Wednesday, September 1, 2010

Bekas pelajar St Patrick jalin semula persahabatan

BEKAS PELAJAR ST PATRICK TAWAU JALIN SEMULA PERSAHABATAN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDINabdnaddin@yahoo.com
MESKIPUN sudah berlalu, majlis Reunion St Patrick School Tawau itu tetap melekat dalam ingatan bekas-bekas pelajarnya.Majlis itu begitu istimewa kerana ia mempertemukan pelajar SRK St Patrick bagi tahun 1982 dan SM St Patrick bagi tahun 1985,1986,1987,1988 dan pada saat akhir, pelajar dari tahun 1989 dan 1990.
Idea untuk mengumpul bekas-bekas pelajar St Patrick itu diilhamkan oleh Felice Tseu dan rakan-rakannya dari kelas 1987. Pada mulanya, mereka hanya bercita-cita untuk mengumpulkan rakan-rakan sekelas atau rakan-rakan seangkatan 1987. Tetapi memandangkan ramai yang memberikan respon untuk menjayakan majlis reunion itu, melalui facebook, melalui telefon, emel dan sms, maka majlis yang diadakan pada malam 5 Jun itu menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan.
Mereka semuanya memiliki nostalgia yang indah kepada sekolah yang telah mereka tinggalkan sekian tahun lamanya.Bertemu rakan sekolah, teman lama, kawan sekelas, menjadikan pertemuan itu penting dan bermakna.
"Persahabatan antara kita sepanjang waktu bersekolah akan tetap kita kenang sepanjang hayat," kata Dr.Sitti Raehanah Muhd Shaleh , pengerusi penganjur untuk majlis itu. Katanya, semangat persahabatan dan setiakawan itu mempertemukan kita semula untuk kembali menjalin silaturrahim yang telah lama terputus. Kawan jauh dan dekat sanggup datang untuk menghadiri majlis itu. Ada yang sanggup terbang beratus kilometer jauhnya, ada yang sanggup berkereta menaiki bukit dan menuruni lembah semata-mata untuk datang ke majlis reunion itu.
"Sambil mengingati peristiwa lama dengan derai tawa dan gembira, marilah kita semula persahabatan kita yang tidak akan berakhir sampai bila-bila," kata Dr.Sitti Raehanah, yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah.
"Friendship is the only cement that will ever hold the world together," katanya sambil memetik kata-kata Woodrow Wilson. Persahabatan adalah satu-satunya yang boleh menyatukan dunia ini seluruhnya. Sebab itu, majlis reunion itu adalah sesuatu yang memberikan kesan mendalam kepada bekas pelajarnya.
Pada sebelah pagi, bekas-bekas pelajar St Patrick itu mengunjungi sekolah lama mereka dan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti menanam bunga. Mereka juga diberikan taklimat mengenai pencapaian dan prestasi sekolah setelah mereka tinggalkan.
"Mengingati peristiwa tiga puluh tahun yang lalu, mungkin agak sukar," kata mantan Guru Besar SRK St.Patrick, Rev.Lin Fen Chong. "Tetapi apa yang saya dapat katakan di sini ialah `Saya amat berbangga dengan kalian'.Selepas puluhan tahun meninggalkan bangku sekolah, kalian masih ingat sekolah St Patrick dengan menganjurkan Majlis Reunion Dinner.
"Saya yakin , sekolah ini memberikan kesan dan impak dalam hidup kamu," katanya yang datang bersama isterinya. "Apa yang kami buat di sekolah ialah mendidik kamu dalam semua aspek, supaya kamu sihat mental dan fizikal dan baik dalam semangat berpasukan yang penting dalam kehidupan nyata.
"Dengan mengajar kamu membaca, menulis dan mengira, kami melatih kamu untuk memilih mana yang baik dan benar dan mana pula yang salah.Membuat keputusan yang betul, menyatakan sesuatu dengan tepat dan bijaksana dan menyatakan sesuatu dengan bebas, membolehkan kamu cemerlang dalam kehidupan," katanya.
"Kami tegas dalam disiplin dan serius untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan kerana kami benar-benar mahu kamu menjadi peribadi yang baik, bertanggungjawab dan berguna kepada masyarakat dan negara.
"Well done! We Are Very Proud of You," katanya.
Bagi Madam Lim Khoon Chin,mantan Pengetua SM St Patrick, majlis Reunion itu amat bermakna baginya kerana tetap diingati bekas-bekas muridnya. "Tahniah kepada penganjur yang telah bekerja kelas bagi menjayakan majlis reunion ini.Tahniah kepada semua yang telah hadir, pelajar dan guru yang sanggup datang bersama-sama," katanya. Kehadiran semua menghidupkan semangat Sekolah St Patrick di setiap relung jiwa pelajarnya.
"Saya sesungguhnya berharap, setiap kamu telah menemukan tempat di bawah matahari yang bersinar dan bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan yang baik, pasangan yang penyayang, anak-anak yang ramai, kerjaya yang baik, perniagaan yang berjaya...dan bahkan juga kegagalan dan kehampaan.Mungkin ia melukakan pada peringkat awalnya tetapi kemudian ia mampu memberikan kekuatan dan pengajaran untuk mencipta kejayaan yang lebih baik.
Walaupun dalam kesibukan tugas, Mohd.Yusof Haji Kahar yang kini bertugas di Kota Kinabalu tetap menyempatan diri untuk datang. Yusof yang dulunya dikenali sebagai juara 400m Tawau, tidak banyak berubah wataknya. Beliau tetap ceria dan gembira. Apatah lagi pertemuan dengan rakan-rakannya lamanya itu sudah lama ditunggu-tunggu.
Malam itu, guru-guru diberi peluang untuk menyampaikan ucapan. Selepas itu, tayangan slide gambar-gambar kenangan juga diadakan dan kemudian hadirin dihiburkan dengan lagu-lagu yang dinyanyikan dengan iringan band yang dipimpin oleh Leslie Yapp.
"Ramai juga rakan Kelas 87 yang hadir pada majlis itu. Antaranya Alison Wong, Rahman Soga, Salmiah Faisal, Masriah Mahmud,Sunny Kelvin, Liaw Eng Kou, Haerol Marsudin,Abd Rahman Shakir, Mohd.Rodzekey Bulka, Suudy, Sharifah Fauziah Syed Abdullah, Abd.Nasser Haji Marsus, HM Bugo, Sophia Mohd.Talip. Sunarsih Swato, Muharramah dan banyak lagi," kata Fauziyah Nurdin, yang menduduki bangku sekolah di St Patrick dari sekolah rendah hingga sekolah menengah."Seronok juga dapat jumpa rakan-rakan sekelas," katanya walaupun mereka telah terpisah puluhan tahun yang lalu.
Selain itu, ada juga datang Teck Phing Wong, Arsad Bacho, Rozuanarita Ahmad, Sapinah Salleh, Rusminah Sappi, ada Annie Chong dan yang lain-lain.
Antara yang dengan murah hati memberi penajaan untuk menjayakan majlis pada malam itu ialah Lim Meng Hon, Ayatullah Yamipalera,Julia Inggai, Leong Shi Tong,Rebecca Wong Chong Yii, Wong Soon Kaen,Chong Yuk Koung, Ajis Tambuyong, Lam Ming Keong,Mohd.Yusof Haji Kahar.
Tetapi yang paling menarik dan menjadikan malam itu agak istimewa ialah kehadiran ramai guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Antaranya Cikgu Dino (Mohd.Din Ahmad) guru biologi dan Cikgu Saruchi Sawal.
"Saya macam tak percaya berada di sini," kata Cikgu Dino yang kini bertugas di Melaka. Beliau merasa sangat gembira dapat berjumpa dengan bekas-bekas pelajarnya.
Esoknya mereka sempat bersarapan bersama-sama sebelum masing-masing menjalani kehidupan untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.
"Bila lagi berulang kenangan manis ini?," tanya Ming Faisal. Namun yang pasti, bekas-bekas pelajar St Patrick itu tidak akan melupakan sekolah, guru dan rakan-rakan mereka. Waktu mungkin berlalu dengan pantas tetapi persahabatan tetap kekal lama.

No comments: