Rabu, 20 Oktober 2010

Ikan salai RM1 di Mempakad Laut, Pitas

Tags







IKAN SALAI RM1 DI MEMPAKAD LAUT
Oleh ABD.NADDIN Hj.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

BAGI Puan Masiah Gundiok,42, pekerjaan menjual ikan salai hanya untuk mengisi masa lapang sambil menunggu suami pulang dari kerja. Tetapi kerja menjual ikan salai yang dijalankan secara sampingan itu, mampu memberi senyuman kepada wanita cekal dari Kampung Mempakad Laut, yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pitas.
Puan Masiah mendapat bekalan ikan dari pengusaha-pengusaha `bagang' di Teluk Marudu. Anak-anak ikan tamban,selidai dan lumaan serta pelbagai jenis ikan lain yang tidak laku untuk dijual itu, diberikan nilai komersil oleh Masiah dan beberapa wanita lain dengan menjadikannya ikan salai.
Anak-anak ikan pelbagai jenis itu disalai sebaik dibawa turun dari laut. Selepas disalai, mereka memasukkannya ke dalam plastik kecil sebelum digantung di pondok-pondok kecil di sepanjang jalan di Mempakad Laut, sebuah kampung cantik yang terletak di pesisiran pantai dengan pemandangan teluk dan hembusan angin yang mengasyikkan.
Kampung Mempakad mempunyai kira-kira 667 orang penduduk, 387 daripadanya kaum wanita. Kebanyakan penduduk di kampung itu dari suku kaum Kimaragang, iaitu salah satu suku kaum yang mendiami Pitas.
Pitas merupakan sebuah daerah yang dinaikkan taraf daerah penuh pada tahun 1975 walaupun hanya pada tahun lalu, Pitas mendapat majlis daerah. Penduduknya terdiri daripada suku kaum Sungai, Bajau, Suluk, Rungus, Kimaragang, Tambanua dan Sonsogon, serta sepuluh buah keluarga Cina yang bekerja sebagai peniaga dan petani.
Mempakad Laut merupakan salah satu kampung daripada 133 kampung yang terdapat di Pitas, yang terletak kira-kira 195 kilometer dari Kota Kinabalu dan 132 kilometer dari Pekan Kudat.
Mungkin banyak perkara istimewa yang boleh disaksikan oleh pengunjung di kampung itu. Sesekali jika dalam perjalanan menuju Pitas, singgahlah di Kampung Mempakad laut merasakan ikan salai yang dijual dengan harga satu ringgit satu bungkus plastik kecil.
Namun walaupun harga ikan salai itu satu ringgit bagi satu plastik, Puan Masiah mampu memperolehi pendapatan RM100 sehari bagi menghidupkan lima orang anaknya. Sejak setahun lalu, beliau menjadikan kerja menjual ikan salai itu sebagai pekerjaan tetap kerana ia memberikan hasil yang lumayan.
"Lagipun kerja menjual ikan salai agak mudah....anak-anak ikan disalai di atas unggun api sehingga masak kemudian dimasukkan dalam plastik untuk dijual.
"Yang memenatkan ialah menunggu pelanggan untuk membeli ikan salai, " katanya sambil menambah, walaupun begitu, beliau masih mampu mendapat pendapatan yang mencukupi bagi menampung keperluan hidup mereka sekeluarga.
Hasil jualan ikan itu juga boleh digunakan untuk membayar tambang bas sekolah anak-anak. Yang pasti, Masiah ingin memastikan anak-anaknya menikmati pendidikan yang baik.
Walaupun pendapatan tidak menentu mengikut cuaca tetapi menjual ikan salai merupakan satu perniagaan yang boleh dikomersilkan dan diusahakan oleh masyarakat kampung terutamanya kaum wanita.
Sementara itu, Hailin Jamari, 33, yang baru menjual ikan salai sejak empat bulan lepas mendapati ikan salai boleh menjadi salah satu produk kampung Mempakad Laut seandainya ia ditingkatkan lagi mutunya.
"Ikan yang diperolehi dari pengusaha bagang disalai begitu saja tetapi kalau ia dibersihkan lagi, sudah tentu ia boleh dijual hingga ke daerah-daerah lain," kata wanita yang menjadi ibu kepada lima anak ini.
Katanya, pelanggan ikan salai itu hanya terhad kepada mereka yang menggunakan jalanraya Pitas itu. Kebanyakan yang singgah adalah pengunjung dari Sandakan, Beluran, Paitan, Kota Kinabalu yang berkunjung ke daerah Pitas.
Sesungguhnya perniagaan ikan salai itu, bukan saja mampu menjadi sumber pendapatan lumayan masyarakat Mempakad Laut malah boleh diangkat menjadi salah satu produk yang boleh menjadi ikon di kampung itu.

5 comments

assalamualaikum saya adalah anak kepada masiah gundiok,saya rasa sangt bangga mjadi anak kepada mama ,,and iam so proud of my mom,,,chayok to mummy,,,,saya xtahu pun yang ikan salai mama ini terkenal,,,hahah,,,tapi saya rasa sangat tharu bila tuan memasukkan artikel bkaitan 'ikan salai'mama saya,,,and iam as her daugther will study hard for mama,,n now iam in kolej universiti islam pahang sultan ahmad shah,,in marketing course...walau pun jauh dari mama ikan salai the number one,,,yang memebolehkan saya sambung belajar,,,love mama muah from ani:)

assalamualaikum saya adalah anak kepada masiah gundiok,saya rasa sangt bangga mjadi anak kepada mama ,,and iam so proud of my mom,,,chayok to mummy,,,,saya xtahu pun yang ikan salai mama ini terkenal,,,hahah,,,tapi saya rasa sangat tharu bila tuan memasukkan artikel bkaitan 'ikan salai'mama saya,,,and iam as her daugther will study hard for mama,,n now iam in kolej universiti islam pahang sultan ahmad shah,,in marketing course...walau pun jauh dari mama ikan salai the number one,,,yang memebolehkan saya sambung belajar,,,love mama muah from ani:)

assalamualaikum ,,iam so proud to my mom..hello then sya anak kepada masiah gundiok,saya sanggat banga mjadi anak kepada wanita yang setia menunggu pelangan untuk memebeli ikan salai nya,,,,sabar menunggu ikannya masak,,sabar menunggu ikan datang untuk di jual,,saya raSA saya my be can do batter then my mom,,i love my mom,,,,dulu slalu saya tlg mama ,,,now not yet coz iam study in kolej universiti islam pahang sultan ahmad shsh pahang,,,in marketing course...i miss that time,percaya atau tidak saya boleh sambung belajr dengan duit ikan salai yang di jual dengan harga seringgit seplastik...and that my mom,,,i love u mom i willl be the best here

Tahniah.
Saya tidak menyangka artikel yang saya tulis mengenai kegigihan Puan Masih Gundiok ini dibaca oleh anaknya sendiri, yang kebetulan pula sedang melanjutkan pelajaran di kolej Universiti Islam Pahang.
Saya terharu membaca respon yang diberikan, dan semoga lebih ramai lagi mendapat inspirasi daripadanya.
Tahniah sekali lagi.
salam

saya ingin mengucapkan terima kasih kerana saya telah mendapat bebepara maklumat tentang Kampung Mempakad Laut Pitas.