlah saya masih tetap kuat dan kelihatan `steady' sepanjang program itu, walaupun batuk rasanya agak mengganggu. Walaupun dihidangkan pelbagai jenis makanan, saya dapat juga mencicipinya sedikit-sedikit walaupun saya kurang berselera.Kadang muntah kerana kurang sihat.

viii. Banyak catatan yang tertangguh. Saya seperti kehilangan kata untuk menulis blog. Sekembalinya dari Jogja, saya cuba untuk membereskan sedikit demi sedikit catatan-catatan yang banyak tertangguh itu. Saya minta maaf sebesar-besarnya kepada semua pengikut blog dan pengunjung blog saya. Hari ini saya kembali menulis!

Ahad, 8 Ogos 2010

Menyaksikan keajaiban dunia di Borobudur

Tags


MENYAKSIKAN KEAJAIBAN DUNIA DI BOROBUDUR
ENTAH berapa kali saya telah menyaksikan keajaiban dalam hidup ini. Mungkin tidak terkira jumlahnya. Tetapi peluang untuk menyaksikan salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, tidak mungkin dilepaskan. Apatahlagi, itulah pertama kali saya melihat dengan mata kepala sendiri keajaiban Candi Borobudur.
"Jika selama ini saya hanya melihat Candi Borobudur melalui buku buku sekolah atau risalah pelancongan, kali ini Candi Borobudur tersergam di depan mata, " saya memberitahu Arnanto, pegawai KJRI yang mengiringi lawatan kami. Beliau kebetulan berasal dari Jogja dan tersangat arif dengan Candi Borobudur.
Ketika kecil, Arnanto sering mengikuti ayahnya yang juga merupakan seorang pegawai Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia yang bertugas memugar Candi Borobudur sekitar tahun 1973-1984 dahulu.
Dalam tempoh itu, Kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Suharto dengan kerjasama UNESCO telah menghabiskan dana sebanyak USD23 juta untuk memugar Candi Borobudur dan mengembalikan ke bentuk aslinya.
Candi Borobudur didirikan pada tahun 750-850 masihi oleh Dinasti Syailendra. Candi itu pernah terkubur kerana tertimbus oleh tanah akibat letupan gunung Merapi, gunung berapi yang masih aktif. Candi kemudian ditemukan dan digali semula oleh Gubernur Jenderal Sir Thomas Stamford Raffles pada tahun 1812 ketika ia memerintah Jawa. Ia kemudian diteruskan oleh Cornelius pada tahun 1814 dengan dibantu 200 orang dan membaiki Candi selama dua bulan.
Pada tahun 1834, Residen Kedu telah membersihkan kawasan Candi Borobudur. Usaha ini kemudian diteruskan oleh Theodore Van Erp sekitar tahun 1907-1911.
Candi Borobudur adalah monumen terbesar agama Buddha yang menjadi salah satu daripada tujuh keajaiban dunia. Ia terletak di Magelang iaiitu kira-kira 42 km dari Jogja. Nama Borobudur dikatakan berasal dari perkataan `Vihara Buddha Uhr' yang bermaksud Buddhist Monastery On The Hill.
Hingga kini, masih menjadi misteri bagaimana caranya dinasti Syailendra mengangkut sekian banyak batu dan kemudian mengukirnya menjadi Candi Borobudur. Diperlukan sekitar 60,000 m3 batu berbagai ukuran untuk membangun candi yang dibina sekitar abad ke-8.
Candi Borobudur memiliki ketinggian 42 meter dan mempunyai 10 tingkatan atau teras. Tiga tingkat teratas berbentuk lingkaran dimana patung stupa Buddha ditempatkan di atasnya sedangkan tujuh tingkatan di bawahnya berbentuk segi empat dimana relief dari perjalanan hidup Buddha Gautama diukir pada dinding-dining Candi.
"Kita mesti sampai ke atasnya," kata Arnanto yang telah ratusan kali mendaki Borobudur itu. Kami, anggota rombongan wartawan dari Sabah, Nur Adika Bujang dan Avilia Samuel, Konsul Muda, Asrarudin Salam mendaki Candi Borobudur dan sempat melihat keindahan di sekitarnya.
Kami mengamati satu persatu ukiran di dinding candi. Ada ukiran binatang, burung merpati (yang menunjukkan bahawa burung sudah wujud sejak berkurun-kurun waktu yang lalu) juga pokok beringin.
Banyak cerita menarik mengenai keajaiban candi itu. Kononnya ada yang cuba untuk memasukkan kepala ke celah-celah candi, tetapi kemudian berasa sukar untuk mengeluarkannnya. Begitu juga ada orang yang cuba memasukkan tangan untuk menyentuh tangan patung Buddha tetapi tidak kesampaian dan berbagai bagai cerita lagi.
Lawatan ke Candi Borobudur itu amat mengesankan. Ini menunjukkan bahawa peradaban manusia di Nusantara lebih tinggi berbanding tamadun di belahan dunia yang lain. Saya mengamati setiap relief di candi itu. Terdapat ramai juga pengunjung dan pelancong yang berkunjung untuk melawat salah satu rapak warisan dunia. Pelancong asing dikenakan USD15 berbanding dengan pengunjung tempatan yang hanya dikenakan kira-kira 10,000 rupiah.
Tanpa ke Candi Borobudur, lawatan ke Yogyakarta atau Jogja tidak akan terasa lengkap. Borobudur merupakan salah satu tempat yang mesti dikunjungi jika melancong ke tanah Jawa.






Pertemuan di Gedung Sate

Tags
Tanpa disangka, Menteri Koperasi dan UKM RI, Bapak Dr.Syarief Hasan setuju menemui kami di Kantor Gubernur Jawa Barat sebelum beliau merasmikan ekspo dan pameran di Gedung Sate.
Sehari sebelumnya, kami dijadual untuk bertemu dengannya di Jakarta tetapi kerana sesuatu tugas penting, beliau hanya mewakilkan deputi menteri, Ir Agus Muharram.
Dalam wawancara itu, Dr.Syarief menceritakan mengenai sumbangan Usaha Kecil Menengah (UKM) dalam perekonomian Indonesia.
"Sektor UKM dan koperasi berkontribusi terhadap penyediaan lapangan kerja sebesar lebih 97 peratus dari total employment di Indonesia.Dari sisi pertumbuhan ekonomi nasional, sektor UKM menyumbang antara 50 hingga 60 peratus. Beliau berharap hubunngan ekonomi antara Indonesia dan Malaysia khasnya Sabah dapat ditingkatkan di masa depan.Turut serta dalam pertemuan itu ialah Gubernur Jawa Barat.





Mengenali Indonesia di Jakarta

Tags
"Pagi ini kita ke Taman Mini Indonesia Indah," kata Mas Arnanto. Kami merasa gembira kerana berpeluang melawat taman wisata yang terkenal itu. Meskipun sudah beberapa kali ke Jakarta, tetapi kami tidak pernah ke TMII kerana kesuntukan waktu. Bahawa pada kali ini, kami dibawa untuk berkunjung ke Taman Mini Indonesia Indah (TMII), ia merupakan satu peluang yang tidak mungkin dilepaskan.
Hari itu, hari pertama kami berada di Jakarta. Kami mencuri waktu untuk mengunjungi TMII , taman seluas 100 hektar yang menempatkan hampir seluruh aspek kebudayaan Indonesia.
Ketika kami tiba, pengunjung dari seluruh pelusuk Indonesia berpusu-pusu untuk melihat taman yang mulai dibangun pada tahun 1971 dan diilhamkan oleh Ibu Tien Suharto. Projek bernilai USD26 juta itu dibuka pada 1975 dan memiliki koleksi rumah adat yang mewakili hampir seluruh provinsi di Indonesia dan setiap rumah adat mempamerkan kraftangan, pakaian tradisi dan barang-barang lainnya yang mewakili kebudayaan daerah masing-masing.
Di tengah-tengah taman terdapat tasik besar di mana pengunjung dapat mendayung sepeda air mengelilingi pulau-pulau buatan yang menggambarkan peta Indonesia. Selain itu, pengunjung juga dapat mengelilingi taman dengan menggunakan kereta gantung (skylift) atau kereta monorel. Taman itu juga dilengkapi dengan berbagai muzium, restoran, kebun orkid dan taman burung yang berada di dalam kurungan yang sangat besar.
Selepas mengelilingi TMII dengan kereta yang dipandu Pak Ilham, kami meninggalkan taman itu untuk mengunjungi Taman Impian Jaya Ancol.
Kebetulan hari itu, hari minggu. Taman Impian Jaya Ancol adalah taman rekreasi paling terkenal di Jakarta. Terletak di pinggir Teluk Jakarta, antara Sunda Kelapa di barat dan Tanjung Priok di Timur, Taman Impian Jaya Ancol merupakan taman rekreasi yang luas dan memiliki pelbagai prasarana permainan, kesenian dan hiburan malam yang beroperasi nyaris tanpa henti. Di sini terdapat pelbagai fasiliti termasuk hotel, kelab malam, teater dan sebagainya.
"Mari naik gondola". Kami tidak menolak ajakan Arnanto, pegawai pengiring kami dari KJRI Kota Kinabalu itu untuk menaiki kereta skylift. Dengan menaiki gondola, kami melihat pemandangan pantai Ancol. Sesungguhnya, Ancol menyediakan pelbagai kemudahan untuk berekreasi mulai dari anak-anak hingga dewasa, siang atau malam hari
Ancol mulai dibangun pada tahun 1962 diatas tanah tebus guna. Ancol menjadi pusat rekreasi bagi keluarga, bukan saja yang datang dari Jakarta tetapi juga dari seluruh Indonesia untuk menikmati berbagai daya tarikan yang tersedia. Salah satu daya tarikan yang popular, khususnya di kalangan anak-anak ialah Dunia Fantasi. Terdapat berbagai alat permainan mulai dari yang santai hingga yang menegangkan urat saraf.
Sebagai kawasan pelancongan, Taman Impian Jaya Ancol ternyata sudah berdiri sejak abad ke-17. Waktu itu, Gubernur Jenderal Hindia Belanda, Adriaan Valckenier, memiliki rumah peristirahatan sangat indah di tepi pantai. Seiring perjalanan waktu, kawasan itu kemudian berkembang menjadi tempat wisata.
Sayangnya, ketika Perang Dunia II meletus disusul perang kemerdekaan, Ancol terlupakan. Bagaimanapun Presiden Soekarno. berhasrat untuk membangun kawasan itu sebagai tempat pelancongan. Pada Disember 1965, Bung Karno mengarahkan Gubernur DKI Jaya waktu itu, dr. Soemarno untuk melaksanakan pembangunan projek Taman Impian Jaya Ancol.
Proyek pembangunan ini baru terlaksana di bawah pimpinan Ali Sadikin yang ketika itu menjadi Gubernur Jakarta. Pembangunan Ancol dilaksanakan oleh PD Pembangunan Jaya di bawah pimpinan Ir. Ciputra.
Kini, Taman Impian Jaya Ancol yang berdiri pada kawasan seluas 552 hektar, telah menjadi tempat pelancongan dan rekreasi permainan terbesar dan terlengkap di Indonesia.
Antara objek pelancongan di Ancol ialah Dunia Fantasi,Gelanggang Samudra Atlantis Water Adventure - gelanggang renang terbesar di Ancol,Pasar Seni ,Seaworld Indonesia, Marina , Pantai Carnaval,Pantai Festival ,Taman Pantai ,Hailai Mercure,Padang Golf Ancol ,Kereta Gantung Gondola ,Ice World ,Pulau Bidadari , hotel dan sebagainya.
Sesungguhnya, Kunjungan ke Taman Mini Indonesia Indah (TMII) dan Taman Impian Jaya Ancol mampu memperkayakan pengalaman dan mampu merubah persepsi kita tentang Jakarta. Jakarta bukan sekadar ibu kota Indonesia tetapi memiliki koleksi `mini Indonesia' yang terlengkap di Taman Mini Indonesia Indah selain mempunyai taman rekreasi terbesar dan terlengkap di Indonesia.