Sunday, October 3, 2010

Budaya kita pupus jika tidak didokumentasi

BUDAYA KITA PUPUS JIKA TIDAK DIDOKUMENTASI
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

SETIAP kali balik kampung di Kota Belud, saya selalu teringat waktu ketika masih kanak-kanak dahulu. Banyak kenangan yang indah.Salah satunya ialah ketika habis membaca muqadam. Pakcik saya yang menjadi guru mengaji selalu meminta untuk memicit-micit kakinya. Sambil itu, banyaklah `iringa' dalam bahasa Iranun atau dalam bahasa Melayunya `dongeng' yang diceritakannya selain daripada kisah-kisah nabi dan para sahabatnya.
Tidak semua `iringa' yang boleh saya ingat. Kebanyakan kisah berisi teladan itu telahpun terlupakan . Kisah si amu' dan si bau (monyet dan kura-kura), si amu agu si talaung (monyet dengan bangau) ,si pilandok agu buaya (pelandok dan buaya) si kapangau, si usi, si tarabusau, si ragasi dan lain-lain. Selain pakcik saya, seorang nenek , arwah `apu pipih' dan arwah `ina itu' " juga mempunyai banyak koleksi cerita rakyat.
Apabila seorang budayawan, Haji Ahmad Duraman meninggal dunia, beberapa tahun yang lampau, saya merasa hampir semua khazanah budaya Iranun yang dikuasainya turut disemadikan bersamanya. Seolah-olah satu perpustakaan Iranun lenyap begitu saja dengan pemergiannya. Siapa tidak kenal arwah Haji Ahmad (amai melin) di Kampung Tamau, selain sebagai bomoh, beliau menguasai epik Iranun seperti darangen dan puisi bayuk Iranun yang mengandungi nilai sastera yang tinggi.
Kira-kira tiga bulan yang lalu, ketika ayah saya, Hj Shaiddin, kembali ke rahmatullah, saya berasa ayahanda juga pergi bersama banyak sastera lisan yang tak sempat dirakamkan. Mujur ada buku syair karangan beliau yang dapat diselamatkan sementara hasil tulisannya yang lain, hilang entah kemana. Sebagai seorang budayawan, ayah saya juga seorang juara pantun dan mahir seni `kalang sama'
Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bagi budaya Bajau dan Iranun yang turut dikuasainya. Saya merenung jauh, betapa ramainya sudah, orang-orang tua kita pergi tanpa sempat kita merakamkan seni budaya bangsa yang mereka kuasai.
Bayangkan jika kesemua 35 etnik di Sabah memiliki tradisi lisan yang telah dirakamkan. Daripada jumlah itu, dikatakan terdapat 215 sub etnik dalam pelbagai dialek bahasa yang tersebar di seluruh Sabah juga memiliki cerita dan tradisi lisan masing-masing. Betapa kayanya sastera dan peradaban di negeri ini, jika semua sastera etnik di Sabah didokumentasikan dan dirakamkan.
"Kalau tidak didokumentasikan, budaya kita akan pupus," kata Datu Rosmadi Datu Sulai, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah. Datu Rosmadi menyatakan bahawa kajian dan penyelidikan perlu diperbanyakkan kerana jika tidak, satu waktu nanti budaya kita akan hilang.
"Umpamanya, kajian perlu dibuat mengenai teknologi menangkap ikan, usaha -usaha pelasteraian alam, sistem tagal di laut, cara membuat belacan, cara membuat perahu, kerana jikalau tidak direkodkan, ini semua akan hilang satu masa nanti," katanya.
Cerita rakyat, dongeng, peribahasa, dan hasil sastera kita akan hilang. Sebahagiannya telahpun hilang seperti teknologi membuat garam, teknologi membuat `rabur' atau simen di kalangan masyarakat Iranun. Selain itu, teknologi membuat gula tebu pula kini telah dimajukan dan tidak lagi menggunakan kerbau sebaliknya menggunakan mesin.Ini semua patut dirakam dan didokumentasi dalam bentuk buku.
Sabah memang memiliki keunikan dan keistimewaan. Menurut kajian terkini, Lembaga Kebudayaan Sabah mewartakan atau menggazet bahawa negeri Sabah memiliki 35 etnik dan 215 subetnik dalam pelbagai dialek bahasa.
Suku bangsa Bajau juga mempunyai banyak sub etnik. Murut juga boleh dibahagikan kepada murut Tahol, Murut Timugong, Serudong, Nabai dan sebagainya. Sementara Persatuan Bahasa Sungai Sabah (SABAS) menetapkan bahawa bangsa Sungai merupakan istilah generik yang merangkumi 30 subetnik iaitu Begahak, Bengkoka, Buludupi, Dewara, Dumpas, Idahan, Inokang, Kalabuan, Kuamut, Lingkabau, Liwago, Makiang, Mangkaak, Milian, Minokok, Paitan, Pingas, Puawang, Rumanau, Segilitan, Sinobu, Sinorope, Subpan, Sugut, Sukang, Suyat, Tambangan, Tengara, Tinagas, dan Tindakon.
Sementara itu, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menyatakan bahawa bangsa Kadazandusun mengikut kumpulan etnik didefinisikan sebagai Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana, Garo, Idaan, Kadayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayo, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Nabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsogon, Sukang, Sungei, Tatana, Tangara, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon, Tutung, dan Bisaya.
Sekiranya semua suku bangsa ini memiliki sastera dan tradisi lisan, sudah tentu usaha untuk melestarikan bahasa ibunda sangat diperlukan kerana jika bahasa ibunda tidak dipertahankan, sastera dan tradisi lisan akan turut hilang bersamanya.
" Langkah ini sedikit sebanyak dapat mengimbangi pengaruh yang menerjah generasi muda yang kian terdedah kepada zaman globalisasi yang semakin melupai akar asal bangsa dan bahasa," kata Pegawai Perancang Bahasa di DBP Sabah, Abdul Nassir Said.
"Kecenderungan berpindah menjadi faktor kenapa usaha pendokumentasian bahasa dan sastera etnik Sabah perlu dilaksanakan dan diteruskan di samping mempergiatkan usaha-usaha ke arah pelestarian bahasa sukuan di Sabah," katanya..
Kelangsungan hayat bahasa sukuan Sabah dikatakan semakin terancam. "Generasi muda khususnya yang berumur di bawah 20 tahun kurang menggunakan lagi bahasa etnik masing-masing menyebabkan kelangsungan hayat bahasa etnik di Sabah semakin terancam dan sedang mengalami kepupusan. Keadaan ini berlaku dalam hampir kesemua etnik di Sabah," kata Abdul Nassir.
Bagi Pinjaman Hassin, seorang tokoh Iranun, masyarakatnya juga mempunyai warisan bahasa dan budaya yang tidak kurang jumlahnya. Kekayaan bahasa dan sastera Iranun juga begitu banyak. Malangnya kebanggaan terhadap budaya itu, semakin berkurang dari hari ke hari kerana sastera tradisi semakin lenyap dimakan masa.
Bayuk, kata Pinjaman lagi adalah puisi Iranun. Terkandung di dalamnya diguani, sambirungan, tinubau, tobad-tobad, pananaruen dan sebagainya. Tetapi puisi-puisi Iranun ini tak banyak dirakamkan. Bagaimanapun, seorang pengkaji budaya, Mabulmaddin Shaiddin kini sedang berusaha mengumpulkan bayuk dan puisi Iranun dengan kerjasama penuh OKK Haji Masrin Hassin, Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Kebudayaan Iranun. Selain itu, informan yang terdiri dari pengamal budaya seperti Haji Asmah Haji Ibrahim dan ramai lagi juga turut diwawancara untuk melengkapkan kajian budaya Iranun itu.
"Kalau kita sebut perkataan kebudayaan, secara automatis ianya mengundang suatu persoalan iaitu kebudayaan bangsa apa, dan apabila kita sebut bangsa pula secara automatis satu persoalan yang menagih jawapan ialah apakah agaknya bahasa bangsa tersebut?," kata Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Speaker Dewan Rakyat
Misalnya, apabila kita sebut tarian runsai, secara automatis kita akan terfikir bahawa tarian tersebut adalah tarian kebudayaan keturunan suku kaum Bajau dari daerah Kota Belud, Tuaran dan Kota Marudu.
Tarian Runsai ditarikan oleh lelaki dan wanita dengan diiringi oleh alunan suara yang berirama unik yang dipanggil kalangan.Pihak lelaki dan wanita berbalas-balas kalang seperti berbalas pantun.Manakala bahasa yang digunakan adalah bahasa bajau atau sama asli.
Dalam konteks kebudayaan bajau iaitu tarian Runsai, ianya tidak boleh dipisahkan dengan bahasa Bajau itu sendiri.Ini adalah kerana tarian runsai itu ditarikan dengan diiringi dengan kalangan dan bahasa yang digunakan oleh para perunsai sewaktu berkalang semestinya dalam bahasa Bajau, katanya.
Tetapi akibat perkembangan globalisasi, kini bukan saja sastera rakyat malah bahasa ibunda turut terancam hilang dan lenyap jika tiada usaha-usaha pendokumentasian dibuat untuk menyelamatkan dan memuliharanya.
Sebuah bangsa tidak mungkin dikenali sebagai bangsa tanpa bahasa ibundanya. Sebuah bahasa tidak mungkin dianggap tinggi nilainya tanpa sastera tradisinya. Namun kini, masih ramaikah di kalangan masyarakat kita yang prihatin terhadap ketinggian dan martabat bangsa dengan mempertahankan dan memulihara segala khazanah sastera dan budaya yang dimilikinya?.

Utusan Borneo 3 Oktober 2010

No comments: