Selasa, 31 Ogos 2010

Pakcik Laham rasa kecewa

Tags

Saya sedang membelek-belek buku, ketika pakcik Laham Kahar menelefon saya untuk menyampaikan kesedihannya.
Beliau berasa kecewa dan sedih pada pagi 31 Ogos itu.
Kenapa pakcik?
Nanti kita jumpa.Tunggu saya di KK jam 11.30 pagi.
Sudah lama juga saya tidak bertemu dengannya. Tapi kali ini pakcik Laham menelefon untuk menyampaikan kekecewaannya. Kecewa kerana apa? saya belum tahu.
Selepas berpakaian, saya bergegas ke Kota Kinabalu untuk menemui beliau. Mudah-mudahan saya dapat membantu beliau keluar dari masalah yang membuatkan beliau kecewa itu.
Saya melambaikan tangan sebaik melihatnya. Beliau tersenyum. Pakcik Laham, walaupun sudah berusia 69 tahun tapi masih kuat berjalan.
Apa cerita pakcik? saya mengambil kerusi dan duduk disebelahnya.
"Pakcik rasa sedih kerana dari tempat tinggal pakcik di Suang Parai hingga sampai ke api-api, pakcik lihat tidak ramai yang mengibarkan bendera," katanya.
Kalau dulu awal-awal lagi orang sudah mengibarkan bendera, katanya. Saya teringat beliau seorang bekas polis yang tentunya sangat cintakan negara.
Katanya, berapa sajalah harga sehelai bendera? Bukan mahal sangat untuk kita tunjukkan rasa cinta kepada negara.
Hari itu 31 Ogos, ialah sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-53.