Ahad, 26 September 2010

sambil mendengar Sumandak Kinabalu

Tags


Kami duduk di coffee house sambil mendengar lagu Sumandak Kinabalu yang dipopularkan Clarice J. Matha. Bagi sesiapa yang pernah mendengar lagu itu, mereka pastinya terhibur dan terpesona dengan ciri-ciri sumandak atau gadis Kinabalu yang halus budinya dan cantik rupanya. Di tengah-tengah alunan muzik itu, rakan saya, seorang mantan YB bertanya apakah Kinabalu masih merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara?.
Pertanyaan itu membuat saya berfikir. Apakah ada gunung lain yang sedang tumbuh menandingi ketinggian gunung Kinabalu?. Jika tidak mengapa pertanyaan itu dilontarkan kepada saya. Mengapa gunung Kinabalu diragui ketinggiannya sedangkan sepanjang pengetahuan saya, tiada puncak lain di Nusantara melebihi ketinggian gunung Kinabalu.
Mungkin saya salah dengar. Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah sejak zaman berzaman itu, sudah menjadi legenda dalam hidup mereka sehingga melahirkan mitos-mitos tertentu. Kinabalu tetap gagah dihormati dan menjadi simbol kebanggaan, kehormatan dan kegemilangan negeri ini. Gunung Kinabalu diabadikan pada lencana, logo, buku, lagu, dan sebagainya.
Sambil bercanda, seorang pemimpin veteran pernah berkata sanggup membuat pembedahan untuk memasukkan Kinabalu di dadanya. Betapa pentingnya Kinabalu sehingga ia tertanam di hati setiap warga Sabah, dan menjadi kebanggaan mereka. Banyak pencipta lagu mengabadikan Kinabalu dalam lagu-lagu mereka, mungkin sudah berpuluh-puluh jumlahnya . Dalam syair dan puisi-puisi,mungkin banyak lagi karya yang mengabdikan keindahan dan keteguhan Kinabalu.
Kalau ketinggian Kinabalu menurun? Apa yang kita dapat beritahu rakyat?. Saya yang bangun setiap pagi dan sering membuka jendela yang menghadap gunung Kinabalu merasa tidak ada yang berubah. Ketinggian gunung Kinabalu tetap sama. Tetapi rakan saya itu, menghujah bahawa ketinggian Kinabalu semakin menurun kerana kekuatan dasarnya semakin rapuh dan tidak kukuh lagi.
Jika dahulu, negeri kita adalah yang terkaya, kini ia tidak lagi semakmur dahulu. Masih terdapat rakyat yang tinggal di bawah paras kemiskinan terutamanya di luar bandar. Katanya, masih terdapat rakyat mengaduh derita kerana belum menikmati kemudahan air paip bersih sehingga kini. Malahan penduduk kampung di Kota Belud mengadu dihinggapi penyakit kulit kerana terpaksa menggunakan air graviti yang tidak dirawat.
Masalah bekalan air paip ini juga dihadapi di daerah-daerah lain. Khabarnya, seorang Timbalan Menteri Kerajaan Pusat berang dengan sikap pegawai dan jabatan kerajaan yang tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Kuala Penyu dan Menumbok sungguhpun peruntukan sebanyak RM30 juta telah disalurkan oleh kerajaan.
Penduduk kampung terpaksa memasak menggunakan air telaga iaitu sama dengan keadaan negeri sebelum merdeka. Ada pula yang terpaksa memasak air mineral untuk bekalan minuman sehingga ada diantaranya sakit perut. Masalah bekalan air sebenarnya semakin kritikal dan perlukan perhatian segera kerana rakyat sudah lama menunggu agar permasalahan mereka ini menemui jalan penyelesaian.
Sementara itu, kadar pengangguran semakin tinggi di kalangan belia malahan di kalangan lepasan ijazah juga masih terdapat ramai yang tidak mempunyai kerja. Beliau mendakwa peluang pekerjaan juga semakin sedikit kerana ekonomi bergerak agak lembab. Saya keberatan untuk bersetuju dengan kenyataan itu tetapi kerana tidak ada data yang tepat untuk mengukurnya, saya hanya diam mendengarnya.
Masih banyak kemudahan pendidikan seperti sekolah yang pelu diperbaiki. Banyak sekolah menengah masih menumpang di sekolah rendah dan banyak lagi permasalahan pendidikan yang perlu diatasi. Kemudahan asas luar bandar termasuk pembinaan jalan raya, bekalan air bersih dan tenaga elektrik di luar bandar perlu diberikan keutamaan dalam Bajet 2011 akan datang.
Kita berharap, perhatian khas yang diberikan Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan barisan kabinetnya terhadap keperluan dan permasalahan rakyat Sabah sedikit sebanyak mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk terus memberikan sokongan jitu kepada kerajaan.
Kerajaan Negeri dibawah Kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman juga mampu membawa pembangunan yang lebih banyak untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini. Bagaimanapun, kerajaan perlu mengambil langkah untuk memastikan program-program kerajaan mencapai matlamat dan sasaran manakala projek-projek yang dilaksanakan memberikan manfaat kepada rakyat seluruhnya.
Sebenarnya banyak perkara yang kami bahaskan pada malam itu. Saya juga menanyakan kewajaran pemilihan Tan Sri Ghani Gilong sebagai salah seorang tokoh yang diberi anugerah sempena Hari Malaysia. Rakan saya mempertahankan pemilihan tokoh dengan menyatakan bahawa Ghani Gilong memang merupakan seorang tokoh sangat berjasa ke arah pembentukan Malaysia selain Tun Datu Mustapha, Tun Fuad, Khoo Siak Siew dan sebagainya.
"Tanpa pengaruh Ghani Gilong, pembentukan Malaysia pada 1963, mungkin menghadapi kendala yang besar," katanya. Hasil dukungan Ghani Gilong, masyarakat Dusun Kadazan di pedalaman memberikan sokongan terhadap Gagasan Malaysia.
Sumandak Kinabalu, meskipun hanya sebuah lagu, tetap memberikan makna dan menghidupkan wacana untuk mengukur semula kehebatan, keistimewaan dan kegagahan gunung Kinabalu dan persoalan di sekitarnya.