Sunday, October 10, 2010

BEBERAPA CATATAN MUTAKHIR SASTERA KITA

BEBERAPA CATATAN MUTAKHIR SASTERA KITA
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
Hujan turun dengan lebatnya sebaik-baik kami tiba di Kampung Senaja, Pitas. Petang Sabtu, biasanya sunyi di kampung yang cantik tetapi terpencil itu. Tetapi pada hari yang indah itu, sejak awal pagi lagi, masyarakat kampung sudah menghadirkan diri dalam majlis Derau Bahasa dan Sastera Peringkat Daerah Pitas.
Program itu diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 yang diadakan serentak di seluruh negara. Di Pitas, Derau Bahasa diserikan dengan gotong-royong kenduri, Bengkel Penghayatan Bahasa yang dibimbing Cikgu Ramlie A.R, Kegiatan tradisi seperti sukan tradisi dan busana tradisi, Kenduri Tradisi yang diserikan dengan makan berhidang secara bersila dan Malam Apresiasi Bahasa yang turut menampilkan Tarian Kebudayaan Etnik Sungai, Deklamasi Puisi oleh penyair daerah Pitas seperti Juri Durabi, dan Pelancaran Buku Hujan Rindu dengan iringan kulintangan.
Derau Bahasa dan Sastera Peringkat Daerah Pitas anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Pejabat Daerah Pitas itu sudah tentu mampu mendekatkan lagi masyarakat daerah Pitas dan merangsang minat mereka untuk membantu memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan di tanahair kita.
Daerah Pitas seharusnya berbangga kerana melahirkan ramai penulis di negeri ini. Antaranya Juri Durabi, Haji Alipah Jambuan, Jair Sulai dan beberapa nama lain. Juri Durabi, misalnya bukan saja dikenali sebagai penyair, cerpenis dan novelis. Juri telah mampu menempatkan dirinya di persada sastera di peringkat nasional.
Kita juga patut berbangga kerana sejak akhir-akhir ini muncul keghairahan baru di kalangan penulis Sabah untuk menghasilkan karya-karya mereka dan diterbitkan oleh syarikat penerbitan terkenal tanahair.
Kehadiran karya karya terbaru yang dihasilkan Ruhaini Matdarin, seorang novelis yang berpotensi dan menjanjikan harapan, patut diberikan perhatian dan sokongan. Sebuah novelnya yang baru diterbitkan DBP, kalau tak silap saya bertajuk Nurbalkis, patut dibaca oleh khalayak sastera kita.
Sebuah lagi khabar menarik yang saya terima ialah kemunculan seorang penulis wanita dari Kota Belud, Raiza Ruhila dengan novelnya Dua Garis Cinta. Novel itu sudah pasti mewarnakan lagi dunia sastera kita. Ini merupakan isyarat yang jelas bahawa Sabah mampu melahirkan penulis-penulis berkualiti.
Walaupun masih belum sempat membaca kedua-dua novel itu, saya yakin, kehadiran karya Ruhaini Matdarin dan kemunculan Raiza Ruhila pastilah ditunggu-tunggu oleh peminat sastera kita.
Baru-baru ini, melalui laman sosial facebook, saya sempat berhubung dengan Julia Unggai. Julia, seorang penulis berasal dari Tuaran kini bermastautin di sebuah kota di Amerika Syarikat mengikut suaminya. Julia, mantan pensyarah di UKM dalam bidang psikologi pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah kerana esei-esei kritikannya yang tinggi nilainya. Julia juga menulis novel dan cerpen- yang biasanya menggunakan pendekatan psikologi. Khabarnya, beliau sedang menulis karya sastera dan akan pulang ke tanahair, pada tarikh yang belum ditentukan lagi.
Beberapa minggu sebelumnya, saya dikejutkan dengan perkhabaran seorang lagi penulis wanita dari Sabah yang kini menetap di Pulau Pinang. Norjanah MA yang biasanya dipanggil Kak Janah itu menyatakan kerinduannya untuk kembali menulis dan memeriahkan lagi sastera Sabah yang telah lama ditinggalkannya.
Norjanah merupakan seorang penulis yang prolifik pada penghujung 80-an dan awal 90-an. Entah kenapa selepas berpindah ke Semenanjung, Kak Janah sepi tanpa berita. Setelah lebih 10 tahun menghilang, Kak Jannah memaklumkan hasrat untuk kembali menulis. Ia merupakan satu perkhabaran yang sangat menarik.
Dalam puisinya Aku Dalam Kota Rindu, Kak Norjanah MA menulis "Malam/suara laut semakin keras/sebentar lagi kemarau/ada isyarat/nelayan memunggah pukat/ tawa akan senyap/mentari hilang di ufuk timur/ di dada perawan/ada yang mengutip jerami terbakar...
"Malam/izinkan ku tidur/di sisimu/kugenggam satu bicara/kunanti kau/kunanti kau/hingga ke pinggir subuh."
Satu lagi puisinya bertajuk Sepi. "Sepi itu indah?/di wajahmu terlukis wajah alam/ disambar luka dan derita/tidak pernah kau minta apa/cuma nyaman sentuhan tangan/ dari mereka di luar sana/sedang ratapmu siapa yang tahu/ratapan hiba hingga ke mana/anak-anak dengarkanlah/suara bonda yang hilang mimpi/cuma menanti warna yang pasti/kembara akhir yang dinanti/berikan dunia ceria/ajak hatinya pergi.
"Berjalan di padang cinta/sentuh jiwanya/jangan biar bonda menangis". Demikian dua puisi karya Norjanah MA yang menyentuh jiwa.
Sambil menanti warna yang pasti, mari kita berjalan di padang cinta dan menyentuh jiwa sastera kita

No comments: