Saturday, October 23, 2010

Kisah Bobbey dan masalah rakyat

Ketika menulis nota ini, saya teringat kata-kata Datuk Bobbey Suan. Ia bukanlah kata-kata keramat atau kata-kata hikmah tetapi bagi saya, ia merupakan kata-kata berbisa dan penuh makna. Saya fikir beliau tidak akan mengucapkan kata-kata itu, kalau bukan kerana beliau sendiri sebagai wakil rakyat berasa terdesak untuk meluahkan kata-kata itu.

"Sampai kiamatpun, masalah rakyat tidak akan diatasi sekiranya sikap kakitangan awam tidak berubah," katanya. Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, banyak perancangan kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan tepat dan betul kerana sikap kakitangan awam, yang lambat dan tidak melaksanakan arahan yang sepatutnya.

Sebagai contoh, kata Bobbey yang juga ADUN Nabawan itu, beliau telah menyenaraikan nama-nama yang layak untuk mendapat bantuan PPRT tetapi kemudian, beliau mendapati orang yang sepatutnya mendapat bantuan tidak mendapat bantuan sebaliknya orang lain yang tiada dalam senarai pula yang diberi keutamaan.

"Jika begini sikap kakitangan awam, sudah tentu, sampai kiamatpun, hasrat kerajaan membawa pembangunan tidak akan tercapai," katanya.

Bobbey juga menyatakan kebimbangan mengenai tahap kecekapan dan mentaliti di kalangan tenaga pelaksana di sektor awam dalam Program Transformasi Ekonomi (TPE) yang bertujuan membawa negara menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Program yang akan dilaksana melalui Program Transformasi Ekonomi (PTE) adalah bertujuan membawa negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Pemacu utama PTE ialah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dimana terdapat dua belas bidang-bidang tertentu telah dikenalpasti.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebanyak 131 Projek Pintu Masuk (EPP) dan 60 peluang perniagaan telah dikenal pasti untuk memulakan pemacuan itu kepada hampir tiga kali ganda Pendapatan Negara Kasar (GNI) daripada RM600 billion pada tahun 2009 kepada hamper RM1.7 trillion pada tahun 2020.

Katanya, program ini adalah satu kebanggaan kepada Negara kita dimana Ketua Menteri sendiri telah menyatakan kesediaan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan melaksanakan PTE.
" Apa yang menjadi kebimbangan saya, " kata Bobbey ialah melihat tahap tenaga pelaksana di sektor awam dari pelbagai sudut termasuklah kecekapan dalam sistem pentadbiran dan mentaliti serta sikap di pihak pelaksana perlu ada perubahan atau penaikantaraf terlebih dahulu,".
"Perubahan ini perlu kerana kita akan berhadapan dengan sektor swasta dan pelabur yang tidak suka membuang masa atau enggan menerima banyak birokrasi," kata Bobbey yang juga pernah menjadi Pegawai Daerah sebelum menceburi dunia politik.
"Perlaksanaan projek-projek biasa di peringkat daerah-daerah pun masih banyak kepincangan, terutamanya yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.," katanya sambil menegaskan kita tidak menepati sasaran kerana masih terdapat kelemahan di pihak perlaksanaan.
Komen Bobbey ini perlu diberikan perhatian oleh kakitangan sektor awam kerana terlalu banyak aduan masyarakat yang melibatkan tahap kecekapan kakitangan awam yang kurang memuaskan. Ada yang terpaksa datang untuk berurusan di pejabat-pejabat kerajaan sehingga berpuluh kali tetapi urusan mereka tidak juga selesai.Ada yang menghabiskan ratusan ringgit untuk berulangalik untuk mendapatkan satu jawapan daripada pegawai kerajaan tetapi tetap pulang dengan kehampaan.
Banyak contoh boleh diberikan.Ketika Kerajaan beria-ia membantu menyelesaikan masalah rakyat, apa yang dibimbangkan Datuk Bobbey, ialah tahap kecekapan dan mentaliti kakitangan awam yang sepatutnya berubah. Sebab kalau tidak, sampai kiamat, masalah rakyat tidak dapat ditangani dengan sempurna. Mungkin Bobbey benar ketika mengucapkan kata-kata itu, mungkin juga tidak. Tetapi untuk mengatakan tidak, mentaliti dan sikap kita harus berubah.

Utusan Borneo 24 Oktober 2010

No comments: