Friday, August 27, 2010

menatap puncak Kinabalu dari Sinisian




puncak kinabalu yang tadinya tersembunyi di balik awan tiba-tiba menampakkan wajahnya selepas hujan turun petang tadi.
Indah sekali pemandangannya.Menakjubkan.
Kami segera menangkap gambar gambar.Kami tidak mahu terlepas detik detik ketika kami diberi peluang oleh Yang Maha Esa melihat pemandangan indah itu.
Ada rakan-rakan yang datang dari jauh semata-mata untuk melihat puncak gunung itu, pulang begitu saja tanpa melihat puncak Kinabalu kerana sang awan menutupinya.
Keindahan gunung itu sukar dilukiskan, dan saya tidak mempunyai banyak perbendaharaan kata untuk menggambarkan bagaimana indahnya gunung itu, tatkala kita melihat puncaknya yang gagah dan air terjun yang mengalir dicelah-celahnya.
Saya terpaku.Terharu. Entah berapa banyak keindahan yang diberikan Tuhan kepada kita tetapi kita terlupa menghargainya.

Wah, di seberang bukit sana, kelihatan garis-garis pelangi. Cantik sekali. Tapi waktu berbuka puasa hampir tiba dan kami segera duduk untuk memesan makanan.

Di Walai Tokou Homestay ini, walaupun sederhana tetapi ia menyuguhkan pakej penginapan yang hampir lengkap. Industri inap desa di kampung ini begitu terkenal dan nama Kampung Sinisian Kundasang tidak asing lagi bagi pengamal industri inap desa di seluruh negara.

Terdapat lebih 16 buah homestay di kampung Sinisian yang boleh memuatkan kira-kira 80 orang pada satu-satu masa.

Kali ini kami memilih di Walai Tokou milik Encik Kaisin dan Puan Noraini, yang terletak berdekatan jalan besar dan restoran.

Malam terasa dingin dan angin yang bertiup membuatkan tubuh sedikit menggigil.Walaupun tak sedingin dahulu, angin malam di Sinisian terasa lain hembusannya.

Sidang pengumpulan dan pengesahan bahasa sukuan kali ini adalah yang terakhir tahun ini. Kali ini, walau dengan rasa terpaksa, saya seorang diri menjadi wakil untuk cuba mengangkat martabat bahasa dan bangsa Iranun supaya ia menjadi bahasa yang penting di tanahair kita. Sambil itu, saya bercadang untuk menulis mengenai perjuangan penyelidik bahasa sukuan ini untuk mengangkat bahasa ibunda mereka ke peringkat yang lebih luas lagi khalayaknya.

Saya kehabisan kredit sementara tak ada kedai menjual kad reload.Saya terpaksa menunggu esok untuk mengisikan semula telefon saya. Itulah sebabnya mengapa saya tak dapat menjawab sms yang masuk.

Selepas sesi pada sebelah malam berakhir, kami minum di beranda rumah sambil menikmati malam di Sinisian. Sempat makan beberapa biji buah manggis yang dibeli Sdr.Abd.Nassir.

Buah manggis mengingatkan saya kepada sajak seorang penyajak yang katanya buah manggis tidak pernah berbohong, kerana sebagaimana ia diluar, begitulah juga ia di dalam.

No comments: