Sunday, September 26, 2010

mustahil tanam padi, yang tumbuh lalang,kata Nandra


MUSTAHIL kita tanam padi, yang tumbuh lalang. Berbekal keyakinan itu, aktivis teater, Nandra Hitong memberanikan diri untuk mengadakan Kelas Teater Arena Pedalaman di Keningau bermula 2 Oktober nanti. Kelas teater itu terbuka kepada belia beliawanis yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang teater dan diadakan secara intensif selama tiga bulan.
Di kalangan seniman, Nandra yang lebih dikenali sebagai Nandrayanatirow memiliki keistimewaan tersendiri. Sejak menceburkan diri dalam bidang teater sejak akhir 1970-an, Nandra terus komited memajukan dalam dunia yang diceburinya. Beliau tanpa mengenal penat lelah terus mencungkil bakat dan membimbing anak-anak teater untuk terus maju melangkah.
Kelas Teater Arena Pedalaman itu akan dibimbing para profesional dalam bidang teater. Selain praktikal, peserta juga akan dibimbing dalam bidang teori. Nandra berharap kelas teater itu mampu menghasilkan pelakon-pelakon teater manakala sijil yang dikeluarkan nanti mendapat pengiktirafan daripada agensi-agensi berkaitan.
Nandra memilih daerah pedalaman untuk memulakan kelas teaternya kerana golongan belianya mempunyai minat yang tinggi untuk menceburi dunia teater dan lakonan.
"Lagipun disana saya berasa lebih dihargai berbanding di daerah sendiri," katanya. Malahan nereka sanggup mengeluarkan duit untuk biaya kursus atau seminar semata-mata untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
Berbanding dengan daerah lain, termasuk daerah kelahirannya Kota Belud, ibu bapa kadang agak berkira dan kurang bersedia membayar yuran yang tinggi walaupun kursus dan bengkel yang diadakan dapat membantu membina keperibadian dan sahsiah anak-anak mereka.
Kelas Teater Arena Pendalaman, walaupun belum memdapat bantuan yang mencukupi namun akan tetap diteruskan juga demi anak-anak bangsa yang berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang teater. "Kita terpaksa buat macam `traktor tiada lampu' yang bermaksud main redah saja tanpa pedulikan halangan.
Sebelum ini Nandra telah berjaya mementaskan teater Menambalang, yang mendapat sambutan menggalakkan di daerah itu. Apa yang uniknya Menambalang turut menampikan ketua kampung sebagai salah seorang pelakon dalam teater itu.
Katanya, Kelas Teater kali ini yang dilaksanakan selama tiga bulan dengan bayaran sebanyak RM80 seorang, iaitu yuran agak murah. Mereka yang berminat boleh menghubungi Nandra melalui telefon 0198096892 dan Noraini Abdullah melalui telefon 0138692313.

No comments: