Saturday, October 30, 2010

Kenalan bernama Majid dan PRK Batu Sapi

SEORANG kenalan, Majid namanya, bercerita mengenai kesan-kesan pasca Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi walaupun pengundian hanya akan diadakan pada 4 November ini. Beliau baru balik dari Sandakan tetapi pulang ke ibu negeri untuk mengambil semacam `off day' kerana terlalu penat melihat orang berkempen.
Beliau memberitahu, kereta yang mereka naiki dihumban dengan batu di Bokara kerana masuk kampung menggunakan kereta mewah. Selepas itu, mereka terpaksa menukar kereta kerana ternyata kehadiran mereka kurang disenangi.

Beliau masih meramalkan PRK Parlimen Batu Sapi yang mempunyai jumlah pengundi seramai 25,582 orang (59.02 peratus atau 15,099 daripadanya bumiputera Islam manakala 38.06 peratus atau 9,737 pengundi Cina) akan dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Thau Lin. Antaranya kerana faktor simpati dan beliau merupakan calon yang sudah dikenali masyarakat Batu Sapi, dan tahu pula mengenai visi dan perancangan mendiang suaminya, Datuk Ir.Edmund Chong Ket Wah. Kelemahannya ialah dalam penguasaan bahasa, kata Majid. "Bagaimana dia menyuarakan masalah rakyat sedangkan dia tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik?".

Majid juga menyifatkan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee mampu memberikan saingan yang bererti kepada BN. Tetapi Yong hanyalah menguji populariti sebelum Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Walaupun diyakini mampu bersuara tetapi Yong dikatakan orang luar dan bukan saja berhadapan dengan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman malah terpaksa juga berdepan dengan pengaruh bekas orang kanannya, Datuk Tham Nyip Sen dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Calon PKR, Haji Ansari Abdullah walaupun belum kalah dalam pilihanraya itu tetapi beliau telah terjatuh dua kali ketika berkempen. Ramai orang simpati dan menyalahkan kerajaan kerana tidak mempedulikan nasib rakyat kecil tetapi ada yang menyifatkan Ansari kurang bernasib baik kerana bertarung di gelanggang orang.

Sehabis saja pilihanraya ini, semua calon akan pulang KK. Yang tinggal hanya pengundi, katanya kepada saya ketika kami minum kopi di restoran mamak itu.

"Saya tidak tahu mengapa ada orang yang memasang bendera parti mereka di atas replika buaya di Batu 7, Jalan Labuk?" katanya. Ia mengingatkan beliau kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam beberapa pilihanraya kecil yang lepas. Katanya, ada keluarga yang bercerai berai selepas satu-satu PRK. Ada suami orang yang terpaksa menyesali diri kerana `handphone' direndam dalam besen oleh isterinya. Sebabnya, kerana si suami tadi asyik ber`sms' meskipun ketika berada dalam tandas.

Begitu juga ada isteri yang tiba-tiba minta cerai dari suami kerana melihat gemerlap janji janji kawan baru di celah-celah kempen pilihanraya kecil, dan Majid mempunyai banyak cerita mengenai kempen itu. Tetapi ini hanyalah kes-kes terpencil, katanya kerana tidak semua orang begitu.Walaupun cara berpolitik sekarang tidak seperti dahulu tetapi masih ramai yang berpolitik kerana betul-betul yakin terhadap perjuangan mereka.

Setakat ini belum terlihat kerancakan berkempen di Batu Sapi,katanya kepada saya sambil menghirup kopinya. Kita harapkan orang mematuhi tertib demokrasi untuk meraih undi rakyat. Sudah sampai masanya bagi ahli-ahli politik untuk mengamalkan politik santun dimana semua orang berlumba bukan kerana berahi kuasa tetapi bersaing untuk menawarkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat.

Majid mengimpikan agar laporan berita yang dibuat agak seimbang dan semua pihak diberikan peluang dan akses kepada media. Pada ketika itu, pertandingan adalah pertarungan antara idea-idea, yang bertujuan untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya. Majid bercakap mengenai kaedah berkempen yang baru menggunakan twitter, facebook, blog dan sebagainya. Katanya, beliau bersetuju dengan pandangan seorang pemimpin yang meminta supaya semua pihak mengamalkan keterbukaan kerana dunia kini adalah dunia `digital democracy'.

Tidak syak lagi, PRK Parlimen Batu Sapi adalah satu pilihanraya yang penting, yang menjadi barometer untuk mengukur sejauhmana sokongan rakyat terhadap parti-parti politik menjelang PRU-13. Ia juga menjadi ujian kepada konsep 1 Malaysia, Model Ekonomi Baru dan penerimaan rakyat terhadap konsep yang diperkenalkan kerajaan semata-mata untuk kebaikan dan kemajuan.

Menurut Majid, pihak yang akan menang dalam pilihanraya itu, bukanlah parti yang paling banyak menaburkan wang atau janji tetapi pihak yang dilihat mengamalkan politik yang sederhana dan boleh diterima. Orang-orang politik yang berteriak-teriak pasti akan ditolak kerana ia tidak sesuai dengan budaya politik kita. Pihak yang menawarkan program program yang logik untuk kesejahteraan rakyat itulah yang akan muncul sebagai pemenang kali ini.

Majid tidak menamakan parti politik itu dan pihak mana yang disokongnya. Beliau mengakui pergi ke Batu Sapi untuk melihat-lihat keadaan. Beliau berpendapat PRK Batu Sapi dijangka sengit, tetapi beliau memberikan beberapa kesimpulan menarik. Katanya, jika BN menang dengan majoriti yang besar, ini akan membuatkan Pakatan Rakyat dan SAPP untuk duduk semeja untuk memikirkan masa depan pembangkang di negeri ini. Satu lagi kemungkinan ialah BN menang tetapi jika dicampurkan jumlah undi PKR dan SAPP, mereka boleh menang dalam pilihanraya itu. Ini juga akan membuatkan SAPP dan PR duduk semeja untuk berbincang strategi satu lawan satu. Ketiga ialah PKR atau SAPP yang menang. Jika ini yang berlaku, katanya, BN harus menyalahkan diri kerana tersalah memilih calon.

Penganalisis politik kita ini mengakui seronok melihat suasana berkempen di Batu Sapi. Bukan saja kerana berpeluang menyantap makanan laut yang murah seperti ikan bakar, ketam, udang dan sebagainya tetapi dapat melihat keunikan budaya politik Sabah. Beliau menyifatkan dunia politik Sabah sebagai "the beauty of Sabah" dimana semua orang, tidak kira apa fahaman parti, agama, kaum dan sebagainya, boleh duduk `ketawa ketawa' dalam satu meja.

Saya melihat Majid, kenalan baru waktu duduk di kedai kopi itu.Katanya, Pilihanraya Kecil Batu Sapi, siapapun yang akan memenanginya, tetap membawa impak kepada politik Sabah. Namun beliau yakin, jika budaya politik santun dapat dipupuk dalam demokrasi yang penuh tertib, rakyat akan menuai hasil yang menggembirakan.

UTUSAN BORNEO 31 OKTOBER 2010

No comments: