Ahad, 26 September 2010

tiga buku tulisan tiga wartawan

Tags

Sepanjang bulan lalu, saya sempat membaca tiga buku yang dihasilkan oleh tiga penulis yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan. Ketiga-tiga buku yang saya baca itu ialah Memoir Anak Sisa Peperangan karya R.M Jasni, Salarom karya Emin Madi dan buku Sepasang Kasut dan Selipar Jepun di Bumi Abu Sayyaf hasil tulisan Jackson Sawatan.
Buku Memoir Anak Sisa Peperangan yang ditulis oleh Datuk RM Jasni merupakan riwayat hidup, bermula sejak zaman kanak-kanaknya di Sandakan ketika Perang Dunia Kedua dengan segala penderitaan yang dialaminya sehingga terdampar di Kuala Tongod. Selepas perang beliau bersama ibunya kembali ke Keningau.
RM Jasni menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1952 dan menamatkan pengajian pada 1954 dan terus berkhidmat sebagai guru selama lima tahun di beberapa buah sekolah rendah kerajaan.
Pada tahun 1960-1962, RM Jasni bertugas di bahagian Bahasa Melayu, Jabatan Penyiaran Sabah sebagai Penerbit, Penyiar Berita, Majalah Radio dan Sastera. Kemudian pada 1963-1964, beliau bertugas di Jabatan Pembangunan Koperasi sebagai pegawai pertama Pembangunan Koperasi bagi kawasan Pedalaman.
Pada tahun 1967, beliau telah mengikuti Kursus Intensif Bahasa Inggeris di Language Institute, Victoria Universitym Welilington New Zealand diikuti Kursus Sains Politik dengan pengkhususan bidang pentadbiran kerajaan tempatan daan kepimpinan di bawah Rancangan Colombo.
Pada tahun 1972-1974, RM Jasni terlibat dalam pembentukan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri dan merangka dasar kebudayaan negeri di peringkat awal penubuhannya.
RM Jasni menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah pada 1975 dan dilantik menjadi Setiausaha Politik Kementerian Kerajaan Tempatan manakala pada 1982-1989, RM Jasni dilantik sebagai Senator selama dua penggal. Buku memoir Anak Sisa Peperangan itu merupakan sebuah buku yang patut dibaca oleh generasi muda kita.
Sementara itu, Emin Madi melalui novel Salarom bercerita mengenai seorang mantan wartawan yang tiba-tiba memutuskan untuk berhenti kerja dan pulang ke daerah asalnyaa. Novel yang memenangi Hadiah Utama Sayembara Mengarang Sempena Sambutan 50 tahun Merdeka anjuran DBP pada tahun 2007 mengisahkan perjuangan warga Salarom mempertahankan tanah dan kampung halaman mereka daripada kerakusaan pembangkang.
Emin yang menjadikan angan-angannya untuk menjadi penulis sebagai satu realiti berkata bahawa beliau tidak menafikan bahawa pengalaman bidang kewartawanan banyak membantunya terutama dari segi disiplin menulis, khususnya penulisan yang bercorak penyelidikan.
Salarom berkisar pada kehidupan unik masyarakat kaum Murut di kampung Salarom, sebuah desa terpencil di daerah pedalaman Pensiangan, Keningau. Emin pernah memberitahu saya bahawa beliau mendapat ilham menulis novel itu setelah berpeluang berkunjung ke perkampungan terpencil itu, iaitu setelah menyertai satu rombongan pegawai pelajaran Pedalaman Keningau yang membuat lawatan ke kampung itu beberapa tahun lalu.
“Saya bukan sahaja terpikat dengan suasana dan keindahan alam semulajadi di persekitarannya, tetapi juga dengan cara hidup masyarakat Murut yang ‘tahan lasak’,” kata beliau yang sangat meminati novel-novel karya pengarang antarabangsa seperti Harper Lee, Paolo Coelho, Haruki Murakami, Khalid Hosseini dan Jeffrey Archer.
Menurut Emin, Salarom cuba menyelami budaya hidup masyarakat kaum Murut di kampung tersebut yang masih kaya dengan adat resam.Salarom ‘bergolak’ selepas kunjungan seorang Wakil Rakyat yang mengumumkan rancangan Kerajaan untuk memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru.
Pada waktu yang sama kehadiran dua orang pelawat luar, seorang wartawan dari Kuala Lumpur dan seorang pelancong warga Jepun, menguatkan lagi konflik dan drama penceritaan novel setebal lebih 334 muka surat itu.Selain itu, Salarom juga cuba mengetengahkan ‘mesej-mesej’ tertentu mengenai isu-isu tertentu termasuklah soal sejarah, budaya dan alam
Buku ketiga yang menarik perhatian saya ialah Sepasang Kasut dan Selipar Jepun di Bumi Abu Sayyaf hasil tulisan Jackson Sawatan. Jackson yang kini bertugas sebagai wartawan kanan di Bernama Kuala Lumpur, menghasilkan buku ini berdasarkan pengalamannya ketika membuat liputan kes penculikan tebusan Sipadan pada tahun 2000.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Tingkalanon Tandek, merupakan graduan awal Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya. Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan beliau telah melawat Taipei, Sulawesi, Mindanao, Stockholm, Monaco dan Tokyo. Pengalamannya ketika bertugas di Pulau Jolo itu, dan bertemu dengan gerombolan Abu Sayyaf merupakan satu episod yang mencabar. Tidak ramai wartawan Malaysia yang memiliki pengalaman seperti yang dimiliki oleh Jackson Sawatan dan saya fikir, buku Sepasang kasut dan Selipar Jepun yang turut memenangi Hadiah dalam Peraduan Menulis Biografi anjuran DBP Sabah merupakan sebuah buku yang patut dimiliki dan dibaca oleh mereka yang sukakan pengembaraan dan cabaran.