Rabu, 20 Oktober 2010

Penternakan Kambing Boer gagal jana industri ruminan di Sabah

Tags


PENTERNAKAN KAMBING BOER GAGAL JANA INDUSTRI RUMINAN DI SABAH
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

PENTERNAKAN Kambing Boer dikatakan gagal menjana industri ruminan di Sabah. Ia dikatakan tidak komersil dan tidak mendatangkan keuntungan kepada penternak. Utusan Borneo menemui Ketua Unit Pembangunan dan Penyelidikan Ternakan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah (JPHPT), Dr.Mutarin Haji Damshik untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai penternakan Kambing Boer di Sabah.
Dr.Mutarin, 53, mendapat ijazah sarjana muda Sains Ternak (Pengeluaran Ternak) pada 1986, Sarjana (Makanan Ternakan) 1994 dan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang pengeluaran ruminan pada 2001. Kesemua ijazah itu diperolehi daripada Institut Pertanian Bogor atau Bogor Agricultural University.
Menurutnya, pada tahun 1981, Kerajaan Negeri Sabah mula mendapat baka Feral, Baka ini telah didatangkan oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu,Datuk Harris Salleh dari Australia dan dibiak baka di ladang Kambing Menumbuk milik beliau sendiri.
Kerajaan Sabah melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak(JPHPT) ikut mengimport Baka Feral bertujuan untuk dibiakbaka di ladang Kambing Bongawan, milik JPHPT .
" Tujuan pengembangan ini adalah untuk membekal kambing pada Penternak yang diberi bantuan JPHPT melalui Projek Sosio ekonomi yang dinamakan “Skim Pawah Kambing”," katanya.
Pengimportan kambing Feral diikuti Kambing Anglo-Nubian. Pengimportan ini juga bertujuan untuk meningkatkan populasi ternak kambing di Sabah disamping untuk mendapatkan baka baru .
Katanya, Kedua-dua baka ini digunakan untuk biakbaka dengan kambing Kacang bertujuan untuk perbaikan genetik Kambing Kacang dimana, diharapkan generasi baru ini memiliki sifat-sifat pengeluaran yang baik seperti bentuk badan yang lebih besar dari kambing Kacang asli, berat badan berada diantara induk dan pejantan, perototan yang menonjol, perdagingan yang lebih banyak, peratus beranak dan jangka kelahiran yang lebih pendek, peratus kematian yang rendah, serta memiliki ketahanan terhadap serangan penyakit yang lebih tinggi berbanding kambing Kacang.
Menurutnya, hasil dari biakbaka kambing Jantan Anglo- Nubian dengan Betina Kacang telah dihasilkan suatu Baka baru dikenali, SABIAN atau nama penuhnya Sabah Anglo Nubian.
"Akan tetapi baka ini tidak bertahan lama sehingga beberapa lama lenyap begitu sahaja. Entah apa sebabnya tidak ada penjelasan yang boleh dijadikan pegangan," katanya.
Jelasnya, baka Feral pula mengalami banyak masalah dalam pengembangannya, memiliki sifat yang kurang baik iaitu memilki sifat mati tiba-tiba, sering disebut “Suddent Death.” Artinya mati dengan tiba-tiba tanpa menunjukkan tanda- tanda sakit.
"Baka Feral juga kurang tahan terhadap serangan cacing. Akhirnya pada hari ini baka Feral hampir pupus ini disebabkan penternak enggan menggunakan Feral," kata Dr.Mutarin lagi.
Katanya, hasil sampingan biakbaka Feral telah menyebabkan kemusnahan Baka Kacang. "Pada hari ini sukar ditemui Baka Kacang yang Asli. Kambing Kacang yang ada kini memiliki sifat-sifat lebih separuh Feral," katanya.
Menurutnya, kemusnahan kambing Kacang disebabkan oleh kurang pengawasan di pihak JPHPT, Banyak kambing Kacang Asli maupun peranakannya telah dijual keluar ke Brunei dan Sarawak , disamping akibat penyembelihan yang tidak dikawal.
Katanya, pada 2006 JPHPT Sabah telah mengimport baka kambing yang baru berasal dari Australia bernama Boer. Baka Boer jantan memiliki berat 80kg, sedang yang betina 70kg. Harga pasaran Boer hidup ialah RM25 per kilogram. Seperti Feral dan Anglo-Nubian baka BOER di import oleh JPHPT untuk membekal ternak tersebut kepada peserta projek/penternak JPHPT Sabah.
"Pengalaman penternak Boer mengungkapkan bahawa pejantan Boer kurang aktif menjalankan reproduksi sehingga system pembiakan terbengkalai, demikian juga Boer betina menggambarkan ibu yang tidak baik, contoh bila induk Boer melahirkan dua anak setelah menyusukan anak yang pertama maka anak kedua akan ditinggalkan tidak disusui," katanya. Jadi terpaksalah penternak berusaha menyusukan anak kedua dengan puting susu buatan manusia.
Katanya, sifat Boer betina ini memburukkan lagi industri ternakan kambing di Sabah dan ini menunjukkan penternakan kambing Boer di Sabah gagal menjana industri ruminan di Sabah.
Di pihak lain status kambing Boer mulai dipertikai, setakat ini kemajuan BOER baru pada tahap pembelian baka oleh ladang –ladang kambing di seluruh Sabah, daging Boer belum lagi dipasarkan. Jika dipasarkan akan berlaku kerugian besar diperingkat peniaga, kata Dr.Mutarin.
Contohnya, jika peniaga membeli Boer jantan seberat 40kg dengan harga RM25 sekilo maka peniaga mengeluarkan modal RM1,000.00, sedangkan jika kambing Boer di sembelih daging yang diperoleh hanya 40% yakni 16kg dari berat hidup 40kg dan harga daging kambing paling tinggi RM 16.00/kg. Jika dikira maka peniaga tadi hanya memperolehharga jualan RM256.00 sahaja dan dia kerugian sebanyak RM 744.00. .
Jika demikian, kata Dr.Mutarin, wajarkah penternakan kambing Boer dikembangkan. Katanya, mungkin pada masa lalu tidak ada perancangan dalam mendatangkan kambing Boer.
"Ini disebabkan mereka tidak memiliki ilmu penternakan kambing. Nyatalah bahawa mereka tidak mengkaji kelemahan dan keunggulan Boerterlebih dahulu, maka jadilah penternakan Boer “Ibarat Mimpi yang Tidak Menjadi Nyata”," kata Dr.Mutarin..
Beliau menyarankan agar penternak kembali menternak kambing Kacang.
"Kambing kacang boleh dibaikbaka/crossbred dengan Feral, Anglo-Nubian atau Boer Jantan," katanya sambil menambah hasil biakbaka diharapkan akan terjadi perbaikan genetik dan melahirkan keunggulan seperti bentuk badan yang lebih besar dari Kacang, berat badan yang lebih berat dari Kacang,peratus beranak meningkat tinggi,Perdagingan yang banyak,Interval beranak yang pendek,melahirkan anak kembar 4 yang banyak,melahirkan generasi yang tahan terhadap serangan penyakit,Cepat dewasa tubuh dan cepat dipasarkan," jelas Dr.Mutarin lagi.