Ahad, 26 September 2010

tiga buku tulisan tiga wartawan

Tags
Sepanjang bulan lalu, saya sempat membaca tiga buku yang dihasilkan oleh tiga penulis yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan. Ketiga-tiga buku yang saya baca itu ialah Memoir Anak Sisa Peperangan karya R.M Jasni, Salarom karya Emin Madi dan buku Sepasang Kasut dan Selipar Jepun di Bumi Abu Sayyaf hasil tulisan Jackson Sawatan.
Buku Memoir Anak Sisa Peperangan yang ditulis oleh Datuk RM Jasni merupakan riwayat hidup, bermula sejak zaman kanak-kanaknya di Sandakan ketika Perang Dunia Kedua dengan segala penderitaan yang dialaminya sehingga terdampar di Kuala Tongod. Selepas perang beliau bersama ibunya kembali ke Keningau.
RM Jasni menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1952 dan menamatkan pengajian pada 1954 dan terus berkhidmat sebagai guru selama lima tahun di beberapa buah sekolah rendah kerajaan.
Pada tahun 1960-1962, RM Jasni bertugas di bahagian Bahasa Melayu, Jabatan Penyiaran Sabah sebagai Penerbit, Penyiar Berita, Majalah Radio dan Sastera. Kemudian pada 1963-1964, beliau bertugas di Jabatan Pembangunan Koperasi sebagai pegawai pertama Pembangunan Koperasi bagi kawasan Pedalaman.
Pada tahun 1967, beliau telah mengikuti Kursus Intensif Bahasa Inggeris di Language Institute, Victoria Universitym Welilington New Zealand diikuti Kursus Sains Politik dengan pengkhususan bidang pentadbiran kerajaan tempatan daan kepimpinan di bawah Rancangan Colombo.
Pada tahun 1972-1974, RM Jasni terlibat dalam pembentukan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri dan merangka dasar kebudayaan negeri di peringkat awal penubuhannya.
RM Jasni menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah pada 1975 dan dilantik menjadi Setiausaha Politik Kementerian Kerajaan Tempatan manakala pada 1982-1989, RM Jasni dilantik sebagai Senator selama dua penggal. Buku memoir Anak Sisa Peperangan itu merupakan sebuah buku yang patut dibaca oleh generasi muda kita.
Sementara itu, Emin Madi melalui novel Salarom bercerita mengenai seorang mantan wartawan yang tiba-tiba memutuskan untuk berhenti kerja dan pulang ke daerah asalnyaa. Novel yang memenangi Hadiah Utama Sayembara Mengarang Sempena Sambutan 50 tahun Merdeka anjuran DBP pada tahun 2007 mengisahkan perjuangan warga Salarom mempertahankan tanah dan kampung halaman mereka daripada kerakusaan pembangkang.
Emin yang menjadikan angan-angannya untuk menjadi penulis sebagai satu realiti berkata bahawa beliau tidak menafikan bahawa pengalaman bidang kewartawanan banyak membantunya terutama dari segi disiplin menulis, khususnya penulisan yang bercorak penyelidikan.
Salarom berkisar pada kehidupan unik masyarakat kaum Murut di kampung Salarom, sebuah desa terpencil di daerah pedalaman Pensiangan, Keningau. Emin pernah memberitahu saya bahawa beliau mendapat ilham menulis novel itu setelah berpeluang berkunjung ke perkampungan terpencil itu, iaitu setelah menyertai satu rombongan pegawai pelajaran Pedalaman Keningau yang membuat lawatan ke kampung itu beberapa tahun lalu.
“Saya bukan sahaja terpikat dengan suasana dan keindahan alam semulajadi di persekitarannya, tetapi juga dengan cara hidup masyarakat Murut yang ‘tahan lasak’,” kata beliau yang sangat meminati novel-novel karya pengarang antarabangsa seperti Harper Lee, Paolo Coelho, Haruki Murakami, Khalid Hosseini dan Jeffrey Archer.
Menurut Emin, Salarom cuba menyelami budaya hidup masyarakat kaum Murut di kampung tersebut yang masih kaya dengan adat resam.Salarom ‘bergolak’ selepas kunjungan seorang Wakil Rakyat yang mengumumkan rancangan Kerajaan untuk memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru.
Pada waktu yang sama kehadiran dua orang pelawat luar, seorang wartawan dari Kuala Lumpur dan seorang pelancong warga Jepun, menguatkan lagi konflik dan drama penceritaan novel setebal lebih 334 muka surat itu.Selain itu, Salarom juga cuba mengetengahkan ‘mesej-mesej’ tertentu mengenai isu-isu tertentu termasuklah soal sejarah, budaya dan alam
Buku ketiga yang menarik perhatian saya ialah Sepasang Kasut dan Selipar Jepun di Bumi Abu Sayyaf hasil tulisan Jackson Sawatan. Jackson yang kini bertugas sebagai wartawan kanan di Bernama Kuala Lumpur, menghasilkan buku ini berdasarkan pengalamannya ketika membuat liputan kes penculikan tebusan Sipadan pada tahun 2000.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Tingkalanon Tandek, merupakan graduan awal Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya. Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan beliau telah melawat Taipei, Sulawesi, Mindanao, Stockholm, Monaco dan Tokyo. Pengalamannya ketika bertugas di Pulau Jolo itu, dan bertemu dengan gerombolan Abu Sayyaf merupakan satu episod yang mencabar. Tidak ramai wartawan Malaysia yang memiliki pengalaman seperti yang dimiliki oleh Jackson Sawatan dan saya fikir, buku Sepasang kasut dan Selipar Jepun yang turut memenangi Hadiah dalam Peraduan Menulis Biografi anjuran DBP Sabah merupakan sebuah buku yang patut dimiliki dan dibaca oleh mereka yang sukakan pengembaraan dan cabaran.

mustahil tanam padi, yang tumbuh lalang,kata Nandra

Tags

MUSTAHIL kita tanam padi, yang tumbuh lalang. Berbekal keyakinan itu, aktivis teater, Nandra Hitong memberanikan diri untuk mengadakan Kelas Teater Arena Pedalaman di Keningau bermula 2 Oktober nanti. Kelas teater itu terbuka kepada belia beliawanis yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang teater dan diadakan secara intensif selama tiga bulan.
Di kalangan seniman, Nandra yang lebih dikenali sebagai Nandrayanatirow memiliki keistimewaan tersendiri. Sejak menceburkan diri dalam bidang teater sejak akhir 1970-an, Nandra terus komited memajukan dalam dunia yang diceburinya. Beliau tanpa mengenal penat lelah terus mencungkil bakat dan membimbing anak-anak teater untuk terus maju melangkah.
Kelas Teater Arena Pedalaman itu akan dibimbing para profesional dalam bidang teater. Selain praktikal, peserta juga akan dibimbing dalam bidang teori. Nandra berharap kelas teater itu mampu menghasilkan pelakon-pelakon teater manakala sijil yang dikeluarkan nanti mendapat pengiktirafan daripada agensi-agensi berkaitan.
Nandra memilih daerah pedalaman untuk memulakan kelas teaternya kerana golongan belianya mempunyai minat yang tinggi untuk menceburi dunia teater dan lakonan.
"Lagipun disana saya berasa lebih dihargai berbanding di daerah sendiri," katanya. Malahan nereka sanggup mengeluarkan duit untuk biaya kursus atau seminar semata-mata untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
Berbanding dengan daerah lain, termasuk daerah kelahirannya Kota Belud, ibu bapa kadang agak berkira dan kurang bersedia membayar yuran yang tinggi walaupun kursus dan bengkel yang diadakan dapat membantu membina keperibadian dan sahsiah anak-anak mereka.
Kelas Teater Arena Pendalaman, walaupun belum memdapat bantuan yang mencukupi namun akan tetap diteruskan juga demi anak-anak bangsa yang berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang teater. "Kita terpaksa buat macam `traktor tiada lampu' yang bermaksud main redah saja tanpa pedulikan halangan.
Sebelum ini Nandra telah berjaya mementaskan teater Menambalang, yang mendapat sambutan menggalakkan di daerah itu. Apa yang uniknya Menambalang turut menampikan ketua kampung sebagai salah seorang pelakon dalam teater itu.
Katanya, Kelas Teater kali ini yang dilaksanakan selama tiga bulan dengan bayaran sebanyak RM80 seorang, iaitu yuran agak murah. Mereka yang berminat boleh menghubungi Nandra melalui telefon 0198096892 dan Noraini Abdullah melalui telefon 0138692313.

sambil mendengar Sumandak Kinabalu

Tags

Kami duduk di coffee house sambil mendengar lagu Sumandak Kinabalu yang dipopularkan Clarice J. Matha. Bagi sesiapa yang pernah mendengar lagu itu, mereka pastinya terhibur dan terpesona dengan ciri-ciri sumandak atau gadis Kinabalu yang halus budinya dan cantik rupanya. Di tengah-tengah alunan muzik itu, rakan saya, seorang mantan YB bertanya apakah Kinabalu masih merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara?.
Pertanyaan itu membuat saya berfikir. Apakah ada gunung lain yang sedang tumbuh menandingi ketinggian gunung Kinabalu?. Jika tidak mengapa pertanyaan itu dilontarkan kepada saya. Mengapa gunung Kinabalu diragui ketinggiannya sedangkan sepanjang pengetahuan saya, tiada puncak lain di Nusantara melebihi ketinggian gunung Kinabalu.
Mungkin saya salah dengar. Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah sejak zaman berzaman itu, sudah menjadi legenda dalam hidup mereka sehingga melahirkan mitos-mitos tertentu. Kinabalu tetap gagah dihormati dan menjadi simbol kebanggaan, kehormatan dan kegemilangan negeri ini. Gunung Kinabalu diabadikan pada lencana, logo, buku, lagu, dan sebagainya.
Sambil bercanda, seorang pemimpin veteran pernah berkata sanggup membuat pembedahan untuk memasukkan Kinabalu di dadanya. Betapa pentingnya Kinabalu sehingga ia tertanam di hati setiap warga Sabah, dan menjadi kebanggaan mereka. Banyak pencipta lagu mengabadikan Kinabalu dalam lagu-lagu mereka, mungkin sudah berpuluh-puluh jumlahnya . Dalam syair dan puisi-puisi,mungkin banyak lagi karya yang mengabdikan keindahan dan keteguhan Kinabalu.
Kalau ketinggian Kinabalu menurun? Apa yang kita dapat beritahu rakyat?. Saya yang bangun setiap pagi dan sering membuka jendela yang menghadap gunung Kinabalu merasa tidak ada yang berubah. Ketinggian gunung Kinabalu tetap sama. Tetapi rakan saya itu, menghujah bahawa ketinggian Kinabalu semakin menurun kerana kekuatan dasarnya semakin rapuh dan tidak kukuh lagi.
Jika dahulu, negeri kita adalah yang terkaya, kini ia tidak lagi semakmur dahulu. Masih terdapat rakyat yang tinggal di bawah paras kemiskinan terutamanya di luar bandar. Katanya, masih terdapat rakyat mengaduh derita kerana belum menikmati kemudahan air paip bersih sehingga kini. Malahan penduduk kampung di Kota Belud mengadu dihinggapi penyakit kulit kerana terpaksa menggunakan air graviti yang tidak dirawat.
Masalah bekalan air paip ini juga dihadapi di daerah-daerah lain. Khabarnya, seorang Timbalan Menteri Kerajaan Pusat berang dengan sikap pegawai dan jabatan kerajaan yang tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Kuala Penyu dan Menumbok sungguhpun peruntukan sebanyak RM30 juta telah disalurkan oleh kerajaan.
Penduduk kampung terpaksa memasak menggunakan air telaga iaitu sama dengan keadaan negeri sebelum merdeka. Ada pula yang terpaksa memasak air mineral untuk bekalan minuman sehingga ada diantaranya sakit perut. Masalah bekalan air sebenarnya semakin kritikal dan perlukan perhatian segera kerana rakyat sudah lama menunggu agar permasalahan mereka ini menemui jalan penyelesaian.
Sementara itu, kadar pengangguran semakin tinggi di kalangan belia malahan di kalangan lepasan ijazah juga masih terdapat ramai yang tidak mempunyai kerja. Beliau mendakwa peluang pekerjaan juga semakin sedikit kerana ekonomi bergerak agak lembab. Saya keberatan untuk bersetuju dengan kenyataan itu tetapi kerana tidak ada data yang tepat untuk mengukurnya, saya hanya diam mendengarnya.
Masih banyak kemudahan pendidikan seperti sekolah yang pelu diperbaiki. Banyak sekolah menengah masih menumpang di sekolah rendah dan banyak lagi permasalahan pendidikan yang perlu diatasi. Kemudahan asas luar bandar termasuk pembinaan jalan raya, bekalan air bersih dan tenaga elektrik di luar bandar perlu diberikan keutamaan dalam Bajet 2011 akan datang.
Kita berharap, perhatian khas yang diberikan Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan barisan kabinetnya terhadap keperluan dan permasalahan rakyat Sabah sedikit sebanyak mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk terus memberikan sokongan jitu kepada kerajaan.
Kerajaan Negeri dibawah Kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman juga mampu membawa pembangunan yang lebih banyak untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini. Bagaimanapun, kerajaan perlu mengambil langkah untuk memastikan program-program kerajaan mencapai matlamat dan sasaran manakala projek-projek yang dilaksanakan memberikan manfaat kepada rakyat seluruhnya.
Sebenarnya banyak perkara yang kami bahaskan pada malam itu. Saya juga menanyakan kewajaran pemilihan Tan Sri Ghani Gilong sebagai salah seorang tokoh yang diberi anugerah sempena Hari Malaysia. Rakan saya mempertahankan pemilihan tokoh dengan menyatakan bahawa Ghani Gilong memang merupakan seorang tokoh sangat berjasa ke arah pembentukan Malaysia selain Tun Datu Mustapha, Tun Fuad, Khoo Siak Siew dan sebagainya.
"Tanpa pengaruh Ghani Gilong, pembentukan Malaysia pada 1963, mungkin menghadapi kendala yang besar," katanya. Hasil dukungan Ghani Gilong, masyarakat Dusun Kadazan di pedalaman memberikan sokongan terhadap Gagasan Malaysia.
Sumandak Kinabalu, meskipun hanya sebuah lagu, tetap memberikan makna dan menghidupkan wacana untuk mengukur semula kehebatan, keistimewaan dan kegagahan gunung Kinabalu dan persoalan di sekitarnya.

Sabtu, 25 September 2010

Mohd.Zaki di Timor Leste

Tags
Sdr Mohd.Zaki Harry Susanto, mungkin tidak pernah menyangka akan bertemu dengan Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao. Tetapi kini, Zaki yang bertugas sebagai pegawai polis di bawah panji-panji PBB ditugaskan untuk mengawal PM itu.
Xanana, mantan Presiden RTDL, seorang pemimpin dan pejuang yang berjiwa seni. Beliau banyak menghasilkan puisi.
Pernah dipenjara sewaktu zaman Suharto, Xanana terus memimpin rakyatnya ke arah kemerdekaan.
Sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat, Xanana sanggup turun padang dan dalam gambar ini, beliau sedang melihat tapak pelupusan sampah.
Sdr Mohd. Zaki sangat bertuah kerana dapat mendampingi pemimpin besar RTDL dalam kerangka tugasnya.
Mohd.Zaki, juga seorang penulis, yang pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah. Tugasnya sebagai anggota kontinjen pengaman PBB telah membantu mengharumkan nama negara Malaysia tercinta.








Aida Belo, penyanyi Timor Leste

Tags

Kelahiran album Aida Belo yang mengandungi 7 lagu dalam bahasa Tetum, bahasa rasmi Timor Leste dan tiga lagu dalam bahasa Melayu sangat dinantikan. Komposer Julfekar, merupakan seorang penggiat seni yang tidak asing lagi ditanahair. Hasil sentuhannya, penyanyi tersohor di Timor Leste, Aida Pereira Belo yang sedang menjalani pengajian di Institut Kesenian Jakarta (IKJ) menerbitkan album barunya yang dijangka mendapat sambutan hangat.

Saya tumpang berbangga kerana secara tidak langsung terlibat untuk memperkukuhkan lagi ikatan para seniman antara kedua negara. Mulanya saya mengenal Aida di FB kemudian memperkenalkannya kepada Mohd Zaki, dan kemudian Mohd.Zaki memperkenalkannya kepada Julfekar, sehinggalah album ini dapat diterbitkan.

Saya pernah menulis mengenai Aida di akhbar Utusan Borneo,
http://abdnaddin.blogspot.com/2010/02/aida-belo-menyanyi-demi-timor-leste.html
dan dengan tulisan itu saya telah berkenalan pula dengan Duta Timor Leste di Kuala Lumpur, Bapak Juvensio Martin.

Sebenarnya saya belum pernah bertemu penyanyi Timor Leste ini, walaupun kami sering berhubung di FB, tapi saya kagum dengan semangatnya ingin menyanyi, demi Timor Leste

Jumaat, 24 September 2010

Maria van Engels dan Jakarta tempo doeloe

Tags
Mulanya saya fikir Alwi Shahab dalam cerita-cerita Betawi hanya akan bercerita mengenai Maria van Engels iaitu seorang indo yang menetap di daerah Noordwijk (jalan Juanda) dan menikah dengan Habib Abdurahman Al Habsyi, putera sulung Habib Ali, pendiri majlis taklim Kwitang, Jakarta Pusat pada akhir 1880-an. Maria pun menjadi Muslimah dan mengganti namanya menjadi mariam. Beliau merupakan menantu kesayangan Habib Ali dan sejak berkahwin, Mariam menjadi muslimah yang taat kepada agamanya. Mariam kembali ke rahmatullah pada tahun 1961 dan jenazah `Jidah Non' dihadiri ribuan pelayat antaranya KH Abdullah Syafie, KH Tohir Rohili, KH Nur Ali dan ramai lagi.

Cerita Maria Van Engels itu mengawali 50 cerita mengenai Jakarta tempo doeloe yang ditulis Alwi Shahab, seorang wartawan veteran yang terekemuka. Alwi Shahab dilahirkan di Jakarta pada 13 Ogos 1936, menjadi wartawan selama 40 tahun.Kerjayanya sebagai wartawan bermula sebagai wartawan Kantor Berita Arabian Press Board di Jakarta pada 1960, dan sejak 1963, beliau bekerja di Kantor Berita ANTARA.

Beliau pernah menjadi reporter kota, kepolisian, parlimen sampai bidang ekonomi. Pada tahun 1969-1978, beliau menjadi wartawan istana. Alwi kerap mengadakan liputan ke luar negeri antaranya mengunjungi perbatasan Malaysia-Thailand pada 1983 untuk membuat liputan operasi membenteras gerakan komunis oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Abah Alwi, begitu orang memanggilnya, banyak menulis kisah-kisah Jakarta tempo doeloe. Dari tulisan beliau saya mengetahui sejarah Jakarta, asal nama jalan, mengenai sejarah menteng, balai kota, mengenai komunis arab dan india di jakarta, mengenai glodok kota tua, tulisannya mengenai P Ramlee, Kwitang, Cliwung, Nyai Dasimah, Bung Karno, Batavia, Patekoan dan kapitein Gan Djie, meriam si Jagur, pasar senen, orang betawi, cerita silat, pasar baru, tanah abang dan sebagainya.

Beliau bercerita mengenai asal usul nama tempat, kisah-kisah tempo doeloe dan dari sanaa kita dapat melihat sejarah Jakarta.

Membaca buku itu, saya fikir mungkin banyak manfaatnya jika di ibu negeri kita menulis asal usul menara Atkinson, masjid SDA, kenapa jalan dinamakan Jalan Haji Yaakub, Jalan Pantai, dan sebagainya.

Selain bangunan Pejabat Pos lama dan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, saya fikir tidak banyak lagi tapak bersejarah yang masih dipulihara di ibu negeri. Generasi mendatang mungkin menghadapi masalah untuk mengenali sejarah dan asal usulnya, jika pendokumentasian dan penulisan sejarah tidak diperbanyakkan.

Selasa, 21 September 2010

Kenang-kenangan ketika di Pontianak

Tags






















Pontianak Post melaporkan bahawa tujuh pengebom ditangkap di Singkawang di halaman depan akhbar pagi itu. 17 Julai. Alasan pengeboman dikatakan kerana sakit hati berkaitan polemik perebutan patung naga. Sementara itu, masih di muka depan akhbar yang sama, Shireen Sungkar masih jadi dambaan Adly Fairuz.Hubungan asmara mereka sudah terkandas tetapi Fairuz mengaku masih cinta dengan bintang sinetron Cinta Fitri itu. Pontianak Post juga memetik laporan akhbar Sarawak mengenai tertangkapnya lapan warga Malaysia termasuk `Datuk dan isterinya' bagi membantu sindiket perdagangan bayi.
Laporan yang tidak kurang menariknya ialah langkah Hotel Sofyan, sebuah hotel syariah di Jakarta yang menolak pasangan yang bukan muhrim dan tidak berstatus suami isteri untuk menginap di hotel mereka. Berita yang tersiar dalam akhbar Pontianak Post, pertama dan terutama di Kalimantan Barat itu sempat membuat isteri saya terkejut. Tetapi kemudian menarik nafas lega kerana isteri saya selalu membawa sijil nikah kami jika ke luar negeri.
Ketika itu kami sedang menaiki oplet dalam perjalanan menyusuri Kota Pontianak, yang menjadi ibu kota Kalimantan Barat. Antara misi lawatan kami ke kota khatulhistiwa itu adalah untuk menjejaki susur galur keluarga seorang ulama bernama Muhd.Arif Syafie. Beliau dikatakan berasal dari kota Pontianak sebelum dilantik menjadi kadi di Kesultanan Bolongan, sebuah kerajaan yang terkenal di Kalimantan Timur sebelum hampir kesemua kerabat dan waris kesultanan dibunuh dan dibuang ke Laut Tarakan.
Generasi kelima dan keenam Muhd.Arif itu tersebar bukan saja di Pontianak di Kalimantan Barat, Tanjung Selor, Berau, Tarakan di Kalimantan Timur tetapi juga di Tawau, Sabah. Kisah yang telah berpuluh tahun terpendam itu , kami telusuri,semoga ia dapat memberikan sedikit informasi mengenai sejarah perkembangan Islam di Nusantara.
Bersama seorang kerabat, Pak Hasan Usman , kami berkunjung Gang Mempelam. Di sana kami dipertemukan dengan Ibu Hasanah dan Rosdiah dan lain-lain yang telah menyimpan rindu untuk bertemu keluarga sejak sekian lama. Ada yang masih menyimpan kad hari raya, dan foto-foto lama keluarga mereka yang berada di Tanjong Selor dan di Tawau.
Dari sana kami berkunjung pula ke rumah Haji Abdurrauf Abdullah, seorang budayawan dan pernah menjadi Kepala Dinas Pendidikan dan Kebudayaan di Sintang. Beliau juga merupakan keturunan Muhd.Arif daripada anaknya yang bernama Aminah. Aminah berkahwin dengan Mohd Ali bin Mahmuddin. Mereka melahirkan anak bernama Ahmad, Abdullah, dan Mohd.Amin. Antara anak-anak Abdullah pula ialah Zawawi, Siti Hamnah, Siti Dasimah (ketiga-tiganya meninggal), H.Abdurrauf, Wagimah (Meninggal) dan Rahimah manakala anak Ahmad bernama Usman. Usman pula merupakan ayah kepada Pak Hasan manakala Abdullah merupakan ayah kepada Haji Abdurrauf ini.
Kunjungan kami ke rumah Haji Abdurrauf itu memberikan pengalaman yang amat berharga buat kami. Dari sana, saya mengetahui sebab musabab mengapa ketika menikah dahulu saya diminta menggigit besi atau pisau
"Menggigit besi siken mempunyai arti dan makna suatu filsafah orang tua-tua.Keras besi lebih keras lagi semaangat dalam kehidupan berumah tangga agar sejahtera.Tajam pisau kerana diasah, demikian tamsil segala tingkah, tiadalah senang sebelum susah.Untuk mencapai kesenangan dan kebahagiaan harus berjuang dalam artian berusahalah dari bawah.Kebahagiaan dan kesenangan tidaklah datang dengan sendirinya," katanya.
Lantas, apa maknanya menginjak telur?
Menginjak telur adalah adab para leluhur,kata Haji Aburrauf Abdullah lagi. Ia mempunyai erti dan makna bagi seorang pria, bila memasuki berumah tangga, pecah telur bererti kini ia bukanlah remaja lagi. Selamat tinggal masa lalu, masa remaja.
Menginjak batu dan tanah adalah simbol lambang kehidupan dimana bumi dipijak, disitulah langit dijunjung.Sebagaimana syair dan lagu:Anak dagang di rantau orang, pandai-pandai membawa diri, biar merendah jangan meninggi, tutur kata santun budi bahasa, itulah pesan ayah bonda agar hidup selamat sentiasa.
Meniup api pelita (lilin) sebagaimana kita ketahui, api kecil sebagai kawan besar sebagai lawan yang sangat membahayakan. Diibaratkan, kalaulah kita dalam keadaan marah sebagaaimana meniup api itu padam, redalah semuanya. Insya Allah rumah tangga rukun dan damai.
Dari tempat Haji Abdurrauf itu, kami berkunjung ke Tugu Khatulhistiwa, antara mercu tanda kota Pontianak.Kota yang terletak benar-benar di atas garisan Khatulhistiwa iaitu 0'0 N, 109'20 E dengan suhu antara 22.9 hingga 31.0 memang memiliki daya tarik tersendiri.
Tugu Khatulihistiwa itu terletak di Siantan dan menjadikan kebanggaan warga kota itu. Jika berada di sana kita seolah meletakkan sebelah kaki di hemisfera utara dan sebelah kaki lagi di hemisfera selatan. Selepas itu, kami berkunjung pula keIstana Kadariah Kesultanan Pontianak di Kampung Dalam.Istana itu sangat sinonim dengan Pontianak, memang terkenal sebagai sebuah kota yang pernah menjadi pusat ketamadunan di nusantara.Kesultanan Pontianak memiliki kedudukan yang tersendiri dalam sejarah sebagai sebuah kerajaan yang terkemuka.
Kita masih boleh menyaksikan istana berdiri dengan megah.Masih banyak alat-alat kebesaran, dan barangan peninggalan sultan Pontianak yang dipelihara dengan rapi dan boleh kita saksikan ketika berkunjung ke keraton itu.
Sesudah itu, kami mengitari Kota Pontianak dan menyaksikan sebahagian kehidupan penduduknya. Dengan keluasan 107.82 km, Pontianak mempunyai penduduk seramai setengah juta orang. Sebagai ibu kota Kalimantan Barat, Pontianak merupakan sebuah kota pelabuhan dan perdagangan yang maju.Roda ekonominya digerakkan oleh warganya dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi Indonesia.
Mengapa kota itu dinamakan Pontianak? Asal nama Kota Pontianak itu ada hubungannya dengan Pontianak.Menurut cerita orang-orang tua, Syarif Abdurrahman Al Qadrie sering diganggu oleh hantu pontianak ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu gerbang Kota Pontianak. Mereka menggunakan meriam untuk mengusir hantu pontianak itu. Dimana peluru meriam itu jatuh, maka disitulah Istana Sultan didirikan.Peluru itu kononnya jatuh di kawasan Beting, Kampung Dalam Bugis, Pontianak.Dengan itu,Syarif Abdul Rahman Al Qadrie menjadi Sultan Pontianak yang pertama.
Tidak lama kemudian kami balik ke Hotel Muslim, yang terletak berdekatan di Masjid Al Arif, Jalan Tanjung Pura. Keesokan harinya dengan bas Bintang Jaya, kami berangkat meninggalkan Pontianak. Dalam perjalanan pulang itu, kami menyaksikan pemandangan yang indah dan mengasyikkan. Kami sempat singgah minum di sebuah restoran yang terletak di kawasan sawah padi. Melihat sawah menghijau, tak ada bezanya dengan sawah yang terdapat di negara kita. Entah apakah burung pipit yang terbang itu mengenal batas sempadan negara. Yang pasti pipit pipit itu tidak mungkin menceburi politik.
Saya berasa lucu dengan imajinasi sendiri. Kami sempat juga singgah di sebuah restoran Minang yang terletak berdekatan daerah Sanggau. Tempat itu akan sentiasa terpahat dalam kenangan saya kerana sebaik saja kami menaiki bas untuk berangkat pulang, saya menerima sms, ayah meninggal. Sepanjang jalan itu, saya cuba bertenang dan menenteramkan isteri saya dan mengajaknya berdoa dan membaca surah Al-fatihah.


Utusan Borneo 22 September 2010

Isnin, 20 September 2010

cerita orang yang terpaksa masak air mineral

Tags
Orang-orang kampung itu terpaksa memasak air mineral.
Sepatutnya air mineral itu boleh diminum begitu saja. Tetapi mereka tak ada pilihan, terpaksa memasak air mineral untuk membuat minuman panas.
Di kampung itu, sudah bertahun-tahun menghadapi masalah bekalan air. Jika ada air telaga, mungkin lebih baik lagi memasak air telaga untuk dijadikan air minum seperti dahulu.
Tetapi orang-orang kampung terpaksa membeli air mineral untuk bekalan minuman mereka.

Masalah bekalan air ini menyebabkan seorang Timbalan Menteri Persekutuan berang dengan kegagalan pihak Jabatan Air menyelesaikan masalah bekalan air di Kuala Penyu. Katanya, Kerajaan telahpun menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta, tetapi mengapa sehingga kini, masalah bekalan air itu masih belum dapat diatasi.

Timbalan Menteri itu dikhabarkan sakit perut ketika berhari raya di Kampung Berangkok. Entah benar, entah tidak, khabarnya ia disebabkan air minum.

Sepatutnya masalah bekalan air di Kuala Penyu, Sabah tidak lagi berbangkit selepas 47 tahun pembentukan Malaysia.

satu ketika di DBP Sabah

Tags
Saya berdiri di tengah sekali, sedang mendengar celoteh ibu Dayang Salmah Salam, wartawan Melayu pertama di sabah.Kami di DBP Sabah ketika itu, ada acara sastera tapi tak ingat, acara apa.Di kiri sekali, Dr.Chacho Haji Bulah. Dua dari kiri, sahabat saya, Rusdi Awang. Tiga dari kanan itu, kak Sitti Hadiah Haji Abd.Mutalib, Kak Nela, khabarnya tak lama lagi ditugaskan ke Beijing dan penyair Kak Rubiah Nordin.
Gambar lama yang penuh nostalgia, di'tagged'kan kepada saya di facebook, kalau tak silap oleh Saudara Rusdi.
Terima kasih kiriman gambar ini.

satu ketika di Lembah Danum

Tags
Barangkali peristiwa ini , sukar untuk diulangi. Ketika bertugas di DBP Sabah awal sembilan puluhan dulu, kami berkunjung ke Pantai Timur Sabah sambil mengadakan acara acara sastera. Beberapa sekolah kami singgahi, di Tawau kami singgah di SMK Kuhara. Di Semporna di SMK Pg Abdullah, di Lahad Datu kami SK St Dominic, dan selepas itu kami ke Pusat Luar Lembah Danum. Inilah kunjungan saya yang pertama dan belum ada duanya ke Lembah Danum.

Alhamdulillah, sehingga kini hubungan dengan rakan-rakan di DBP Sabah masih terasa akrab walaupun saya sudah meninggalkan DBP kira-kira 15 tahun dahulu.

Ahad, 19 September 2010

Ramadan di Sinisian, kami bicara soal bahasa

Tags
Suasana di Walai Tokou, Kampung Sinisian Kundasang, jauh dari hirukpikuk kota. Selama empat hari kami berkampung di sana untuk menghadiri Sidang Pengumpulan dan Pengesahan Bahasa Sukuan Sabah anjuran DBP Sabah. Sidang pengumpulan itu merupakan siri terakhir yang diadakan tahun ini. Siri terakhir itu melibatkan bahasa Kadazan Penampang, Dusun Ranau dan Keningau. Kali ini, saya bersendirian menulis dan menyemak padanan ayat dalam bahasa Melayu ke bahasa Iranun.
Sidang itu diadakan pada bulan Ramadan yang baru lalu. Jadi kami dapat menikmati bulan puasa di Kundasang, berbuka puasa di restoran di kaki bukit dan bersahur jam 3.00 pagi, dalam suasana yang dingin lagi sunyi.
Pemilihan tempat itu, walaupun jauh, tapi memungkinkan kami menyiapkan kerja dalam suasana yang santai.

Setiap awal pagi, kami sengaja bangun awal untuk melihat puncak gunung Kinabalu dari Sinisian. Hari berikutnya kami melihat gunung Kinabalu yang diselimuti awan. Kemudian kami melihat gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, tanpa awan sama sekali.
Senja kami mengambil gambar dengan dilatari pemandangan yang cantik. Sinisian, memang sebuah kampung yang indah dan terserlah budi bahasa di kalangan masyarakatnya.
Sinisian yang kami tinggalkan, mencatatkan banyak kenangan.














































sahabat kami, Sitti Rohmah

Tags
Tidak sangka Sitti Rohmah boleh sampai ke kota kami. Sahabat kami dari Bandung ini, singgah di Kota Kinabalu, penghujung Syaaban yang lepas.Bahkan Sitti sempat menghabiskan dua hari pertama bulan Ramadan di Sabah.

Dalam kunjungan singkat itu, kami sempat membawanya ke Pantai Tanjung Aru, untuk minum air kelapa. Ustaz Drs.Daiman Salalah, pernah beberapa tahun berdomisili di Bandung untuk menghabiskan kuliahnya di UAIN Sunan Gunung Djati. Beliau sempat menghimbau kenangan sewaktu belaajar di Bandung.Sitti juga sempat berkenalan dengan pelakon drama tv dari Sabah,Mas Inongan Suin. Mas Inongan terlibat dalam beberapa drama tv yang disiarkan di stesyen tv tempatan.

Sitti Rohmah yang bekerja dalam bidang perbankan di Bandung, sempat ke Kundasang untuk melihat betapa gagahnya Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.





















Sabtu, 18 September 2010

Melihat Hari Malaysia di tepi Padang Merdeka

Tags
MELIHAT HARI MALAYSIA DARI TEPI PADANG MERDEKAOleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDINabdnaddin@yahoo.com
SAYA berdiri di tepi padang ketika sambutan Perayaan Hari Malaysia itu diadakan di Padang Merdeka pada malam 16 September lepas.Orang terlalu ramai dan gembira.Semua orang tidak mahu terlepas dengan peristiwa bersejarah itu, apatahlagi ia diadakan buat pertama kali selepas 47 tahun kelahiran Malaysia.
Buat pertama kalinya, Hari Malaysia disambut dan dijadikan cuti umum di seluruh negara. Jika sebelum ini, tarikh 16 September setiap tahun merupakan cuti umum sempena Hari Jadi TYT tetapi kini, 16 September akan terus diperingati sebagai Hari Malaysia manakala Hari Jadi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah akan diadakan pada minggu pertama bulan Oktober.
Setiap tahun pada tarikh 16 September juga, suratkhabar tempatan sentiasa laris dan laku di pasaran dan kadang-kadang tidak bersisa, bukan kerana pada hari itu, ada pengumuman keputusan nombor ekor atau peristiwa-peristiwa penting, tetapi lazimnya, suratkhabar pada 16 September menyiarkan senarai penerima bintang-bintang anugerah kebesaran.
Saya sengaja berdiri di tepi padang pada malam itu. Melihat orang ramai bersesak-sesak untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia. Orang-orang bertepuk tangan mendengar ucapan demi ucapan. Sebaik-baik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyampaikan perutusan dan amanatnya, suasana bertukar gemerlapan dengan pelbagai persembahan dan letusan bunga api.
Empat tokoh negara, Tan Sri Ghani Gilong (mantan Menteri Kerja Raya), Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub (mantan Ketua Menteri Sarawak), Datuk Seri Yuen Yuet Leng (mantan Pesuruhjaya Polis Sarawak) dan Tan Sri Zainal Abidin Sulong (mantan Ketua Setiausaha Kementerian Luar) dianugerahi anugerah Tokoh Malaysia kerana jasa mereka dalam proses pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Persembahan selama 47 minit, dengan dijayakan 470 artis dari seluruh negara bagi melambangkan usia 47 tahun pembentukan Malaysia berjaya menarik minat hadirin yang dianggarkan lebih 20,000 orang. Kehadiran artis terkenal seperti Stacy, Adam, Adira, Atama, Den Bisa dan Claire Petrus menyerikan acara persembahan teater muzikal 1 Malaysia yang dibahagikan kepada lima segmen iaitu Detik merdeka sebelum Malaysia, Pembentukan Malaysia, Keharmonian Malaysia, Gemilang Malaysia dan Gagasan 1 Malaysia. Turut tidak ketinggalan ialah aneka tarian dari Sumazau, ngajat, hingga joget, bukan saja menyerlahkan kepelbagaian malah keistimewaan Malaysia.
Walaupun terdapat masalah teknikal,yang mungkin tidak ketara, tetapi ia tidak mencacatkan sambutan Hari Malaysia itu. Padang Merdeka tetap meriah dengan kebanjiran warga Malaysia berbilang bangsa, fahaman dan agama.
Saya menyaksikan kemeriahan Hari Malaysia yang disambut pada malam itu. Saya membayangkan bagaimana pemimpin bangsa dan negarawan kita berdiri di tengah padang, kepanasan, disengat terik matahari, 47 tahun yang lalu. Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens, Tun Razak (kini ketiga-tiganya sudah pergi mendahului kita) bersama pemimpin-pemimpin lain, dengan semangat yang berkobar-kobar menyambut kelahiran negara Malaysia.
Masyarakat dari jauh dan dekat, anak-anak sekolah sanggup berjalan kaki untuk menghadiri Hari Malaysia itu. Ada yang tidak dapat melupakan peristiwa mendapat hadiah cawan bersejarah bertulis Malaysia Day 1963 State Of Sabah. Ketika itu, rakyat Sabah gembira kerana terlepas dari cengkaman penjajah dan kuku kukunya mencakar hampir semua hasil mahsul negeri ini.
Keputusan bapa-bapa pemimpin bangsa, kira-kira 47 tahun lalu, hasil daripada idea yang dicetuskan almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam satu pertemuan dengan wartawan di Adelphi Hotel Singapura pada tahun 1961, wajar disyukuri. Dunia pada ketika itu, ketika banyak negara lahir dan merdeka, memang merupakan satu dekad yang penuh persaingan, pertentangan juga prasangka.
Hasrat membentuk negara baru itu, memang mendapat tentangan daripada Filipina yang membuat tuntutan terhadap Sabah dan Indonesia, yang mendakwa pembentukan Malaysia sebagai neo-kolonialisme. Oleh kerana itu, rakyat Sabah yang memilih untuk bersama sama Sarawak, Singapura dan Malaya untuk pembentukan Malaysia melalui pungutan suara yang diadakan oleh Suruhanjaya Cobbold telah membuat pilihan yang tepat.
Sejarah kemudian mencatatkan kelahiran negara Malaysia pada 16 September 1963. Peristiwa itulah yang kini diperingati buat pertama kali secara rasmi, sebagai sambutan Hari Malaysia dengan cuti umum di seluruh negara. Jika sebelum ini, Hari Malaysia disambut bersekali dengan Hari Jadi TYT di Sabah dan Sarawak, kini sambutan Hari Malaysia itu, dirasai rakyat dari Kangar hingga Kudat, dari Langkawi hingga Tigabu.
Di tepi padang itu, saya juga mendengar ramai orang merungut dan bersungut. Ramai juga yang kecewa, sambutan Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung oleh RTM itu, berjalan kurang lancar kerana sedikit masalah teknikal.
Selain itu, ramai juga yang mempersoalkan mengapa peranan Tun Mustapha seperti kurang diperkatakan, padahal beliau merupakan instrumen penting ke arah kelahiran Malaysia itu. Begitu juga dengan peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang lain, yang telah berjuang menjayakan gagasan Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia itu sepatutnya diserikan dengan pelbagai program yang boleh meningkatkan kesedaran bernegara di kalangan rakyat. Generasi muda wajar diberikan kefahaman sejarah yang tepat supaya mereka tidak dikelirukan sentimen yang sempit lantaran kurang pengetahuan terhadap asas-asas pembentukan negara Malaysia tercinta.
Seperti yang saya saksikan dari tepi Padang Merdeka pada malam itu, Hari Malaysia memang disambut gemilang dan meriah. Ada yang mengibar-ngibarkan bendera.Tetapi andai kata, acara sambutan pada malam 16 September itu, disambut tanpa kehadiran penyanyi, tanpa hiburan dan bunga api, berapa ramaikah di antara mereka sanggup datang untuk melaungkan merdeka?
Dirgahayu Malaysiaku.

Kesan selepas membaca Novel Elang karya Kirana Kejora

Tags

KESAN SELEPAS MEMBACA NOVEL ELANG KIRANA KEJORA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

TERUS TERANG saya agak keberatan jika diminta memilih antara Elang Timur, seorang ilmuan sejati dan Elang Laut, seorang penyair sejati. Elang Timur dan Elang Laut merupakan dua lelaki kembar yang beradu kekuatan untuk merebut cinta seorang penulis, bernama Kejora yang sebelumnya telah menyakiti mereka.
Saya tidak suka dengan sikap Elang Timur yang suka bersaing dengan Elang Laut, adik kembarnya sendiri, yang selalu mengalah. Mereka bertarung hebat untuk merebut cinta seorang wanita yang membuatkan mereka menderita.
Siapakah di antara mereka yang menjadi pencinta sejati? Di sebalik jiwanya yang keras, Elang Timur yang bekerja sebuah syarikat milik asing di Timika, Papua tidak melupakan tanggungjawab sosialnya dengan memelihara anak-anak suku Asmat, disamping tugas utamanya membuat pelbagai penyelidikan ilmiah.
Kalau Elang Timur membuat keputusan tegas untuk mencari Kejora sehingga sanggup pulang dan berpindah ke Jakarta, sebaliknya Elang Laut yang sibuk dengan kerja-kerja kesenimannya seolah-olah tidak mempedulikan Kejora walhal dia sangat mencintai wanita itu. Alasannya ialah dia tidak mahu bersaing dengan abangnya Timur.
Novel Elang setebal 299 halaman, yang dikatakan penulisnya Kirana Kejora (eidelweis_kirana@yahoo.com) sebagai `novel roman humanis penuh motivasi, ini diterbitkan Almira Management dan diedarkan PT Buku Kita Jalan Kelapa Hijau Jakarta, http://www.distributorbukukita.com/.
Mulanya saya berfikir, Kirana Kejora akan menulis mengenai pertarungan antara Elang Timur dan Elang Laut ini sehingga ke halaman akhir novel Elang ini, yang berkisah sebagai novel psikologi, yang memerikan perlumbaan dan persaingan dua lelaki kembar fraternal.
Tetapi tidak. Elang Laut, sang penyair akhirnya memilih untuk menyisihkan diri Gili Meno, jauh di Lombok. Disana bersama penduduk miskin dan buta huruf, beliau memperjuangkan hak mereka atas tanah yang mereka diami beratus tahun lamanya daripada dirampas oleh pihak tertentu atas alasan untuk membangunkan Gili sebagai destinasi pelancongan.
Perjuangan Elang Laut membuat saya kagum kepadanya, kerana beliau memilih untuk memperjuangkan masyarakat dan kepentingan ramai. Beliau sanggup mengetuai orang-orang Gili untuk memperjuangkan tanahair mereka. Di sinilah letak perbezaan antara dua lelaki yang mencintai wanita yang sama. Elang Laut keluar berjuang untuk kepentingan masyarakat luas manakala Elang Timur sebaliknya pulang kampung untuk menemui cinta dan menemukan dirinya sendiri.
Penulis novel Elang, Kirana Kejora,seorang penulis dari Indonesia, menurut pengakuannya sendiri, menuliskan kisah itu untuk menjadi cermin `bagi kita yang kadang silap' kerana terlalu mengkultuskan cinta.
Mantan wartawan,pengurus pemasaran dan mantan pensyarah universiti yang menerjunkan diri sepenuhnya dalam dunia tulis menulis ini, merupakan seorang penulis independen , dalam erti kata menerbitkan bukunya sendiri. Kirana, merupakan lulusan Cumlaude Fakluti Perikanan Universitas Brawijawa, kini telah menghasilkan beberapa buah buku termasuk Kepak Elang Merangkai Eidelweis, Selingkuh,Perempuan dan Daun, dan empat naskah skrip filem dan 30 skrip tv, dokumentari dan sebagainya.
"Bagiku lelaki harus menjadi Elang, pantang baginya buat mundur! Dan perempuan adalah eidelweis, pantang baginya buat menangis," kata Kirana.Mengapa Kirana Kejora banyak menulis mengenai cinta dan perselingkuhan, penderitaan dan pertarungan batin?
Sebagai seorang wanita, Kirana mengenai kisah kisah berkaitan kaum hawa."Ternyata banyak sekali pengakuan mereka tentang perselingkuhan atau kisah roman sejati mereka yang ingin kunikahkan dengan pena dan kertas. Sebuah kepuasan hati jika kisah yang telah mereka runut bisa kutulis.", katanya dalam emelnya kepada saya.
"Siapa yang salah? Siapa yang mahu terlahir menjadi biang bencana yang menyakitkan? Dan siapa yang mau peduli buat mencari sumber penyakitnya? "Bagiku tak ada fiksi murni, tetap ada campur tangan dari cerita non fiksi buat melumuri desah nafas sebuah cerita fiksi. Dan rata-rata penulis fiksi penggalan lekuk tubuhnya selalu ada dalam cerita yang dia tulis," kata Kirana.
"Setelah tulisan menghidupkan jiwaku, ternyata dia terus menjadi darah dagingku, ragaku hidup dari huruf-huruf yang kurangkai. Aku tak menyesal sama sekali meninggalkan statusku sebagai seorang pensyarah, pengurus sebuah sanggar model dan sebuah syarikat pengiklanan di Surabaya. Semua pilihan ada risikonya, aku tahu itu," katanya.
Menjadi penulis sepenuhnya untuk mengejar ketertinggalanku, untuk mencari cahayaNYA, untuk menangkap energiNYA, menjadikannya sebuah master piece atas berkahNYA iaitu melahirkan buku yang bagus dan cerdas serta film yang idealis tanpa terbelenggu teralis. Aku yakin akan hidup dari tulisan!
Novel Elang yang terinspirasi dari sajak Rajawali karya WS Rendra, mengingatkan kita bait-bait sajaknya bahawa sangkar besi tak dapat mengubah rajawali menjadi burung nuri.
Pertarungan dan persaingan antara Elang Timur dan Elang Laut untuk mendapatkan cinta Padma Kejora akhirnya melahirkan Kemilau Rinjani, seorang anak yang mungkin menjadi punca perebutan, punca pertarungan atau mungkin punca kedamaian dan keindahan dalam karya-karya Kirana Kejora selanjutnya.
Akan kemanakah Elang terbang, mungkinkah ke Kalimantan melintasi Laut Jawa, kita tunggu selepas ini.

Utusan Borneo 19 September 2010

Jumaat, 17 September 2010

Kinarut, pekan kecil yang makin sepi

Tags

Kinarut, salah satu pekan kecil yang terus berdenyut meskipun kita tak tahu apa nasibnya 10 atau 20 tahun akan datang. Apakah pekan kecil ini turut `lenyap' dan kehilangan pengunjung akibat digilis roda kemajuan atau apakah Kinarut akan tetap seperti gambar yang kita lihat ini.
Kinarut, pekan yang satu ketika dahulu, amat penting dalam menggerakkan ekonomi negeri, tetapi kini semakin tersisih.
Kinarut yang namanya banyak tercatat dalam buku sejarah, mungkin tidak lama lagi menjadi sejarah.
Tags



SOKONGAN RAKYAT SEMAKIN MENINGKAT,KATA NASHARUDIN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


Tepat jam 7.00 pagi, saya sudah berada di pintu masuk Hotel Promenade untuk memenuhi temujanji dengan Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Nasharudin Mat Isa. Jadual lawatannya ke Sabah agak ketat tetapi beliau bersetuju ditemubual sebelum berangkat ke Kuching pada pagi 17 September itu.

Sebaik bertanya khabar, tanpa berlengah saya mengeluarkan buku nota. Ustaz Nasharudin yang mengenakan kemeja biru lengan pendek kelihatan tersenyum ketika saya memulakan pertanyaan dengan menyoal sejauh mana sokongan rakyat Sabah terhadap kehadiran parti itu di negeri ini.

"Alhamdulillah, sambutan rakyat Sabah jauh lebih baik dan menunjukkan banyak peningkatan," kata Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok.

"Ini satu petanda yang baik untuk Pakatan Rakyat (PR) melangkah maju di Sabah," katanya kepada Utusan Borneo, sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu paling terkemuka di Sabah.

"Hatta, kepada PAS sendiri, sokongan pelbagai peringkat, dari kalangan Islam dan bukan Islam sangat menggalakkan," kata Nasharudin yang merasa optimis terhadap masa depan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Tokoh pemimpin PAS yang lahir di Negeri Sembilan pada tahun 1962, Nasharudin Mat Isa merupakan mantan pensyarah universiti sebelum beliau memutuskan untuk menceburkan diri dalam bidang siasah pada tahun 1999.

Kemampuannya menguasai pelbagai bahasa asing seperti Inggeris, Perancis, Urdu dan pastinya bahasa Arab, memberi banyak kelebihan kepada tokoh ini.

Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah St.Gabriel Kampung Pandan Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Grafik dan Senireka. Selepas itu, Nasharudin melanjutkan pengajian Islam di Kolej Darul Ulum Lucknow India sebelum ke Jordan bagi mempelajari bahasa Arab selama dua tahun.

Ustaz Nasha mendalami undang-undang syariah di Fakulti Syariah selama lima tahun di Jordan sebelum kembali ke tanahair dan seterusnya dilantik sebagai pembantu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak. Beliau kemudiannya berangkat ke Universiti Glasgow England selama dua tahun dan pada tahun 1993, kembali ke UIAM untuk menyiapkan Sarjana Undang-Undang Perbandingan. Kemudian beliau dilantik sebagai pensyarah undang-undang di UIAM sebelum berpindah ke UKM Bangi pada 1997.

Dua tahun kemudian, pada tahun 1999, beliau meletakkan jawatan sebagai pensyarah seterusnya meninggalkan dunia akademik. Selepas itu, beliau dilantik oleh Presiden PAS ketika itu, Datuk Haji Fadzil Noor sebagai Setiausaha Agung PAS.

Penglibatan Nasharudin dalam PAS, sebenarnya bermula sebaik beliau kembali ke tanahair. Ketika itu, Nasharudin bergerak aktif dalam Dewan Pemuda PAS dan menjadi Exco Antarabangsa. Pelantikannya sebagai Setiausaha Agung, walaupun mengejutkan banyak pihak tetapi telah mencorakkan masa depan PAS dan memberi keyakinan baru terhadap parti itu.

Nasharudin kemudian terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS. Selepas menang dalam pilihanraya 1999 sebagai Ahli Parlimen Yan Kedah, beliau bagaimanapun tewas dalam pilihanraya 2004 ketika bertanding di Besut, Terengganu. Dalam pilihanraya umum ke 12 pada 2008, Nasharudin memenangi kawasan Parlimen Bachok.

Walaupun menduduki hirarki tokoh nombor dua dalam kepimpinan PAS Pusat, Nasharudin tetap dengan gayanya yang sederhana Tutur katanya lembut dan bersahaja, dan mudah didekati.

Ketika ditanya mengenai sokongan bukan Islam kepada parti itu , Nasharudin berkata, Dewan Himpunan Penyokong PAS kini mempunyai keahlian mencecah 20,000 orang.

"Ini merupakan satu manifestasi sokongan masyarakat non-muslim terhadap perjuangan PAS yang tidak berlandaskan perkauman yang sempit, dan bukan bersifat anti agama lain...Risalah Islamiah diturunkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam, sama ada untuk orang Islam atau bukan Islam," jelasnya.

Menurutnya, jumlah sokongan masyarakat non-muslim semakin bertambah dan peranan mereka juga besar dalam merubah lanskap politik negara.

Beliau berkata, keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS kini mencecah 20,000 orang malah beliau tidak menolak kemungkinan orang bukan Islam menjadi calon dalam pilihanraya ke-13 dan ia tidak menjadi satu permasalahan asalkan mereka menerima ketentuan dan peraturan parti.

PAS, kata Nasharudin lagi, akan terus menjamin kebebasan beragama, kebebasan berniaga dan kebebasan menjalankan adat dan budaya masing-masing.

Mengenai isu politik perkauman yang sempit, Nasharudin berkata, isu perkauman adalah senjata akhir yang digunakan lawan untuk meraih sokongan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menekankan, masyarakat kini sudah dapat menilai keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengurus tadbir beberapa negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Selain itu, PR juga mampu mengurus ekonomi dengan baik dan pentadbiran kerajaan negeri di empat negeri yang dikausai Pakatan berjalan dengan baik.

Sementara itu, Populariti BN semakin menurun dan BN terpaksa mencari formula untuk mengembalikan sokongan rakyat bagi menghadapi pilihanraya ke-13 dan salah satu yang dibangkitkan ialah isu perkauman yang telah ketinggal dan menjadi bahan kempen tahun-tahun 60-an dan 70-an.

Katanya, dalam abad ke-21, rakyat di negara ini semakin terdedah dengan maklumat dan bersikap realistik dengan penduduk negara yang berbilang kaum dan agama.

"Kita harus saling hormat menghormati dan harus maju ke hadapan," kata Ustaz Nasharudin lagi. Katanya, tanpa menafikan kebanggaannya menjadi orang Melayu dan beragama Islam, beliau berkata Tuhan menjadikan manusia berbilang kaum malah berbilang agama untuk saling kenal mengenali atau dalam bahasa arabnya li taarafu, supaya rakyat dapat hidup seharmoni yang mungkin.

Nasharudin juga menyatakan kesediaan parti itu untuk mengadakan dialog dengan semua pihak termasuk UMNO bagi membincangkan hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama.

"Ada banyak isu yang boleh dibincangkan," katanya sambil menyatakan bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka demi masa depan yang lebih baik.

Beliau juga menekankan bahawa urus tadbir kerajaan harus diperbaiki dan mereka yang diberikan amanah mesti melaksanakan amanah dengan baik, mesti bersih, tidak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

Nasharudin mengulangi bahawa PAS sentiasa terbuka dan sedia berdialog dengan sesiapa saja ," tidak semestinya hanya UMNO tetapi dengan semua pihak", dan kini telah dan akan meneruskan usaha berdialog untuk kepentingan negara.

Berdasarkan sokongan rakyat terhadap program-program anjuran PAS dan Pakatan Rakyat, beliau yakin PR akan mampu memenangi kerusi di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya ke-13.

Menurutnya, keupayaan PAS dan PR mentadbir empat buah di Semenanjung mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu. Sambil itu, beliau menyatakan PAS juga telah membuat persediaan untuk menghadapi pilihanraya di negeri itu.

"Saya akan ke Kuching sebagai pengarah pilihanraya PAS dan kita sudah menjalankan kerja-kerja persiapan awal untuk menghadapi pilihanraya itu," katanya.

Beliau berkata, PR sudah bersedia untuk bertanding satu lawan satu dan pihaknya telah mengenalpasti kawasan DUN yang akan ditandingi.

"Rangka kerja sudah kita buat dan persiapan kita sudah bermula," katanya sambil berkata bahawa rakyat perlukan perubahan dan memastikan mereka yang diberikan amanah akan menjalankan tanggungjawab dengan telus, amanah, jujur dan adil.

Di Sabah, kata Nasharudin, penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan KeADILan akan memastikan rakyat memberikan sokongann dan akan memastikan jentera parti bergerak dengan lebih giat lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangannya sejak mula ditubuhkan hingga kini.

"Namun kita tidak menafikan hakikat bahawa sejajar dengan perkembangan semasa, kaedah untuk menjayakan perjuangan akan sentiasa berubah," katanya.

"Usah keliru , kita hanya merubah strategi dan pendekatan dan tidak bermakna kita mengabaikan dasar perjuangan parti," katanya sambil menjelaskan "inilah yang sedang dilakukan oleh PAS"

Katanya, PAS tidak sama sekali menghalang kebebasan beragama, kebebasan berniaga dan kebebasan mengamalkan adat dan budaya masing-masing malah adat dan budaya akan terus diberi ruang untuk dilestarikan.

"Itulah tawaran PAS kepada rakyat Malaysia," katanya. Tagline "PAS untuk Semua", katanya yang mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Munirah Mahmud dan dikurniakan empat cahaya mata.

Ustaz Nasharudin yakin Pakatan Rakyat (PR) mendapat sokongan yang meningkat di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya ke-13 akan datang. Walaupun saya masih mempunyai banyak pertanyaan tetapi dalam waktu sesingkat itu, ia terpaksa dipendamkan buat sementara kerana beliau perlu ke lapangan terbang selepas itu.

Sepetang bersama anak-anak Kaiduan

Tags

Emma Pius kelihatan malu-malu ketika saya bertanya kepadanya.
"Saya bercita-cita menjadi doktor," kata 6mgadis berusia 13 tahun itu. Rakannya, Amelina juga mahu `menjadi doktor. Jarlin yang duduk di tepi sekali pula bercita menjadi polis.
"Di kampung kami, belum ada orang yang menjadi doktor," kata Emma. "Saya mahu mengubat orang sakit," katanya kepada saya dalam perjalanan ke Kampung Kaiduan, Papar.Sekolah ditutup selama dua minggu dan petang itu, mereka pulang ke rumah masing-masing.

Mereka merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut Papar. Hari itu, Cikgu Abdul Hamid Abu Bakar ditemani Cikgu Azmi Mohd. Buang mengambil inisiatif menghantar mereka pulang kampung dengan kereta Hi-Lux yang dipandu Ibrahim Dukalan. Pelajar-pelajar dari Kaiduan dan kampung-kampung di sAekitarnya, 12 orang semuanya, terpaksa bersesak-sesak dalam kereta itu untuk pulang kampung.

Saya diajak Cikgu Hamid untuk ikut serta bagi merasai pengalaman `naik bukit, turun bukit' semata-mata untuk menimba ilmu. Jarak antara Kampung Kaiduan dengan SMK Kinarut memang agak jauh.

Sebelum ini mereka terpaksa berangkat dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mereka berjalan kaki dari rumah hingga ke sekolah dan tiba di sekolah sebelum loceng dibunyikan. Mereka terpaksa berjalan kaki menyusuri jalan berbukit bukau yang sepi, meredah dingin udara pagi dalam cuaca yang kadangkala hujan.Namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk ke sekolah.

"Kamu tidak takutkah jalan pagi-pagi?" saya bertanya kepada Emma. "Kami nda takut,Biasa saja," kata gadis bersemangat waja itu.Dia yang terpaksa mengharungi tiga sungai dari kampungnya sebelum merentasi jambatan gantung di Kaiduan, benar-benar dahagakan ilmu pengetahuan.

"Kenapa mahu jadi doktor?

Emma mahu menjadi doktor kerana setiap kali dia menyaksikan betapa orang-orang dari kampungnya terpaksa berjalan kaki berkilo-kilometer jauhnya untuk ke Pekan Kinarut bagi mendapatkan rawatan di Klinik.

"Kalau saya jadi doktor, saya boleh merawat ibubapa saya," katanya.


Jika ada rumah persinggahan di tengah jalan dibina untuk kemudahan mereka, barangkali itu akan lebih baik. Tetapi setakat ini mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa kemalaman di tengah perjalanan jika tidak ada kenderaan yang mereka dapat tumpangi.

Bagi kanak-kanak seperti Emma, kehidupan ibubapa mereka yang kebanyakannya menjadi petani, mendorong mereka untuk belajar lebih tinggi lagi.Selain Emma, terdapat berpuluh-puluh pelajar lagi dari Kaiduan, Bisuang,Tamahing,Mondikot,Malansi, Moliun dan kampung-kampung lain.

Saya sempat juga berkenalan dengan Victor,Joel,Gerard,Libri dan pelajar-pelajar lain yang saya tidak ingat nama mereka. Biasanya kos tambang dari Kaiduan ke Kinarut ialah RM5.00 tetapi kalau ada kereta, "kadang kami tidak minta tambang daripada kami", atau kadang ada juga yang membayar RM1.00. Tetapi oleh kerana mereka pelajar sekolah, maka pemilik kenderaan tidak menagih tambang daripada mereka.

Namun dalam banyak waktu, mereka terpaksa berjalan kaki dari rumah untuk ke sekolah di SMK Kinarut. Saya dapat membayangkan betapa sukarnya mereka ke sekolah dengan hanya berjalan kaki. Berjalan kaki lebih tiga jam ke sekolah memang menuntut kecekalan dan ketabahan.

Cikgu Abdul Hamid memberitahu saya mengenai kesukaran para pelajar itu untuk ke sekolah. Walaupun pelajar itu kini ditempatkan di Asrama Sekolah, tetapi mereka tetap memerlukan sebuah rumah persinggahan yang perlu dibina di pertengahan jalan untuk berteduh daripada cuaca atau berehat melepaskan lelah. Rumah persinggahan itu perlu dibina untuk kegunaan penduduk kampung untuk berulang alik ke Pekan Kinarut yang jauh jika ditempuh dengan berjalan kaki.

Kaiduan, Bisuang,Tamahing, Mondikot dan sebagainya merupakan kampung terpencil yang perlukan perhatian daripada kerajaan terutamanya dalam memastikan anak-anak kampung itu mampu menikmati kemudahan pendidikan yang memadai. Selain itu kebajikan penduduk kampung juga perlu diberikan keutamaan. Bagaimanapun, penduduk kampung menikmati bekalan elektrik dan bekalan air paip. Cuma kemudahan jalan raya perlu diperbaiki bagi membolehkan petani memasarkan hasil pertanian mereka supaya mereka dapat menambahkan sumber ekonomi sekaligus dapat memperbaiki taraf ekonomi mereka.

Masyarakat kampung telah meminta kerajaan supaya memperbaiki kemudahan jalan raya di Kaiduan dan kampung sekitarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidar Khan yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar turut memberikan perhatian terhadap masalah itu dan telah beberapa kali membangkitkan masalah itu dalam sidang DUN. Beliau juga difahamkan selalu turun padang melawat Kaiduan. Begitu juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Rashid Shirlin juga menunjukkan keprihatian terhadap permasalahan penduduk kampung.

Jika kerajaan dapat memperbaiki kemudahan prasarana seperti jalan raya, adalah tidak mustahil cita-cita Emma, Amelina, Jarlin dan anak-anak lain untuk menjadi orang berguna akan tercapai.

-tersiar di Utusan Borneo 18 September 2010

Khamis, 16 September 2010

Perasaan Merdeka atasi kepanasan matahari

Tags
PERASAAN MERDEKA ATASI KEPANASAN MATAHARI
Ole ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

"KETIKA itu bukan main seronok lagi. Awal pagi lagi kami sudah berkumpul di sekolah. Kami menyusuri jalan sepanjang landasan keretapi hingga ke padang merdeka.

Padang sudah penuh. Beribu-ribu orang, tua dan muda, lelaki dan perempuan, dari jauh dan dekat berhimpun untuk menghadiri pengisytiharan Malaysia itu.

Panas terik ketika itu, tetapi tidak ada seorang pun berganjak dari tempatnya berdiri . "Saya masih ingat, walaupun matahari memancar panas, tetapi tidak ada seorang pun bergerak meninggalkan padang. Semua orang penuh semangat berkobar-kobar tetap bertahan walaupun disengat kepanasan..

Perasaan merdeka mengatasi ketidakselesaan kerana sinaran terik matahari," kata Datuk Masidi Manjun.

Masidi, ketika itu masih berusia 12 tahun. "Saya antara yang paling kecil ketika itu," katanya. "Kalau fikir nostalgia ini, saya tidak tergambar perasaan dan semangat mahukan negara baru itu," katanya kepada Utusan Borneo dalam satu pertemuan eksklusif di pejabatnya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu turut berada di padang ketika perisytiharan Malaysia pada pagi 16 September itu.

"Saya berdiri tidak jauh dari Tun Razak. Saya dapat lihat beliau berpeluh-peluh kepanasan," kata Masidi yang berada beberapa meter dari podium. Tun Abdul Razak Hussien yang mewakili Kerajaan Pusat ketika itu, kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Tun Fuad melaungkan merdeka, dan secara spontan semua orang ikut melaungkan merdeka.

"Kami buat sepanduk sendiri," kata Masidi sambil mengingat detik-detik 16 September itu. Sepanduk bertulis `Merdeka, Kita Mahu Malaysia' kami tulis sendiri.

Tun Fuad melaungkan merdeka, dan secara spontan semua orang ikut melaungkan merdeka.

"Saya berada di sana dan memahami bagaimana suasana ketika pembentukan Malaysia itu. Saya dapat merasakan mengenai impian rakyat Sabah untuk yang mahukan kemerdekaan dari penjajah.

Sebenarnya tarikh 31 Ogos 1963 merupakan hari terakhir Britain memerintah negeri Sabah. Ketika itu, Sabah sudah bersedia untuk bergabung dalam pembentukan Malaysia tetapi ia mendapat tentangan daripada Indonesia dan Filipina. Ekoran itu, satu pungutan pendapat diadakan sekali lagi, bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk Malaysia .

Secara teknikalnya, 15 hari selepas itu barulah kita bergabung untuk membentuk negara baru Malaysia iaitu pada 16 September 1963.

"Tetapi niat ketika itu, kita memang bergabung untuk membentuk Malaysia, " katanya.

Masidi turut menceritakan pengalamannya menyusup masuk ketika perhimpunan di kalangan pegawai-pegawai British yang diadakan pada 30 Ogos. Waktu itu, pegawai-pegawai British berhimpun buat kali yang terakhir dengan pancaragam polis.

Oleh sebab, masih kanak-kanak, beliau dengan mudah dapat menyusup. Kebetulan pula, Maktab Sabah hanya terletak bersebelahan sekretariat. Di sana, beliau menyaksikan pegawai-pegawai kolonial dalam satu perhimpunan sebelum meninggalkan Sabah.

Rakyat Sabah bersetuju untuk bergabung bersama Malaya, Sarawak dan Singapura untuk membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia. Sebenarnya cadangan pembentukan Malaysia juga melibatkan Brunei tetapi Brunei kemudian membatalkan hasratnya menyertai Malaysia manakala Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 dan menjadi negara sendiri.

Sejarah begitu cepat mengalir. Kini sudah 47 tahun berlalu. Namun masih terdapat keluhan di kalangan rakyat Sabah yang kurang berpuas hati di atas layanan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan mahukan supaya diadakan pembetulan.

Beliau mengakui adakalanya memang terdapat perbezaan antara Kerajaan Pusat dan Negeri tetapi beliau menyatakan bahawa dimana-mana juga di belahan dunia ini, memang tedapat masalah hubungan antara kerajaan pusat dan negeri waima di Amerika dan Australia sekalipun.

"Bagi saya, Kerajaan Negeri mestilah berani dan jujur. Itu tidak bermakna kita berlawanan dengan Kerajaan Pusat tetapi kita mestilah menyampaikan mesej kita dengan jelas," kata Masidi.

Sabah mahukan janji sebagai rakan kongsi dalam Malaysia dipertahankan dan ditunaikan oleh kerajaan, kata Masidi lagi.

Bagaimanapun beliau berkata, pemimpin Sabah juga harus dipersalahkan kerana sesetengah mereka dihinggapi sindrom bisu yang menjadi kendala kepada aspirasi dan kehendak rakyat.

"Kita mestilah bertanggungjawab atas sikap membisu kita dan jangan salahkan Kuala Lumpur kerana tidak memperjuangkannya. Kita mesti bersuara secara bersama-sama walaupun mungkin berbeza agenda kerana kita bersuara untuk kepentingan rakyat Sabah," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana akhirnya Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun dijadikan cuti umum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengumumkan perkata pada Oktober tahun lalu. Tarikh 16 September ini adalah kali pertama Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti umum.

Masidi mengandaikan Kerajaan mengambil masa yang begitu lama untuk mengiktiraf Hari Malaysia kerana terdapat kebimbangan rakyat mungkin keliru mengenai tarikh kemerdekaan sama ada 31 Ogos atau 16 September.

Ia sepatutnya tidak berlaku jika generasi muda mengetahui fakta sebenar sejarah negara.

Menurutnya, membaca buku teks bukan satu-satunya cara untuk mengetahui fakta, khususnya bila terdapat pertikaian mengenai fakta yang digunakan dalam buku teks.

"Buku sejarah gagal mendidik sejarah Malaysia, sebab mereka belajar dari buku teks dan tidak mengalaminya sendiri. Keberkesanan yang diharapkan tidak dapat dirasai . Ada juga fakta dalam buku teks dipertikaikan yang membuat kanak-kanak keliru. Bila kita merdeka 1957 ataun 1963?. Ini memberi konotasi negatif kepada anak muda.," katanya.

"Saya fikir kita tidak mendidik generasi muda mengenai sejarah kemerdekaan," katanya. "Dulu Kita tidak mendedahkan rakyat kepada sejarah sebenar kerana kita terlalu sensitif dengan tuntutan politik," jelasnya.

Kita tidak terlalu berterus terang dalam perjalanan sejarah di Sabah," katanya.

Apa yang perlu dibuat? Semuanya mudah saja. Kita harus jujur. Generasi muda Malaysia adalah golongan rasional. Mereka adalah golongan yang cintakan negara walaupun hidup di tempat lain atau belajar di tempat lain.

"Kita harus berikan fakta yang sebenar dengan bahasa yang mereka fahami," katanya.

Masidi juga menyedari bahawa kadang-kadang beliau dianggap anti persekutuan.

"Tidak ada sedikitpun perasaan saya untuk menjadi anti federal kerana saya pro Malaysia. Saya mahu Malaysia berjaya dan memastikan agihan kekayaan yang sama bukan saja di Semenanjung malah Sabah dan Sarawak juga maju dari segi ekonomi," katanya.

Beliau yakin pemimpin di peringkat pusat adalah pemimpin yang rasional.

"Saya yakin mereka akan lebih memahami jika kita menjelaskan kepada mereka dengan baik tanpa berasa khuatir apa yang mereka akan cakap atau bagaimana reaksi mereka kerana pada akhirnya kita mesti menanyakan kepada diri kita mengenai perasaan rakyat Sabah keseluruhannya.

Menurutnya, pada 1963, semua rakyat Sabah mengimpikan agar apa saja nikmat pembangunan yang dinikmati di Semenanjung dapat juga dirasai oleh rakyat di negeri ini.Kata Masidi, jika jalan raya di Semenanjung dibina hingga ke tangga rumah, tetapi di Sabah, masih terdapat kawasan luar bandar yang tidak mempunyai jalan raya.

"Itulah yang kita harapkan ketika penubuhan Malaysia, dan kita mahu impian Malaysia berjaya seperti yang diharapkan pada 16 September 1963.

"Apabila saya mendapati apa yang kita harapkan tidak dapat, saya bercakap lantang kerana saya pro Malaysia.Saya mahu memastikan Malaysia berjaya seperti yang diimpikan dan dicita-citakan. Saya tidak mahu meninggalkan dunia ini tanpa menyuarakan apa yang patut saya suarakan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Sambutan Perayaan Sambutan Hari Malaysia itu berkata tema sambutan kali ini ialah "1 Malaysia menjana transformasi" yang difikirkan sangat bersesuaina.

Katanya, Sabah menjadi tuan rumah Hari Malaysia yang pertama kerana cuma ada tiga tempat untuk mengadakan sambutan ini dan kita yang paling lantang menyuarakannya.

Masidi berkata, tempoh 47 tahun usia Malaysia u bukan jangka masa yang panjang untuk mewujudkan negara bangsa. Jika kita menoleh kepada negara lain, mereka sukar untuk membentuk negara bangsa dalam masa yang singkat.

"Di Malaysia kita dapat satukan banyak kaum dan suku dalam sebuah negara yang besar. Masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di negara ini ini adalah sumber kekuatan. Di Sabah, kita dapat mengekalkan keharmonian dan juga mengeratkan hubungan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama. Kitalah yang sebenarnya mengamalkan konsep sebenar 1 Malaysia.

Tersiar dalam Edisi Khas Utusan Borneo 16 September 2010

Suara Buluh Perindu Harumkan Nama Malaysia

Tags





SUARA BULUH PERINDU HARUMKAN NAMA MALAYSIA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


Seruling bukan sebarang seruling.
Seruling bambu yang ditiup Khamarul Azman Kowasin, 13, membawanya terbang hingga ke Jepun. Kebolehan anak Kampung Sinisian Kundasang ini membuat khalayak di Tokyo terdiam buat beberapa ketika untuk menikmati alunan merdu seruling itu.

Jika Khamarul Azman meniup seruling, adiknya Khairul Parehin Kowasin, 9, bermain kulintangan. Dua adik beradik anak kepada Encik Kowasin Watiman dan Puan Mariana Taliban itu, mampu memainkan pelbagai lagu-dari Sayang Kinabalu,lagu-lagu P.Ramlee,Koch-koch hota hei, Bengawan Solo, hingga Kitaro.

Persembahan dua kanak-kanak ini berjaya mengharumkan bukan saja nama Kundasang, nama Sabah malah nama Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa. Selain Jepun, mereka juga pernah membuat persembahan di kota Jakarta.

Utusan Borneo sempat berkunjung ke rumah mereka di Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kampung Sinisian Kundasang baru-baru ini.Khamarul dan adiknya Khairul memperlihatkan kepada kami alat-alat muzik yang diperbuat daripada bambu sepenuhnya.

Khamarul dan Khairul ini merupakan tenaga penting Kumpulan Suara Buluh Perindu (SBP), yang merupakan satu-satunya kumpulan muzik bambu kanak-kanak di Malaysia.

Kelahiran SBP dibidani oleh Kowasin yang mengesan bakat Khamarul ketika sedang membuat alat-alat muzik di bengkel di rumahnya. Beliau melihat anaknya Khamarul asyik membuat seruling.Melihat anaknya berminat dengan alat muzik, beliau melatih Khamarul bermain seruling manakala Khairul dilatih untuk bermain Kulintangan.

Setahun kemudian, pada November 2005, keanggotaan SBP bertambah dengan seorang lagi bakat baru, Azmizol Syah Kaimi yang bermain sompoton. Kemudian pada awal 2006, keahlian SBP bertambah hingga mencapai sembilan orang termasuk kehadiran pemain utama, adik Nur Shahirah Jamaludin. Tidak lama selepas itu, keahlian SBP semakin bertambah, lengkap dengan pemuzik, penyanyi hingga penari tarian tradisi.

Kejayaan SBP tidak lepas dari sentuhan Puan Mariana yang mengambil keputusan untuk membantu dan mengurus kumpulan SBP atas nama Kampung Sinisian. Kesemua anggota SBP adalah terdiri daripada pelajar SK Kundasang, SK Pai Wen dan SMK Kundasang. Kebanyakan mereka berusia antara 7 hingga 16 tahun.

Semua peralatan muzik kumpulan ini dibuat daripada buluh dan bambu.Kemampuan mereka membawa semua genre lagu sama ada dalam dan luar negara memang luar biasa.

Selain lagu-lagu tempatan Sabah, mereka juga boleh memainkan lagu Melayu dan Indonesia, SBP juga berkemampuan mempersembahkan lagu Cina,lagu Inggeris dan lagu-lagu antarabangsa.

Kumpulan ini juga sering dijemput membuat persembahan untuk pelancong dalam dan luar negara, persembahan untuk tetamu-temu kehormat VIP seperti Ketua Polis Melaka, membuat persembahan di majlis-majlis anjuran PDRM ternasuk ketika sambutan Hari Keluarga Polis Peringkat Negeri Sabah, undangan majlis perkahwinan di seluruh Sabah, membuat persembahan sempena lawatan Sultan Brunei dan sebagainya.

Pencapaian SBP sejak 2006 termasuklah Juara Pertandingan Muzik Bambu Sekolah-sekolah peringkat daerah daerah dan Negeri Sabah, mewakili Sabah ke Festival Kebudayaan Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan (2006,2007). membuat persembahan Hari Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan (2007), Juara Pertandingan Orkestra Bambu di KDCA Penampang (2008).

Pada tahun itu juga, dua orang ahli SBP iaitu penyanyi utama dan pemain seruling mewakili Malaysia ke JATA World Festival di Tokyo dan Osaka Jepun serta Sabah Promotion di Negara Brunei Darussalam.

Mereka juga pernah merakamkan album sulung bersama senior mereka, Kumpulan Kinabalu Merdu Sound yang diterbitkan Skyline di bawah Syarikat Ampal Production.

Pada tahun 2009, SBP menjuarai Karnival Muzik Bambu Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Tamparuli Sabah manakala pada tahun 2010, SBP menjuarai Malam Kreativiti Muzikal Malaysia Inovatif hyang diadakan di Dewan UMS (28 Mei ), Juara Orkestra Bambu Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di KDCA Penampang (30 Mei), Persembahan sempena Hari Keluarga Perpaduan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Sabah di Tanjung Aru (25 Mei), persembahan sempena perasmian Perpustakaan Daerah Ranau (25 Jun), Persembahan sempena Hari Guru (26 Jun), persembahan tarian dan gong sempena sambutan Goguan Siou, di Nunuk Ragang ranau (8 Julai) dan persembahan sempena Makan Malam Petronas Group Sabah di Magellan Sutera Harbour Kota Kinabalu pada 8 Ogos lepas.

Selain Khamarul dan Khairul, SBP juga dianggotai oleh Azmizol Syah Kaimi (sompoton) Azwan Syafie Kaimi (gitar bass) Mohd.Diniy Syazani Zaineh (drum bambu),Mohd Husny Fitrah Zaineh (gendang),Mohd.Fidady Idham Zaineh, Khairul Anwar Kowasin (Kulintangan) Nur Shahirah Jamalydin (penyanyi) Farinah Kohadie (Sompoton/penari), Azleeza Syafizah Kaimi (sompoton/penari) Effazera Kohadie( Pariyano/penari), Fatrinah Kohadie (Markas/penari) Rosdiyani Kohadie (Pokason/penari) dan Erani Suhilin (Markas/penari).

Kumpulan SBP dinaungi Tan Sri Bernard Dompok manakala Taufik Haji Dahlan (penasihat), Tuan Khairi IPD Ranau (penasihat undang-undang), Puan Mariana Taliban (Pengurus), Zaineh Haji Mohd.Dullah (Timbalan Pengurus) manakala tenaga pengajar ialah Kowasin Watiman dan Jamaludin Danie. Ahli jawatankuasanya terdiri daripada Esman, Mahidie, Kaimi Watiman, Niah Watiman dan Rose Megirong.

Puan Maliana berkata, kumpulan SBP itu ditubuhkan bagi mencungkil bakat kanak-kanak luar bandar dan mengetengahkan kembali adat dan budaya masyarakat Dusun Kadazan di negeri Sabah.

"Melalui penubuhan kumpulan seperti ini, adat dan budaya masyarakat terdahulu tidak akan lupus begitu sahaja. Malahan ia boleh diperkembangkan ke sekolah-sekolah seluruh negeri sabah khususnya dan Malaysia amnya," katanya.

Sebagai Kumpulan Muzik Bambu Kanak-kanak Malaysia yang pertama dan mungkin yang terunggul, Kumpulan Suara Buluh Perindu (SBP) mampu menjadi kumpulan pemuzik bambu profesional sekiranya mereka terus diberi pendedahan dan peluang membuat persembahan di peringkat nasional dan antarabangsa. Bakat yang dimiliki Khamarul dan Khairul serta rakan-rakannya yang lain tidak wajar dipersia-siakan kerana mereka merupakan suara buluh perindu yang menggamit pengunjung dan pelancong untuk selalu rindukan Malaysia.

*tersiar dalam akhbar Utusan Borneo 16 September 2010

Isnin, 13 September 2010

Mak Tua a.k.a Syarifah Jeribok

Tags
Biar betapa susahpun hidupnya, arwah Mak Tua tetap berusaha membantu jika ada orang yang datang untuk meminta pinjam duit daripadanya.
Jika dapat sedikit duit yang diberikan anak cucunya kepadanya, Mak Tua akan mencari keluarganya yang susah, hingga sanggup berjalan hingga hujung kampung, untuk membantu mereka.
Kadang-kadang perbuatannya itu membuat geram cucu-cucunya yang selalu menghulur duit kepadanya.
Tetapi Mak Tua tetap Mak Tua. Nenek yang suka membantu biarpun dia sendiri susah hidupnya.
Kalau Mak Tua suka berjualan, mungkin Mak Tua banyak duitnya. Dulu sewaktu kami kecil di Bombalai, kata mertua saya, Mak Tua sering membuat minyak kelapa. Berbotol-botol banyaknya. Proses membuat minyak kelapa itu memakan masa yang lama dan payah.
"Itu bukan untuk dijualnya, sebaliknya ia mengagih-agihkan botol minyak kelapa itu kepada keluarga, kepada jiran-jirannya.
Di Sungai Burung, Mak Tua berkebun. Hasil tanamannya jua banyak mengeluarkan hasil terutamanya buah labu. Tetapi labu yang banyak itu, sekadar untuk diberikan kepada keluarga dan jiran-jiran atau sesiapa saja yang mahukan buah labu.
Sikapnya yang suka memberi itu, sudah menyatu dalam dirinya. Mak Tua sesungguhnya orang yang luar biasa, walaupun barangkali, hanya sesudah pemergiannya, kita belajar menghargai sikapnya.
Al-fatihah untuk Mak Tua yang telah kembali ke rahmahtullah pada 28.8.2007

Sabtu, 11 September 2010

solat di luar pagar masjid

Tags
Solat aidilfitri itu dimulakan sebaik kami tiba di seberang jalan menuju masjid Al-Kauthar Tawau. Halaman masjid sudah penuh. Jadi dengan beralaskan kertas kotak, kami jadi makmum di luar pagar masjid.
Terlalu ramai orang, tidak kira tua muda, memenuhi masjid untuk menunaikan solat aidilfitri. Sayangnya sebaik selesai solat dua rakaat itu, sebahagian jemaah bergegas pulang tanpa mendengar khutbah hari raya.
"Abah, kita balik" kata anak saya Ahmad Fawzan.
"Kita tunggu sampai habis khutbah, barulah boleh kita pulang," kata saya. Ahmad fawzan yang baru berusia 5 tahun itu memprotes.
"Tapi kenapa yang lain pulang abah?"
"Tak apa,kita tunggu. Sekejap lagi kita pulang ya". Kami bertahan duduk mendengar khutbah aidilfitri itu, walaupun sebenarnya ramai jemaah pulang rumah.

**************************************************

Berbeza dengan solat aidilfitri, solat jumaat tidak seramai tadi pagi.Kami termasuk jemaah yang datang awal, takut tidak kebagian tempat.
Saya duduk di saf keempat.
Khatib menyampaikan khutbah mengenai ibadah ramadan yang dijalani kaum muslimin. Katanya,ibadah puasa dalam bulan ramadan mampu membersihkan jiwa.Jika bersih jiwa maka ia menerbitkan cahaya yang menerangi kegelapan hati. Huraiannya mengenai cahaya nur ilahi dan hubungannya dengan hati itu sangat menarik. Beliau mengutip pandangan Imam Ghazali dan Ibni Attahilah. Saya mendengar dengan teliti butir-butir khutbahnya yang menjernihkan jiwa.
Kita melihat kebenaran untuk diamalkan, katanya.Kita melihat kederhakaan untuk dielakkan. Kita tak akan mampu melihat apa-apapun tanpa cahaya, katanya.

***
Terpampang notis di pintu masuk masjid al-kauthar yang menyatakan bahawa saguhati untuk jurunikah ialah RM60 sementara saksi RM20. Sewa dewan masjid RM50. bagi mereka yang meminta lebih, menurut info itu, bolehlah menghubungi SPRM Tawau.
***

Tidak banyak yang dapat dilakukan pada hari raya pertama ini.Kami hanya menerima kunjungan tamu. Kami hanya sempat berkunjung ke tempat yak noi. pada sebelah malam kami ke tempat pakcik Majid, beliau tak ada di rumah. Kami ke tempat Tok Ahmad, yang alhamdulillah sihat dan kelihatan berselera makan. Selepas itu, kami ke rumah Tok Ayuk dan sempat bergambar dengan atuk itu.

Isnin, 6 September 2010

Berbicara mengenai nasib bahasa Ibunda

Tags





SESEKALI angin bertiup, hawa dingin hinggap di Sinisian, sebuah kampung Gerakan Daya Wawasan (GDW) di Kundasang yang telah mengukir namanya di peringkat kebangsaan dan kini terkenal dengan program Inap Desanya `Walai Tokou' yang bermaksud `Rumah Kita' yang begitu berjaya.
Hari itu adalah hari kedua Sidang Pengumpulan dan Pengesahan Bahasa Sukuan Sabah yang merupakan siri yang terakhir tahun ini. Abdul Nassir Said, Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah berkata sebelum ini, sidang seperti itu telah diadakan untuk bahasa Sungai, bahasa Kimaragang, bahasa Rungus, bahasa Bisaya, dan bahasa Bajau.
Sidang kali ini melibatkan bahasa Kadazan Penampang, Dusun Ranau, Dusun Tambunan dan bahasa Iranun, dimana saya menjadi wakilnya sejak 1988. Jika sebelum ini, sidang pengumpulan dan pengesahan bahasa sukuan itu diadakan di Kota Kinabalu, kali ini ia diadakan di beberapa tempat di luar ibu negeri.
Di celah celah persidangan itu, saya sempat berbicara dengan Abdul Nassir, dan menanyakan pengalaman, penyelidikan dan pemerhatiannya terhadap kelangsungan hayat bahasa sukuan Sabah yang semakin terancam.
" Perkahwinan campur antara etnik yang berlainan di Sabah menjadikan bahasa Melayu lebih dominan sebagai bahasa komunikasi di rumah," katanya.Beliau pernah membentangkan kertas kerja dalam satu persidangan di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai gejala itu.
Menurutnya, penghijrahan yang meninggalkan kelompok penutur bahasa ibunda (native) bukan sahaja mengurangkan populasi sesuatu etnik di tempat asal tetapi menyebabkan penurunan tahap penguasaan bahasa ibunda.
Transformasi pendidikan di negeri Sabah sejak penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 telah merobah persepsi penduduk terhadap bahasa ibunda masing-masing.
Hakikatnya, kekhuatiran penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak menyebabkan ibu bapa beralih daripada menggunakan bahasa ibunda kepada bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di rumah katanya.
Maka, pada alaf ke-21 ini, generasi muda yang berumur di bawah 30 tahun yang berpendidikan kebangsaan kurang mahir menuturkan bahasa sukuan, kalaupun boleh faham tetapi tidak dapat menuturkannya lagi, katanya.
"Pertuturan dalam bahasa ibunda hanya berlaku antara golongan tua sama ada di rumah atau di kawasan petempatan etnik masing-masing. Tanggapan penutur asli terhadap bahasa masing-masing berbanding bahasa Melayu telah menurunkan tahap penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan penutur berusia muda. Ironinya, kelangsungan hayat bahasa sukuan Sabah semakin terancam dan kepupusan bahasa tidak dapat dielak dalam tempoh masa tertentu.," kata Nassir lagi.
"Kendatipun banyak pendapat memperkatakan bilangan etnik di Sabah tetapi kajian terbaharu oleh Lembaga Kebudayaan Sabah menyatakan bahawa bilangannya berjumlah 35 etnik dan 215 subetnik," katanya.
Menurut Nassir, DBP Sabah telah membuat kajian tahap penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda di Sabah dan mendapati bahawa kelangsungan hayat bahasa sukuan kini semakin terancam.
" Persoalannya ialah sejauh mana pula bahasa sukuan digunakan dalam komunikasi seharian di kawasan petempatan? Persoalan yang lebih berat menjurus kepada kelangsungan hayat bahasa-bahasa sukuan di Sabah. Sejauh mana penggunaannya sebagai bahasa komunikasi di rumah, di persekitaran kediaman, di kampung-kampung, dan yang lebih luas lingkungannya di mukim-mukim dan daerah-daerah. Sejauh mana tahap pemahaman dan pertuturan dalam kalangan generasi muda yang berpendidikan kebangsaan?.

Menurut Nassir, DBP Sabah telah membuat kajian tahap penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda di Sabah dan mendapati bahawa kelangsungan hayat bahasa sukuan kini semakin terancam.

Beliau memberitahu, kajian terkini oleh Lembaga Kebudayaan Sabah mewartakan atau menggazet negeri Sabah memiliki 35 etnik. Daripada jumlah tersebut, dikatakan terdapat 215 subetnik dalam pelbagai dialek bahasa. Perlembagaan Persatuan Bahasa Sungai Sabah (SABAS) menetapkan bahawa bangsa Sungai merupakan istilah generik yang merangkumi 30 subetnik iaitu Begahak, Bengkoka, Buludupi, Dewara, Dumpas, Idahan, Inokang, Kalabuan, Kuamut, Lingkabau, Liwago, Makiang, Mangkaak, Milian, Minokok, Paitan, Pingas, Puawang, Rumanau, Segilitan, Sinobu, Sinorope, Subpan, Sugut, Sukang, Suyat, Tambangan, Tengara, Tinagas, dan Tindakon.

Sementara itu, artikel 6(1) perlembagaan Kadazandusun Cultural Association (KDCA) menyatakan bahawa bangsa Kadazandusun mengikut kumpulan etnik didefinisikan sebagai Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana, Garo, Idaan, Kadayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayo, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Nabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsogon, Sukang, Sungei, Tatana, Tangara, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon, Tutung, dan Bisaya.

Bahasa sukuan di Sabah berkembang dalam kelompok tertentu, kata Nassir. Malah, tempat tertentu akan dirujuk kepada etnik tertentu. Berdasarkan tempat, pelbagai etnik dapat ditemui dengan pelbagai bahasa sukuan dan dialek pertuturan.

Katanya, seperti yang pernah ditulis seorang penyelidik budaya, Raymond Majumah, etnik Bonggi hanya terdapat di Pulau Banggi, yang terletak di utara Kudat, yang juga dihuni oleh etnik yang dikenali sebagai Kagayan, Ubian, Bajau, dan Suluk.

Raymond sendiri, katanyam berketurunan Rungus yang mendiami petempatan di daerah Kudat, selain etnik Iranun, Bajau, Brunei, Tobilung, dan Sinandapak. Subetnik Rungus yang lain dikenali dengan nama Nulluw, Gonsomon, dan Pillapazan.

Kota Marudu, daerah yang memisahkan antara daerah Kudat dan daerah Pitas boleh ditemui etnik seperti Garo, Paitan, Sonsogon, Bajau, Talantang, Liba, Kavananan, dan Rumanau.

Daerah Pitas pula mempunyai petempatan etnik Rungus di samping terdapat etnik Kimaragang, Tombonuo, Sundayo, dan Paitan. Kota Belud yang sinonim dengan etnik Bajau Sama juga menjadi petempatan yang sinonim dengan etnik Iranun di Sabah. Petempatan etnik Iranun yang lain ialah di sekitar Tungku, daerah Lahad Datu. Selain itu, di daerah Kota Belud juga ditemui etnik Kagayan, Tinagas, dan Dusun Tindal. Etnik Bajau juga boleh didapati di Tuaran sehingga ke Tamparuli di samping etnik Dusun Lotud.

Daerah Penampang pula penduduknya ramai berketurunan Kadazandusun. Etnik Dusun yang ramai boleh ditemui di Ranau selain etnik Lingkabau, Sukang dan Tolinting. Walaupun perkembangan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya besar yang memungkinkan penghijrahan etnik dari segenap pelosok negeri Sabah, dikatakan bandar raya ini dihuni oleh etnik Bajau, Kadazandusun dan etnik yang dikenali Bundu dan Dusun Tindal.

Bahagian Sandakan sinonim dengan etnik Sungai. Namun, terdapat juga petempatan etnik Kolobuan, Pingas, Dumpas, Tagalog, Makiang, Baukan, dan Dusun di sekitar daerah Telupid. Daerah Beluran pula terdapat penduduk yang terdiri daripada etnik Sungai, Bajau, Brunei, dan Suluk sementara di Sandakan selain etnik Sungai juga boleh ditemui petempatan etnik Kagayan, Bajau, Suluk, Brunei, dan Abai.

Bahagian Tawau boleh dijumpai petempatan etnik Ida’an, Bajau, Sungai, Begahak, Balangigi, Subpan, dan Dusun yang mendiami daerah Lahad Datu. Di daerah Semporna pula terdapat etnik Suluk, Bajau, dan Kagayan, sementara di daerah Tawau pula terdapat etnik Kalabakan, Kokos, dan Tidung. Sabah juga mempunyai taburan penduduk lain yang terdiri daripada Lobu, Minakok, Serudung, dan Tagahan.

Bahagian Pedalaman Sabah boleh ditemui etnik Dusun, Liwan, Tuhawan, Sungai, Sinorupu, dan Tolinting di Tambunan, etnik Kwijau, Paluan, Gana, Naaboi dan Alumbia di Keningau, etnik Okolar dan Murut Timugon di Tenom, dan etnik Murut Tagol, Sinambu, Selungai, Tutung, Kolod, Lundayeh, dan Sembakung di Nabawan.

Mengikut tinjauan dan pemerhatian terdahulu yang dijalankan oleh Summer Institute of Linguistic (SIL), terdapat lebih kurang 12 kelompok dalam etnik Murut di negeri Sabah yang dapat dibezakan berdasarkan kepada dialek dan tempat yang didiami. Majoriti etnik Murut tinggal di kawasan pedalaman, yang lainnya mendiami pantai timur Tawau dan ada satu kelompok yang ditemui di Beaufort.

"Yang unik, setiap kawasan petempatan etnik Murut memiliki ciri-ciri bahasa yang tersendiri yang melahirkan dialek-dialek tertentu. Berdasarkan dialek ini, lahirlah apa yang dipanggil dan dikenali sebagai Murut Tagol dan Murut Timugon, antara kelompok teramai dalam etnik Murut. Petempatan Murut Timugon boleh ditemui di daerah Tenom. Murut Tagol pula lebih ramai mendiami kawasan-kawasan di daerah Keningau dan juga terdapat di Kemabong, Tenom," katanya.

Penghijrahan yang lazimnya disebabkan perkahwinan campur melahirkan kelompok Murut baharu yang berbeza bahasa atau dialek pertuturan. Misalnya perkahwinan campur antara Murut dengan Dusun melahirkan orang Murut yang dikenali dengan Murut Ambual dan Murut Nabai yang mendiami daerah Keningau.

Menurutnya, memperincikan petempatan etnik Murut, Murut Tagol mendiami kawasan tanah tinggi sekitar daerah Keningau, iaitu Nabawan dan Pensiangan di samping boleh dijumpai di kawasan Kemabung di daerah Tenom. Murut Timugon pula boleh ditemui di sekitar kawasan Melalap sampai Mandalom iaitu di daerah Tenom. Asal petempatan Murut Timugon ialah di sepanjang sungai seperti Sungai Padas dan Sungai Kapagalan.

Murut Bookan mendiami kawasan di sepanjang hulu Sungai Sook yang terletak dalam Mukim Tulid, yang lain boleh ditemui di Mukim Sook. Mukim Dalit dan Sook boleh dijumpai petempatan Murut Paluan sementara Murut Nabai menetap berhampiran pekan Keningau. Terdapat juga dalam kalangan Murut Tagol tinggal di Mukim Ansip.

Di Tawau juga terdapat etnik Murut yang dikenali dengan nama Murut Kalabakan, Murut Serudong, dan Murut Tidung. Murut Binta pula nama yang diberi kepada etnik Murut yang mendiami satu kawasan di daerah Beaufort. Terdapat juga suku kaum Murut yang mendiami daerah di Kalimantan, Indonesia yang dikenali dengan nama Murut Sembakung. Selain itu, nama-nama lain bagi etnik Murut yang berada di Sabah termasuklah Murut Bookan, Murut Gana, Murut Okotor dan Murut Paluan.

"Sesuatu yang menarik dalam memperkatakan bahasa sukuan di Sabah ialah setiap etnik memiliki banyak dialek yang masing-masing memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Murut contohnya, memiliki tidak kurang daripada 12 dialek yang dapat dikenal pasti melalui kawasan yang didiami. Setiap dialek diberi nama tertentu lazimnya merujuk kepada tempat di mana mereka tinggal. Memperincikan perbezaan kosa kata bahasa Murut dalam menyebut perkataan “kucing”, Murut Timugon menyebut “using” sementara Murut Tagol menyebut “ungau” atau “usi”. Demikianlah kepelbagaian dalam kesatuan pelbagai etnik di negeri Sabah,' jelasnya panjang lebar.

"Kelangsungan hayat bahasa merujuk kepada sejauh mana sesuatu bahasa dapat bertahan dan berterusan digunakan," katanya. Misalnya, bahasa Cina yang masih menjadi bahasa komunikasi di rumah atau kawasan petempatan walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara Malaysia.

Bangsa Cina yang berada di Sabah kebanyakannya terdiri daripada dialek Hakka, Mandarin, Hokkian, dan Kantonis masih tetap menggunakan dialek masing-masing walaupun ada dalam kalangan bangsanya berkahwin dengan etnik tempatan di Sabah. Maka, lahirlah istilah Sino Kadazan, Sino Rungus, Sino Kagayan, dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, bahasa Cina masih tetap digunakan dalam komunikasi seharian. Sementara itu, bahasa sukuan Sabah dikatakan semakin terancam apabila penggunaannya semakin dipinggirkan atau kurang digunakan lagi dalam komunikasi seharian. Fenomena ini berlaku dalam hampir kesemua etnik di Sabah. Ini dapat dilihat melalui penguasaan dalam kalangan penutur berusia muda. Rata-rata penutur berusia muda boleh memahami bahasa ibunda yang dicakapkan oleh orang tua tetapi tidak boleh menuturkannya lagi. Tingkat pemahamannya pula terlalu rendah.

Terdapat beberapa faktor yang memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada pendapat ini, antaranya yang paling ketara ialah penghijrahan. Pemindahan dari satu tempat ke tempat yang lain telah meninggalkan kelompok bahasa yang menuturkan bahasa ibunda di tempat asal, menjadikan bahasa etnik bukan dominan dalam petempatan baharu dengan pelbagai bahasa sukuan yang wujud.

Faktor penolak di tempat asal dan faktor penarik di tempat baharu terutamanya ingin mencari peluang pekerjaan, memudahkan pembelajaran anak-anak, dan mencari kehidupan yang lebih baik. Keadaan menjadi lebih parah apabila berlaku perpindahan akibat perkahwinan campur antara etnik yang berlainan.

"Lazimnya etnik tertentu mendiami kawasan petempatan tertentu dengan bahasa pertuturan tertentu. Etnik yang dominan dengan kawasan tertentu akan menggunakan bahasa sukuan tertentu sebagai komunikasi di kawasan petempatan. Malah, nama etnik tertentu dikenali berdasarkan nama tempat, khususnya yang membezakan subetnik dengan pelbagai dialek yang berbeza. Etnik Sungai misalnya dibezakan dengan Paitan, Bengkoka, Makiang, Liwagu, Segama, Sugud, dan lainnya yang merupakan nama-nama sungai yang terdapat di negeri Sabah. Mereka mendiami di sekitar lembah dan pinggir sungai dan berkembang menjadi komuniti yang memiliki identiti tertentu termasuk bahasa.

"Keunikan negeri Sabah selain flora dan faunanya ialah bahasa etniknya. Maka etnik Murut tidak dapat berkomunikasi dengan etnik Bajau disebabkan dalam keluarga bahasa yang berbeza. Pengumpulan, penyimpanan dalam sistem pangkalan data yang sistematik, dan penerbitan kosa kata bahasa sukuan akan dapat menjadi dokumentasi yang berharga kepada rakyat di Sabah.

" Langkah ini sedikit sebanyak dapat mengimbangi pengaruh yang menerjah generasi muda yang kian terdedah kepada zaman globalisasi yang semakin melupai akar asal bangsa dan bahasa. Kecenderungan berpindah menjadi faktor kenapa usaha pendokumentasian bahasa dan sastera etnik Sabah perlu dilaksanakan dan diteruskan di samping mempergiatkan usaha-usaha ke arah pelestarian bahasa sukuan di Sabah.

"Kelangsungan hayat bahasa sukuan Sabah dikatakan semakin terancam. Generasi muda khususnya yang berumur di bawah 20 tahun kurang menggunakan lagi bahasa etnik masing-masing menyebabkan kelangsungan hayat bahasa etnik di Sabah semakin terancam dan sedang mengalami kepupusan. Keadaan ini berlaku dalam hampir kesemua etnik di Sabah," katanya yang telah mengadakan kajian Jejak Etnik di beberapa tempat di negeri Sabah.

Nassir menjelaskan "Walaupun masih sedikit kajian tentang hal ini, tetapi sudah terdapat tanda-tanda bahasa atau dialek tertentu amat sedikit bilangan penuturnya. Bahasa etnik Begak yang mendiami Mukim Tungku, di daerah Lahad Datu dikatakan hanya dituturkan oleh tidak lebih daripada 2,000 orang. Etnik Tobilung dari Kampung Mengaris di daerah Kota Marudu dikatakan amat sedikit penuturnya disebabkan pelbagai faktor."

Justeru, usaha-usaha ke arah melestarikan bahasa sukuan Sabah harus digiatkan. Pengumpulan, perakaman, dan penerbitan mesti dilaksanakan. Kajian yang bersifat ilmiah oleh ahli linguistik perlu dilaksanakan, kata Abdul Nassir.

" Pengumpulan, transkripsi, perakaman sastera lisan harus disegerakan bagi meneruskan kelangsungan hayat warisan tradisi lisan dalam bahasa sukuan di Sabah. Pendokumentasian menjadi platform kepada para penyelidik untuk mengkaji keunikan bahasa sukuan Sabah pada masa akan datang," katanya sambil menutup perbualan kami pada petang itu.