Rabu, 20 Oktober 2010

Ann, kehidupan ini sepatutnya lebih indah

Tags

ANN, KEHIDUPAN INI SEPATUTNYA LEBIH INDAH

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Ann, ketika anakku bertanya, dimana lagi tempat yang selamat untuk kehidupan kita, sesungguhnya aku tidak berani menjawabnya. Hari itu, selepas kau tidak pulang lagi, aku menjadi terdiam dan termangu buat beberapa lamanya di depan skrin komputer. Marah, sedih dan kecewa, semuanya bersatu dalam gelapnya harapan.
Kita mungkin tidak pernah bertemu, dan aku yakin tidak mungkin lagi bertemu. Kau pergi begitu tiba-tiba, tanpa sempat pamit pada keluarga atau orang yang tersayang. Entah kenapa di dunia ini, ada orang yang sebegitu kejam, kelihatan seperti manusia tetapi perilakunya buas seperti binatang malah lebih ganas daripada itu.
Beberapa lamanya kami termangu. Seperti tak percaya, di negeri kita ini, ada orang yang begitu tega memadamkan hidup orang lain untuk mencapai tujuannya, juga kerakusan, ketamakan dan hidup yang tanpa pegangan. Kami menjadi begitu marah kerana ada orang seperti itu, yang kejam membunuh, entah kerana dendam, kerakusan atau apa saja, yang sepatutnya tidak mungkin dapat dimaafkan, oleh orang mempunyai hati nurani.
Kekejaman demi kekejaman berlaku setiap masa dan ketika. Kini kami semakin bimbang melihat bagaimana dunia yang dulunya beradab kini penuh gelora dan penghuni yang salah tingkah. Ramai telah berpaling daripada agama dan hidup tanpa pedoman. Ada diantaranya menjadi benda benda sebagai tuhan mereka sehingga tidak pedulikan lagi hidup orang lain atau sesama mereka.
Tidak ada lagi rasa keprihatinan dan kasih sayang. Tidak ada lagi rasa kasih dan cinta, sebaliknya mereka hidup dalam dendam dan kebencian. Mereka meremehkan segala kejadian Tuhan sedangkan Tuhan begitu adil dan teliti mencipta segala sesuatunya. Bahkan embun di hujung daun pun, telah diatur perjalanannya sebegitu rupa. Kita manusia menjadi golongan yang tak bersyukur dan kerana itu, kita sanggup berbuat apa saja kerana telah lupakan sang pencipta kita.
Ann, ketika anakku bertanya, dimana lagi tempat yang selamat untuk hidup yang lebih selamat, aku tidak menjawabnya.Sama seperti anak-anak lain, mereka juga diselimuti kebimbangan kebimbangan.
Apakah mereka hidup dalam persekitaran yang selamat? Persekitaran yang ramah, yang mesra, yang ceria?. Persekitaran dimana semua orang hidup dengan perasaan aman, dimana semua orang mempunyai kerja dan tiada pengangguran. Dimana semua orang di sekitar menjadi warga negara yang penuh cinta dan bermaruah.
Pemergianmu seolah mengisyaratkan bahawa dunia ini semakin tua dan lelah. Setiap hari di kaca tv, di suratkhabar, di internet, facebook dan sebagainya, kita melihat betapa dunia yang kita kongsikan ini tidak selamat. Tidak selamat untuk kehidupan. Setiap hari ada kejadian pembunuhan dan penganiyaan. Jenayah berlaku bukan di Eropah atau Amerika tetapi di negeri kita, di daerah kita, di kampung kita malah di dihadapan mata kita.
Kutahu kau tidak akan pulang lagi. Malaikat telah membawamu ke seberang sana, ke alam yang lebih kekal dan abadi. Kami percaya, setiap dosa walaupun sebesar debu dan zarah tetap akan diadili, dan setiap pahala meski sekecil manapun tetap akan dihitung dihadapannya.
Yakinlah bahawa setiap perbuatan tetap ada pembalasannya. Tuhan adalah hakim yang maha bijaksana, dan kau tak perlu meraguinya. Aku yakin setiap segala sesuatunya dalam hidup kita ini tidak terlepas dari perhatiannya.

1 comments so far

abg nad, cantiknya tulisan ini. boleh dijadikan cerpen.

kebetulan nama Ann itu besar maknanya bagi pa'al dan kawan2 yg baru kehilangan seorang sahabat bernama Ann.....tulislah abg nad, jadikannya panjang sedikit dan buat sebuah cerpen!