Jumaat, 17 September 2010

Tags




SOKONGAN RAKYAT SEMAKIN MENINGKAT,KATA NASHARUDIN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


Tepat jam 7.00 pagi, saya sudah berada di pintu masuk Hotel Promenade untuk memenuhi temujanji dengan Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Nasharudin Mat Isa. Jadual lawatannya ke Sabah agak ketat tetapi beliau bersetuju ditemubual sebelum berangkat ke Kuching pada pagi 17 September itu.

Sebaik bertanya khabar, tanpa berlengah saya mengeluarkan buku nota. Ustaz Nasharudin yang mengenakan kemeja biru lengan pendek kelihatan tersenyum ketika saya memulakan pertanyaan dengan menyoal sejauh mana sokongan rakyat Sabah terhadap kehadiran parti itu di negeri ini.

"Alhamdulillah, sambutan rakyat Sabah jauh lebih baik dan menunjukkan banyak peningkatan," kata Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok.

"Ini satu petanda yang baik untuk Pakatan Rakyat (PR) melangkah maju di Sabah," katanya kepada Utusan Borneo, sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu paling terkemuka di Sabah.

"Hatta, kepada PAS sendiri, sokongan pelbagai peringkat, dari kalangan Islam dan bukan Islam sangat menggalakkan," kata Nasharudin yang merasa optimis terhadap masa depan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Tokoh pemimpin PAS yang lahir di Negeri Sembilan pada tahun 1962, Nasharudin Mat Isa merupakan mantan pensyarah universiti sebelum beliau memutuskan untuk menceburkan diri dalam bidang siasah pada tahun 1999.

Kemampuannya menguasai pelbagai bahasa asing seperti Inggeris, Perancis, Urdu dan pastinya bahasa Arab, memberi banyak kelebihan kepada tokoh ini.

Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah St.Gabriel Kampung Pandan Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Grafik dan Senireka. Selepas itu, Nasharudin melanjutkan pengajian Islam di Kolej Darul Ulum Lucknow India sebelum ke Jordan bagi mempelajari bahasa Arab selama dua tahun.

Ustaz Nasha mendalami undang-undang syariah di Fakulti Syariah selama lima tahun di Jordan sebelum kembali ke tanahair dan seterusnya dilantik sebagai pembantu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak. Beliau kemudiannya berangkat ke Universiti Glasgow England selama dua tahun dan pada tahun 1993, kembali ke UIAM untuk menyiapkan Sarjana Undang-Undang Perbandingan. Kemudian beliau dilantik sebagai pensyarah undang-undang di UIAM sebelum berpindah ke UKM Bangi pada 1997.

Dua tahun kemudian, pada tahun 1999, beliau meletakkan jawatan sebagai pensyarah seterusnya meninggalkan dunia akademik. Selepas itu, beliau dilantik oleh Presiden PAS ketika itu, Datuk Haji Fadzil Noor sebagai Setiausaha Agung PAS.

Penglibatan Nasharudin dalam PAS, sebenarnya bermula sebaik beliau kembali ke tanahair. Ketika itu, Nasharudin bergerak aktif dalam Dewan Pemuda PAS dan menjadi Exco Antarabangsa. Pelantikannya sebagai Setiausaha Agung, walaupun mengejutkan banyak pihak tetapi telah mencorakkan masa depan PAS dan memberi keyakinan baru terhadap parti itu.

Nasharudin kemudian terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS. Selepas menang dalam pilihanraya 1999 sebagai Ahli Parlimen Yan Kedah, beliau bagaimanapun tewas dalam pilihanraya 2004 ketika bertanding di Besut, Terengganu. Dalam pilihanraya umum ke 12 pada 2008, Nasharudin memenangi kawasan Parlimen Bachok.

Walaupun menduduki hirarki tokoh nombor dua dalam kepimpinan PAS Pusat, Nasharudin tetap dengan gayanya yang sederhana Tutur katanya lembut dan bersahaja, dan mudah didekati.

Ketika ditanya mengenai sokongan bukan Islam kepada parti itu , Nasharudin berkata, Dewan Himpunan Penyokong PAS kini mempunyai keahlian mencecah 20,000 orang.

"Ini merupakan satu manifestasi sokongan masyarakat non-muslim terhadap perjuangan PAS yang tidak berlandaskan perkauman yang sempit, dan bukan bersifat anti agama lain...Risalah Islamiah diturunkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam, sama ada untuk orang Islam atau bukan Islam," jelasnya.

Menurutnya, jumlah sokongan masyarakat non-muslim semakin bertambah dan peranan mereka juga besar dalam merubah lanskap politik negara.

Beliau berkata, keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS kini mencecah 20,000 orang malah beliau tidak menolak kemungkinan orang bukan Islam menjadi calon dalam pilihanraya ke-13 dan ia tidak menjadi satu permasalahan asalkan mereka menerima ketentuan dan peraturan parti.

PAS, kata Nasharudin lagi, akan terus menjamin kebebasan beragama, kebebasan berniaga dan kebebasan menjalankan adat dan budaya masing-masing.

Mengenai isu politik perkauman yang sempit, Nasharudin berkata, isu perkauman adalah senjata akhir yang digunakan lawan untuk meraih sokongan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menekankan, masyarakat kini sudah dapat menilai keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengurus tadbir beberapa negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Selain itu, PR juga mampu mengurus ekonomi dengan baik dan pentadbiran kerajaan negeri di empat negeri yang dikausai Pakatan berjalan dengan baik.

Sementara itu, Populariti BN semakin menurun dan BN terpaksa mencari formula untuk mengembalikan sokongan rakyat bagi menghadapi pilihanraya ke-13 dan salah satu yang dibangkitkan ialah isu perkauman yang telah ketinggal dan menjadi bahan kempen tahun-tahun 60-an dan 70-an.

Katanya, dalam abad ke-21, rakyat di negara ini semakin terdedah dengan maklumat dan bersikap realistik dengan penduduk negara yang berbilang kaum dan agama.

"Kita harus saling hormat menghormati dan harus maju ke hadapan," kata Ustaz Nasharudin lagi. Katanya, tanpa menafikan kebanggaannya menjadi orang Melayu dan beragama Islam, beliau berkata Tuhan menjadikan manusia berbilang kaum malah berbilang agama untuk saling kenal mengenali atau dalam bahasa arabnya li taarafu, supaya rakyat dapat hidup seharmoni yang mungkin.

Nasharudin juga menyatakan kesediaan parti itu untuk mengadakan dialog dengan semua pihak termasuk UMNO bagi membincangkan hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama.

"Ada banyak isu yang boleh dibincangkan," katanya sambil menyatakan bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka demi masa depan yang lebih baik.

Beliau juga menekankan bahawa urus tadbir kerajaan harus diperbaiki dan mereka yang diberikan amanah mesti melaksanakan amanah dengan baik, mesti bersih, tidak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

Nasharudin mengulangi bahawa PAS sentiasa terbuka dan sedia berdialog dengan sesiapa saja ," tidak semestinya hanya UMNO tetapi dengan semua pihak", dan kini telah dan akan meneruskan usaha berdialog untuk kepentingan negara.

Berdasarkan sokongan rakyat terhadap program-program anjuran PAS dan Pakatan Rakyat, beliau yakin PR akan mampu memenangi kerusi di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya ke-13.

Menurutnya, keupayaan PAS dan PR mentadbir empat buah di Semenanjung mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu. Sambil itu, beliau menyatakan PAS juga telah membuat persediaan untuk menghadapi pilihanraya di negeri itu.

"Saya akan ke Kuching sebagai pengarah pilihanraya PAS dan kita sudah menjalankan kerja-kerja persiapan awal untuk menghadapi pilihanraya itu," katanya.

Beliau berkata, PR sudah bersedia untuk bertanding satu lawan satu dan pihaknya telah mengenalpasti kawasan DUN yang akan ditandingi.

"Rangka kerja sudah kita buat dan persiapan kita sudah bermula," katanya sambil berkata bahawa rakyat perlukan perubahan dan memastikan mereka yang diberikan amanah akan menjalankan tanggungjawab dengan telus, amanah, jujur dan adil.

Di Sabah, kata Nasharudin, penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan KeADILan akan memastikan rakyat memberikan sokongann dan akan memastikan jentera parti bergerak dengan lebih giat lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangannya sejak mula ditubuhkan hingga kini.

"Namun kita tidak menafikan hakikat bahawa sejajar dengan perkembangan semasa, kaedah untuk menjayakan perjuangan akan sentiasa berubah," katanya.

"Usah keliru , kita hanya merubah strategi dan pendekatan dan tidak bermakna kita mengabaikan dasar perjuangan parti," katanya sambil menjelaskan "inilah yang sedang dilakukan oleh PAS"

Katanya, PAS tidak sama sekali menghalang kebebasan beragama, kebebasan berniaga dan kebebasan mengamalkan adat dan budaya masing-masing malah adat dan budaya akan terus diberi ruang untuk dilestarikan.

"Itulah tawaran PAS kepada rakyat Malaysia," katanya. Tagline "PAS untuk Semua", katanya yang mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Munirah Mahmud dan dikurniakan empat cahaya mata.

Ustaz Nasharudin yakin Pakatan Rakyat (PR) mendapat sokongan yang meningkat di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya ke-13 akan datang. Walaupun saya masih mempunyai banyak pertanyaan tetapi dalam waktu sesingkat itu, ia terpaksa dipendamkan buat sementara kerana beliau perlu ke lapangan terbang selepas itu.