Friday, September 17, 2010

Sepetang bersama anak-anak Kaiduan


Emma Pius kelihatan malu-malu ketika saya bertanya kepadanya.
"Saya bercita-cita menjadi doktor," kata 6mgadis berusia 13 tahun itu. Rakannya, Amelina juga mahu `menjadi doktor. Jarlin yang duduk di tepi sekali pula bercita menjadi polis.
"Di kampung kami, belum ada orang yang menjadi doktor," kata Emma. "Saya mahu mengubat orang sakit," katanya kepada saya dalam perjalanan ke Kampung Kaiduan, Papar.Sekolah ditutup selama dua minggu dan petang itu, mereka pulang ke rumah masing-masing.

Mereka merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut Papar. Hari itu, Cikgu Abdul Hamid Abu Bakar ditemani Cikgu Azmi Mohd. Buang mengambil inisiatif menghantar mereka pulang kampung dengan kereta Hi-Lux yang dipandu Ibrahim Dukalan. Pelajar-pelajar dari Kaiduan dan kampung-kampung di sAekitarnya, 12 orang semuanya, terpaksa bersesak-sesak dalam kereta itu untuk pulang kampung.

Saya diajak Cikgu Hamid untuk ikut serta bagi merasai pengalaman `naik bukit, turun bukit' semata-mata untuk menimba ilmu. Jarak antara Kampung Kaiduan dengan SMK Kinarut memang agak jauh.

Sebelum ini mereka terpaksa berangkat dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mereka berjalan kaki dari rumah hingga ke sekolah dan tiba di sekolah sebelum loceng dibunyikan. Mereka terpaksa berjalan kaki menyusuri jalan berbukit bukau yang sepi, meredah dingin udara pagi dalam cuaca yang kadangkala hujan.Namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk ke sekolah.

"Kamu tidak takutkah jalan pagi-pagi?" saya bertanya kepada Emma. "Kami nda takut,Biasa saja," kata gadis bersemangat waja itu.Dia yang terpaksa mengharungi tiga sungai dari kampungnya sebelum merentasi jambatan gantung di Kaiduan, benar-benar dahagakan ilmu pengetahuan.

"Kenapa mahu jadi doktor?

Emma mahu menjadi doktor kerana setiap kali dia menyaksikan betapa orang-orang dari kampungnya terpaksa berjalan kaki berkilo-kilometer jauhnya untuk ke Pekan Kinarut bagi mendapatkan rawatan di Klinik.

"Kalau saya jadi doktor, saya boleh merawat ibubapa saya," katanya.


Jika ada rumah persinggahan di tengah jalan dibina untuk kemudahan mereka, barangkali itu akan lebih baik. Tetapi setakat ini mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa kemalaman di tengah perjalanan jika tidak ada kenderaan yang mereka dapat tumpangi.

Bagi kanak-kanak seperti Emma, kehidupan ibubapa mereka yang kebanyakannya menjadi petani, mendorong mereka untuk belajar lebih tinggi lagi.Selain Emma, terdapat berpuluh-puluh pelajar lagi dari Kaiduan, Bisuang,Tamahing,Mondikot,Malansi, Moliun dan kampung-kampung lain.

Saya sempat juga berkenalan dengan Victor,Joel,Gerard,Libri dan pelajar-pelajar lain yang saya tidak ingat nama mereka. Biasanya kos tambang dari Kaiduan ke Kinarut ialah RM5.00 tetapi kalau ada kereta, "kadang kami tidak minta tambang daripada kami", atau kadang ada juga yang membayar RM1.00. Tetapi oleh kerana mereka pelajar sekolah, maka pemilik kenderaan tidak menagih tambang daripada mereka.

Namun dalam banyak waktu, mereka terpaksa berjalan kaki dari rumah untuk ke sekolah di SMK Kinarut. Saya dapat membayangkan betapa sukarnya mereka ke sekolah dengan hanya berjalan kaki. Berjalan kaki lebih tiga jam ke sekolah memang menuntut kecekalan dan ketabahan.

Cikgu Abdul Hamid memberitahu saya mengenai kesukaran para pelajar itu untuk ke sekolah. Walaupun pelajar itu kini ditempatkan di Asrama Sekolah, tetapi mereka tetap memerlukan sebuah rumah persinggahan yang perlu dibina di pertengahan jalan untuk berteduh daripada cuaca atau berehat melepaskan lelah. Rumah persinggahan itu perlu dibina untuk kegunaan penduduk kampung untuk berulang alik ke Pekan Kinarut yang jauh jika ditempuh dengan berjalan kaki.

Kaiduan, Bisuang,Tamahing, Mondikot dan sebagainya merupakan kampung terpencil yang perlukan perhatian daripada kerajaan terutamanya dalam memastikan anak-anak kampung itu mampu menikmati kemudahan pendidikan yang memadai. Selain itu kebajikan penduduk kampung juga perlu diberikan keutamaan. Bagaimanapun, penduduk kampung menikmati bekalan elektrik dan bekalan air paip. Cuma kemudahan jalan raya perlu diperbaiki bagi membolehkan petani memasarkan hasil pertanian mereka supaya mereka dapat menambahkan sumber ekonomi sekaligus dapat memperbaiki taraf ekonomi mereka.

Masyarakat kampung telah meminta kerajaan supaya memperbaiki kemudahan jalan raya di Kaiduan dan kampung sekitarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidar Khan yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar turut memberikan perhatian terhadap masalah itu dan telah beberapa kali membangkitkan masalah itu dalam sidang DUN. Beliau juga difahamkan selalu turun padang melawat Kaiduan. Begitu juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Rashid Shirlin juga menunjukkan keprihatian terhadap permasalahan penduduk kampung.

Jika kerajaan dapat memperbaiki kemudahan prasarana seperti jalan raya, adalah tidak mustahil cita-cita Emma, Amelina, Jarlin dan anak-anak lain untuk menjadi orang berguna akan tercapai.

-tersiar di Utusan Borneo 18 September 2010

No comments: